Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Majlis Perbandaran Selayang sita empat lori buang sampah haram

Lori yang disita anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Selayang dalam operasi di Batu 8 1/2, Jalan Gombak pada 11 Februari 2022. Foto MPS

SHAH ALAM, 12 FEB: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyita empat lori kerana terbabit dalam aktiviti pembuangan sampah secara haram dalam dua operasi berasingan sekitar daerah itu.

Pengarah Jabatan Korporatnya, Mohamad Zin Masoad berkata tiga lori disita dalam operasi dijalankan anggota penguatkuasa MPS di Batu 8 1/2, Jalan Gombak semalam, manakala sebuah lagi di Jalan Kampung Baru Kundang Rawang kelmarin.

Menurut Mohamad Zin, pemilik lori berkenaan turut dikompaun RM1,000 mengikut Seksyen 4 dan Seksyen 21 di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap MPS (2007).

“Kesemua lori yang disita sudah dibawa ke depoh tahanan MPS dan akan ditahan selama 30 hari,” katanya kepada SelangorKini.

Justeru, beliau berkata pemantauan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa terutama di lokasi yang sering berlaku aktiviti itu atau lokaliti panas bagi membanteras kegiatan sedemikian.

Pada masa sama, beliau menjelaskan pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu yang dikesan melakukan aktiviti pencemaran alam sekitar di kawasan pentadbiran MPS.

“Bersama kita lindungi alam sekitar dan pastikan buang sampah di tempat yang dibenarkan kerana MPS amat memandang serius isu pembuangan sampah haram,” katanya.

 

Categories
ADN SELANGOR

Peniaga sekitar Taman Templer diminta mohon permit sementara, tempoh lulus singkat

SELAYANG, 21 SEPT: Peniaga sekitar Taman Templer di minta memohon permit sementara daripada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bagi memastikan operasi perniagaan berjalan lancar.

ADN Taman Templer Sany Hamzan. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Wakil rakyatnya Mohd Sany Hamzan berkata urusan permohonan permit akan dipemudah selain peniaga tidak perlu menunggu kelulusan dalam tempoh lama.

“Peniaga kena manfaatkan peluang ini supaya aktiviti perniagaan mereka lancar, sekarang ramai berniaga kerana terkesan Covid-19.

“Jadi kita minta yang tidak berlesen membuat permohonan segera kerana permit ini penting, mereka boleh berniaga dengan senang tanpa risau disaman atau sita,” katanya.

Terdahulu beliau menyertai EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han menyerahkan permit sementara kepada peniaga di Kampung Selayang Indah dan Taman Selayang Mutiara.

Sementara itu, Yang Dipertua MPS Mohd Yazid Sairi berkata pihaknya mencuba sebaik mungkin membantu peniaga kecil yang terjejas sumber pendapatan akibat Covid-19.

YDP Majlis Perbandaran Selayang Yazid Sairi. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“MPS akan kenal pasti tapak baharu untuk beri peluang kepada lebih ramai peniaga asalkan lokasi itu tidak menjejaskan keselamatan,” kata Mohd Yazid Sairi.

Terdahulu Sze Han menyerahkan 17 permit sementara kepada peniaga tidak berlesen bagi melancarkan dan memudahkan operasi mereka.

Bermula Ogos tahun lalu, PBT di Selangor memberi permit sementara kepada peniaga tidak berlesen khususnya golongan berpendatan rendah (B40) yang terjejas akibat Covid-19.

PBT perlu memastikan tapak niaga bersesuaian, menjamin keselamatan serta tidak mendatangkan kacau ganggu.

Categories
PBT SELANGOR

PBT buat rondaan kenal pasti perokok, peminum di taman awam

SHAH ALAM, 16 OGOS: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) melakukan rondaan berkala di sekitar taman awam bagi mengenal pasti individu yang ingkar arahan larangan merokok dan meminum arak.

Pegawai perhubungan awamnya berkata tindakan akan dikenakan kepada mereka yang melanggar undang-undang dan pihaknya akan mengenal pasti kawasan taman menjadi tumpuan pihak berkenaan.

“Setakat ini tiada tangkapan tetapi operasi dari semasa ke semasa akan dilakukan dan orang ramai boleh membuat aduan sekiranya terlihat salah laku itu,” kata Kamarul Izlan Sulaiman kepada SelangorKini.

Manakala timbalan pengarah Jabatan Korporat Majlis Perbandaran Selayang berkata pihaknya juga dalam peringkat pemantauan di semua taman awam sekitar.

“Kita mungkin memberi amaran terlebih dahulu sebelum tindakan saman dikenakan kepada pelaku,” kata Ahmad Fauzi Ishak.

Pada 14 Julai lalu, Selangor muncul negeri pertama di Malaysia menguatkuasakan perintah arahan larangan menghisap rokok, rokok elektronik dan meminum minuman keras di taman permainan serta rekreasi.

Jika didapati terdapat individu melakukan kesalahan, mereka boleh dikenakan kompaun sehingga RM1,000 mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Taman 2005 Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor.

Categories
PBT SELANGOR

Ganggu parkir awam, MPS sita khemah pengusaha bengkel kenderaan

SHAH ALAM, 12 OGOS: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) meroboh dan menyita khemah milik pengusaha bengkel kenderaan di Jalan SBC 3, Taman Sri Batu Caves, Gombak.

Pengarah Jabatan Korporatnya berkata tindakan dibuat pada Isnin selepas pengusaha bengkel terbabit meletakkan khemah di kawasan parkir kereta sehingga mengganggu orang ramai.

“Satu notis halangan mengikut Seksyen 46(1)(a) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta133) dikeluarkan kepada pihak berkaitan bagi mengalihkan sendiri halangan itu pada 30 Julai lalu.

“Bagaimanapun, peniaga gagal berbuat demikian dalam tempoh diberikan,” kata Mohamad Zin Masoad dalam kenyataan.

Beliau berkata peniaga diberi amaran supaya sentiasa mematuhi peraturan seperti dalam syarat lesen perniagaan dan tidak mendirikan atau meletakkan sebarang halangan di kawasan awam.

Categories
PBT SELANGOR

Belanjawan 2021, MPS galak masyarakat kemuka idea

SHAH ALAM, 6 MEI: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengajak masyarakat sekitar mengemukakan cadangan dan maklum balas menerusi kaji selidik berhubung Belanjawan MPS 2021, kata pengarah jabatan korporatnya.

Mohamad Zin Masoad berkata mereka boleh menjawab kaji selidik itu menerusi borang yang boleh didapati secara dalam talian di laman sesawang www.mps.gov.my mulai 4 hingga 18 Mei depan.

“Maklum balas dan pandangan daripada anda amat diperlukan bagi memastikan belanjawan bakal dirangka dapat disediakan secara komprehensif serta memenuhi keperluan pihak berkepentingan MPS.

“Kami berharap orang ramai mengambil peluang ini agar belanjawan ini dapat disediakan mengikut keperluan semua,” katanya dalam kenyataan.

Pihak ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman sosial media MPS, laman sesawang MPS atau hubungi Jabatan Korporat di talian 03-6126 5824.

Categories
PBT SELANGOR

MPS bantu permudah operasi PKP diperketat di Selayang Baru

SHAH ALAM, 26 APRIL: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sentiasa bersiap-sedia membantu kelancaran operasi di kawasan Selayang Baru yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula semalam, kata yang dipertuanya.

Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata pihaknya melakukan proses nyahcemar di lokasi panas lebih awal sebelum PKPD diumumkan kerajaan.

“Pada masa sama, MPS juga akan bekerjasama dengan menyediakan kenderaan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat atau agensi lain untuk proses mengagih bekalan makanan kepada penduduk selain bantuan khemah dan air ke pondok kawalan anggota penguat kuasa,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Semalam, kerajaan memutuskan enam zon di Selayang Baru, Gombak diisytiharkan sebagai kawasan PKPD hingga 3 Mei.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata berikutan pelaksanaannya, Kerajaan Negeri akan membendung penularan wabak berkenaan dengan Pejabat Daerah Gombak dan MPS menjalankan pemantauan keadaan semasa terutama aspek bekalan makanan buat penduduk.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor juga akan melaksanakan ujian Covid-19 kepada semua penduduk di zon tersebut pada kadar segera bagi tujuan mengenal pasti individu yang positif.

PKPD melibatkan enam zon iaitu:

Zon A: Jalan Indah 3 dan Jalan Indah 5A, Selayang Indah

Zon B: Jalan Indah 21, Lembah Indah, Selayang Baru

Zon C: Jalan Besar Selayang Baru, Jalan 1 dan Jalan Indah 21, Selayang Baru

Zon D: Jalan 3, 5, 7 dan 9, Selayang Baru

Zon E: Jalan 2, 4, 6 dan 8, Selayang Baru

Zon F: Blok A, B dan C, Selayang Makmur

Categories
PBT SELANGOR

MPS sedia terowong sanitasi, sinki di pasar awam

SHAH ALAM, 15 APRIL: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyediakan terowong sanitasi dan sinki mencuci tangan di setiap pintu masuk pasar awamnya.

Pihak berkuasa tempatan itu berkata terowong berkenaan yang beroperasi secara automatik dihasilkan sendiri oleh Jabatan Kejuruteraannya.

“Ia bagi memudahkan pengunjung dalam memastikan kebersihan diri dan seterusnya membantu usaha kerajaan dalam mengawal wabak Covid-19,” katanya di Facebook di hari ini.

MPS menyediakan sinki mencuci tangan untuk kemudahan pengunjung di pasar awamnya.

Melalui laman sesawang MPS, terdapat tujuh pasar awam di bawah kendaliannya iaitu Pasar Moden MPS Rawang, Pasar Moden MPS Sri Gombak serta Pasar MPS Harian Batu Arang Fasa Satu dan Dua.

Ia juga termasuk Pasar Moden MPS Bandar Country Homes, Pasar Moden MPS Taman Ehsan dan Pasar MPS Selayang Baru.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kakitangan MPS tipu pegawai LHDN dijel setahun

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Seorang kakitangan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dipenjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menipu seorang pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung pembelian sebuah rumah di Rawang.

Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu terhadap S. R. Kavitha, 35, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.

Mahkamah memerintahkan Kavitha menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 11 Sept 2019.

Wanita itu didakwa memperdaya P. Loggeta, 29, sehingga mendorongnya menyerahkan wang RM1,900 kepada tertuduh, yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada Ogos 2018 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Illya Syaheedah Mohd Razif memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal berbentuk pengajaran manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

MPS tawar RM20 kompaun letak kereta tertunggak

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 1 APR: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) hari ini mengumumkan pemberian tawaran pembayaran kompaun letak kereta hanya RM20 sepanjang April ini.

Menurut kenyataannya di Facebook, tawaran itu bertujuan mengalakkan warga Selayang menjelaskan semua kompaun yang tertunggak.

“MPS menawarkan tawaran RM20 bagi setiap keping kompaun terhadap kompaun letak kereta kepada pemilik kenderaan yang mempunyai kompaun tertunggak di Selayang. Ia bermula 1 hingga 30 April ini,” katanya.

Orang ramai juga boleh membuat semakan dan bayaran di Menara MPS atau kaunter bergerak MPS di kawasan yang terpilih.

Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi pihak MPS di talian 03-6126 5800 atau Syarikat Suasa Efektif Sdn Bhd di talian 03-6120 5889 atau layari www.mps.gov.my.

https://www.facebook.com/mpselayang/photos/pcb.2422374587794961/2422321281133625/?type=3&theater

Categories
PBT SELANGOR

Ahli Majlis baharu MPS angkat sumpah

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 27 JUL: Seramai 15 muka baru dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan telahpun mengangkat sumpah bermula semalam.

Menariknya kali ini, hampir separuh daripada lantikan baru itu terdiri daripada ahli majlis wanita.

Mereka ialah, Choy Pooi Yee, Zuraidah Abdul Majid dan Norridah A. Wahab daripada KEADILAN, sementara P. Mariammal S. Ponnusamy daripada DAP, Anfaal Saari mewakili Amanah, sementara Datin Sharifah Salmah Syed Agil dan Puspa Rizal Mohammad daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Lapan lagi muka baru ialah Saravanan Muniandy, Deveandran Selvaraju, Mohd Azahari Daud dan Mohammad Faizal Ismail daripada KEADILAN. Mewakili DAP ialah, Muhammad Najmi Samsudin dan U Chin Ong, sementara Mohd Kassim Packiry dan Wan Anwar Wan Ibrahim pula daripada Amanah.

Secara keseluruhannya seramai 21 ahli majlis MPS akan berkhidmat dari 1 Julai hingga 31 Disember 2020.

Yang Dipertuanya, Suliman Abd Rahman berkata, pihaknya berharap supaya dapat mencapai hasrat kerajaan dengan 30 peratus kuota lantikan terdiri daripada ahli majlis wanita.

Katanya, MPS juga akan mengadakan kursus bagi ahli majlis memahami peranan serta tanggungjawab majlis tersebut.

“Kami mahu supaya ahli majlis ini memahami apa fungsi MPS kepada masyarakat setempat, dan sudah tentu mengharapkan idea baru daripada ahli majlis untuk menambahbaikkan mutu perkhidmatan MPS.

“Sebagai ahli majlis, mereka juga memainkan peranan penting iaitu sebagai penasihat dalam pembuat dasar, juga bertindak sebagai penghubung antara MPS dan juga masyarakat,” katanya.

 

Categories
PBT SELANGOR

MPS kutip 77.27 juta cukai taksiran

OLEH LIZAWATI MADFA

SELAYANG, 1 NOV: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berjaya mengutip cukai taksiran semasa 2017, berjumlah RM77.27 juta, iaitu 77 peratus daripada RM100.42 juta, setakat 30 September lalu.

Yang Dipertuanya, Suliman Abd Rahman berkata, sejumlah RM5.41 juta bersamaan 60 peratus pula berjaya dikutip daripada jumlah tunggakan cukai taksiran keseluruhan RM8.98 juta.

Katanya, MPS sudahpun mengeluarkan notis (Borang E) kepada pemilik yang masih mempunyai tunggakan cukai taksiran, pada 1 September lalu.

“Kepada pemilik yang ingin menjelaskan tunggakan cukai taksiran, pemilik layak diberi pertimbangan pengurangan waran tahanan bagi bayaran secara penuh atau ansuran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Penuh MPS, di Ibu Pejabat MPS, di sini, semalam.

Suliman berkata, sebanyak 50,812 notis dikeluarkan dan tempoh tamat pada 30 September lalu.

“Tindakan waran tahanan bernilai RM100 juga sudah dilaksanakan kepada pemilik yang masih mempunyai tunggakan bermula 1 Oktober lalu,” katanya.

Maklumat mengenai kelayakan pengurangan boleh diperolehi di kaunter bayaran cukai taksiran MPS.

=EZY=

Kerajaan Selangor bantu penduduk Kg. Buloh Telor atasi tebing sungai runtuh

Sinopsis

FOKUS Untuk 07112013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT . Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Penduduk Kampung Buloh Telor kini boleh menarik nafas lega apabila runtuhan tebing sungai yang merosakkan satu-satunya jalan menghubungkan perkampungan Orang Asli itu akan dibaiki sepenuhnya tidak berapa lama lagi.

2. Kerajaan Selangor komited membantu meningkatkan taraf kehidupan penduduk Kampung Buloh Telor dengan menyediakan pelbagai prasarana untuk kemudahan penduduk kampung Orang Asli itu.

3. Tourism Selangor dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) komited untuk menjayakan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 dengan mengambil inisiatif mempromosikan tempat pelancongan dan rekreasi di sekitar Selayang.

4. Pertubuhan Sukarelawan Islam Hospital Selangor (SAHABAT) adalah pertubuhan berdaftar yang ditubuhkan bagi membantu dan memberikan sokongan untuk memenuhi keperluan sosial, kebajikan serta emosi pesakit ketika menjalani rawatan serta pemulihan di hospital.

5. Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kekal fokus dalam usaha membangun sektor infrastruktur pengangkutan awam dan pengurusan lalu lintas yang efisyen serta berintegrasi bagi memastikan kemudahan juga keselesaan penduduk sekitar.