Categories
PBT SELANGOR

5,000 hadir meriahkan jamuan Aidilfitri MBSA

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 18 JUN: Jamuan Aidilfitri anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 5,000 tetamu dalam majlis berkenaan.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim berkata, beliau bersyukur kerana sambutan Majlis Jamuan Aidilfitri MBSA itu meriah dan ia menunjukkan ikatan silaturahim yang kukuh dengan pelanggan dan orang awam.

“Majlis ini khusus buat pelanggan, jabatan dan agensi kerajaan serta orang awam,” katanya ketika ditemui media di majlis berkenaan di Dataran Shah Alam di sini, hari ini.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Amiruddin Shari; Datuk Orang Kaya Maha Bijaya Gombak, Tan Sri Wan Mahmood Pa’wan Teh serta EXCO Kerajaan Negeri, Hee Loy Sian dan Mohd Khairuddin Othman.

Lebih mengujakan, penyanyi terkenal, Khai Bahar turut menyerikan hadirin dalam sambutan yang bermula sejak jam 1 tengahari itu.

Khai Bahar menghiburkan hadirin dengan lagu raya ‘evergreen’ iaitu Satu Hari Di Hari Raya dipopularkan Datuk M Nasir.

Pemenang trofi Anugerah Meletop Era 2019 itu turut mendendangkan beberapa single miliknya seperti Sinar Syawal dan #123.

Dalam majlis sambutan hari raya berkenaan, lebih 40 gerai dengan pelbagai juadah tradisi disediakan antaranya rendang ayam, daging masak hitam, lemang, kambing bakar, laksa Penang, cendol, sate dan kuih-muih.

FOTO: RAHEEMIE ARIFIN (SELANGORKINI)