SHAH ALAM, 27 DIS: Kerja baik pulih tanah runtuh di belakang rumah teres dua tingkat Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa siap sepenuhnya awal Disember lalu.
Ketua Bahagian Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Norhayati Ahmad berkata penduduk juga sudah mulai pindah ke rumah masing-masing.
“Pemasangan besi bagi menghalang pergerakan tanah, baiki longkang dan beberapa baik pulih lain untuk mengukuhkan tebing anak Sungai Sering yang bermula 1 Jun lalu kini sudah siap sepenuhnya mengikut jadual.
“Bagaimanapun, MPAJ akan buat pemantauan berkala di kawasan tersebut dan menasihati penduduk jika terdapat sebarang pergerakan tanah agar memaklumkan segera kepada kita,” katanya ketika dihubungi.
Pada 30 Mei lalu, penghuni di tujuh rumah di taman perumahan berkenaan diarah mengosongkan kediaman masing-masing susulan kejadian tanah runtuh di belakang kediaman mereka.
Penduduk kemudian dipindahkan ke Hotel De Palma, Ampang selama tujuh hari dengan kos ditanggung sepenuhnya Kerajaan Negeri.
Selangor turut memberi bantuan sewa rumah RM1,000 selama enam bulan dan sumbangan kewangan RM500 manakala Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memperuntuk sehingga RM3,000 bagi bantuan sewa.
Pada 4 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM433,800 bagi kerja baik pulih dan pengukuhan tebing Sungai Sering oleh Jabatan Pengairan dan Saliran negeri selain kajian terperinci di kawasan berkenaan yang berdepan insiden tanah runtuh sejak beberapa tahun lalu.