Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PBT SELANGOR

MPSepang: Pengguna dibenar tuntut bayaran kupon parkir bergores

SEPANG, 27 FEB: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) membenarkan individu yang sudah membeli kupon parkir bergores membuat tuntutan bayaran balik.

Yang Dipertuanya Dato’ Abd Hamid Hussain berkata ia susulan pemansuhan penggunaan kupon bergores pada akhir Mac ini berikutan penguatkuasaan e-kupon menerusi aplikasi Smart Selangor Parking (SSP).

Katanya, tuntutan bayaran balik itu boleh dibuat kepada Suasa Efektif (M) Sdn Bhd (Suasa Efektif) selaku syarikat pengendali parkir tempatan.

“Kita menyambut baik langkah Kerajaan Negeri supaya kupon parkir bergores tidak lagi dilaksanakan dan digantikan dengan e-kupon menjelang 1 April ini.

“Jadi, mereka yang sudah membeli kupon tetapi masih belum digunakan boleh buat tuntutan semula,” katanya ketika ditemui pada program penanaman pokok bakau di Sungai Sepang Besar, Pantai Pasir Putih di sini hari ini.

Beliau berkata, MPSepang juga akan mempertingkatkan kempen bagi menggalakkan orang ramai beralih kepada sistem bayaran parkir digital sepenuhnya.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor mengumumkan pemansuhan kupon parkir kertas gores dan menguatkuasakan e-kupon melalui SSP yang boleh dimuat turun di App Store atau Google Play Store.

Bagaimanapun, pada 4 Januari lalu, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han memaklumkan orang ramai masih dibenar menggunakan kupon parkir bergores di seluruh PBT negeri ini sehingga akhir Mac.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 1-700-81-9612, atau e-mel [email protected]

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Waspada air pasang besar, elak aktiviti di Pantai Bagan Lalang

SHAH ALAM, 31 OKT: Orang ramai dinasihat untuk tidak melakukan sebarang aktiviti riadah atau rekreasi di Pantai Bagan Lalang, Sepang susulan fenomena air pasang besar yang diramal Rabu ini.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) berkata fenomena berkenaan menyebabkan paras air meningkat antara 5.2 hingga 5.6 meter yang boleh mendatangkan bahaya kepada orang ramai.

Menurut Zulnaidy Zulkifli sekitar kawasan Sungai Sepang, Jeti Bagan Lalang dan Jeti Sirip Biru antara lokasi dijangka bakal berlaku limpahan.

“Kita nasihat orang ramai supaya tidak mendekati kawasan pantai bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

“MPSepang sudah mengerakkan skuad pantas untuk memantau kawasan berisiko terbabit,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali memaklumkan fenonema air pasang besar dijangka melanda Kedah, Perak, Selangor dan Johor selama empat hari mulai 4 November depan.

Beliau dilaporkan berkata fenomena tersebut akan menjadi lebih buruk jika disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat secara serentak.

Kawasan terbabit di Selangor adalah Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pengunjung Pantai Bagan Lalang ingkar SOP dikompaun mulai minggu depan

SEPANG, 25 SEPT: Pengunjung Pantai Bagan Lalang, di sini, yang gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan akan dikenakan tindakan kompaun mulai minggu depan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) Datuk Abd Hamid Hussain berkata individu yang ingkar akan dikompaun sehingga RM2,000 manakala RM10,000 bagi syarikat atau perbadanan.

“Penguat kuasa sudah membuat pemantauan sejak dua minggu lalu dan setakat ini mengambil pendekatan bertolak ansur dengan memberi teguran menjaga kesihatan selain meminta pengunjung patuh SOP.

“Sekiranya masih gagal patuh arahan, tindakan lebih tegas akan dikenakan bermula minggu depan,” katanya pada sidang media SOP Bagan Lalang di sini hari ini.

Pada masa sama, Abd Hamid berkata seramai 2,968 pengunjung ke pantai peranginan itu diperiksa sejak 16 sehingga 24 September.

Selain itu katanya 243 premis turut diperiksa bagi tempoh sama dan daripada jumlah itu, 34 daripadanya dikenalpasti gagal mematuhi SOP ditetapkan.

“Jumlah keseluruhan pengunjung dan peniaga yang dikenalpasti tidak lengkap divaksin menerusi pemantauan berkenaan adalah seramai 98 orang dan mereka diarahkan untuk pulang serta-merta,” katanya.

Operasi penguatkuasaan itu dilaksanakan MPSepang dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Pejabat Kesihatan Sepang, Ibu Pejabat Polis Sepang serta Pejabat Tanah dan Galian Sepang.

Categories
PBT SELANGOR

MPSepang menang tiga anugerah hasil pelitup muka hapus bakteria

SHAH ALAM, 30 JUN: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) berjaya merangkul tiga anugerah menerusi Ekspo Teknologi Malaysia 2021: Anugerah Inovasi Antarabangsa Covid-19 pada 17 Jun lalu.

Yang Dipertuanya, Dato’ Abd Hamid Hussain berkata anugerah tersebut dimenangi selepas menghasilkan produk inovasi GF Supermask, iaitu pelitup muka teknologi baharu.

“GF Supermask ini boleh digunakan semula selepas dibasuh kerana graphene (karbon) yang ada pada pelitup muka tersebut boleh menghapus bakteria apabila ia dijemur di tempat yang panas.

“Tahniah kepada wakil pasukan MPSepang iaitu Kumpulan Krew Inovasi Sepang Selangor (KISS) dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Sepang (IKTBN) yang berusaha menghasilkan produk ini,” katanya menerusi kenyataan.

Susulan kejayaan itu, pasukan tersebut berjaya membawa pulang pingat emas, Anugerah Khas dari Persatuan Persekutuan Pencipta Antarabangsa (IFIA) dan Anugerah Terbaik dari Jabatan Perdana Menteri.

Ekspo yang diadakan kali kedua itu bertujuan mengiktiraf sektor swasta, kerajaan dan institut pengajian tinggi dalam penghasilan inovasi yang dianjurkan oleh Protemp Exhibitions and Conference Sdn Bhd dengan kerjasama beberapa agensi.

Lebih 100 penyertaan terdiri daripada penyelidik, profesor, doktor, ahli akademik mewakili pelbagai organisasi dan negara seperti Ukraine, Indonesia, United Kingdom, Poland dan Turki.

 

Categories
PBT SELANGOR

Naik taraf tapak medan selera jadi pusat hentian pelancong

CYBERJAYA, 1 APRIL: Medan Selera Pantai Bagan Lalang yang terbakar pada 15 Mac lalu akan dibangunkan semula menjadi pusat hentian pelancong, kata Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).

Datuk Abd Hamid Hussain berkata tapak medan selera itu akan dibangunkan menjadi bangunan lima tingkat dilengkapi motel mampu milik dan medan selera, lapor Berita Harian.

“MPSepang akan berbincang dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi melaksanakan projek berkenaan dalam masa terdekat,” katanya.

Abd Hamid berkata, sehingga kini pihaknya menunggu laporan siasatan kebakaran sebelum memulakan pembersihan kawasan terbabit.

“MPSepang pernah membentangkan cadangan bagi menaiktaraf medan selera itu dan sekiranya mendapat persetujuan semua pihak serta tapak itu bersesuaian untuk dibangunkan, berkemungkinan projek itu akan dimulakan pada tahun depan.

“Kawasan itu sesuai dibangunkan untuk pelancongan bagi menceriakan kawasan pantai itu kerana tapak medan selera itu satu-satunya milik MPSepang,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPSepang: Tiga lokasi baharu parkir berbayar bermula esok

SEPANG, 31 MAC: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) akan melaksanakan sistem Tempat Letak Kereta (TLK) berbayar di tiga lokasi baharu mulai esok.

Yang Dipertuanya, Datuk Abd Hamid Hussain berkata ia membabitkan kawasan Dengkil, Kota Warisan dan Taman Seroja .

“Tujuan utama pelaksanaannya bagi memastikan perancangan bandar lebih tersusun dan teratur, pada masa sama mengawal lambakan kenderaan buruk di petak-petak parkir sehingga menghalang pengguna lain.

“Sepatutnya program TLK berbayar ini dilaksanakan pada awal tahun, namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ia ditunda ke April,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Penuh MPSepang semalam.

Sementara itu, Abd Hamid berkata kes demam denggi di Sepang sejak Januari sehingga 28 Mac lalu ialah 126 kes, namun jumlah berkenaan rendah dibandingkan untuk tempoh yang sama pada tahun lalu iaitu 1,091.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak hanya meletakkan tanggungjawab menjaga kebersihan kepada jabatan kesihatan dan pihak berkuasa tempatan sahaja.

“Masyarakat perlu memandang serius dengan serangan demam denggi yang menjangkiti tanpa mengira peringkat umur, bangsa atau pun jantina,” katanya lagi.

 

Categories
PBT SELANGOR

Pengecualian caj parkir 30 minit pertama di Pekan Dengkil mulai Januari

SHAH ALAM, 4 NOV: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) meneruskan sistem tempat letak kenderaan (TLK) berbayar di Pekan Dengkil dengan menawarkan pengecualian caj kepada pengguna bagi tempoh 30 minit pertama berkuat kuasa tahun hadapan.

Yang dipertuanya Dato’ Abd Hamid Hussain berkata insentif sekali sehari diberikan kepada pengguna dengan syarat menggunakan aplikasi Smart Selangor Parking atau Flexi Parking.

“Pelaksanaan TLK berbayar bertujuan memastikan seluruh kawasan operasi lebih tersusun dan terkawal selain memudahkan penguatkuasaan.

“Ia juga bagi mengelak lambakan kenderaan buruk atau terbiar di petak parkir yang boleh menghalang pengguna lain,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas lanjut, Abd Hamid berkata pelaksanaan TLK berbayar selaras dengan Kajian Reka Bentuk Bandar Dengkil.

Sebelum ini, penduduk di pekan terbabit mempersoal tindakan berkuasa tempatan (PBT) itu yang melaksanakan sistem parkir berbayar ketika rakyat dihimpit kesusahan susulan penularan Covid-19.

 

Categories
PBT SELANGOR

Gagal patuhi SOP, tiga pasar malam di Sepang diarah tutup

SHAH ALAM, 28 OKT: Tiga pasar malam di Sepang diarah tutup sehingga 21 Oktober lalu kerana gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang, Dato’ Abd Hamid Hussain berkata ia membabitkan Kota Warisan, Dengkil Jaya dan Desa Pinggiran Putra.

“Arahan penutupan dilakukan kerana mereka gagal mendapatkan kawalan daripada anggota Rela.

“Pemantauan akan diteruskan bagi memastikan perlaksanaan SOP dipatuhi sepenuhnya dan kami mengharapkan agar pematuhan kendiri dapat dilaksanakan secara berterusan oleh peniaga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abd Hamid berkata bermula 17 hingga 25 Oktober lalu, sebanyak 15 pasar malam dan pagi diperiksa MPSepang.

“Bagi sepanjang tempoh pemantauan, 17 peniaga telah diambil tindakan kerana tidak mematuhi jadual penggiliran yang ditetapkan.

“Peniaga-peniaga tersebut telah diarah keluar serta-merta dan arahan ini telah dipatuhi oleh para peniaga,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Abd Hamid dilantik YDP MPSepang yang baharu

SEPANG, 3 SEPT: Bekas Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Dato’ Abd Hamid Hussain dilantik sebagai YDP Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan Abd Hamid itu dianggap bagai sirih pulang ke gagang berikutan beliau sebelum ini pernah bertugas di MPSepang sebagai setiausaha antara 1997 sehingga 2002.

Kemudian beliau bertugas di MPAJ sebagai pemangku YDP sebelum dilantik sebagai YDP di majlis berkenaan.

Abd Hamid, 53, berkata pelantikan itu hadir dengan tanggungjawab berat untuk mencapai misi dan visi MPSepang.

“Ketika saya menjadi setiausaha di MPSepang, pada masa itu masih giat pembinaan Lapangan Terbang Kuala Lumpur, Litar Sepang dan juga Cyberjaya. Sekarang semuanya sudah siap.

“Saya akan cuba untuk melaksanakan tanggungjawab ini. Bukan sahaja untuk mencapai visi dan misi MPSepang tetapi juga menjaga kebajikan warga kerja di semua peringkat,” katanya selepas mengangkat sumpah jawatan itu hari ini.

Abd Hamid berkata beliau mahu memperkenalkan program pihak berkuasa tempatan (PBT) Rakyat melalui medium media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram untuk meningkatkan hubungan mesra dengan masyarakat.

“Ini kerana, media sosial ini seringkali mendapat perhatian rakyat di pelbagai peringkat usia. Pada masa sama, kerjasama strategik bersama media cetak dan elektronik juga perlu kerana akan memudahkan dan mempercepatkan saluran maklumat kepada orang awam,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPSepang turun peruntukan kepada RM160 juta

SEPANG, 3 SEPT: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) terpaksa mengurangkan peruntukan kepada RM160 juta daripada RM200 juta pada tahun ini susulan pandemik Covid-19.

Yang Dipertuanya berkata pengurangan itu bagaimanapun tidak menjejaskan pembangunan yang dirancang untuk rakyat di kawasan berkenaan.

“Langkah mengurangkan bajet 2020 ini mengambil kira tekanan dihadapi penduduk yang tidak dapat melunaskan bayaran tertentu kepada majlis kerana ada antara mereka yang hilang kerja, perniagaan tidak serancak dulu, malah ada kedai yang terpaksa gulung tikar.

“Kami memahami situasi ini dan prihatin dengan kesulitan yang dihadapi. Oleh sebab itu, kita ambil keputusan kurangkan peruntukan tahunan supaya jumlah hasil dan perbelanjaan seiring,” kata Dato’ Abd Hamid Hussain.

Beliau berkata demikian selepas mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua MPSepang yang baharu menggantikan Mohd Fauzi Mohd Yatim yang berpindah ke Majlis Perbandaran Ampang Jaya dalam satu majlis di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Abd Hamid berkata sehingga 31 Ogos lepas, RM93.2 juta hasil cukai taksiran semasa berjaya dikutip.

“Bagi hasil cukai taksiran tertunggak pula MPSepang berjaya mengutip RM9.13 juta. MPSepang komited melaksanakan program bagi memastikan prestasi hasil terutama hasil cukai taksiran dapat dicapai.

“Untuk itu, kita perlu untuk lebih inovatif dalam memperluaskan sumber kewangan sedia ada dengan membangunkan inisiatif yang berpotensi memberikan pulangan hasil yang baik,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPSepang cadang tambah lokasi pusat penjaja, galak niaga secara sah

SHAH ALAM, 21 OGOS: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) bercadang menambah lokasi pusat penjaja sementara bagi membolehkan lebih ramai peniaga berniaga secara sah mulai Oktober.

Yang dipertuanya berkata lokasi tersebut dimuktamadkan bersama jabatan teknikal dalam masa terdekat dengan konsep lebih sistematik.

“Dalam tempoh terdekat kita rancang untuk tambah lokasi penjaja sekali gus memberi peluang penjaja berniaga dengan lesen sah.

“Perkara ini kita sasar untuk bentangkan bulan hadapan dalam mesyuarat jawatankuasa dan Insya-Allah awal Oktober kita mulakan,” kata Mohd Fauzi Mohd Yatim ketika dihubungi.

Sehubungan itu, Mohd Fauzi menasihatkan peniaga tidak berlesen supaya pindah segera ke tempat yang kurang berisiko kepada orang awam dan aliran trafik sebelum permohonan lesen sementara diluluskan.

Minggu lalu, MBSA memberikan permit perniagaan sementara kepada 180 peniaga kecil dan penjaja di Bandar Baru Sungai Buloh melalui program penyusunan semula peniaga dan penjaja kawasan berkenaan.

Terbaharu MPKj juga mengikut langkah MBSA dengan mengeluarkan permit sementara kepada 150 peniaga dan penjaja kecil tidak berlesen di kawasan pentadbirannya.

Categories
PBT SELANGOR

MPSepang: Pasar pagi, pasar malam mula operasi 22 Jun

SHAH ALAM, 13 JUN: Peniaga pasar pagi dan pasar malam di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dibenar mulakan perniagaan pada 22 Jun ini.

Pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan peniaga perlu mengisi borang permohonan yang disediakan di kaunter pengawal aras satu dan di Jabatan Pelesenan aras dua, MPSepang.

“Borang permohonan ini wajib dikembalikan semula ke Jabatan Pelesenan MPSepang bermula 12 Jun (semalam) bagi tujuan penyelarasan tatacara operasi piawai (SOP) perniagaan,” kata kenyataan itu.

Untuk keterangan lanjut, orang ramai boleh hubungi Jabatan Pelesenan MPSepang ditalian 03-8319 0200/0300.

Antara syarat perlu dipatuhi adalah peniaga dan pengunjung wajib mematuhi SOP ditetapkan manakala operasi pula dilaksanakan secara penggiliran yang akan dimaklumkan menerusi sistem pesanan ringkas.

Waktu operasi bagi pasar pagi dibuka dari jam 6 hingga 11 pagi manakala pasar malam (4 petang hingga 10 malam).