Categories
AGENDA NASIONAL

HARAPAN mahu rang undang-undang anti lompat parti dibentang di Parlimen sebelum 24 Mac

KUALA LUMPUR, 10 FEB: Rang Undang-undang Anti Lompat Parti yang dibawa ke sesi libat urus bersama Ahli-Ahli Parlimen semalam, bertepatan dengan hasrat Pakatan Harapan (HARAPAN) dan kerajaan seperti termaktub dalam memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak.

Majlis Presiden HARAPAN dalam kenyataan bersama hari ini juga menyebut Perkara 2.4 MoU itu, RUU itu perlu dibentang dan diluluskan di Parlimen dalam tempoh tidak lewat dari Mesyuarat Pertama Parlimen, iaitu sebelum atau pada 24 Mac depan.

Kenyataan bersama berkenaan dibuat Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, hari ini.

Mesyuarat berkala Majlis Presiden semalam memutuskan untuk mengadakan siri jelajah penamaan calon-calon HARAPAN bagi DUN yang ditandingi sejurus selepas senarai calon dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Ini demi menyatakan kesediaan HARAPAN menawarkan saf kepimpinan yang mampu membentuk kerajaan negeri Johor yang lebih stabil dan bersedia membangunkan Johor pasca pandemik,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, mesyuarat juga bersetuju untuk HARAPAN menyediakan siri tawaran di bawah kempen ‘Johor Bangkit: Maju, Bermaruah’ yang akan diumumkan sebelum kempen pilihan raya bermula, merangkumi aspek pembangunan ekonomi, pemantapan sosial, serta reformasi politik.

MoU Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik ditandatangani antara kerajaan dan HARAPAN pada 13 Sept 2021 antara lain bersetuju melakukan transformasi melibatkan pelan pemulihan Covid-19, pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia MA63 dan penubuhan Jawatankuasa Pemandu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Majlis Presiden: HARAPAN kekalkan logo, KEADILAN guna lambang parti hadapi PRN Johor

SHAH ALAM, 26 JAN: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akanmenggunakan lambang sendiri manakala parti lain menggunakan logo Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Majlis Presiden HARAPAN menerusi kenyataan bersama memaklumkan perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat khas hari ini.

“Sungguhpun ada pandangan berbeza berkaitan dengan permintaan KEADILAN mengenai penggunaan logo, mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN bersetuju untuk menghormati hasrat KEADILAN bahawa logo HARAPAN akan digunakan dan KEADILAN pula akan menggunakan logo KEADILAN,” katanya.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu, Setiausaha DAP Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Madius Tangau.

Selain itu, Majlis Presiden juga bersetuju memuktamadkan agihan kerusi yang ditandingi KEADILAN, DAP dan Amanah.

“Majlis Presiden mengulangi pendirian akan meneruskan rundingan kerjasama dan pembahagian kerusi dengan semua parti pembangkang termasuklah Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

“Hal ini akan memperkukuh saingan dari blok pembangkang dalam mendepani PRN Johor yang akan datang,” katanya.

Kenyataan itu juga memaklumkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan menulis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar kuasa surat watikah penamaan calon HARAPAN diserahkan kepada Guan Eng dan Mohamad Sabu

Pada 22 Januari Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar bagi memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri sebelum mendapat perkenan baginda.

Beliau berkata pilihan raya negeri perlu diadakan berikutan kerajaan negeri dalam keadaan amat tidak stabil dan berada atas ihsan pembangkang.

Johor bakal menjadi negeri yang mengadakan pilihan raya negeri selepas Sabah, Melaka dan Sarawak.

Kerajaan negeri sebelum ini diterajui Barisan Nasional dengan 28 kerusi merangkumi UMNO (14 kerusi), MIC (dua), Bersatu (11) dan Pas (satu) manakala Pakatan Harapan dengan 27 kerusi iaitu DAP (14), KEADILAN (tujuh) dan Amanah (enam).

Categories
AGENDA NASIONAL

HARAPAN: Kenyataan terburu-buru pegawai kanan SPRM sokong Azam boleh ganggu proses siasatan

SHAH ALAM, 12 JAN: Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN)  memandang serius tindakan tiga pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membuat kenyataan menyokong ketua pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki.

Majlis presiden beranggapan tindakan terburu-buru menyokong ‘bos’ mereka secara terbuka menyerupai tingkah laku ahli politik dan bukannya agensi terhormat seperti SPRM.

“Sebagai penjawat awam, ketiga-tiga pegawai kanan ini patut tahu kenyataan mereka boleh ditafsir sebagai percubaan mempengaruhi proses siasatan terhadap ketua pesuruhjaya dan mengandungi tuduhan serius yang menimbulkan pelbagai tanda tanya.

“Oleh itu pegawai kanan ini perlu membuat laporan polis dan biarkan pihak polis siasat secara terbuka kerana sememangnya SPRM tidak akan menyiasat Azam secara profesional sebaliknya akan ‘membersihkan’ nama beliau,” kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu, Setiausaha DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau.

Pada 9 Januari lalu tiga timbalan ketua pesuruhjaya SPRM menyatakan pendirian menyokong Azam yang dipertikaikan ekoran kes pemilikan saham.

Timbalan ketua pesuruhjaya (operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali (pencegahan) dan Datuk Junipah Wandi (pengurusan dan profesionalisme) berpendirian serangan yang dibuat adalah bermotifkan politik dendam bagi menjatuhkan imej dan kredibiliti SPRM.

Majlis presiden juga mempersoalkan adakah siasatan dijalankan secara mendadak oleh SPRM ke atas Suruhanjaya Sekuriti (SC) juga boleh disifatkan sebagai tekanan untuk motif ‘dendam politik’?

“Kami mengulangi pendirian bahawa satu sidang khas Parlimen perlu diadakan segera untuk merunding dan membincangkan isu yang amat penting ini, sebaiknya sehari sebelum atau selepas sidang khas berhubung isu banjir pada 20 Januari nanti,” kata kenyataan itu.

Categories
AGENDA NASIONAL

HARAPAN gesa SPRM ganda usaha siasat Kertas Pandora

SHAH ALAM, 23 OKT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menggandakan usaha menyiasat Kertas Pandora membabitkan individu berpengaruh yang didakwa memiliki akaun luar pesisir.

Tindakan itu untuk menentukan sama ada duit terbabit berasal daripada sumber sah atau kegiatan yang melanggar undang-undang, tegas majlis presiden Pakatan Harapan (HARAPAN).

“Adalah mendukacitakan jika SPRM tiada keupayaan memperoleh maklumat khusus dan perlu bertanyakan ketua pembangkang sungguhpun beliau tidak memiliki sumber dan kepakaran siasatan khas,” katanya.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden UPKO Madius Tangau.

Pada 4 Oktober, Anwar mengemukakan usul supaya Dewan Rakyat membahaskan pendedahan Kertas Pandora berhubung transaksi kewangan yang menyalahi undang-undang.

Usul itu ditolak Speaker Datuk Azhar Azizan Harun dengan alasan ia tidak perlu disegerakan sehingga memaksa persidangan tersebut mengetepikan urusan yang ditetapkan aturan mesyuarat.

Dalam kenyataan sama, majlis presiden terkejut dengan keputusan kerajaan menghidupkan semula projek Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP) dan Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP).

Tegas mereka, sebanyak 88 peratus atau RM8.3 bilion daripada nilai pembinaan turut dibayar meski kemajuan kerja yang belum diaudit hanya 13 peratus setakat Mei 2018.

“Nilai pembinaan keseluruhan TSGP dan MPP ialah RM9.4 bilion tanpa mengambil kira kos tambahan pelbagai pengurusan pakar dan pengambilan tanah sebanyak RM1.7 bilion.

“Oleh itu, SPRM wajib menyiasat sepenuhnya mengapa projek yang gagal ini dimulakan semula pada 10 Februari 2021 oleh Perikatan Nasional bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin,” tegas HARAPAN.

Categories
AGENDA NASIONAL

SOP dilonggar, PAKATAN ingatkan kerajaan teguran pakar kesihatan

SHAH ALAM, 11 OGOS: Pakatan Harapan (PAKATAN) mengingatkan kerajaan berhubung teguran pakar kesihatan susulan beberapa kelonggaran untuk penerima dua dos vaksin di negeri fasa dua dan tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN), bermula semalam.

Menerusi kenyataan bersama dikeluarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng, PAKATAN berkata teguran mengenai sistem kesihatan awam di sembilan negeri dan wilayah di kedua-dua fasa PPN ini wajib dipandang serius.

“Walaupun ramai yang mungkin berasa lega adanya kelonggaran-kelonggaran ini, namun peringatan dari pakar kesihatan berkenaan sistem kesihatan awam di negeri-negeri tersebut wajib dipandang serius.

“Ini termasuklah menambah peruntukan khususnya meningkatkan jumlah katil unit rawatan rapi, pemekat oksigen dan saringan mengikut syor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu cari, uji, kesan, asing, sokong dan vaksin.

“Kerajaan juga perlu melaksanakam lain-lain keperluan di negeri fasa dua sebagai langkah bersiap sedia sekiranya berlaku gelombang baharu Covid-19,” katanya.

PAKATAN juga berpandangan tatacara operasi piawai (SOP) pengudaraan tempat-tempat kerja termasuk hotel dan restoran mesti dikuat kuasa dengan lebih tegas memandangkan Covid-19 boleh tersebar sebagai titisan atau aerosol.

“Insentif seperti geran, subsidi upah, utiliti dan sewa serta rebat cukai perlu diberi kepada syarikat-syarikat tersebut untuk menambah baik atau memperoleh peralatan seperti penapis udara berefisiensi tinggi” katanya.

Pada 8 Ogos, kerajaan mengumumkan individu yang lengkap menerima dua dos vaksin di seluruh negara dibenar merentas daerah dan negeri dalam semua fasa PPN

Namun untuk makan di restoran, aktiviti sukan, riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan di tempat terbuka serta aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama melibatkan inap desa dan hotel hanya dibenarkan di negeri dan wilayah fasa dua dan tiga PPN.

Ketika ini negeri yang berada di fasa dua adalah Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sabah. Manakala bagi fasa tiga pula Perlis, Sarawak dan Labuan.

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN desak suntikan dos pertama semua negeri dipertingkat segera

SHAH ALAM: 11 OGOS: Pakatan Harapan (PAKATAN) mendesak suntikan dos pertama Covid-19 di semua negeri dipertingkat segera sebelum Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini.

Majlis Presiden menerusi kenyataan berkata pemberian vaksin di negeri-negeri berisiko tinggi amat penting kerana ada negeri yang masih mempunyai kadar dos pertama yang rendah.

“Sabah yang merupakan negeri berisiko tinggi dalam jangkitan dan mempunyai peratus jumlah dos pertama paling rendah dalam negara.

“Memandangkan penerima dua dos vaksin masih berisiko menjadi pembawa virus Covid-19, tidak boleh diketepikan kemungkinan gelombang baharu di negeri-negeri fasa 2,” menurut kenyataan dikeluarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng, hari ini.

PAKATAN turut mendesak kerajaan membantu pemilik premis yang dibenarkan menerima pelanggan dengan memastikan pekerja mereka juga telah menerima vaksin.

“Kerajaan harus membantu premis termasuk hotel, inap desa dan restoran yang akan menerima pelanggan lengkap dua dos vaksin, untuk memastikan semua pekerja telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin,” katanya.

Selain itu, Majlis Presiden mengulangi pendirian bahawa kerajaan perlu memberi suntikan fiskal tambahan sekurang-kurangnya RM45 bilion untuk pekerja, perniagaan dan kesihatan demi menyelamatkan nyawa serta mata pencarian.

“Langkah ini membantu pemulihan sektor-sektor yang telah sangat terkesan akibat PKP menyeluruh sejak 1 Jun 2021,” katanya.

Pada 8 Ogos, perdana menteri mengumumkan individu yang lengkap menerima dua dos vaksin di seluruh negara dibenar merentas daerah dan negeri dalam semua fasa Pelan Pemulihan Negara.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kebenaran yang berkuat kuasa pada 10 Ogos itu tertakluk kepada pasangan suami isteri jarak jauh untuk bertemu dan ibu bapa untuk berjumpa anak bawah 18 tahun.

Lengkap dua dos vaksin bermaksud seseorang itu melepasi tempoh 14 hari selepas menerima suntikan Pfizer, Astrazeneca dan Sinovac manakala 28 hari bagi satu dos vaksin Johnson & Johnson dan Cansino.

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN: Tidak wajar tangguh sidang khas, segerakan usul undi percaya PM

SHAH ALAM, 5 OGOS: Pakatan Harapan (PAKATAN) menyifatkan tindakan Perdana Menteri menetapkan pembentangan usul undi tidak percaya terhadapnya pada September depan sebagai amat tidak wajar.

Majlis Presiden menerusi kenyataan berkata isu kestabilan dan keberkesanan kerajaan tidak dapat diselesaikan selagi sidang khas Parlimen ditangguh.

“Isu sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kestabilan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mesti diputuskan sekarang.

“Raja-Raja Pemerintah telah bertitah pada 16 Jun yang lalu betapa pentingnya kerajaan itu stabil dan mendapat keyakinan serta mendapat sokongan majoriti rakyat,” menurut kenyataan diwakili Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng.

Tambahnya, kerajaaan wajib menyelesaikan kemelut politik terkini kerana rakyat terus tertekan akibat masalah ekonomi dan pandemik selain jumlah kes harian dan kematian meningkat setiap hari.

“Majlis Presiden PAKATAN mengulangi pendirian kami serta semua parti dalam blok pembangkang termasuk ahli parlimen yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin iaitu mendesak diadakan sidang khas Parlimen pada Isnin, 9 Ogos untuk memutuskan isu ini.”

Semalam, Muhyiddin mendakwa masih mempunyai sokongan majoriti walau lapan ahli parlimen Umno telah menarik diri daripada gabungan kerajaan PN.

Beliau juga berkata satu usul undi percaya akan dibentangkan di Parlimen pada September bagi menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri.

Melalui cara ini, katanya, kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri dan PN kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan.

Categories
NASIONAL

Selesai perbezaan pandangan di Mesyuarat Majlis Presiden

SHAH ALAM 23 FEB: Perbezaan pendapat antara Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng diharap dibincangkan dan diselesaikan pada Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua, berkata beliau mahu isu berkenaan pemecatan dua adun KEADILAN dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Pulau Pinang diselesaikan dalam suasana sivil dan baik.

tian chua pc pkr 01“Keupayaan kami untuk mengatasi perbezaan adalah kunci untuk menyakinkan rakyat bahawa gabungan ini mampu membawa negara menuju masa depan yang lebih cerah,” kata Tian Chua dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kenyataan Mohamed Azmin itu dibuat atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden KEADILAN tanpa sebarang niat untuk campur tangan dalam pentadbiran negeri Pulau Pinang.

“Saya harap Lim memahami bahawa ini adalah bukan pendapat peribadi Mohamed Azmin tetapi adalah pendirian KEADILAN,” kata Tian Chua.

Sebelum ini Mohamed Azmin berkata Biro Politik KEADILAN membuat keputusan membantah sebarang tindakan terhadap pemecatan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR Pulau Pinang daripada memegang jawatan dalam GLC.

Mohamed Azmin berkata perbezaan pandangan berkenaan perkara itu perlu diraikan dan tidak perlu diambil tindakan.

Adun Bukit Tengah, Ong Chin Wen dan Adun Kebun Bunga, Cheah Kah Peng tidak mengundi usul berkaitan penambakan tanah yang dibentangkan Umno, November lalu dengan ditamatkan khidmat dalam syarikat GLC berkenaan.

Masing-masing Chin Wen dipecat daripada jawatan pengarahnya di Penang Invest and Island Golf Properties Bhd, anak syarikat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), manakala Kah Peng ditamatkan khidmatnya sebagai pengarah di Perbadanan Bukit Bendera.

EZY