Categories
AGENDA NASIONAL

MB, EXCO hadir Majlis Santapan Diraja sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor

SHAH ALAM, 10 DIS: Dato’ Menteri Besar dan barisan EXCO hadir Majlis Santapan Diraja sempena Hari Keputeraan ke-76 Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor di Hotel Concorde, di sini.

Berdasarkan perkongsian Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mencemar duli diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah

“Majlis Santapan Diraja DYMM Sultan Selangor, DYMM Tengku Permaisuri Selangor serta DYTM Raja Muda Selangor bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sempena Ulang Tahun Keputeraan Yang Ke-76 DYMM Tuanku. Menjunjung kasih Tuanku,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Majlis Santapan Diraja bersama perwakilan asing erat hubungan dua hala

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Majlis Santapan Tengah Hari Diraja Bersama Perwakilan Asing di Istana Negara hari ini adalah inisiatif Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meraikan dan mengenali dengan lebih dekat perwakilan asing yang bertugas di Malaysia.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata acara yang diadakan julung kali itu melibatkan kumpulan pertama perwakilan daripada 10 negara yang dipilih berdasarkan kekananan mereka atau tarikh mereka mula bertugas di Malaysia.

Katanya majlis dianjurkan setiap bulan untuk memberi ruang kepada Al-Sultan Abdullah untuk turut menyumbang kepada hubungan dua hala Malaysia dengan negara luar dan ia secara tidak langsung turut dapat membantu mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Yang lebih penting, majlis ini bertujuan untuk Seri Paduka Baginda bertukar pendapat dan pandangan berkenaan isu-isu semasa bersama para perwakilan asing, khususnya Malaysia yang akan menjadi tuan rumah Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada November 2020,” katanya di sini, hari ini.

Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis santapan bersama Duta Besar dan Pesuruhjaya Tinggi Asing ke Malaysia itu yang diadakan di Istana Negara.

Turut hadir, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan isteri serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Luar.

Pada sesi pertama hari ini, Seri Paduka beramah mesra dan bertukar-tukar pandangan bersama 10 duta besar dan pesuruhjaya tinggi asing ke Malaysia.

Mereka terdiri daripada Duta Besar Azerbaijan Prof Dr Qaley Allahverdiyev; Duta Besar Romania Constantin Volodea Nistor; Duta Besar Mexico Carlos Isauro Felix Corona; Pesuruhjaya Tinggi Brunei Datuk Paduka Alaihuddin Mohd Taha dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura Vanu Gopala Menon.

Selain itu, Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh Md Shahidul Islam; Duta Besar Algeria Nasreddine Rimouche; Duta Besar Hungary Attila Kali; Pesuruhjaya Tinggi Zambia Walubita Imakando dan Duta Besar Laos Houmdaophone Soukhaseum.

Ahmad Fadil berkata selain daripada perwakilan asing, Seri Paduka menzahirkan hasrat untuk menganjurkan Majlis Santapan Tengah Hari Diraja bulanan bersama pegawai kanan kementerian, jabatan serta agensi di bawahnya.

Sesi pertama untuk majlis itu dijadualkan pada 30 Jan, yang akan diadakan bersama pegawai kanan Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam.

Sementara itu, Allahverdiyev berkata majlis yang diadakan hari ini merupakan inisiatif baik Yang di-Pertuan Agong untuk lebih mengenali semua duta besar dan pesuruhjaya tinggi untuk menjalin hubungan lebih rapat dan bertukar-tukar pandangan.

“Saya berpendapat semua orang gembira hari ini kerana kami bukan sahaja berpeluang mengutarakan masalah kami tetapi juga pandangan kami tentang negara anda (Malaysia), tentang negara kami, hubungan dua hala kami dan masa depan kami. Ia amat bermanfaat dan kami amat menghargainya,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

-BERNAMA