Categories
AGENDA NASIONAL SUKANKINI

MSN sedia harungi lebih banyak cabaran selepas 51 tahun penubuhan

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Majlis Sukan Negara (MSN) bersedia untuk terus mengharungi segala cabaran dan rintangan demi kecemerlangan sukan negara.

Dengan empat temasya utama bakal diharungi tahun ini iaitu Sukan SEA Hanoi (Mei), Sukan Komanwel Birmingham (Julai-Ogos), Sukan Asia Hangzhou (September) dan Sukan Para Asia (Oktober), MSN mahu terus memacu sukan negara ke tahap lebih baik.

Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata MSN yang menyambut ulang tahun ke-51 semalam, akan bergerak ke hadapan tanpa mengira apa jua cabaran yang perlu ditempuhi.

“Sesungguhnya tahun ini sangat menguji kita kerana keadaan kekangan yang dihadapi ekoran pandemik Covid-19, tetapi MSN akan terus memikul tangungjawab ini buat negara tercinta.

“MSN akan terus berdiri teguh dan komited dalam memikul tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita,” katanya menerusi sebuah video yang dikongsikan sempena sambutan ulang tahun itu.

Ahmad Shapawi berkata sepanjang 51 tahun ini, MSN diberikan pelbagai tanggungjawab bermula dengan membantu persatuan sukan kebangsaan merangka latihan atlet ke arah menghadapi kejohanan-kejohanan antarabangsa.

“Malah MSN sendiri telah diberikan tanggungjawab untuk mengemudikan atau menerajui program-program latihan sukan berprestasi tinggi negara. Sesungguhnya MSN telah melalui pelbagai cabaran dalam kita menerajui sukan berprestasi tinggi ke arah lebih baik,” katanya.

MSN yang ditubuhkan di bawah Akta Majlis Sukan Negara Malaysia 1971 dan Akta Majlis Sukan Negara (pindaan 1979) dilancarkan oleh Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein pada 21 Feb 1972.

Sepanjang lima dekad ini, MSN menjadi pemangkin dalam pembangunan bakat dan persediaan atlet ke sukan berprestasi tinggi menerusi program seperti Program Jaya 98, Program Gemilang 2001, Road to Rio 2016, Program Kita Juara 2017 dan Road to Tokyo 2020.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Bayar pampasan jika mahu pemain Akademi Mokhtar Dahari

KUANTAN, 22 DIS: Majlis Sukan Negara (MSN) akan meletakkan tanda harga, kepada kelab bola sepak yang berminat mendapatkan khidmat pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD), untuk mewakili pasukan masing-masing pada masa akan datang.

Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail bagaimanapun menegaskan, tanda harga itu bukan harga jualan pemain, sebaliknya insentif dalam bentuk pampasan kepada akademi berkenaan, yang mendidik dan membangunkan bakat baharu pemain bola sepak tempatan.

Katanya Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) juga mempunyai skema, berhubung pemain yang dibentuk daripada program pembangunan bakat, dan tanda harga itu berkemungkinan dilaksana tahun hadapan.

“Sebelum ini mereka (kelab) lebih banyak berurusan dengan ibu bapa dan keluarga untuk mendapatkan pemain, tetapi kini ia perlu melalui akademi (AMD).

“Insentif ini seperti suatu bentuk pampasan bagi akademi, yang telah berusaha membangunkan pemain itu, dan ia akan digunakan sebaik-baiknya untuk membangunkan pemain baharu lain,” katanya kepada pemberita di AMD di sini, hari ini.

Ahmad Shapawi berkata MSN yang menguruskan projek pembangunan itu, percaya mekanisme baharu tersebut dapat membantu hasrat AMD melahirkan pemain berkebolehan yang berupaya mewakili negara dan kelab pada masa hadapan.

Berikutan ketetapan tersebut, pemain AMD tidak lagi boleh dipancing secara percuma oleh mana-mana kelab yang berminat, untuk mendapatkan khidmat mereka.

Mengulas mengenai Kejohanan Supermokh 2019 yang menutup tirai semalam, Ahmad Shapawi berkata penganjuran tahun ini menampilkan kelainan, kerana memberi tumpuan kepada kelab dari Asia selain pertama kalinya diadakan di luar Kuala Lumpur.

“Kejohanan kali ini merupakan pendedahan kepada pemain AMD untuk bersaing di peringkat Asia, bagi melihat kualiti pertandingan dan pemainnya sebelum kembali menjemput pasukan dari Eropah dan Asia pada tahun hadapan,” katanya.

Sebagai rekod, penganjuran kali ini memasuki edisi kelima, dan ia kali pertama dianjurkan di luar kawasan Lembah Klang iaitu di AMD di Gambang, Pahang.

Kali terakhir Piala Supermokh diadakan pada 2017 yang menyaksikan tiga wakil negara mara ke final setiap kategori, namun masing masing tunduk kepada pasukan B-14 Arsenal, pasukan B-13 AZ Alkmaar dan pasukan B-12 Sporting CP.

-BERNAMA

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL

Respon terhadap Laporan Ketua Audit Negara mengenai Kementerian Belia dan Sukan

audit 2012

Pendedahan yang dibuat menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2012 bukanlah perkara yang mengejutkan buat rakyat Malaysia, yang sudah tidak yakin lagi dengan kesungguhan Kerajaan UMNO-BN untuk membanteras rasuah dan mengukuhkan lagi kebertanggungjawaban pentadbiran.

Ini telah menjadi satu fenomena tahunan, yang mengundang banyak retorik dan janji-janji kosong daripada Kerajaan namun akhirnya tiada tindakan diambil dan kesilapan sama berulang.

Pendirian kami ialah meskipun diadakan begitu banyak mekanisme semak dan imbang, ataupun audit tiga kali setahun tidak akan menyelesaikan masalah ini, apa yang diperlukan ialah keazaman politik Kerajaan untuk menguatkuasakan mekanisme semak dan imbang tersebut. Malangnya, Kerajaan telah berkali-kali gagal dalam ujian kebertanggungjawaban ini.

Saya ingin mengetahui siapakah yang betul di dalam kontroversi konsert K-Pop ? Ketua Audit Negara dan Menteri Belia dan Sukan hari ini Khairy Jamaluddin yang mendakwa Kementerian terpaksa akhirnya membiayai konsert tersebut; atau Ahmad Shabery Cheek, Menteri sebelum Khairy yang mendakwa konsert tersebut dibiayai penaja menerusi akaun Majlis Sukan Negara? Shabery malah mendakwa Ketua Audit culas dalam menyediakan laporan tersebut.

Adakah Khairy bersedia menjamin rakyat Malaysia bahawa Kementeriannya tidak lagi akan terperangkap di dalam perbelanjaan yang dipertikaikan seperti ini apabila Laporan Audit 2013 akan dibentangkan pada 2014 nanti, terutamanya bagi tempoh selepas Mei 2013 apabila beliau dilantik menjadi Menteri.

Kewajaran membelanjakan RM 67.61 juta wang rakyat bagi satu acara seperti Hari Belia Negara 2012 menimbulkan persoalan, apabila kesan positif jangka panjangnya terhadap anak muda boleh dipertikaikan.

Nik Nazmi Nik Ahmad
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor
Adun Seri Setia