Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

503 penjaja sekitar Subang Jaya terima lesen sementara

PUCHONG, 11 SEPT: Seramai 503 penjaja tidak berlesen sekitar Subang Jaya menerima permit sementara bagi membolehkan perniagaan mereka diteruskan.

Pengarah Jabatan Perlesenan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Muhammad Azli Miswan berkata pemberian lesen sejak Jun lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan merupakan usaha membantu peniaga terjejas akibat penularan Covid-19.

“MPSJ juga meluluskan 12 lokasi baharu bagi menempatkan 222 penerima permit untuk berniaga pada waktu pagi, petang dan malam.

“Cara ini memastikan keselamatan penjaja terjamin. Pemberian lesen serta merta ini memudahkan urusan pemohon terutama golongan B40 yang baharu berniaga sebagai sumber pendapatan,” katanya  selepas Program Penyerahan Lesen Sementara Pasca Covid-19 dekat Taman Kinrara, di sini hari ini.

EXCO Kerajaan Tempatan, Ng Sze Han dan Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan turut hadir program berkenaan.

Sementara itu, Noraini berkata pihaknya menawarkan tapak niaga di pasar pagi dan malam kepada peniaga baharu.

“Kita dapati selepas Covid-19 ini ramai yang menjadi peniaga. Memandangkan ada tapak kosong, kita tawarkan kepada mereka.

“Permohonan dibuat di www.mpsj.gov.my. dan dipilih selepas proses temu duga. Ia terbuka kepada peniaga di kawasan MPSJ sahaja,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPSJ: Kempen ‘Jom Kibar, Terima Kasih Malaysia’ pupuk semangat patriotik

SHAH ALAM, 4 OGOS: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menganjurkan kempen ‘Jom Kibar, Terima Kasih Malaysia’ bermula pada 1 Ogos lalu sehingga 16 September 2020 sempena sambutan kemerdekaan ke-63.

Timbalan pengarah jabatan korporat dan pengurusan strategiknya berkata kempen ini bertujuan memupuk semangat patriotik dalam kalangan komuniti sekali gus menjadi medan menzahirkan ucapan terima kasih kepada negara atas kejayaan membendung penularan Covid-19.

“Program ini juga adalah sebagai dorongan kepada seluruh komuniti MPSJ meningkatkan semangat kemerdekaan serta cintakan perbandaran di samping menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu mampan dan komuniti,” kata Azfarizal Abdul Rashid dalam kenyataan.

Azfarizal berkata kempen ini dibuka kepada dua kategori utama iaitu Jawatankuasa Penduduk (JKP) MPSJ dan Individu dengan tarikh tutup penyertaan pada 26 Ogos hadapan.

Bagi kategori JKP MPSJ, hadiah tempat pertama sebanyak RM2,000, kedua RM1,500 dan ketiga RM1,000 manakala anugerah khas juri RM500.

Sebanyak 50 hadiah cabutan bertuah bagi kategori Individu disediakan yang dianggarkan bernilai hampir RM50,000 dengan mengibarkan Jalur Gemilang bersaiz 3×6 meter.

Categories
PBT SELANGOR

MSPJ anjur pertandingan bina arca, tawar hadiah RM5,000

SUBANG JAYA, 26 FEB: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menganjurkan pertandingan mereka bentuk arca dengan tema MPSJ “Art In The City” 2020 yang menawarkan hadiah wang tunai RM5,000, kata yang dipertuanya.

Noraini Roslan berkata pertandingan bermula hari ini sehingga 30 April depan dibuka kepada masyarakat dalam kawasan Subang Jaya secara percuma.

“Hasil seni itu nanti akan menjadi kebanggaan kepada anggota masyarakat dan ia dicadangkan dibina di Dataran Milenium SS 13 Subang Jaya.

“Reka bentuk itu hendaklah menzahirkan elemen perbandaran yang hidup, bersemangat, bertenaga, bersemarak, aman, hijau dan harmoni,” katanya dalam mesyuarat penuh MPSJ di sini hari ini.

Maklumat lanjut boleh layari laman sesawang Majlis Perbandaran Subang Jaya di www.mpsj.gov.my.

Categories
ADN PBT SELANGOR

Penguat kuasa MPSJ, lelaki warga emas berdamai

SHAH ALAM, 14 FEB: Isu membabitkan penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bersama seorang lelaki warga emas di USJ 9, Subang Jaya yang tular di media sosial dianggap selesai apabila mereka berdamai hari ini.

Kedua-dua individu itu bertemu di pejabat Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze pada jam 4 petang tadi ditemani Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohammad Zulkurnain Che Ali.

Michelle berkata, pihaknya berbangga kerana pertemuan berlaku secara sukarela dan salah faham mengenai kejadian itu dapat diselesaikan.

“Mereka juga bersetuju supaya kes tersebut dikira selesai secara muktamad,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, video memaparkan petugas MPSJ meminta lelaki itu tidak berkeras namun sebaliknya berlaku apabila dipukul dengan payung lalu beliau menumbuk serta menjatuhkan warga emas tersebut ke lantai hingga cedera berdarah di bahagian kepala.

Categories
PBT SELANGOR

MPSJ siasat isu video tular libat anggota penguat kuasa

SHAH ALAM, 14 FEB: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan menjalankan siasatan dalaman yang adil dan terperinci mengenai insiden anggota penguat kuasanya bersama seorang warga emas yang tular di media sosial, kata yang dipertuanya.

Noraini Roslan berkata pihaknya memandang serius kejadian itu dan tindakan awal diambil adalah tidak membenarkan anggota terbabit dari melaksanakan tugasan di luar.

“Sekiranya orang awam tidak berpuas hati atas sebarang tindakan penguatkuasaan dikenakan, mereka boleh mengemukakan aduan secara rasmi kepada MPSJ atau Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, satu rakanan video tular di media sosial kejadian seorang warga emas tidak berpuas hati kerana kenderaannya ditunda dan beliau dipercayai cuba melepaskannya daripada alat tunda serta memarahi juga memukul petugas MPSJ dengan payung menyebabkan tindakannya dibalas.

Noraini berkata bagaimanapun kesalahan trafik dan memukul pegawai bertugas adalah jelas dan kejadian ketika anggota penguat kuasa sedang menunda kenderaan yang menghalang lalu lintas di kawasan komersial USJ 9, Subang Jaya.

Categories
PBT SELANGOR

MPSJ iktiraf 15 JMB, MC main peranan aktif

SHAH ALAM, 14 JAN: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengiktiraf peranan aktif dimainkan 15 Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) dengan menganugerahkan plak dan Sijil Penarafan Bintang Pembangunan Berstrata, kata yang dipertuanya.

Noraini Roslan berkata anugerah dijalankan di Dewan Serbanguna MPSJ, USJ 7 Ahad lalu itu diberikan menerusi inisiatif penilaian penarafan bintang dilaksanakan secara berjadual setiap tahun bagi kemajuan perumahan berstrata di kawasan pentabirannya.

Katanya penilaian dibuat ke atas 150 JMB dan MC bagi tujuan itu adalah pendekatan MPSJ bagi menggalakkan penduduk menubuhkan pertubuhan berkaitan atau persatuan penduduk.

“Inisiatif untuk menggalakkan JMB dan MC berfungsi lebih aktif dan menjalankan tanggungjawab dengan cekap sekali gus mewujudkan hubungan kerjasama baik bersama MPSJ.

“Medium ini juga dilaksana bagi mengenal pasti kawasan berpotensi diberi bantuan dan bimbingan agar membangun serta maju bersama dalam menjadikan pengurusan MPSJ bertaraf antarabangsa selaras pengiktirafan bandar raya yang akan diterima,” katanya.

Majlis itu selaras dengan Dasar Komuniti Negara iaitu mewujudkan kawasan kediaman yang lebih kondusif, selamat dan harmoni dengan melibatkan kepelbagaian kaum tanpa membezakan status pemilikan.

Categories
PBT SELANGOR

Kutipan sampah percuma MPSJ, KDEBWM sempena Tahun Baharu Cina

SHAH ALAM, 5 JAN : Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dengan kerjasama KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) akan melaksanakan kutipan sampah pukal secara percuma sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

MPSJ menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, kutipan itu dilakukan selama 12 hari sehingga 24 Januari ini dan dilaksanakan hanya di dalam kawasan pentadbirannya.

Katanya, keutamaan akan diberikan kepada penduduk yang menyambut Tahun Baharu Cina dan mereka boleh membuat permohonan bermula esok.

 

“Orang ramai yang berminat boleh mengemukakan permohonan kepada Jabatan Pengurusan Alam Sekitar di talian 03-8026 7433/ 7431/ 7430/ 3182.

“Kategori sampah pukal yang akan dikutip antaranya perabot dan peralatan elektrik lama sahaja manakala sampah ubah suai rumah dan pindah rumah tidak tersenarai dalam aktiviti kutipan terbabit,” kata kenyataan itu.

Categories
PBT SELANGOR

Kempen kitar semula F&N-MPSJ kumpul 78,546.71 kg

SUBANG JAYA, 8 OKT: Sejumlah 78,546.71 kilogram (kg) bahan kitar semula berjaya dikumpulkan oleh pelajar sekolah rendah dan menengah di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sejak 1 Mac hingga 30 Ogos lalu.

Yang DiPertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, Kempen Kitar Semula bersama Fraser dan Neave Holdings Berhad (F&NHB) tahun kedua itu menyaksikan peningkatan kutipan empat kali ganda daripada 18,328.12 kg tahun lalu.

Katanya, penyertaan bilangan sekolah turut meningkat daripada 29 buah sekolah kepada 47 buah sekolah tahun ini.

“Kejayaan kempen tahun ini mencerminkan tahap kesedaran lebih tinggi terhadap pemuliharaan alam sekitar dan komitmen untuk berusaha membina masa depan yang lebih bestari.

“Kempen selama enam bulan ini diadakan untuk mendidik pelajar sekolah tentang cara sewajarnya bagi mengumpul, mengasingkan dan mengitar semula bahan buangan berasaskan konsep 5R iaitu Kurangkan (Reduce), Guna Semula (Reuse), Kitar Semula (Recycle), Fikir Semula (Rethink) dan Cipta Semula (Reinvent),” katanya.

Noraini Roslan (tengah) menyampaikan Anugerah Khas bagi jumlah aluminium paling banyak dikumpulkan kepada Sekolah Menengah Seri Serdang

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Hadiah Khas Kitar Semula F&N-MPSJ (Modul Alam Sekitar) di bawah Program Generasi Bestari (Gen S) MPSJ, di Dewan Kenanga, Ibu Pejabat MPSJ, di sini.

Hadir sama Timbalan Yang DiPertua MPSJ, Zulkarnain Che Ali dan Ketua Komunikasi dan Korporat F&NHB, Karen Tan

Sementara itu, Karen Tan berkata, kempen itu membantu memupuk sifat tanggungjawab dalam kalangan generasi muda mengiktiraf amalan kitar semula yang baik.

Katanya, usaha itu penting mengurangkan pelupusan bahan buangan dan kawasan kambusan tanah selain memulihara sumber semula jadi.

“F&N sentiasa komited meningkatkan kesedaran awam terhadap perlindungan alam sekitar terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah membina masa depan yang lebih selamat, hijau dan sihat untuk semua.

“Usaha menggalakkan pelajar untuk mula mengitar semula boleh membantu memupuk gaya hidup yang mesra alam sejak dari usia muda dan mendorong mereka prihatin terhadap bumi kita,” katanya.

Dalam kempen itu, sebanyak 30 sekolah rendah dan 17 sekolah menengah bersaing antara satu lain mengumpulkan jumlah bahan kitar semula terbanyak termasuk kertas, plastik, aluminium, kotak minuman dan e-buangan bagi merebut wang tunai berjumlah RM14,800.

Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 12 dinobatkan sebagai juara bagi kategori sekolah menengah dan Sekolah Kebangsaan Pusat Bandar Puchong (1) menjuarai bagi kategori sekolah rendah.

Categories
PBT SELANGOR

MPSJ tegas kompaun peniaga guna laluan pejalan kaki

SUBANG JAYA, 26 SEPT: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bertegas akan mengambil tindakan kompaun kepada peniaga yang meghalang laluan pejalan kaki dengan meletakkan barangan mereka di kawasan terbabit.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, peniaga yang degil akan dikenakan kompaun RM250 di bawah Seksyen 46 (1) (d) Akta 133, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 kerana halangan awam berhubung dengan tred.

“Semua kedai tahu peraturan ini namun tetap ada segelintir yang ingkar dengan arahan kami.

“Namun, jika peniaga itu tetap ingin menggunakan laluan terbabit mereka perlu meminta lesen daripada MPSJ dan ruang dibenarkan hanya kira-kira dua kaki sahaja daripada kelebaran itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Sesi Perjumpaan Awam bagi Menaik Taraf Kawasan Komersial SS15, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze.

Pada masa sama, Noraini berkata, beliau akui ramai dalam kalangan peniaga tetap berdegil walaupun tindakan pernah diambil sebelum ini.

“Justeru, saya menegaskan supaya peniaga mengikut arahan ini dalam memastikan kemudahan awam tidak dikacau ganggu dan dihormati,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 200 penduduk dan komuniti niaga sekitar SS15 terlibat pada Sesi Perjumpaan Awam bagi Menaik Taraf Kawasan Komersial SS15, di sini, hari ini.

Sesi Perjumpaan Awam itu bertujuan memberi penerangan kepada masyarakat berkenaan pelaksanaan projek menaik taraf, sekali gus mendapatkan kesepakatan serta cadangan bagi meningkatkan nilaian komersial sesebuah kawasan.

Antara kawasan yang bakal dinaik taraf adalah dua kawasan utama di SS15 iaitu di pasar moden SS15/4 dan kawasan rojak mamak SS15/4G dengan meletakkan lebih 100 unit kamera litar tertutup (CCTV) yang lebih efisien serta membina laluan pejalan kaki dengan kemudahan jubin pandu arah kepada Orang Kelainan Upaya (OKU).

Categories
PBT SELANGOR

MPSJ anjur Pertandingan Formasi Wajadiri Warisan Malaysia

SUBANG JAYA, 25 SEPT: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di Malaysia menganjurkan Pertandingan Formasi Wajadiri Warisan Malaysia pada 6 Oktober ini.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, pertandingan yang berlangsung di Stadium MPSJ Serdang Jaya bermula jam 9 pagi sehingga 7 malam itu bakal mempamerkan keindaham seni pertahankan diri dari pelbagai kaum di Malaysia.

“Setiap kaum mempunyai keistimewaan di dalam aspek kebudayaan, kesenian, makanan dan juga kesenian pertahanan diri.

“Para peserta akan didedahkan kepada semangat setia kawan dan memupuk nilai kepimpinan yang bakal diterapkan untuk masa hadapan.

“Peserta juga dapat memahami warisan dan kesenian pertahanan diri yang mempunyai pengertian mendalam mengenai perjuangan tahap kekuatan fizikal, fleksibiliti koordinasi malah dapat meningkatkan keyakinan diri dalam menempuh cabaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Penuh Majlis Perbandaran Subang Jaya Bilangan 9/2019 di Bilik Mesyuarat Kenanga, Ibu Pejabat MPSJ.

Pertandingan Formasi Wajadiri ini terdiri daripada kategori Silat Gayung Terbuka, Wushu Terbuka dan Silambam Terbuka.

Selain itu, majlis perasmian bakal diserikan dengan persembahan kebudayaan kaum Melayu, Cina dan India; persembahan seni pertahanan diri tiga bangsa serta permainan dan makanan warisan tradisional.

Sebarang pertanyaan sila hubungi Jabatan Pembangunan Masyarakat MPSJ di talian 03-5621 0060.

Categories
PBT SELANGOR

MPSJ libat komuniti rangka belanjawan 2020

SERDANG, 21 SEPT: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melibatkan komuniti setempat dalam merangka Belanjawan 2020 bertujuan memantapkan prestasi ekonomi serta meningkatkan kecekapan pentadbiran organisasi.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, pendekatan itu juga selaras dengan dasar inklusif MPSJ yang mengambil kira pandangan semua pemegang taruh.

Noraini Roslan memberi ucapan aluan ketika Dialog Bajet MPSJ 2020 di Kompleks 3K MPSJ, Seri Kembangan, pada 21 September 2019.- Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Fokus MPSJ pada tahun hadapan adalah menjadikan MPSJ sebagai sebuah bandar raya mampan berlandaskan kepada Pelan Tindakan Bandar Mampan.

“Antara pelan berkenaan ialah Pelan Tindakan Bandar Hijau, Bandar Selamat, Bandar Pintar, Bandar Sejahtera, Bandar Sihat dan Bandar Mesra Wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sesi Dialog Bajet 2020 MPSJ di Kompleks 3K, Taman Serdang Raya di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah dan Pengarah Jabatan Perbendaharaan MPSJ, Mohd Fadzil Mahat.

Turut sama kira-kira 200 peserta yang terdiri daripada ahli majlis, ahli jawatankuasa penduduk MPSJ, wakil pemaju, perbankan serta penduduk.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, pada 2020 MPSJ bercadang mengadakan belanjawan berimbang iaitu anggaran hasil adalah sama dengan anggaran perbelanjaan.

Justeru, belanjawan 2020 digubal dengan mengambil kira keperluan MPSJ berdasarkan kepada Sistem Belanjawan Yang Diubahsuai ‘Modified Budgeting System’.

Ahli majlis dan penduduk turut hadir ke Dialog Bajet MPSJ 2020 di Kompleks 3K MPSJ, Seri Kembangan, pada 21 September 2019.- Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Walaubagaimanapun, segala perbelanjaan yang dirancang adalah masih tertakluk kepada sumber hasil yang akan diperoleh pada 2020.

“Sebagai makluman, MPSJ telah memperuntukkan RM 5.4 Juta untuk penduduk menentukan projek atau program yang ingin dilaksanakan di kawasan MPSJ pada tahun depan mengikut keutamaan.

“Kesemua cadangan yang diterima daripada peserta semasa sesi dialog bajet ini nanti akan dibawa di dalam Mesyuarat Khas Bajet yang akan dihadiri oleh kesemua ahli majlis untuk dipertimbangkan bagi tujuan kesesuaian pelaksanaannya,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPSJ sumbang RM72,000 bantu 360 penerima kurang berkemampuan

SHAH ALAM, 15 SEPT: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menyerahkan RM72,000 kepada 360 penerima kurang berkemampuan pada Majlis Penyampaian Program Kesejahteraan Masyarakat Bandar (PKMB) MPSJ 2019, semalam.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, daripada jumlah itu seramai 15 penerima bagi setiap 24 Zon Jawatankuasa Penduduk (JKP) MPSJ dipilih untuk menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM200 setiap seorang.

Katanya, ia selaras dengan Pelan Strategik MPSJ 2012-2030 Di Bawah Teras 5 iaitu Pembentukan Masyarakat Madani MPSJ yang mengambil inisiatif membantu mengatasi cabaran peningkatan kos sara hidup serta menangani masalah kemiskinan bandar terutamanya golongan berpendapatan rendah (B40).

“Program ini adalah usaha murni MPSJ bagi membantu golongan kurang berkemampuan selaras dengan Konsep Kemasyarakatan Setempat dengan memastikan pengagihan bantuan secara terus kepada penerima bantuan yang benar-benar layak.

“Selain itu, ia dapat mengeratkan hubungan sesama kaum dan agama melalui program dilaksanakan hari ini (semalam),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian PKMB MPSJ 2019 di Dewan Serbaguna MPSJ USJ 7 di sini.

Pada masa sama, Noraini berkata, selain PKMB, MPSJ juga memperuntukan RM200,000 sepanjang tahun ini bagi melaksanakan program bantuan seperti “Back To School”, Jalinan Kasih “Home Help Services”, Karnival Usahawan, Lawatan Usahawan Industri Kecil Sederhana PKMB dan Kelas Kraftangan PKMB.

“MPSJ bukan sekadar memberi sumbangan sebaliknya turut menyediakan ruangan barangan seperti keperluan barangan asas, pakaian dan makanan untuk diambil secara percuma.

“Inisiatif ini dilaksanakan dengan kerjasama sepenuhnya daripada pihak Eco Free Market sebagai program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR),” katanya.

Katanya, MPSJ turut memberi peluang kepada peserta PKMB membuka gerai pameran bagi membantu meningkatkan pendapatan isi rumah dengan mengikuti kelas kemahiran antaranya Kelas Jahitan dan Kraftangan, Kelas Kulinari dan Tanaman Hidroponik dilaksanakan setiap minggu di JKP masing-masing.

“Dengan pelaksanaan program ini, MPSJ mengalu-alukan orang ramai untuk menyampaikan sumbangan melalui Tabung Amal MPSJ sebagai salah satu platform untuk membantu golongan memerlukan dan meringankan beban masyarakat sekeliling supaya tidak terus dipinggirkan dalam mengejar arus kemodenan,” katanya.