Categories
PBT SELANGOR

MPSepang sumbang duit raya, makanan kepada penghuni rumah kebajikan

SHAH ALAM, 9 MEI: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menyumbang duit raya dan juadah berbuka puasa kepada 200 penghuni di empat rumah kebajikan sekitar daerah itu sebagai tanda prihatin.

Penerima terdiri daripada anak yatim dan warga emas yang menghuni di Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim/Miskin Rukaiyah, Pusat Jagaan Mesra As-Salam, Pusat Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas serta Pertubuhan Kebajikan dan Bimbangan At-Taqwa.

Yang Dipertuanya Dato’ Abd Hamid Hussain berkata sumbangan itu bagi memberi peluang kepada golongan terbabit merasai suasana Ramadan dan Syawal.

“Anak yatim dan warga emas perlu disantuni dalam bulan yang mulia ini memandangkan ada dalam kalangan mereka memiliki keluarga tetapi diabaikan begitu sahaja.

“Diharapkan bantuan sebegini mampu memberi keceriaan kepada mereka untuk meraikan lebaran yang bakal tiba,” katanya kepada SelangorKini.

Menurutnya, meskipun negara dilanda pandemik Covid-19 namun program kemasyarakatan tidak pernah terhenti berikutan ramai individu yang memerlukan bantuan seperti itu.

Categories
PBT SELANGOR

Gagal patuh SOP, amaran lisan kepada 24 penjaja

SHAH ALAM, 15 FEB: Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) memberi amaran lisan kepada 24 penjaja berikutan tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) di tapak perniagaan sementara Taman Mas, Puchong.

Yang dipertuanya berkata tindakan tersebut dikenakan menerusi operasi pemantauan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan Jabatan Penguatkuasa pada Jumaat lalu.

“Kesalahan dikesan antaranya tidak menyediakan pengimbas kod QR MySejahtera dan penyukat suhu,” kata Dato’ Abd Hamid Hussain kepada SelangorKini.

Sementara itu, beliau berkata dua pasar raya yang beroperasi sekitar Jalan Mas turut diberi amaran sama kerana didapati tiada penjarakan fizikal.

Menurutnya, sebanyak 60 pemantauan dijalankan di bengkel, kedai runcit dan stesen minyak di Jalan Dagang Mas serta Jalan Industri Mas.

“Tiada sebarang tindakan dikenakan ke atas semua premis kerana mematuhi SOP,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPSepang kemas kini laluan bas Smart Selangor

SHAH ALAM, 4 FEB: Laluan Bas Smart Selangor di kawasan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dikemas kini bagi memudahkan pengguna ke destinasi tertentu yang tidak dilalui sebelum ini, kata penolong pengarah Bahagian Pengangkutan dan Pembangunan Mampannya.

Mohd Adham Mahmood berkata langkah itu dibuat selepas aduan sepanjang tahun lalu diteliti sebelum ia dilaksana pada bulan ini berdasarkan perbincangan dalam mesyuarat peringkat negeri.

“Dengan perubahan ini, masa menunggu akan lebih panjang sekitar 20 hingga 30 minit jika aliran trafik lancar dan sekiranya permintaan lebih tinggi kita akan pertimbangkan untuk menambah perkhidmatan bas pada masa akan datang,” katanya.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat menerusi aplikasi Sistem Pengangkutan Pintar Selangor membabitkan empat laluan termasuk perincian laluan, jadual ketibaan dan pelepasan serta lokasi bas.

Categories
SELANGOR

MPSp lancar Portal Idea Bajet 2020

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SEPANG, 25 MAC: Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) melancarkan Portal Idea Bajet 2020 bagi menjana idea dalam memperkasakan struktur ekonomi dan kewangan daerahnya.

Pengarah Unit Korporat dan Perhubungan Awamnya, Norrehan Amat Kasman berkata, tujuan utama portal itu adalah mengaplikasikan kemudahan teknologi sekali gus meningkatkan kecekapan sistem penyampaian.

Katanya, portal itu mengambil pendekatan ‘People Centric’ dan ‘Participang Budgeting Process’ supaya menggalakkan pembabitan masyarakat secara langsung dalam merencana program pembangunan daerah Sepang.

“Harapannya kali ini ia mendapat kerjasama daripada seluruh masyarakat Sepang dalam menyumbang lebih banyak idea untuk pembangunan kawasan setempat.

“Ia juga sebagai cara merapatkan hubungan dua hala antara MPSp dengan penduduk, selaras kehendak Kerajaan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Portal Idea Bajet 2019 turut dilancarkan pada tahun lalu dan menerima 109 idea membabitkan pelbagai jenis kategori.

Norrehan berkata, antara idea tahun lalu yang diterima adalah di bawah kategori Pembangunan Baru Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Amalan Hidup Sihat melalui Pembangunan Sukan, Riadah dan Rekreasi serta Mempromosi Tahun Melawat Sepang 2020.

Portal itu akan dibuka kepada orang awam bermula 16 April sehingga 15 Mei ini melalui pautan http://ideabajet.mpsepang.gov.my/

Categories
SELANGOR

MPSp jaya pra-pelancaran TMS2020 di Jerman

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SEPANG, 13 MAC: Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) mengadakan Pra-Pelancaran Tahun Melawat Sepang 2020 (TMS2020) di Internationale Tourismus Borse (ITB) Berlin, Jerman, baru-baru ini.

Unit Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata, dengan pelancaran itu, mereka menyasarkan pelancong dari Eropah sekali gus memperkenalkan lokasi tarikan pelancongan dan produk Industri Kecil & Sederhana (IKS) yang terdapat di daerah Sepang.

Katanya, MPSp menyasarkan kehadiran 80 peratus pelancong domestik dan 20 peratus pelancong antarabangsa.

“Sasaran kedatangan pelancong ke daerah Sepang adalah seramai lima juta pelancong dan pendapatan sebanyak RM5 bilion.

“Antara program diadakan di bawah TMS2020 adalah Cultural Festival, TMS2020 Run Tournament, River Cruise @ Sungai Sepang Besar, Local Product @ Sepang.

“Selain itu, Dragon Fruit Festival @ Sepang, Shopping Destination @ Sepang, Bagan Lalang Beach Festival, MotoGP, Malaysia Agricultural, dan Horticulture & Agro Tourism (MAHA), katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, MPSp yakin menjadi daerah pelancongan dinamik dengan adanya lapangan terbang utama negara, litar Sepang dan Cyberjaya.

“Dengan adanya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 sebagai pintu masuk utama ke Malaysia yang terletak di daerah Sepang.

“Serta Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC) dan Cyberjaya, Sepang dilihat bersedia dijelmakan sebagai daerah pelancongan dinamik,” katanya.

MPSp juga akan meningkatkan promosi menarik lebih ramai pelancong dari Singapura, China, Jepun, Korea Selatan dan Australia selain pelancong tempatan, dengan tema ‘Sepang Gerbang Negara’.

Categories
SELANGOR

Hari Bebas Kenderaan @ Cyberjaya beri manfaat masyarakat awam

OLEH HAFIZAN TAIB

CYBERJAYA, 21 NOV: Program Hari Bebas Kenderaan @ Cyberjaya anjuran Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) memberi faedah kepada masyarakat khususnya komuniti setempat dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan pentadbirannya.

Yang Dipertuanya, Muhammad Hafiz Shaari berkata, penganjuran program itu adalah usaha dilaksanakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu dan seiring dengan ‘Go Green Initiative’ digariskan Kerajaan Negeri.

“Kita mengadakannya bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti di Cyberjaya tetapi masyarakat awam kerana ia mengurangkan kesesakan trafik dan pelepasan gas karbon.

“Usaha ini secara tidak langsung akan menyuburkan gaya hidup sihat, sama ada dengan berjalan atau berlari kerana ia menggalakkan masyarakat menikmati dan meneroka taman di sini,” katanya.

Turut hadir, Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Ia mendapat sambutan dengan penyertaan lebih 1,000 peserta dalam acara ‘10,000 Banana Walk’ iaitu salah satu aktiviti dijayakan dalam program berkenaan.

Aktiviti terbabit merangkumi jarak sejauh lebih kurang 7.5 kilometer dan peserta hadir seawal jam 6 pagi bagi mendapatkan kemeja-t seterusnya memanaskan badan dengan aktiviti zumba sebelum dilepaskan secara rasmi.

Program dengan kerjasama Setia Haruman Sdn Bhd turut memberi peluang kepada peserta dan pengunjung mendapat perkhidmatan pemeriksaan pergigian percuma daripada Klinik Pergigian Daerah Sepang serta pemeriksaan kesihatan percuma (HN Health Solution dan Klinik Kesihatan Daerah Sepang).

Aktiviti lain ialah Pre-Viper Challenge 2018 di mana terdapat empat halangan disediakan untuk menguji daya tahan setiap peserta dan ia adalah acara permulaan sebelum finale pada 8 Disember ini.

Pelbagai gerai jualan juga disediakan antaranya barangan basikal dan alatan mendaki dipamerkan Cyberjaya Recreation & Cycling Club dan GO Cyberjaya Cycling Shop serta iCYCLE Malaysia untuk mempromiskan aktiviti ‘Plogging’ iaitu satu bentuk senaman membabitkan aktiviti mengutip sampah semasa berjoging.

Juice Lab turut menyediakan jus minuman segar kepada peserta untuk menyegarkan diri mereka.

Categories
SELANGOR

MPSp galak pemaju bangun pusat komersial di Cyberjaya

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 12 JAN : Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) menggalakkan pemaju swasta membangunkan pusat komersial dan penempatan hotel lima bintang di kawasan pentadbirannya.

Yang Dipertuanya, Dato’ Puasa Mohd Taib berkata, pembangunan pesat Cyberjaya kini bakal menjadi daya tarikan pelancongan dan pelaburan dari luar.

“Dengan pembinaan Cyberjaya Convention City Centre (CCC) di atas tanah berkeluasan 145 ekar yang dibangunkan MRCB (Malaysian Resources Corporation Berhad), saya yakin wujudnya keperluan itu.

“Justeru, MPSp berharap syarikat swasta mengambil peluang ini untuk membangunkan hotel-hotel bertaraf lima bintang di MPSp,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Hi-Tea dan Pelancaran Program Penjenamaan Semula Imej Bandar Dengkil di Taman Dengkil Jaya, baru-baru ini.

Untuk rekod, Cyberjaya terletak di daerah Sepang sebagai salah satu kawasan seliaan MPSp.

Bandar teknologi itu kini giat dibangunkan secara komprehansif dengan adanya pembangunan CCC di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM11 bilion.

Pembangunannya bakal memperlengkapkan transformasi Cyberjaya sebagai hab teknologi global dan bandar pintar.

Projek CCC merangkumi keluasan kawasan keseluruhan berjumlah 57 hektar dengan nilai pembangunan kasar fasa pertama dianggarkan sebanyak RM5.3 bilion.

Categories
SELANGOR

MPSp kibar Jalur Gemilang konvoi Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SEPANG, 28 OGOS: Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) menganjurkan program konvoi motorsikal ke empat pihak berkuasa tempatan negeri sempena Hari Kemerdekaan ke 60, pada 31 Ogos ini.

Yang Dipertuunya, Dato’ Mohd Puasa Md Taib berkata, program berlangsung dua hari itu melibatkan penyertaan 60 penunggang motorsikal, terdiri dalam kalangan warga tempatan.

Menariknya, penunggang turut membawa jalur gemilang bagi memeriahkan lagi sambutan kemerdekaan itu.

Katanya, penganjuran program itu juga sebagai mempromosikan Pesta Pantai, Bagan Lalang yang diadakan pada 9-10 September depan.

“Pesta Pantai ini diadakan untuk menarik lebih ramai pengunjung di Pantai Bagan Lalang selain memperkenalkan produk pelancongan yang ada di Daerah Sepang.

“Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan pada hari tersebut antaranya, Silat Pantai Antarabangsa, Bola Sepak Pantai, Larian Berhalangan, Tarik Tali dan Persembahan Artis Tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Antara selebriti akan memeriahkan program termasuklah kumpulan Sakura Band dan persembahan pemuzik tempatan.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sepang terima lapan Bas Smart Selangor, dua laluan baru

OLEH LIZAWATI MADFA

SEPANG, 4 OGOS: Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) menerima lapan bas dan dua laluan baru bagi perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor di daerah itu.

Majlis Pelancaran Laluan Bas Smart Selangor disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di Dewan Orang Ramai Taman Gemilang, di sini, hari ini.

Dengan pelancaran ini, MPSp kini memiliki tiga laluan dan 10 bas yang beroperasi di daerah itu bermula jam 6 pagi hingga 10 malam.

Pada awal tahun ini, perkhidmatan Bas Smart Selangor di MPSp mencatatkan 23,255 penumpang dan meningkat kepada 29,906 penumpang pada Julai lalu.

bas-selangorku-1Pada 18 Julai lalu, Exco Pelaburan, Perindustrian Industri Kecil Sederhana (IKS) serta Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim mengumumkan sebanyak 98 bas Smart Selangor beroperasi di 30 laluan di seluruh negeri bermula Ogos.

Katanya, ia melibatkan pertambahan 46 bas dan 16 laluan baru dengan peruntukan RM20 juta.

Selain MPSp, empat PBT lain turut menerima dua laluan baru iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

PBT lain yang menerima satu laluan adalah Majlis Perbandaran Kajang (MPK), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDHS).

MBSA turut menerima lapan bas baru, MPAJ (tujuh), MPS (enam), MPSJ, MPK dan MPKj masing-masing empat, MDKS (dua) dan MDKL, MDHS dan MDSB masing-masing menerima satu bas baru.

Categories
SELANGOR

Enggan diludah anak cucu kemudian hari, penguatkuasa tolak rasuah RM10k

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SEPANG, 2 OKT: Perbuatan menerima rasuah bukan sahaja salah di sisi agama dan undang-undang, malah perbuatan khianat itu juga mendatangkan kemudaratan kepada generasi hari ini dan akan datang.

Pegawai Penguatkuasa Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) Hairol Azman Razali tidak teragak-agak menolak mentah-mentah wang tunai RM10,000 yang ditawarkan kepadanya oleh seorang pengusaha pusat perjudian haram cyber cafe.

Tawaran itu dibuat sejurus Hairol Azman dan 60 anggota penguatkuasa lain tiba ke lokasi serbuan untuk menjalankan operasi cegah pusat judi haram cyber cafe yang dinamakan Ops Dadu di Bandar Baru Salak Tinggi, semalam.

20141001_124109“Dia jumpa saya tadi dan minta saya ke restoren berhampiran untuk serahkan RM10,000 tetapi kalau saya terima, bukan sahaja tak selamat di akhirat tetapi nafkah untuk menyara keluarga juga jadi tak berkat.

“Kami berkerja, hidup berkeluarga, Insya-Allah akan bersara di sini dan tentunya kami tak mahu generasi anak cucu kami yang membesar di sini terjebak dalam gejala seperti ini kalau kami tak tegas.

“Jangan esok anak cucu kami meludah ke muka kami dan bertanya kenapa kami tak tegas dan rasuah hingga mereka atau anak mereka terjebak,” kata Hairol Azman sejurus operasi itu selesai dijalankan.

DSC_9313Jelas beliau, perkara ini turut ditekankan kepada seluruh anggota MPSp bagi mengingatkan mereka akan tanggungjawab yang diamanahkan dan kesan buruk rasuah terhadap agama, bangsa dan negara.

Kata Hairol lagi, sikap amanah yang diterapkan dalam diri setiap anggota penguatkuasa MPSp itu menjadi salah satu faktor penting kawasan pentadbiran MPSp bebas daripada sarang pelacuran dan pusat karaoke.

DSC_9292“Ini adalah usaha berterusan di mana kami tak tunggu dah banyak baru cantas tetapi asal naik sedikit kami terus cantas awal-awal dan pusat karaoke pula, jika ada sahaja kesalahan dilakukan kami tidak teragak-agak bertindak tegas,” kata Hairol Azman lagi.

Bagaimanapun ujar Hairol Azman, pusat perjudian haram sukar untuk dibendung memandangkan sikap pengusaha yang berani mengambil risiko diserbu lantaran mampu memperolehi keuntungan berlipat kali ganda berbanding hukuman yang dikenakan.

“Pusat perjudian ini akan terus wujud selagi ada permintaan tetapi kami tetap berusaha sebaik mungkin dengan harapan orang ramai menjauhi tabiat berjudi,” kata Hairol Azman lagi.

Sementara itu ketika anggota penguatkuasa sibuk memunggah barang rampasan ketika operasi dijalankan, dua lelaki sekitar 50an dilihat sujud di atas permukaan jalan berhampiran salah satu lori penguatkuasa yang berada di situ.

Hairol memberitahu Selangor Kini, tindakan dua lelaki yang dipercayai ahli kariah surau berdekatan itu, berikutan rasa syukur dan gembira apabila melihat pusat-pusat perjudian berhampiran kediaman mereka itu diserbu.

HM

Categories
SELANGOR

Ops Dadu: 3,900 set komputer kafe judi bernilai RM200,000 dirampas MPSp

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SEPANG, 1 OKT: Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) berjaya merampas lebih 3,900 set komputer dan pelbagai perkakasan lain seperti perabot dengan anggaran nilai lebih RM200,000 dalam Ops Dadu yang dijalankan hari ini.

Operasi melibatkan 60 anggota penguatkuasa pelbagai pangkat itu menyerbu 19 cyber cafe perjudian yang beroperasi sekitar Bandar Baru Salak Tinggi.

Operasi yang diketuai Pegawai Penguatluasa MPSp, Hairol Azman Razali itu diadakan hasil sumber risikan dan maklumat orang ramai.

20141001_095414

Timbalan Yang Dipertua MPSp, Muhamad Hafiz Shaari berkata, operasi itu diadakan setiap hari bermula awal September lalu bagi memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus kegiatan ini dapat dihapuskan.

DSC_9331 Yo“Kita lancarkan di semua premis judi haram ini walaupun ada sesetengah mereka beroperasi semula.

“Bagaimanapun pihak MPSp sedar memang sukar nak hapus 100 peratus kerana wujudnya permintaan berterusan dari orang ramai dan kami harap dapat minimakan dengan menghapuskan sekurang-kurangnya sehingga 80 peratus,” kata Timbalan Yang Dipertua MPSp, Muhamad Hafiz Shaari.

MPSp sudah mengenal pasti kira-kira 60 lokasi yang menjalankan kegiatan ini di seluruh Sepang.

Jelas beliau kegiatan ini dapat dihapuskan secara menyeluruh dengan adanya kesedaran masyarakat awam agar tidak mengunjungi pusat judi yang memberi pulangan lumayan kepada pengusaha terbabit.

Muhamad Hafiz berkata lagi, sebelum ini pihak MPSp sudah mengadakan lebih 24 serbuan.

“Bagi cyber cafe yang mempunyai lesen operasi perniagaan, akan ditarik dan manakala cyber cafe yang tidak memiliki perniagaan barangan mereka dirampas,” tegas beliau.

HM

Categories
SELANGOR

Chang Khim : Kuatkuasa Undang-Undang Struktur Tambahan Tanpa Izin

teng chang kim

SEPANG 15 JULAI : Mulai tahun depan, individu yang terlibat dalam aktiviti pembuangan sampah haram, pengusaha kafe siber dan rumah urut serta pemilik bangunan yang terlibat dengan penyambungan struktur tambahan tanpa izin bakal berdepan dengan tindakan undang-undang yang lebih berat oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata langkah itu diambil secara serius oleh Kerajaan Negeri bagi membanteras kegiatan-kegiatan yang melanggari peraturan.

“Saya berikan peringatan ini kepada semua pihak bahawa tindakan tegas akan dikenakan ke atas mereka yang menyalahi undang-undang dan peraturan.

“Perkara ini sudah dibincangkan ke semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negeri dan kita sedang mengkaji undang-undang yang sesuai dengannya,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Majlis Perbandaran Sepang (MPSp), di sini.

Antara tindakan yang akan diambil terhadap aktiviti pembuangan sampah haram, pihaknya akan mendakwa individu yang terlibat dan pemilik tanah ke mahkamah selain menaikkan kompaun.

Manakala bagi kegiatan kafe siber, tindakan penyitaan harta termasuk rampasan premis akan dilakukan.

Selain itu, katanya, beliau memberikan tempoh enam bulan kepada pemilik bangunan termasuk restoran dan kilang untuk merobohkan struktur tambahan yang tidak mendapat kelulusan PBT.

“Kita berikan masa kepada mereka sehingga akhir tahun ini dan jika berdegil kita akan merobohkan struktur itu dan berdepan dengan undang-undang kerana kegiatan ini menyebabkan kerosakan jalan dan insfrastruktur lain,” katanya.

Dalam sidang Dewan Negeri Selangor baru-baru ini, Teng Chang Khim mengakui hukuman sedia ada kurang berkesan kepada pesalah menyebabkan kegiatan itu berterusan.

Oleh itu, pihaknya mahu membuat kajian terperinci untuk memberikan hukuman yang lebih keras kepada pesalah.