Categories
PBT SELANGOR

Hulu Langat catat 861 kes denggi, kedua tertinggi di Selangor

SHAH ALAM, 26 FEB: Hulu Langat mencatatkan peningkatan kes denggi sebanyak 25.5 peratus tahun ini kepada 861 kes dalam tempoh tujuh minggu pertama tahun ini, kata yang dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Najmuddin Jemain berkata hanya 641 kes direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

“Secara keseluruhan Selangor mencatatkan 3,313 kes tetapi tiada kematian dilaporkan.

“Hulu Langat berada di kedudukan kedua tertinggi membabitkan 861 kes selepas Petaling dengan 1,093 kes.

“Daripada jumlah itu, kawasan di bawah pentadbiran MPKj merekodkan 672 kes,” katanya pada majlis mesyuarat bulanan MPKj semalam.

Beliau berkata kes denggi dalam kawasan pentadbirannya melibatkan 43 lokaliti dengan tiga kawasan panas dikesan, iaitu dua di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dan satu di DUN Semenyih.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan belanjawan negeri pada November lalu memaklumkan peruntukan RM5 juta bagi mencegah dan mengawal denggi.

Ia termasuk kaedah penerokaan teknologi baharu seperti dron untuk mengesan lokasi wabak selain membangunkan aplikasi.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPKj perintis kaedah kitar semula kenderaan buruk, atasi lambakan

SHAH ALAM, 22 NOV: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama dalam negara menggunakan kaedah kitar semula kenderaan buruk bersifat mesra alam.

Yang Dipertuanya Najmuddin Jemain berkata kaedah End Live Vehicle (ELV) digunakan bagi mengatasi lambakan kenderaan buruk sekitar daerah terbabit yang dijangka bermula 1 Disember ini.

Menurutnya kerjasama pintar dijalin bersama Car Medic Sdn Bhd yang akan menunda semua kenderaan buruk ke depoh simpanan di Bandar Baru Bangi sebelum dibawa semula ke depoh syarikat berkenaan untuk proses ELV.

“Setiap kenderaan dileraikan secara teratur mengikut kaedah SW422 (piawaian Jabatan Alam Sekitar) dan komponen yang tidak dapat dikitar semula dihantar ke Kualiti Alam atau Pentas Flora untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata setakat ini sebanyak 5,000 kenderaan buruk yang dinotis akan ditunda menggunakan trak tunda konvensional MPKj dan lori kren syarikat berkenaan.

“MPKj mempunyai tiga trak tunda konvensional. Dengan kawasan pentadbiran yang luas, hanya 40 hingga 50 kenderaan dapat ditunda dalam tempoh sebulan manakala 150 kenderaan ditetapkan kepada pihak syarikat.

“Aduan melibatkan kenderaan berat seperti bas, lori dan kenderaan perdagangan lain juga dapat ditunda tanpa melibatkan sebarang kos,” katanya.

Najmuddin juga yakin kaedah ELV menjadi pemangkin penyelesaian lambakan kenderaan buruk dan boleh diguna pakai di seluruh PBT negara.

Categories
PBT SELANGOR

Tidak culas bayar cukai taksiran, warga emas menang cabutan bertuah

KAJANG, 1 NOV: Sikap tidak culas membayar cukai taksiran setiap tahun membawa tuah kepada seorang warga emas selepas terpilih antara pemenang cabutan bertuah Kempen Bayar dan Menang Cukai Taksiran Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) 2021.

Menerusi cabutan itu bapa kepada tiga anak, R.Periasamy,67, membawa pulang sebuah basikal jenis ‘mountain bike’.

R. Periasamy, 67

“Setiap tahun saya akan hadir ke pejabat MPKj untuk membuat bayaran penuh.

“Saya terkejut apabila mendapat surat daripada MPKj mengatakan terpilih sebagai salah seorang pemenang cabutan bertuah,” katanya yang bercadang memberikan basikal itu kepada anaknya.

Dia ditemui pada majlis penyampaian hadiah kempen itu di Dewan Seri Cempaka Saujana Impian di sini hari ini yang disampaikan Yang Dipertua MPKj Najmuddin Jemain.

Sementara itu, Lee Kee Bau, 53, yang membawa pulang hadiah motosikal berkata pembayaran awal cukai taksiran membantu memudahkan MPKj membuat rancangan dan belanjawan untuk penduduk.

“Selain memudahkan urusan, pembayaran awal dan penuh juga mengelakkan daripada dikenakan denda,”katanya.

Terdahulu pada majlis itu seramai 45 pemegang akaun cukai taksiran dipilih sebagai pemenang dalam cabutan bertuah menerusi Kempen yang dilancar pada 1 Januari hingga 28 Februari.

Antara hadiah ditawarkan ialah satu unit motosikal Yamaha Y15, enam unit basikal pelbagai jenis, lapan unit televisyen android, 10 unit telefon pintar dan 20 unit barangan elektrik.

Categories
PBT SELANGOR

MPKj henti hantar cukai taksiran fizikal susulan kenaikan caj pos

KAJANG, 1 NOV: Kaedah penghantaran cukai taksiran secara fizikal kepada penduduk di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dihentikan susulan kenaikan caj pengeposan.

Yang Dipertua Najmuddin Jemain berkata caj terbabit meningkat daripada 30 sen kepada RM1.30, menyebabkan tiada pengeposan bil cukai taksiran kepada pemilik sejak 1 Januari lalu.

“Oleh demikian, mereka yang hendak mendapatkan bil secara fizikal boleh datang ke kiosk disediakan  MPKj.

“Penduduk boleh membuat semakan dan bayaran menerusi laman web rasmi MPKj melalui perkhidmatan e-Taksiran,”katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Bayar dan Menang Cukai Taksiran MPKj 2021 di Dewan Seri Cempaka Saujana Impian di sini hari ini.

Tambah Najmuddin, orang ramai juga boleh membuat bayaran di kaunter cawangan hasil MPKj di Kompleks Hentian Kajang, kaunter pandu lalu Menara MPKj atau e-Bayar (www.mpkj.gov.my).

Orang ramai juga boleh melayari laman web http://ebayar.mpkh.gov.myebayar untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Categories
PBT SELANGOR

MPKj: Kes denggi di Hulu Langat turun lebih 80 peratus

HULU LANGAT, 3 OKT: Kes demam denggi di Hulu Langat menunjukkan penurunan lebih 80 peratus setakat September tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Najmuddin Jemain berkata lokaliti panas wabak itu juga semakin berkurangan sejak awal tahun ini.

“Kes denggi di Hulu Langat menunjukkan penurunan drastik berbanding tahun sebelum yang mana daerah ini sering mencatat kes tertinggi.

“Saya percaya faktor kurangnya kes kerana tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), masyarakat duduk di rumah dan mereka lebih prihatin untuk menjaga kebersihan persekitaran masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Semenyih Prihatin Sungai di Pekan Semenyih di sini hari ini.

Pada masa sama, Najmuddin menasihatkan orang awam agar terus kekal berwaspada dan meluangkan masa kira-kira 10 minit untuk membersihkan kediaman dengan memusnahkan takungan Aedes.

“Komitmen penuh dan kerjasama semua penduduk Hulu Langat amatlah diharapkan bagi memastikan kes denggi terus berkurang,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Dua syarikat didenda RM1,900 buang sampah secara haram

SHAH ALAM, 28 SEPT: Dua syarikat perkhidmatan pengurusan sisa pepejal didenda RM1,900 oleh Mahkamah Majistret Kajang atas kesalahan membuang sampah secara haram.

Syarikat Loy Onn Sdn Bhd dan A.R Mega Win Sdn Bhd disabitkan hukuman mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil 4, Undang- Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan Dan Pelupusan Sampah-Sarap (MPKj) 2007.

Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Kamarul Izlan Sulaiman memaklumkan kedua-dua orang kena saman (OKS) mengaku bersalah ketika pendakwaan kes pada 22 September lalu.

“Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan (JPPK) MPKj membuka kertas siasatan ke atas kes pertama pada 19 November 2020 dan kes kedua pada 14 April lalu untuk pendakwaan tersebut,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pada 21 Oktober tahun lalu, JPPK mengesan sebuah lori bernombor pendaftaran WEU 6032, Syarikat Loy Onn Sdn Bhd membuang sampah haram di atas Lot 544, Batu 11, Kampung Bukit Raya, Hulu Langat.

Susulan itu, JPPK segera menyita dan mengeluarkan kompaun terhadap pemilik lori terbabit.

Pada 4 April lalu, JPPK menerima rakaman video pembuangan sampah haram di kawasan lapang Pasar Sungai Chua, Kajang yang dihantar Ahli Majlis Nor Zulaila Abd Ghani melalui aplikasi WhatsApp.

Siasatan lanjut mendapati kenderaan jenis hino bernombor pendaftaran WCJ8270 yang terlibat dalam video tersebut digunakan oleh kakitangan Syarikat A.R Mega Win Sdn. Bhd.

Pihak JPPK turut menyita dan mengeluarkan kompaun ke atas lori berkenaan pada 14 April lalu.

Categories
ADN SELANGOR

Dua kampung di Dusun Tua terima alat gotong royong sumbangan MPKj

SHAH ALAM, 25 SEPT: Dua kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua menerima peralatan gotong royong sumbangan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sempena sambutan Hari Sungai Sedunia 2021 semalam.

Wakil rakyatnya Edry Faizal Eddy Yusof berkata menerusi program River Care peralatan gunting rumput, penyepit sampah, kereta sorong, tong kitar semula, pencakar dan plastik sampah diserahkan kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Sungai Raya, Batu 9 dan Batu 16 Dusun Tua.

“Sepatutnya kita anjurkan gotong royong membersihkan sungai bersama penduduk tetapi disebabkan pandemik Covid-19, acara terpaksa ditangguhkan.

“Jadi peralatan ini boleh digunakan untuk aktiviti itu apabila kerajaan membenarkan aktiviti sosial,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata program mendapat kerjasama jabatan pengairan dan saliran daerah itu turut melepaskan bebola tanah liat atau ‘mud ball’ ke sungai sekitar Dusun Tua bagi menjaga ekosistem hidupan air.

“Harap program mendidik masyarakat untuk memulihara alam sekitar. Peralatan diserahkan itu boleh dipinjamkan kepada kampung lain yang mahu membersihkan sungai,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPKj bantu 383 penduduk daftar terima vaksin Covid-19

SHAH ALAM, 22 JUN: Seramai 383 penduduk sekitar Semenyih berjaya didaftarkan sebagai penerima vaksin Covid-19 menerusi kempen bergerak anjuran Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) pada Sabtu.

Daripada jumlah itu, seramai 155 individu mendaftar suntikan pelalian di Pasar Awam Pekan Semenyih, Kampung Pasir Baru (94) dan Kampung Sungai Machang (134).

Pegawai perhubungan awamnya berkata 80 peratus pendaftaran yang direkod pada program kerjasama pejabat tanah dan daerah (PTD) serta pejabat kesihatan daerah (PKD) Hulu Langat membabitkan warga emas.

“Rata-rata mereka menghadapi kekangan seperti tidak tahu cara daftar di aplikasi MySejahtera, terlepas waktu janji temu, tidak dapat hadir kerana pusat pemberian vaksin (PPV) dijadual jauh dari tempat tinggal dan sebilangan kecil tiada telefon pintar.

“Mereka sangat berterima kasih atas penganjuran program itu kerana memudahkan pertanyaan dan pendaftaran berkenaan vaksin,” kata Kamarul Izlan Sulaiman ketika dihubungi.

Kempen bermula jam 8.30 pagi hingga 5 petang adalah pendekatan untuk meningkatkan kesedaran penduduk berhubung kepentingan vaksin bagi melindungi diri daripada jangkitan wabak.

“Ia juga membantu akses pendaftaran secara terus kepada golongan tersisih daripada dunia digital atau mereka yang mempunyai kekangan lain,” katanya lagi.

 

Categories
PBT SELANGOR

MPKj: Peniaga diingatkan patuh waktu operasi niaga

SHAH ALAM, 15 JAN: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) memberi amaran kepada pengusaha premis perniagaan supaya tidak beroperasi melebihi had masa ditetapkan selaras penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pegawai perhubungan awamnya Kamarul Izlan Sulaiman berkata pemantauan waktu operasi perniagaan akan dijalankan Jabatan Pelesenan dan Penjaja dari semasa ke semasa.

“Setiap premis disyaratkan mematuhi setiap tatacara operasi piawai (SOP) dikeluarkan pihak berkuasa. Jika gagal berbuat demikian, pemegang lesen boleh dikenakan notis pematuhan atau amaran.

“Kita juga menitik beratkan penggunaan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) di setiap premis bagi memudahkan pengesanan kontak rapat,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menambah operasi rondaan dan pemeriksaan di kawasan tumpuan awam turut dipergiat supaya tiada individu yang mengingkari arahan sepanjang tempoh berkenaan.

Selangor dan lima lagi negeri termasuk Pulau Pinang, Johor, Sabah, Melaka dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dikenakan perintah itu selama 14 hari bermula 13 Januari susulan peningkatan kes Covid-19.

Restoran, kedai/gerai makan, kendera saji, penjaja tepi jalan, peniaga beredar, medan selera/pusat penjaja, gerai makan tepi jalan/kiosk, kedai runcit dan kedai serbaneka dibenar beroperasi dari 6 pagi hingga 8 malam.

Categories
PBT SELANGOR

Lapan sekolah di DUN Semenyih terima tong kitar semula

SHAH ALAM, 20 NOV: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyerahkan tong kitar semula kepada lapan sekolah di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih semalam.

Serahan itu bertujuan memberi kesedaran kepada guru dan pelajar supaya mengamalkan budaya kitar semula bermula di peringkat sekolah.

“Sekolah yang menerima tong berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tasik Kesuma, SK Bandar Rinching, SK Semenyih dan SK Bandar Teknologi Kajang.

“Turut menerima kemudahan sama ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari, SMK Bandar Tasik Kesuma, SMK Bandar Rinching dan SMK Engku Husain, maklum pihak berkuasa tempatan itu di Facebook.

Program dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Langat itu juga sebagai usaha melaksanakan agenda perbandaran rendah karbon dan pembangunan mampan di kawasan MPKj.

Categories
PBT SELANGOR

MPKj sita lori, jentolak buang sampah secara haram

SHAH ALAM, 26 OKT: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyita lapan lori dan sebuah jentolak kerana terbabit dalam kegiatan membuang sampah secara haram di daerah itu sepanjang bulan ini.

Yang Dipertuanya Dato’ Zul-kefli@Zulkefli Khalid berkata tindakan dibuat menerusi operasi gempur oleh Unit Alam Sekitar dari Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan MPKj di mukim Kajang, Semenyih dan Hulu Langat.

“Sebanyak 16 kompaun dikeluarkan atas kesalahan itu mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 4 dan UUK 13(1) Pembuangan, Pemungutan dan Pelupusan Sampah Sarap MPKj 2007,” katanya pada Mesyuarat Penuh MPKj yang disiarkan secara langsung di Facebook.

Beliau berkata jumlah lori yang disita berkurang berbanding beberapa bulan sebelum ini berikutan operasi ketat dijalankan pihaknya di pintu masuk tapak sampah haram.

Menurutnya MPKj sentiasa komited membanteras kegiatan pembuangan sampah secara haram bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat di kawasan berkenaan.

 

Categories
PBT SELANGOR

Hulu Langat rekod 8,534 kes denggi, enam kematian

SHAH ALAM, 26 OKT: Hulu Langat merekodkan 8,534 kes denggi dengan enam kematian sehingga minggu epid ke-42 berakhir 17 Oktober lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) berkata jumlah tersebut menunjukkan penurunan berbanding 12,472 kes atau 31.6 peratus dengan 16 kematian yang dicatatkan untuk tempoh sama tahun lalu.

“Daerah ini berada pada kedudukan kedua tertinggi daripada jumlah keseluruhan di Selangor iaitu sebanyak 40,279 dan 36 kematian,” kata Dato’ Zul-kefli@Zulkefli Khalid pada Mesyuarat Penuh MPKj Bil.8/2020 yang disiarkan secara langsung di Facebook.

Beliau menambah terdapat 46 lokaliti wabak denggi di daerah itu dengan 10 lokaliti panas membabitkan Sungai Ramal (lima), Kajang (dua), Balakong (dua) dan Semenyih (satu).