Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Tidak Ugut Kakitangan Awam Yang Tidak Sokong Kerajaan Negeri

mb

SHAH ALAM 24 FEB :Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Pakatan Rakyat (PR) tidak pernah melucutkan jawatan kakitangan awam di Selangor hanya kerana tidak menyokong atau tidak hadir dalam majlis-majlis anjurannya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, ini berbeza dengan pentadbiran yang diamalkan Kerajaan Umno-BN yang mengugut kakitangan awamnya supaya menyokongnya dan menghadiri setiap program yang dianjurkan.

“Kerajaan PR Selangor, kami tidak pernah melucutkan jawatan kakitangan awam di Selangor hanya kerana dia tidak menyokong atau tidak hadir dalam majlis saya atau pemimpin PR yang lain.

“Bukan seperti Kerajaan Umno-BN, tengok berapa ramai penjawat awam termasuk guru-guru yang ditukar tempat kerja kerana didapati mereka tidak hadir dalam majlis-majlis anjuran pemimpin Umno-BN,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika memberikan ucapan di Majlis Maulidur Rasul peringkat negeri Selangor anjuran Madrasah Majlis India Muslim Malaysia (MIM) di Stadium Malawati, Shah Alam di sini semalam.

Abdul Khalid mengulas berkenaan aduan tentang terdapat orang tertentu daripada Kesatuan India Muslim Malaysia (KIMMA) yang mengugut golongan India Muslim supaya tidak hadir ke majlis itu dengan memberikan pelbagai alasan.

“Misalnya tadi saya terima aduan tentang terdapat orang tertentu daripada Kesatuan India Muslim Malaysia (KIMMA) yang mengugut golongan India Muslim supaya jangan pergi ke majlis hari ini, nanti Senator yang diberi oleh Kerajaan Pusat kepada India Muslim ditarik balik,” ujarnya lagi.

Tambahnya, ugutan tersebut turut menyatakan duit bantuan tahunan surau berkemungkinan diberhentikan dan visa atau permit ustaz tidak diperbaharui.

“Banyak lagi ugutan daripada pimpinan Kerajaan Umno-BN kepada rakyat,” tegasnya.

Sebelum ini, seorang guru agama di Labuan mendakwa diberhentikan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutan (JAWI) hanya kerana menghadiri ceramah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut guru tersebut, Qatrun Nada Mohd Latfi, beliau menerima notis pemecatan selepas mendapat panggilan daripada seorang pemimpin Umno-BN tempatan.