Categories
AGENDA NASIONAL

UiTM arah individu kontak rapat menteri agama jalani saringan Covid-19

SHAH ALAM, 6 OKT: Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengarahkan semua individu yang merupakan kontak rapat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam majlis di institusi itu kelmarin segera menjalani ujian saringan Covid-19.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim berkata langkah segera dan berjaga-jaga itu bertujuan bagi mengelak sebarang kemungkinan tidak diingini dan memastikan semua individu terlibat terpelihara daripada jangkitan Covid-19.

“Saya peka dan ambil maklum kebimbangan warga universiti. Namun, saya memberi jaminan kepada setiap warga dan pihak berkaitan bahawa kita juga sudah mengambil semua langkah perlu untuk memastikan keadaan adalah terkawal,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohd Azraai berkata beliau dan semua staf yang terlibat dalam majlis itu juga menjalani ujian saringan dan melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari bermula semalam.

Menurutnya, setiap warga universiti perlu kekal tenang dan tabah dengan keadaan mencabar itu dan berdoa semoga semua pihak terlibat terus terpelihara daripada penularan pandemik Covid-19.

Beliau berkata UiTM juga menguruskan pelaksanaan sanitasi di premis dan kawasan berlangsungnya majlis bersama menteri itu dan meminta semua individu terlibat supaya berhubung dengan bilik gerakan Covid-19 universiti bagi menjalani saringan.

Kelmarin, Zulkifli menghadiri majlis bersama pelajar UiTM di Kampus Shah Alam bagi menyampaikan bantuan misi Musa’adah Khas Siswa.

Zulkifli menerusi hantaran di akaun Twitternya semalam mengesahkan beliau positif Covid-19 dan sedang menjalani rawatan di hospital.

Beliau turut menyeru orang ramai yang pada hadir majlis dihadirinya dari 24 September hingga 4 Oktober supaya menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 di klinik kesihatan segera.

Kontak rapat bermaksud mereka yang berhubung rapat dalam lingkungan satu meter dengan kes disahkan positif Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mazlan Mansor bersara selepas bersama 41 tahun bersama PDRM

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor hari ini mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) setelah menabur bakti selama 41 tahun dalam pasukan itu susulan persaraan wajibnya secara rasmi esok.

Majlis Paluan Berundur di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini, petang tadi, yang dihadiri oleh lebih 300 pegawai kanan dan isteri masing-masing, adalah merupakan simbolik sebagai penghormatan terakhir buat beliau yang hadir ditemani isterinya, Datin Farihah Mohd Zamri dan anak perempuan, Batrisyia Zahwaa.

Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Majlis bermula jam 5 petang itu diserikan dengan persembahan Pancaragam Pusat PDRM dengan Mazlan diberi penghormatan memimpin persembahan itu.

Sebelum majlis berakhir, Mazlan bersama isteri dan anak telah diarak menggunakan kenderaan rasmi pasukan sebelum menandatangani buku pelawat di bilik pengawal PULAPOL.

Beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 9 Mei tahun lalu bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang bersara pada 17 Mac tahun lalu.

Sebelum dilantik ke jawatan nombor dua dalam PDRM, beliau memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sejak 29 Januari 2019.

Mengimbas kembali kerjayanya dalam pasukan polis, Mazlan yang lahir pada 14 Ogos, 1960, di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, menyertai pasukan polis pada 4 Nov 1979 selepas mengikuti latihan Inspektor di PULAPOL di sini.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Aberystwyth, Wales, United Kingdom dan turut memiliki Sijil Amalan Guaman, beliau memegang pelbagai jawatan di peringkat daerah, negeri dan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Antara jawatan yang pernah disandang ialah Timbalan Ketua Polis Kuala Kubu Bahru; Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ipoh; Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Perak; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor; Ketua Polis Melaka; Pesuruhjaya Polis Sarawak dan Ketua Polis Selangor.

Hari ini, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilantik sebagai pemangku Timbalan Ketua Polis Negara.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

Ahli Majlis komited laksana tanggungjawab, perantara rakyat

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 27 JUL: Ahli Majlis yang baharu dilantik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) komited akan melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan berusaha menjadi perantara antara Majlis dan warga Petaling Jaya sebaik yang mungkin.

Ahli Majlis daripada Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Nurainie Haziqah berkata, mendekati rakyat bukan sesuatu yang baru buatnya memandangkan sebelum ini beliau sudah melibatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan sejak di zaman universiti.

“Sebelum ini, saya sudah bergiat lama dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan pernah melibatkan diri menerusi aktiviti kemasyarakatan cuma kini antara cabaran yang perlu dihadapi adalah bekerjasama dengan agensi kerajaan.

“Diharap pelantikan selaku Ahli Majlis membantu menyuarakan suara komuniti terutamanya dan golongan belia serta wanita amnya juga dapat bekerjasama dengan agensi kerajaan sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perakuan Menerima Jawatan Ahli Majlis MBPJ Bagi Penggal 2018/2020 bertempat di Ibu Pejabat MBPJ, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahli Majlis yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) daripada Parti Gerakan Demokrasi (DAP), Pua Ghin Chu berkata, walaupun kurang sempurna ia tidak menghalang dirinya untuk melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan sebegini.

“Perancangan sepanjang dilantik memegang jawatan selaku Ahli Majlis, saya tekad akan menyumbang lebih bukan sahaja untuk golongan OKU namun kebajikan warga emas turut terjaga.

“Saya akan buktikan bahawa kekurangan diri bukan penghalang untuk seseorang itu berjaya dan meneruskan kehidupan seperti manusia normal lain,” katanya.

Terdahulu, seramai 24 Ahli Majlis mengangkat sumpah secara rasmi menerima jawatan selaku Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di hadapan Dato’ Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain.

Video Kuliah – Santai Santapan Rohani Bersama Ustaz Azhar Idrus di Stadium PJ Kelana Jaya

Sinopsis:

Rancangan ini telah disiarkan secara langsung melalui http://www.selangorkini.net pada 20 Jun 2012 dari Stadium PJ, Kelana Jaya, Selangor. Video ini telah dirakamkan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Mukmin Studio.