Categories
AGENDA NASIONAL

Ahmad Shapawi: Lima pegawai MSN positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Lima pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) disahkan positif Covid-19, kata Ketua Pengarahnya Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Beliau berkata mereka antara 75 pegawai dan ahli MSN yang menjalani ujian saringan pada Selasa setelah tujuh atlet dan seorang pegawai sukan dikesan positif semasa proses pendaftaran semula atlet baru-baru ini.

“Tiga daripada mereka terlibat semasa proses pengendalian pendaftaran atlet berkenaan dan dua lagi berkemungkinan mendapat jangkitan dari luar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Shapawi berkata kesemua yang disahkan positif tersebut sedang menjalani kuarantin diri di rumah masing-masing dan menunggu tindakan selanjutnya daripada pihak Kementerian Kesihatan.

“Pihak MSN juga telah mengarahkan pegawai (PUS) yang berkemungkinan mempunyai kontak rapat dengan pegawai yang telah disahkan positif agar menjalani kuarantin di rumah masing-masing selama 10 hari dan akan menjalani ujian saringan pada hari kesembilan untuk pengesahan bebas dari jangkitan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

MSN: Kedudukan kontrak jurulatih Sukma Selangor diputus Mei

SHAH ALAM, 7 APRIL: Selangor akan memutuskan kedudukan kontrak jurulatih Sukan Malaysia (Sukma) pada Mei ini, kata Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN).

Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata kebanyakan mereka tamat kontrak pada Julai, namun MSN perlu meneliti semula status tersebut susulan penundaan Sukma 2020.

“Kita ada 70 jurulatih kontrak dan bagi yang tempoh perkhidmatan mereka sehingga akhir tahun, ia tidak menjadi masalah.

“Cuma kedudukan jurulatih yang kontrak mereka tamat pada Julai perlu dikaji semula sama ada disambung atau tidak,” katanya.

Adi Faizal berkata walaupun Sukma 2020 ditunda namun elaun bulanan jurulatih tetap dibayar seperti biasa.

Pada 25 Mac lalu Jawatankuasa Tertinggi Sukma sebulat suara bersetuju menangguhkan Sukma Johor 2020 ke satu tarikh yang akan
ditetapkan kemudian.

Sukma 2020 ditetapkan pada 11 hingga 19 Julai manakala Para Sukma dijadualkan pada 16 hingga 22 Ogos.

Selangor menyasarkan kutipan 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa pada kejohanan tersebut.

Categories
NASIONAL

Sukan SEA: Masalah makanan halal hanya di Manila

SEPANG, 28 NOV: Isu tiada makanan halal dibekalkan kepada kontinjen negara ke Sukan SEA ke-30 hanya berlaku di Manila, tidak dilaporkan berlaku di perkampungan sukan di Clark.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menjelaskan perkara itu berlaku disebabkan atlet yang bertanding di Manila ditempatkan di hotel berbanding perkampungan sukan di Clark.

“Masalah banyak berlaku di Manila sebab hotel. Dekat perkampungan sukan sudah tidak timbul isu makanan halal sekarang. Namun pihak hotel sudah mula mendapatkan makanan halal. Sudah ada perkembangan tapi kita masih bekalkan dengan pek makanan segera daripada Brahim’s.

“Ia cita rasa rakyat Malaysia. Mereka boleh buat pilihan mahu makan makanan yang disediakan penganjur atau Brahim’s. Kalau penganjur ada masalah berkaitan makanan halal lagi, ia sepatutnya selesai menjelang 28 November (hari ini),” katanya pada majlis penghantaran Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA ke-30 di Lapangan Terbang Antaraangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pada Rabu, media melaporkan sebanyak 500 kotak besar pek makanan Brahim’s diterbangkan khas ke Filipina bagi keperluan atlet dan pegawai negara sepanjang temasya dwitahunan itu berlangsung.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ketua kontinjen, Datuk Megat Zulkarnain Omardin serta dua timbalannya, Ahmad Faedzal Md Ramli dan Nurul Huda Abdullah menjalankan tugas mereka dengan proaktif dalam menjaga kebajikan atlet dan pegawai.

“Pegawai MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) pun ada di sana. Kita ada pelan B berkaitan masalah makanan, Brahim’s turut membantu pastikan makanan atlet dapat dijaga. Kita pantau dari dekat dan kalau masalah sebegini timbul, kita akan gunakan saluran sedia ada untuk membuat aduan.

“Iaitu menerusi ketua kontinjen. Kita telah menyuarakan keprihatinan kita tapi untuk sekarang kita hanya mahu pastikan kebajikan atlet dapat dijaga sebaik mungkin,” katanya.

Selain masalah makanan halal, difahamkan, pelbagai aduan dikemukakan termasuk tentang masalah pengangkutan serta penginapan selain kerja pembinaan yang didakwa masih dilakukan di beberapa lokasi acara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala Dunia: Lima negara ASEAN bincang kriteria bidaan

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Hasrat ASEAN menjadi tuan rumah bersama bagi Piala Dunia 2034 mungkin dapat direalisasikan.

Ini berikutan satu mesyuarat membabitkan lima negara ASEAN termasuk Malaysia akan diadakan di Kuala Lumpur bagi membincangkan keperluan dan komitmen yang ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Sukan ASEAN di Manila, Filipina pada Rabu berkata:

“Oleh kerana syarat yang ada dalam pembidaan FIFA yang memerlukan beberapa perkara diteliti, jadi pada mesyuarat itu kita telah bersetuju untuk menubuhkan satu kumpulan kerja teknikal untuk mengkaji dengan lebih mendalam khususnya berkaitan dengan dokumen pembidaan.

“Kita juga akan memanggil persatuan bola sepak negara ASEAN bersama kumpulan ini bagi membincangkan tentang bagaimana kita boleh meneruskan usaha untuk menawarkan diri sebagai tuan rumah,” katanya selepas perasmian Hari Sukan Negara (HSN) yang merupakan kemuncak sambutan Bulan Sukan Negara di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Ahmad Shapawi berkata, mesyuarat yang masih belum dimuktamadkan tarikh itu bukan bertujuan membincangkan mengenai bidaan tetapi lebih kepada membincangkan kekuatan dan potensi yang ada pada negara ASEAN yang boleh ditawarkan untuk meyakinkan pihak FIFA.

Untuk rekod, pada Jun lalu, Pengerusi ASEAN, Jen Prayuth Chan o-cha memaklumkan bahawa kesemua 10 negara anggota ASEAN bersetuju untuk membangunkan satu usaha bersama bagi membida sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034.

Idea rantau ASEAN untuk menjadi tuan rumah temasya bola sepak terbesar di dunia itu dicadangkan kepada pemimpin negara sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-34, di Bangkok, Thailand.

Lima negara ASEAN itu ialah Malaysia, Vietnam, Thailand, Singapura dan Indonesia.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL SUKANKINI

65 pencalonan diterima untuk Anugerah Sukan Negara 2018

PUTRAJAYA, 16 APR: Barisan atlet yang cemerlang pada dua temasya sukan tahun lepas mendominasi pencalonan untuk Anugerah Sukan Negara 2018 (ASN 2018) yang dijadual berlangsung pada 23 April ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan untuk berangkat ke majlis diadakan sejak 1966 itu bagi mengiktiraf kejayaan cemerlang sepanjang tahun yang dicapai atlet, jurulatih, pegawai dan pertubuhan sukan tanah air.

“Sebanyak 65 pencalonan diterima daripada persatuan sukan kebangsaan (NSA), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

“Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan hari ini menyenarai pendek calon-calon dan memilih pemenang bagi setiap kategori dipertandingkan,” kata Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan ASN 2018 yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Dr Waitchalla R.R.V.Suppiah di sini hari ini.

“Antara nama untuk dipertimbangkan adalah Mohd Azizulhasni Awang (berbasikal), Rafiq Ismail (boling), Mohd Syahrul Azman Mahen (bina badan), Latif Romly (olahraga para), Muhammad Ziyad (olahraga para) dan Mohamad Ridzuan Puzi (olahraga para).

“Bagi calon wanita pula, kita ada S. Sivasanggari (skuasy), Siti Zalina (boling padang), Siti Safiah Amirah (boling), dan lain-lain lagi,” kata Ahmad Shapawi.

Beliau berkata calon disenarai pendek itu adalah bagi memudahkan kerja pemilihan dibuat, namun beliau enggan menamakan calon yang disenarai pendek dalam 11 kategori dipertandingkan.

“Ini tidak bermakna calon lain yang dicalonkan untuk kategori berkenaan tidak mempunyai pencapaian terbaik. Kita tidak mahu timbul rasa tidak puas hati dan tidak dihargai,” katanya.

Menurut beliau, asas pemilihan untuk ASN 2018 menjurus kepada kecemerlangan atlet pada Sukan Asia dan Sukan Komanwel serta kejohanan-kejohanan dunia sepanjang 2018.

Majlis berkenaan akan turut disiarkan secara langsung menerusi RTM bermula 9.30 malam.

Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan serta Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan, masing-masing akan menerima sebuah piala, piala iringan, sijil dan hadiah wang tunai RM20,000.

Selain itu, anugerah juga akan diberikan kepada pasukan lelaki dan wanita kebangsaan, jurulatih lelaki dan wanita, anugerah tokoh sukan, anugerah kepimpinan sukan dan anugerah khas.

Anugerah itu juga sebagai dorongan dan motivasi kepada penggiat sukan negara untuk sentiasa mempertingkatkan mutu dan prestasi mereka dari semasa ke semasa.

Anugerah berprestij itu sentiasa menjadi kebanggaan bukan sahaja kepada pemenang bahkan kepada seluruh warga sukan negara.

SUMBER: BERNAMA

FOTO EHSAN: MAJLIS SUKAN NEGARA (MSN)

Categories
NASIONAL

Kejayaan luar biasa di Nanjing cermin kejayaan Olimpik 2016

NANJING, 29 OGOS: Kejayaan luar biasa kontinjen negara membawa pulang satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa di Temasya Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014) edisi kedua adalah cermin kejayaan yang bakal diraih atlet pada cabaran sebenar temasya Sukan Olimpik Rio di Brazil 2016 dan Olimpik Tokyo, Jepun pada 2020.

Kontinjen negara YOG 2014 bukan hanya berjaya mengatasi pencapaian pada edisi pertama sebelum ini, iaitu dua pingat perak yang disumbangkan ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamng di Singapura, empat tahun lalu, tetapi turut membuktikan Malaysia setanding dengan kuasa sukan besar dunia.

najing1Empat pingat negara pada YOG 2014 disumbangkan pemain badminton pelapis negara, Cheam June Wei yang meraih pingat emas dalam acara beregu campuran antarabangsa, selain penerjun negara, Loh Zhiayi dalam acara 10m platform individu (pingat perak) dan 3m papan anjal individu wanita (pingat gangsa) serta pemanah negara, Muhamad Zarif Syahiir Zolkifli, (pingat perak) acara recurve campuran antarabangsa.

Memetik laporan BERNAMA, kejayaan itu dianggap luar biasa apabila sebelum ini, Majlis Sukan Negara (MSN) sendiri dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak berani meletakkan sebarang sasaran pingat sebelum 20 atlet remaja negara berlepas ke Nanjing.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong, berharap pendedahan berguna itu akan dijadikan pendorong kepada atlet remaja negara untuk menyusun langkah bagi mengejar kejayaan pada masa hadapan tidak kira apa juga kejohanan.

“Mereka adalah pelapis yang akan menggantikan atlet elit pada masa hadapan dan kita di MSN berharap hasil daripada usaha itu dapat dicapai pada Olimpik Rio 2016 atau Olimpik Tokyo 2020,” katanya.

2014YouthOlympicsZolkples berkata, beliau dapat melihat peluang cerah menanti atlet remaja negara jika mereka terus berusaha gigih dan mengekalkan persembahan secara konsisten berdasarkan pencapaian di YOG 2014.

“Kejayaan ini adalah hasil program empat tahun yang dianjurkan MSN bagi melahirkan lebih ramai bakat baharu yang mempunyai kemampuan dan berkebolehan untuk berdaya saing di peringkat antarabangsa sejajar dengan misi negara untuk meraih pingat emas pertama negara di peringkat Sukan Olimpik,” katanya.

Sementara itu, mengulas berkenaan pencapaian keseluruhan atlet negara di YOG 2014, Pengarah Cawangan Pelapis MSN, Jefri Ngadirin, berkata semua atlet remaja berjaya memberi saingan hebat di Nanjing walaupun mereka terpaksa berdepan atlet handalan dunia dalam misi memburu pingat di Nanjing.

“Jika mereka diasuh dengan baik, negara pasti akan mendapat hasil dalam jangka masa empat atau lima tahun lagi dan saya jangka satu atau dua orang atlet YOG 2014 mungkin terpilih untuk menggalas cabaran negara di Olimpik Rio 2016,” katanya.

Categories
NASIONAL

Konsert K-Pop: SPRM diminta siasat Shabery Cheek

jingga13

PUTRAJAYA 18 OKT : Jingga 13 membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menuntut siasatan terhadap bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek membabitkan kementerian itu ekoran yang dibentangkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa, berkata laporan berkenaan membabitkan isu pembiayaan RM1.6 juta untuk Konsert K-Pop Himpunan Jutaan Belia berjumlah RM87.61 juta dan akaun Majlis Sukan Negara berjumlah RM20 juta bagi wang tajaan syarikat swasta.

Fariz berkata, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, sebelum ini mengesahkan bahawa KBS terpaksa membayar kos pembiayaan artis K-Pop berjumlah RM1.6 juta kerana banyak penaja gagal menyalurkan bantuan.

Shabeery sebagai menteri bertanggungjawab ketika itu pula mendakwa konsert terbabit dibiayai penaja melalui akaun Majlis Sukan Negara (MSN) dan beliau turut bertindak memperlecehkan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, sebagai ‘culas’ dalam menyediakan laporan berkenaan.

“Apa yang menimbulkan persoalan ialah percanggahan fakta antara Khairy dan Shabery berkenaan isu terbabit. Sehingga kini, kami masih menantikan jawapan siapa yang benar dan bohong?,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Kata Fariz, beliau turut mempertikaikan perbelanjaan melampau membabitkan RM67.61 juta bagi acara Hari Belia Negara 2012 yang memerlukan satu siasatan oleh SPRM.

“SPRM dan Jabatan Audit Negara harus berganding bahu menggunakan peruntukan undang-undang bagi mendakwa mereka yang terbabit ke muka pengadilan. Jingga 13 turut mendesak Perdana Menteri menggantung tugas Shabery dengan segera,” katanya.