Categories
AGENDA NASIONAL

Kes Covid-19 melonjak, HARAPAN minta kerajaan pertimbang tangguh PRN Johor

SHAH ALAM, 10 FEB: Pakatan Harapan (HARAPAN) meminta kerajaan mempertimbang untuk menangguh pilihan raya negeri (PRN) Johor susulan peningkatan kes Covid-19 yang mencecah lebih 17,000 semalam.

Majlis Presiden HARAPAN dalam kenyatannya memandang serius gelombang varian Omicron tetapi bimbang penularan itu diperalat untuk tujuan politik dalam PRN berkenaan.

“Demi memastikan keadaan ini tidak diperalatkan untuk tujuan politik maka kerajaan harus pertimbang untuk menangguhkan PRN Johor,” menurut kenyataan hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu, Setiausaha DAP Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu Datuk Seri Madius Tangau.

HARAPAN juga berharap kerajaan memberi kelonggaran dengan membenarkan kempen terbuka termasuk ceramah jika kerajaan tidak berhasrat menangguhkan PRN Johor.

Kenyataan itu juga mengingatkan kerajaan supaya tidak menyalahgunakan kuasa sebaliknya fokus terhadap membina kesedaran orang ramai untuk menangani gelombang Omicron.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian bagi PRN Johor. Hari penamaan calon pula pada 26 Februari manakala pengundian awal pada 8 Mac

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PAKATAN: ‘Sangat tidak bertanggungjawab’ rampas kuasa waktu Covid-19

SHAH ALAM, 30 JULAI: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) menyifatkan cubaan rampasan kuasa di Sabah ketika negara sedang membendung penularan Covid-19 ‘sangat tidak bertanggungjawab’.

Dalam kenyataan bersama hari ini, majlis presiden menganggap tindakan tersebut seolah mengabaikan kesihatan orang ramai demi merebut pangkat dan kuasa.

PAKATAN juga menyokong penuh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal bagi menentang ‘cubaan jahat, tidak demokratik dan tidak bermoral’ untuk menjatuhkan kerajaan negeri dengan membeli wakil rakyat yang menggalakkan pembelotan oportunis.

“PAKATAN menyatakan sokongan penuh bagi menewaskan cubaan lompat parti yang sangat cela yang
dicetuskan anasir Perikatan Nasional – dengan segera membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan mengembalikan mandat kepada rakyat,” kata kenyataan itu.

Kenyataan tersebut dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Majlis presiden berkata hanya rakyat mampu menewaskan ‘rampasan kuasa jahat’ yang dilancarkan bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman dengan sokongan penuh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Mereka turut mengecam sekeras-kerasnya politik khianat serta tawaran sehingga RM32 juta seorang, bersekali dengan tawaran jawatan timbalan ketua menteri.

“Kami menyeru rakyat Sabah untuk menyokong Datuk Seri Shafie dan parti bersekutu dalam pilihan raya negeri akan datang untuk menetapkan semula politik nasional bagi mengangkat politik berprinsip serta menolak politik lompat parti dan memulihkan mandat rakyat berbanding kuasa wang ringgit,” katanya lagi.

Shafie hari ini mengumumkan pembubaran DUN Sabah bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan dalam tempoh 60 hari.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PAKATAN: Pemulangan wang 1MDB bukti salah laku, perlu diadili

SHAH ALAM, 25 JULAI: Pemulangan wang oleh Goldman Sachs berjumlah RM16.6 bilion (USD3.9 bilion) membuktikan salah laku dan penyelewengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) berkata sebanyak RM19 bilion dipulangkan setakat ini dan proses tersebut bermula selepas Barisan Nasional tumbang dalam pilihan raya umum 2018.

“Proses keadilan dalam isu 1MDB masih belum selesai dan mesti diteruskan hingga ke penghujungnya. Majlis Presiden mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat termasuk Peguam Negara pada ketika itu yang memulakan proses perundangan demi mendapatkan keadilan buat rakyat Malaysia.

“Pemulangan wang ini juga menjadi bukti wujudnya pelbagai salah laku dan kebobrokan pada zaman itu,” kata kenyataan tersebut hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Majlis Presiden berkata Kerajaan PAKATAN tidak bersetuju dengan tawaran Goldman Sachs sebelum ini untuk hanya memulangkan USD1.75 bilion, sedangkan jumlah yang dituntut ialah USD7.5 bilion.

Mereka turut menuntut semua watak utama dalam kes ‘scam’ 1MDB diadili di mahkamah termasuk individu yang dinamakan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat sebagai “MO1” dan Low Taek Jho (Jho Low) yang sehingga kini belum ditahan.

“Mereka tidak boleh dibenarkan bebas begitu sahaja,” kata kenyataan itu lagi.