Categories
PBT SELANGOR

MPK buka satu pusat pemindahan banjir, tempatkan 19 individu

KLANG, 21 OKT: Sebuah pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Hamzah, Klang dibuka susulan banjir kilat akibat hujan lebat petang semalam.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) Elya Marini Darmin berkata seramai 19 individu daripada empat keluarga dipindahkan dan semua dijangka pulang ke kediaman masing-masing hari ini.

“Kita memilih sekolah sebagai pusat pemindahan kerana mudah buat pengasingan untuk elak jangkitan Covid-19,” katanya.

Sementara itu Elya Marini berkata pihaknya kini sedang dalam proses reka bentuk tebatan banjir di kawasan panas untuk jangka masa panjang.

“Antara kawasannya di Berkeley, Jalan Teratai, Bayu Perdana dan Taman Intan. Pasukan khas MPK sentiasa bersedia sekiranya berlaku kejadian banjir kilat,” katanya.

Semalam sebanyak 15 rumah di Jalan Mohd Yamin, Klang dinaiki air susulan limpahan air sungai akibat hujan lebat.

Selain itu, dalam kejadian banjir kilat di Persiaran Bukit Raja 2 di sini sebanyak lima kenderaan terkandas di jalan raya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Premis haram proses 200 tan sisa buangan elektrik, elektronik diserbu

SHAH ALAM, 22 SEPT: Lebih 200 tan sisa buangan elektrik dan elektronik ditemukan dalam serbuan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor ke atas sebuah premis haram memproses sisa buangan tersebut di kawasan perindustrian Sungai Puloh, Klang, dekat sini, semalam.

Pengarah JAS Selangor Nor Aziah Jaafar berkata serbuan bersepadu yang dilakukan bersama Majlis Perbandaran Klang (MPK) itu merupakan kejayaan terbesar pihaknya pada tahun ini.

Katanya serbuan hasil risikan sejak Ahad lalu menemukan kira-kira 200 beg jumbo mengandungi pelbagai jenis buangan elektrik dan elektronik seperti papan litar bercetak dan kabel wayar kuprum, dikategorikan sebagai SW 110 dan SW 422, di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, diletakkan di dalam dan luar premis.

“Semasa serbuan, beberapa pekerja warga asing sedang meleraikan komponen elektronik secara manual dan sebuah mesin penghancur turut ditemui.

Pelbagai jenis buangan elektrik dan elektronik seperti papan litar bercetak dan kabel wayar kuprum ditemui ketika serbuan. Foto Facebook Jabatan Alam Sekitar

“Tindakan serta merta iaitu menahan kelengkapan operasi premis tersebut bagi menghentikan pencemaran telah diambil di bawah peruntukan Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan awal pihaknya turut mengesyaki sisa buangan tersebut diimport dari luar negara tanpa sebarang kelulusan.

Katanya sebarang pengimportan dan pengeksportan buangan terjadual ke dalam atau ke luar Malaysia hendaklah mendapat kelulusan bertulis daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling sebagaimana ditetapkan di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

“Kertas siasatan telah dibuka untuk tindakan pendakwaan di bawah Seksyen 34B, Seksyen 19 dan Seksyen 18(1) Akta yang sama,” katanya.

– BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

MPK buka tempahan tapak Bazar Deepavali mulai hari ini

SHAH ALAM, 20 SEPT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) membuka tempahan tapak Bazar Deepavali kepada orang awam mulai hari ini.

MPK menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan orang awam berminat boleh mula membuat tempahan  sehingga 1 Oktober.

Pemohon gerai disarankan untuk mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh MPK selaras dengan tatacara operasi piawai (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa kedua.

Permohonan hanya dibuka secara atas talian melalui laman sesawang https://portal.mpklang.gov.my/permitonline/.

Sebarang pertanyaan berkaitan, boleh menghubungi Jabatan Pengurusan Pasar dan Penjaja di talian 03-33758019 sambungan 21/26 atau emel kepada [email protected].

Tahun lalu, MPK membatalkan penganjuran Bazar Deepavali di Lorong Tingkat susulan peningkatan kes Covid-19 di daerah berkenaan.

Yang Dipertuanya Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata langkah tersebut bagi membendung penularan wabak di kawasan itu yang kini diisytihar zon merah.

Categories
PBT SELANGOR

MPK serbu rumah, warga asing jalan perniagaan runcit tanpa lesen

SHAH ALAM, 6 SEPT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyerbu sebuah rumah yang dijadikan lokasi perniagaan haram oleh beberapa warga asing di Taman Indah Sungai Pinang, Jalan Kapar, semalam.

Timbalan Pengarah Penguat kuasanya Shahrul Hazri Abd Majid berkata hasil siasatan mendapati warga Myanmar itu menjalankan operasi kedai runcit tanpa lesen di kediaman terbabit.

“Kami menyita semua barang tred di bawah kesalahan Undang-Undang Kecil (UUK) 3 Pelesenan Tred Perindustrian dan Perniagaan MPK 2007.

“Kami akan memperhebatkan operasi ini dari semasa ke semasa terutama bagi membanteras perniagaan yang dijalankan oleh individu bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan.

Shahrul Hazri berkata pemilik premis juga diminta peka dengan kediaman milik mereka yang disewakan kepada warga asing bagi mengelak perkara sama berulang.

“Warga asing mengambil kesempatan dengan sikap pemilik premis yang membiarkan mereka menjalankan perniagaan walaupun sedar ia merupakan kesalahan di sisi undang-undang,” katanya.

Sebelum ini, MPK mengeluarkan 86 kompaun atas kesalahan berniaga tanpa lesen sepanjang Ogos lalu termasuk menjalankan pemeriksaan terhadap 305 premis dalam tempoh sama.

Categories
AGENSI PBT SELANGOR

CAC Pelabuhan Klang lebih selesa kepada pengunjung dan petugas

PELABUHAN KLANG, 2 OGOS: Pusat penilaian Covid-19 (CAC) Pelabuhan Klang yang baharu beroperasi Jumaat lalu memberi lebih keselesaan kepada pengunjung.

CAC yang dijalankan di Dewan Serbaguna Pelabuhan Klang itu juga menjamin keselamatan orang awam memandangkan lokasinya jauh dari kawasan penempatan dan jalan utama.

Penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) berkata walaupun kehadiran dijangka mencecah antara 2,000 hingga 3,000 individu setiap hari, namun ia tidak menimbulkan masalah terutama berkaitan parkir.

“Kawasan ini lebih luas. Orang awam senang meletakkan kenderaan malah tidak berlaku kesesakan walaupun trafik hanya dijaga empat kakitangan MPK,” kata Mohd Azri Zulkifli ketika ditemui hari ini.

Petugas kesihatan membantu menolak kerusi roda warga emas yang selesai melakukan penilaian kesihatan di Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), Dewan Serbaguna Pelabuhan Klang pada 2 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Menurutnya kawasan padang di hadapan dewan terbabit juga membolehkan petugas kesihatan mendirikan beberapa khemah bagi membuka kaunter pendaftaran.

“Ini lebih sistematik. Proses pendaftaran dan penilaian diasingkan jadi dalam satu-satu masa lebih ramai pesakit dapat diurus,” katanya.

Bermula Jumaat, CAC daerah Klang di Dewan Sukan Taman Sri Andalas dipindahkan ke dewan terbabit selepas penduduk Taman Sri Andalas membantah kerana lokasinya berhampiran kawasan perumahan.

Berikutan itu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Selangor mengenalpasti lokasi sesuai.

CAC ditubuhkan KKM pada akhir Januari lalu bagi menilai pesakit sama ada kekal dikuarantin di rumah atau perlu dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19. Jika perlu rawatan lanjut, pesakit dirujuk ke hospital.

Categories
PBT SELANGOR

MPK beri amaran tutup pasar malam gagal patuh SOP

SHAH ALAM, 9 FEB: Majlis Perbandaran Klang (MPK) tidak akan teragak-agak menutup mana-mana pasar malam yang ingkar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Yang dipertuanya berkata sehingga kini, sebanyak 34 daripada 58 pasar malam dalam kawasan MPK sudah mula beroperasi dan ada antaranya dikesan gagal patuh SOP.

“Hasil pemantauan kami, masih ada peniaga tidak memaparkan kod QR MySejahtera, menyediakan alat pengimbas suhu, buku pendaftaran dan cecair pembasmi kuman.

“Disebabkan itu, kita tidak akan teragak-agak menutup pasar malam yang tidak mematuhi syarat. Tindakan ini dilakukan untuk mencegah jangkitan Covid-19,” kata Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin kepada SelangorKini.

Beliau turut menjelaskan, masih ada peniaga yang menggunakan petak melebihi had yang dibenarkan.

“Keadaan ini menyebabkan laluan terlalu sempit sehingga tiada penjarakan sosial berikutan susun atur tapak peniaga di tengah jalan,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan operasi pasar malam dibenar bermula 5 Februari.

Pelaksanaan itu dilakukan setelah tiada kluster-kluster baharu membabitkan Covid-19 yang dihasilkan oleh aktiviti ekonomi berkenaan.

Pasar malam dibenar beroperasi jam 4 petang hingga 10 malam dengan mematuhi SOP ketat termasuk jarak antara gerai ialah satu meter, laluan keluar masuk berbeza dan kawalan yang ketat oleh anggota Rela.

 

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPK: Pasar pagi Klang dibuka semula hari ini

SHAH ALAM, 1 FEB: Pasar pagi kendalian Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang ditunda sebelum ini akibat peningkatan kes Covid-19 dibuka semula hari ini.

Pengarah komunikasi korporatnya berkata semua pasar berkenaan beroperasi dari jam 6 hingga 11 pagi mengikut ketetapan majlis.

“Pasar pagi Eng Ann, Lorong Sungai Puloh 13, Klang Utama; Lorong Sepat, Teluk Pulai dan Jalan Batu Nilam 27, Bukit Tinggi akan mula operasi hari ini.

“Tiga lagi pasar harian di Jalan Papan, Taman Chi Liung dan pangsapuri Taman Chi Liung beroperasi mulai Rabu,” kata Norfiza Mahfiz kepada SelangorKini.

Menurutnya, peniaga wajib memasang tirai lut sinar di kiri dan kanan gerai sebagai usaha mengurangkan jangkitan Covid-19.

“Mereka juga perlu menyediakan termometer untuk sukat suhu pelanggan. Ini bertujuan melatih peniaga mengamalkan disiplin kendiri selain beberapa syarat lagi,” katanya.

Mulai 18 Januari lalu, Kerajaan Selangor membenarkan pasar pagi beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 tengah hari sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun kaedah pengurusan dan kawalan setiap kawasan pasar tersebut berbeza mengikut ketetapan pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing.

Categories
PBT SELANGOR

MPK jalankan soal selidik, tangani isu anjing terbiar

SHAH ALAM, 4 DIS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menjalankan soal selidik dalam talian berhubung penambahbaikan sistem pengurusan aduan anjing terbiar dan peliharaan di kawasan pentadbirannya.

Yang Dipertua Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata kajian bermula 27 November hingga 20 Disember ini bagi mengumpul pandangan masyarakat berkaitan pemeliharaan anjing di kawasan bangunan berstrata, premis perindustrian dan tapak pembinaan.

“Soal selidik ini membantu MPK untuk mendapatkan keputusan terbaik daripada penduduk dalam mengatasi isu anjing terbiar dan peliharaan.

“Justeru, kita mengharapkan keprihatinan dan kerjasama seluruh warga Klang mengisi borang soal selidik ini sebelum tarikh tamat ditetapkan,” katanya dalam kenyataan kepada SelangorKini.

Beliau menambah dasar tersebut sudah diluluskan pada mesyuarat penuh pihak berkuasa tempatan itu sebelum ini namun kajian wajar dilaksanakan supaya perubahan sistem dapat diterima komuniti secara adil.

Difahamkan, dasar baharu itu antara lain menetapkan tiada sesiapa boleh mempunyai, memelihara, melindungi atau membenarkan dipelihara atau dilindungi seekor anjing di tingkat lebih tinggi termasuk tingkat bawah sesuatu bangunan strata.

Selain itu, tiada sesiapa boleh mempunyai, memelihara, melindungi atau membenarkan dipelihara atau dilindungi seekor anjing di mana-mana tapak pemajuan pembinaan.

Bilangan anjing yang boleh dipelihara di premis perindustrian berkeluasan kurang 1,000 meter per segi tidak melebihi dua ekor manakala empat ekor (lebih 1,000 meter per segi).

Setakat ini MPK menerima sebanyak 176 aduan gangguan anjing membabitkan enam kawasan di Klang Selatan dan Klang Utara.

Ia meliputi 62 aduan di Taman Sentosa, Pelabuhan Klang (27), Taman Sri Andalas (22), Bandar Bukit Raja (27), Rantau Panjang (21) dan Off Jalan Meru (17).

Penduduk Klang dijemput menjawab soal selidik melalui pautan https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSeU-_fKa9-P2fLRurANG2Df3Phk7ONP3uSQMdLET9uVSPRENw/viewform

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPK giat promosi e-Census, elak interaksi bersemuka

KLANG, 18 SEPT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) giat mempromosikan e-Census, kaedah bancian secara dalam talian bagi mengurangkan kadar interaksi secara bersemuka, kata yang dipertuanya.

Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata ia berikutan negara masih menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi memutuskan rantaian Covid-19.

“Kaedah ini bermula pada 7 Julai lalu dan berakhir 30 September ini, maka saya berharap individu yang sudah mengisi soal selidik melalui e-Census agar dapat menguar-uarkannya kepada orang ramai.

“Kita percaya kaedah ini disambut baik oleh semua orang kerana kita mahu mengelakkan temu bual secara bersemuka bersesuaian pelaksanaan PKPP ketika ini,” katanya selepas merasmikan program Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia di Dewan Teluk Pulai di sini semalam.

Beliau menambah kerjasama orang ramai dapat memenuhi objektif pelaksanaan Banci 2020 untuk mengumpul profil penduduk dan perumahan negara.

“Soal selidik ini akan menjadi penanda aras baharu dalam penyediaan indikator sosioekonomi seperti Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK),” katanya.

Banci 2020 membabitkan 32.7 juta penduduk Malaysia dengan 6.5 juta daripadanya di Selangor dan kos pengendalian dianggarkan RM413 juta yang digunakan bagi projek pembangunan, pembelian sistem serta operasi termasuk pembayaran kepada pembanci juga penyelia terbabit.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

60 lagi penjaja di Klang terima lesen niaga sementara

KLANG, 8 SEPT: Seramai 60 lagi penjaja di sini menerima lesen perniagaan sementara dari Majlis Perbandaran Klang (MPK), kata EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata usaha itu dilakukan selepas 35 penjaja menerima lesen yang sama pada 19 Ogos lalu, dan akan diteruskan kepada 500 lagi penjaja dari semasa ke semasa.

Katanya, pemberian lesen sementara itu bagi membantu individu menjalankan perniagaan ketika pasca Covid-19 dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ng Sze Han menjawab pertanyaan media selepas menyerahkan lesen penjaja sementara kepada mereka dalam majlis di Sungai Udang, Klang pada 8 September 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Memahami kesulitan yang dialami mereka, kita permudahkan pemberian lesen dan saya jangka lebih banyak lesen akan diberi namun kepada mereka yang berkelayakan sahaja.

“Kita akan beri keutamaan kepada penjaja yang bermaustautin di lokasi yang sama, sekiranya di bawah Klang, akan diberi menerusi MPK dan sekiranya bawah Subang, maka ia dibawah Majlis Perbandaran Subang Jaya,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan lesen perniagaan sementara kepada penjaja di Tapak Penjaja Hadapan Econmart, Sungai Bertek dan Tapak Penjaja Simbang Empat, Teluk Pulai, di sini, hari ini.

Sementara itu Yang Dipertua MPK, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata sehingga kini seramai 120 lesen perniagaan sementara sudah diberi kepada penjaja di bawah pentadbiran MPK.

“Permohonan lesen ini masih dibuka sehingga 31 Disember 2020 dan kami menggesa supaya penduduk di sini mengambil peluang berkenaan.

“Sekiranya ada yang berniaga di kawasan rumah, boleh juga buat permohonan dan kita akan semak lokasi yang dinyatakan. Tempoh kelulusan hanya mengambil masa sekurang-kurangnya tujuh hari,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPK lelong barang sitaan penjaja, lupus alat pusat hiburan

SHAH ALAM, 27 OGOS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) melelong 404 barang rampasan hasil daripada tindakan penguatkuasaan pada November 2019 hingga Februari lalu.

Yang dipertuanya berkata semua barang tersebut berjaya dilelong dalam masa satu jam dengan kutipan RM10,325.

“Barang yang dilelong merupakan barang sitaan penjaja yang keseluruhannya bernilai RM2,470,” kata Dr Ahmad Fadzil Ahmad Tajuddin selepas majlis Lelongan Awam Barang-Barang Sitaan Penjaja dan Tred Perniagaan.

Pada majlis sama berlangsung pelupusan barang-barang sitaan pusat hiburan, permainan video, snuker dan pusat siber yang bernilai RM1.3 juta.

Dr Ahmad Fadzli berkata kesemua 359 barang sitaan yang dilupuskan itu hasil daripada tindakan penguatkuasaan bagi tempoh 2017 hingga 2018.

Sitaan terhadap barang-barang itu dibuat kerana melanggar undang-undang mengikut Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Selangor 1995 (Pindaan 1998 dan 2001) dan Peraturan-peraturan (Permainan Snuker dan Video)(Kawalan dan Penyeliaan)(Selangor) 1998.

“Tindakan pelupusan yang dijalankan ini mengikut kaedah pelupusan berdasarkan justifikasi dan klasifikasi barang sitaan mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.

Categories
PBT PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Warga emas lega MPK beri lesen sementara jual rojak

KLANG, 20 OGOS: Hasrat seorang warga emas untuk berniaga secara sah tercapai selepas menerima lesen penjaja sementara pasca Covid-19 dari Majlis Perbandaran Klang (MPK) semalam.

V Muniandi,75, berkata selama 15 tahun ini beliau menjual rojak tanpa lesen sah bagaimanapun pernah memohon lesen namun ditolak ekoran lokasi perniagaannya di Taman Sentosa tidak sesuai.

“Banyak kali saya disaman tapi tetap teruskan (perniagaan) sebab dah lama meniaga dan itu juga menjadi sumber pendapatan keluarga.

“Bila diberitahu saya layak terima lesen ini, perasaan sangat gembira. Sudah lama saya tunggu lesen sah. Lepas ini saya tak perlu risau jika anggota MPK buat pemeriksaan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Lesen Penjaja Sementara Pasca Covid-19 Peringkat MPK semalam.

Seorang lagi peniaga, Rosli Mohd Sharif,33, gembira apabila tersenarai sebagai penerima lesen itu selepas empat tahun menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Menurut Rosli, sepanjang tempoh terbabit, gerainya pernah disita malah semua kelengkapan barangan niaga dirampas pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sepanjang berniaga saya tidak tenang. Risau sekiranya majlis datang. Sudah dua kali barangan gerai dirampas, disita tapi saya datang ke MPK tuntut barang sebab inilah sumber pendapatan saya.

“Bila dapat lesen hari ini (semalam), saya dah tak perlu risau. Mungkin ini juga pendorong untuk saya besarkan lagi perniagaan,” katanya.

Semalam, seramai 35 peniaga tidak berlesen sekitar Klang menjadi kumpulan pertama menerima lesen sementara sah sehingga 31 Disember ini.