Categories
AGENDA NASIONAL

MKN benarkan aktiviti ziarah kubur luar musim perayaan

KUANTAN, 28 OGOS: Aktiviti ziarah kubur di luar musim perayaan adalah dibenarkan tertakluk pada pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan, kata Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad.

Beliau berkata SOP larangan menziarahi kubur sebelum ini adalah dikaitkan dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha bagi menjaga aspek penjarakan sosial kerana aktiviti itu merupakan tradisi pada perayaan berkenaan.

“… dalam keadaan luar perayaan, ziarah kubur tidak menjadi satu isu dan dibenarkan. Yang penting ialah setiap mereka yang berziarah mestilah memastikan jarak fizikal satu meter diamalkan dan pemakaian pelitup muka,” katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

Rodzi berkata mereka yang menziarahi kubur juga diingatkan untuk menjaga kebersihan seperti mencuci tangan dan sebagainya seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bilangan penumpang ikut kapasiti kenderaan bagi individu lengkap vaksin

SHAH ALAM, 21 OGOS: Kerajaan membenarkan jumlah penumpang dalam kenderaan berdasarkan kapasiti tempat duduk khusus bagi individu lengkap dos vaksin di negeri fasa satu Pelan Pemulihan Negara.

Tatacara operasi piawai (SOP) berkuat kuasa semalam yang dimaklumkan di laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN) turut menetapkan tiada lagi had perjalanan 10 kilometer bagi golongan berkenaan.

Menurut infografik yang dikongsikan MKN, had dua orang dari isi rumah untuk mendapatkan barangan asas masih terpakai bagi individu yang belum lengkap divaksin.

Sementara had tiga orang jika salah seorangnya merupakan pesakit yang perlu diiring bagi mendapatkan rawatan atau untuk kes kecemasan.

Kerajaan membenarkan individu lengkap dua dos menikmati kemudahan makan di restoran, bersukan dan pergi ke pasar malam di negeri fasa satu PPN mulai semalam.

Kemudahan tersebut sebagai tambahan kelonggaran yang diperkenal pada Isnin lalu di negeri yang lengkap 50 peratus dos kedua.

Seseorang dianggap lengkap vaksin selepas dua minggu menerima dos kedua vaksin Covid-19, serta 28 hari menerima vaksin dos tunggal seperti Johnson & Johnson dan CanSino.

Pada masa ini, kawasan yang masih dalam fasa satu PPN ialah Kedah, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Putrajaya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MKN: Bengkel kenderaan, dobi mula beroperasi hari ini

SHAH ALAM, 17 JULAI: Bengkel kenderaan, kedai barangan logam dan dobi termasuk layan diri dibenarkan beroperasi seluruh Selangor bermula hari ini susulan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di 34 mukim semalam.

Berdasarkan ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengikut Pelan Pemulihan Negara tatacara operasi piawai (SOP) Fasa 1, premis hanya boleh dibuka dari jam 8 pagi hingga 8 malam.

Dalam tempoh sama juga MKN membenarkan operasi kedai barangan bayi, cermin mata, farmasi, pasar raya dan klinik haiwan.

Sementara pengusaha kedai makan, restoran dan penjaja tepi jalan dibenar memulakan perniagaan dari jam 6 pagi hingga 10 malam berbanding sebelum ini dari 8 pagi hingga 8 malam.

Semalam Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penamatan PKPD di 34 mukim di negeri ini yang dikuat kuasa selama dua minggu bermula 3 Julai lalu.

Antara SOP lain dibenarkan:

  • Dua orang isi rumah dibenar dalam satu kereta tidak lebih 10 kilometer untuk beli makanan, keperluan asas
  • Tiga orang dalam satu kereta bagi mendapatkan rawatan, vaksinasi, kecemasan.
  • 20 peratus kakitangan awam dibenar bekerja di pejabat manakala 60 peratus untuk kakitangan swasta.
  • Aktiviti sukan dan rekreasi dibenarkan namun hanya senaman dan joging dari jam 7 pagi hingga 8 malam.
  • Stesen minyak dibuka dari 6 pagi hingga 8 malam manakala stesen di lebuh raya beroperasi 24 jam.

Categories
AGENDA NASIONAL

MKN wujudkan jawatankuasa strategik pengurusan pandemik tangani Covid-19

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Mesyuarat Jawatankuasa Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju mewujudkan Jawatankuasa Strategik Pengurusan Pandemik jangka masa panjang dan sederhana bagi menghadapi cabaran pandemik Covid-19 di negara ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau akan mempengerusikan jawatankuasa itu yang turut melibatkan 10 sektor merangkumi bidang ekonomi, kesihatan dan pendidikan.

“Jawatankuasa ini telah dibentuk dan menteri berkaitan dilantik untuk mengetuai sektor tersebut bagi merangka beberapa cadangan.

“Saya percaya dalam masa terdekat, mereka akan bentangkan kepada jawatankuasa induk menangani pandemik Covid-19,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Katanya sektor terlibat adalah Keselamatan Kesihatan Awam; Keselamatan dan Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan; Pendidikan dan Sosial; Ekonomi dan Industri; Pembangunan dan Infrastruktur; Pembudayaan Masyarakat; Hubungan Antarabangsa; Komunikasi Strategik Sektor Sains dan Teknologi dan Hal Ehwal Perundangan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM saran MKN lanjut PKPP, ikut nasihat WHO

KULAI, 23 OGOS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi saranan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dijadual berakhir pada 31 Ogos ini, kata Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata saranan tersebut diberikan berikutan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan wabak Covid-19 akan berlaku bagi tempoh tidak kurang dari dua tahun .

Katanya tempoh dua tahun merupakan masa yang lama dan pelbagai usaha telah dan akan dilakukan kerajaan termasuk memastikan rakyat mengamalkan norma baharu bagi menangani penularan Covid-19.

“Untuk PKPP yang akan berakhir pada 31 Ogos, pihak KKM telah membuat saranan kepada pihak MKN dan juga perdana menteri supaya dipertimbangkan untuk (terus) dilaksanakan sehingga keadaan lebih terkawal. Jadi terpulang kepada Yang Berhormat Perdana Menteri untuk umumkannya dalam masa terdekat.

“Kita lihat di negara tertentu masih bergelut dengan kes meningkat manakala di negara kita, kita masih memperkukuh dan mengawal pintu masuk dan sempadan dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Perkeso Prihatin 10gara Selamat di Dewan Raya Felda Bukit Besar di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed

Dr Adham berkata KKM akan terus melaksanakan kaedah Pengesanan Secara Aktif menerusi Aplikasi My Sejahtera dan buku rekod pelanggan bagi mengenal pasti individu yang terlibat dalam kluster Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengurusan gimnasium, kolam renang perlu patuh SOP MKN

PUTRAJAYA, 24 JULAI: Pihak pengurusan gimnasium dan kolam renang di bawah skim pembangunan berstrata, boleh membenarkan penghuni untuk menggunakan kemudahan berkenaan, dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP), dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Perumanahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dalam kenyataan hari ini berkata, antara SOP ditetapkan adalah pihak pengurusan membuat pemeriksaan suhu badan dan merekodkan kehadiran penghuni yang menggunakan kemudahan berkenaan, melalui aplikasi MySejahtera atau secara manual.

“Pihak pengurusan juga perlu pastikan pemakaian pelitup muka oleh kakitangan bertugas pada setiap masa dan operasi gimnasium atau kolam renang, adalah secara berjadual dengan bilangan orang yang terkawal,” katanya.

Selain itu Zuraida berkata, setiap peralatan yang digunakan perlu dibersihkan dan dinyahkuman selepas penggunaan, dan mematuhi jarakan sosial sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan.

Kerajaan membenarkan gimnasium dan kolam renang untuk beroperasi semula, masing-masing bermula 15 Jun dan 1 Julai lepas, dengan mengikut SOP ditetapkan MKN.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tidak benar pakaian terpakai dijual milik mangsa Covid-19 dari China

SHAH ALAM, 29 MAC: Majlis Keselamatan Negara (MKN) menafikan dakwaan penjualan pakaian terpakai di negara ini membabitkan pakaian mangsa Covid-19 di China yang sudah meninggal dunia.

“Kenyataan meragukan dan penyebaran maklumat tidak sahih boleh mengelirukan masyarakat dan memberikan impak kepada negara.

“MKN melihat serius perkara berkenaan dan mengharapkan masyarakat turut mengambil tindakan untuk mengentikan penularan meragukan, tentukan sahih, baharu kongsi,” kata agensi itu menerusi Facebook.

Semalam, tular gambar longgokan pakaian terpakai yang dikatakan datang dari China akan dijual di negara ini yang menarik perhatian warga maya di media sosial.

‘Jangan sekali-kali beli pakaian bundle (terpakai) dari sekarang’. Demikian status hantaran yang dimuat naik sehingga menimbulkan kekeliruan masyarakat.

Sementara itu peniaga pakaian terpakai, Mohd Mazli Jamak, 35, berkata dakwaan palsu itu mampu menjejaskan pendapatan peniaga sepertinya.

“Kami terpaksa menjawab pelbagai keraguan yang timbul akibat fitnah berkenaan, sebenarnya guni pakaian terpakai yang dibawa masuk ke Malaysia datang dari Jepun, Amerika, Korea Selatan dan Australia.

“Setiap guni pakaian ini akan dibungkus mengikut tatacara operasi piawai (SOP) untuk menjaga kualiti pakaian. Ia juga bagi memastikan kain tidak terkeluar sebelum dimasukkan ke kontena,” katanya kepada SelangorKini.

Categories
NASIONAL

Mahfuz : Najib perlu letak jawatan Pengerusi Majlis Keselamatan Negara

SHAH ALAM, 27 DIS: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) dirombak sepenuhnya supaya lebih memberi tumpuan kepada soal keselamatan negara dan bukan kepada pemantauan politik sahaja.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang meminta MKN menyediakan standard operating procedure (SOP) yang baru bagi berdepan bencana alam, khususnya banjir dan kebajikan rakyat pada masa akan datang yang dilihat banyak kelemahan.

Mahfuz-1Mahfuz menegaskan, bukan hanya SOP perlu diperbaharui tetapi turut berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi MKN meletak jawatan dan menyerahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memilih mereka yang tidak mempunyai kepentingan politik.

“Kita melihat terlalu banyak kelemahan yang berlaku di dalam MKN terutama dalam soal keselamatan dan kebajikan rakyat terutama apabila menghadapi bencana banjir, baru-baru ini.

“Bagi saya, bukan hanya SOP perlu diperbaharui tetapi paling utama adalah keseluruhan jawatankuasa termasuk pengerusinya yang perlu dilantik di kalangan mereka yang tidak mempunyai kepentingan politik langsung,” katanya yang dipetik dari Harakahdaily, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menjelaskan, MKN sekarang lebih tertumpu kepada hala tuju politik Umno dan memberi tekanan kepada perjalanan Pakatan Rakyat (PR) hingga gagal bertindak dengan pantas dalam menghulurkan bantuan ketika banjir berlaku.

Mahfuz berkata, rakyat memerlukan sebuah jawatankuasa yang lebih tertumpu kepada soal kebajikan dan pantas membuat keputusan jika berlaku musibah yang tidak disangka.

“MKN hanya tertumpu kepada hala tuju politik Umno dan menimbulkan propaganda kepada politik PR supaya parti itu terus bertapak. Soal keselamatan, kebajikan rakyat serta pelan bertindak perlu jika berlaku sesuatu bencana, namun gagal ditekankan sebaik mungkin.

“Kita lihat apa yang berlaku di Kuantan dan Kemaman pada banjir lalu, berapa lama diperlukan untuk menghantar bantuan makanan serta perpindahan mangsa. Rakyat memerlukan sebuah jawatankuasa yang lebih prihatin bukan mengutamakan agenda politik, nama dan kedudukan,” katanya.

Mahfuz menggesa satu pelan tindakan baru dilaksana bagi membentuk jawatankuasa baru MKN dan SOP sebelum ini juga perlu dirombak sepenuhnya.

Katanya, perkara itu perlu diambil perhatian serius kerana kenyataan Ahmad Shabery adalah satu pengakuan jelas bahawa MKN mempunyai kelemahan dalam soal kebajikan rakyat dan keselamatan.

Categories
SELANGOR

Jumlah Mangsa Banjir Menurun Kepada 893 Orang

SHAH ALAM 17 NOV : Jumlah mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan di Selangor setakat pukul 3 petang hari ini menurun kepada 893 orang berbanding seramai 930 orang semalam.

Menurut portal banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN), mangsa banjir itu ditempatkan Dewan Genting Sanyen, Dewan Orang Ramai Bukit Changgang ,Sekolah Kebangsaan Rancangan Tanah Belia Bukit Changgang, Kuala Langat dan Dewan Bukit Tadom, Kuala Langat.

Empat pusat pemindahan masih dibuka di negeri itu dan tiada penutupan jalan atau korban banjir dilaporkan setakat ini.

Menurut MKN, orang ramai dinasihatkan selepas banjir reda untuk memastikan minum air yang telah dimasak dan mengelakkan daripada meminum air yang telah tercemar.

Mereka perlu membasuh tangan dengan sabun sebelum menyentuh makanan, semasa menyediakan makanan atau memegang barang-barang yang telah dicemari air banjir serta makan makanan yang telah dicemari air banjir.

Mereka juga perlu melupuskan makanan yang ditinggalkan di dalam bekas atau peti sejuk yang telah dicemari air banjir atau yang telah berbau dan bertukar warna.

Categories
SELANGOR

Hanya Tinggal 930 Mangsa Banjir Di Selangor

SHAH ALAM 16 NOV : Jumlah mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan di Selangor setakat pukul 4 petang hari ini menurun kepada 930 orang berbanding semalam seramai 1,357 orang.

Menurut portal banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN), daripada jumlah itu, sebanyak 58 orang di Dewan Genting Sanyen, 26 orang di Dewan Orang Ramai Bukit Changgang dan 760 orang Sekolah Kebangsaan Rancangan Tanah Belia Bukit Changgang, Kuala Langat dan 86 orang di Dewan Bukit Tadom, Kuala Langat.

Empat pusat pemindahan masih dibuka di negeri itu dan tiada penutupan jalan atau korban banjir dilaporkan setakat ini.

Bagaimanapun, Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat masih berada di paras bahaya dengan mencatatkan paras air melebihi paras bahaya pada 3.51 meter manakala Sungai Langat di Dengkil turut melepasi paras normal dengan bacaan 4.45 meter dan orang ramai yang berada di kawasan sekitar diminta berjaga-jaga.

 

Categories
SELANGOR

1,217 Mangsa Banjir Masih Ditempatkan Di Tujuh Pusat Pemindahan

SHAH ALAM,15 NOV : Seramai 1,217 mangsa banjir masih lagi  ditempatkan di tujuh pusat pemindahan banjir di seluruh Selangor.

Menurut Portal Banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN) setakat jam 5 petang, jumlah itu menurun sedikit daripada lebih 1,300 yang melibatkan tiga kawasan banjir sebelum ini pada jam 11 pagi tadi.

Mereka ditempatkan di tujuh pusat pemindahan banjir yang melibatkan daerah Kuala Langat, Sepang dan Kuala Selangor.

Menurut MKN, orang ramai dinasihatkan selepas banjir reda untuk memastikan minum air yang telah dimasak dan mengelakkan daripada meminum air yang telah tercemar.

Mereka perlu membasuh tangan dengan sabun sebelum menyentuh makanan, semasa menyediakan makanan atau memegang barang-barang yang telah dicemari air banjir serta makan makanan yang telah dicemari air banjir.

Mereka juga perlu melupuskan makanan yang ditinggalkan di dalam bekas atau peti sejuk yang telah dicemari air banjir atau yang telah berbau dan bertukar warna.