Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Cipta pendapatan baharu rancakkan ekonomi negeri

OLEH NORHAYATI UMOR

KAJANG, 16 DIS: Kerajaan Negeri akan mempertingkatkan usaha untuk mencipta aliran pendapatan baharu dan memastikan dasar dilaksana bagi merancakkan ekonomi negeri.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, keseimbangan di antara pertumbuhan ekonomi negeri yang sihat dan keperihatinan untuk memangkin rakyat yang kurang bernasib baik sentiasa menjadi agendanya.

Katanya, Kerajaan Negeri turut merangka dan akan melaksanakan pelbagai program kebajikan yang akan dinikmati seluruh rakyat negeri.

“Ketika membentangkan belanjawan tempoh hari, saya menekankan tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk memastikan tiada sesiapapun dipinggirkan. Kita mahu sekalian rakyat untuk maju bersama.

“Kerajaan Negeri amat komited untuk sentiasa memastikan kemajuan ekonomi, kestabilan politik, dan kemakmuran sosial yang dinikmati oleh rakyat di Negeri Selangor ketika ini, akan terus kita pelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Krimas peringkat negeri, di Padang Awam Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), di sini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum, etnik dan agama dalam melaksanakan pelbagai program pembangunan serta masyarakat.

Malah, pihaknya akan terus melipat-gandakan usaha untuk meningkatkan kesejahteraan dan kemakmuran yang berterusan demi untuk faedah rakyat.

“Justeru, sebarang tindakan yang boleh menjejaskan perpaduan rakyat dan kestabilan kerajaan, perlulah dihindari.

“Ia bagi membolehkan kita merealisasikan agenda pembangunan dengan berkesan untuk meningkatkan lagi taraf sosio ekonomi rakyat dan memacu kemajuan khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

PAKATAN tadbir Persekutuan, pembangunan Selangor lebih pesat

OLEH HAFIZAN TAIB

AMPANG, 16 MEI: Selangor akan menikmati pembangunan lebih pesat dengan Pakatan Harapan (PAKATAN) selaku kerajaan di peringkat Persekutuan.

Exco Kerajaan Negeri, Izham Hashim berkata, kerjasama erat antara kedua pihak akan memberikan kelebihan bagi menjayakan hasrat berkenaan.

“Sebelum ini pentadbiran Kerajaan Negeri (diterajui Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali) walaupun kurang dibantu tetapi membangunkan negeri dengan jaya.

“Sekarang dengan PAKATAN di peringkat Persekutuan juga Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) dari Pandan maka saya kira kerjasama akan lebih erat agar Selangor dapat menikmati pembangunan lebih pesat,” katanya dalam Majlis Menyambut Pelantikan Timbalan Perdana Menteri di Padang Perbandaran Ampang Jaya di sini, malam tadi.

Ahli Dewan Negeri Pandan Indah itu berkata, selepas pengambilalihan pemerintahan negara, PAKATAN kini menumpukan perhatian bagi mengisi kejayaan itu dengan merancang dasar ke arah pelaksanaan pelbagai program seperti termaktub di dalam manifestonya.

Sehubungan itu, katanya, rakyat perlu memberi ruang dan masa kepada PAKATAN dipimpin Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bagi merealisasikan hasrat itu.

“Pembebasan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga diyakini akan memberi kelebihan dalam usaha membawa Malaysia ke arah lebih baik selepas ini.

“Berbeza situasi di Selangor kerana ia negeri menang dan ditadbir PAKATAN sejak 10 tahun lalu maka kita nak menyambungnya dengan membuat lebih baik lagi untuk rakyat,” katanya mengucapkan tahniah kepada Dr Wan Azizah yang muncul wanita pertama negara sebagai Timbalan Perdana Menteri.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor kini di mata dunia

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PUCHONG, 7 OKT: Kecemerlangan pentadbiran Selangor dikenali masyarakat antarabangsa kerana amalan integriti dan ketelusan pentadbiran negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu dibuktikan apabila pelabur luar kekal memilih Selangor sebagai destinasi pilihan terbaik pelaburan di rantau ini.

“Selangor kini melakar nama di peringkat antarabangsa kerana kejayaan pentabiran Kerajaan Negeri ini yang berpegang kepada prinsip tanggungjawab, integriti dan ketelusan.

“Ciri-ciri inilah telah menarik perhatian pelabur dalam dan luar negara untuk mengekalkan Selangor sebagai destinasi pelaburan,” katanya.

RAKYAT SELANGORBeliau berkata, pendekatan diamalkan pentadbiran Kerajaan Selangor berbanding Putrajaya turut mendorong kepada kejayaan itu.

Katanya, pentadbiran Selangor tidak perlu ‘menjual nama negeri’ sebagaimana dilakukan pentadbiran tertinggi Putrajaya kini.

“Perkara yang membezakan Selangor dan Persekutuan, mereka melutut dengan negara asing (untuk raih pelabur).

“Namun, pelabur luar pula yang datang ke Selangor untuk melabur di negeri ini,” katanya.

Mohamed Azmin berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Smart Sewa di Dewan Pangsapuri Damai Utama, pagi ini.

Terdahulu, Selangor menerima kemasukan pelabur dari luar negara antaranya Jepun, China, Switzerland, Amerika Syarikat dan Sweden.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Hasil Selangor RM1.65 bilion tempoh lima bulan

OLEH: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 20 JUN: Prestasi kutipan hasil Selangor bagi tempoh lima bulan dua minggu mencatatkan RM 1.65 bilion.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pencapaian itu bersamaan 73 peratus daripada RM2.25 bilion yang diunjurkan dalam Belanjawan 2016.

Selangor majuKatanya, ia seterusnya menyumbang kepada peningkatan rizab negeri mencapai RM4 bilion, berbanding RM3.23 bilion pada 31 Disember 2015.

“Setakat 16 Jun 2016, perbelanjaan mengurus juga mencatatkan 43.7 peratus manakala perbelanjaan pembangunan pula 28.3 peratus,” katanya di hadapan lebih 1,000 penjawat awam.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Rapat Ramadan Bersama Perkhidmatan Awam Selangor di SUK hari ini.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri akan terus memantau pelaksanaan perbelanjaan secara berhemah dan telus.

“Manakala, pelaksanaan projek pembangunan dilaksanakan mengikut jadual dan menjamin kualiti demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Ekonomi Selangor terus kukuh, penyumbang utama KDNK negara

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SUBANG, 1 MEI : Pertumbuhan ekonomi negeri terus berada di kedudukan kukuh dengan menjadi penyumbang utama kepada kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata perkembangan itu didorong hasil keberkesanan dan sumbangan seluruh tenaga kerja di Selangor.

Selangor maju“Alhamdulillah, Selangor masih lagi menjadi penyumbang utama KDNK negara sehingga ke hari ini.

“Selangor berjaya menyumbang kepada perolehan 1/4 (1 per 4) KDNK kebangsaan yang mana setiap ringgit iaitu RM0.25 adalah datang dari negeri Selangor.

“Saya tegaskan bahawa setiap sen yang ada di dalamnya merupakan hasil keringat dan kerja kuat semua golongan pekerja di dalam negeri Selangor itu sendiri,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Pekerja di perkarangan Wisma MTUC, di sini pagi ini.

M Azmin MTUCMohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri terus menghargai sumbangan tenaga kerja Selangor dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negeri berada di landasan terbaik.

Sebelum ini, unjuran ekonomi Selangor berkembang sekitar 5.0 hingga 5.5 peratus berbanding jangkaan 2015 iaitu pada 4.5 hingga 5.5 peratus.

Sektor perkhidmatan dan perindustrian antara penyumbang terbesar kepada kemajuan perkembangan ekonomi negeri.

Mohamed Azmin ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2016 sebelum ini berkata, pertumbuhan ekonomi Selangor naik sekitar 0.5 hingga 1.0 peratus itu disebabkan suasana ekonomi global yang getir.

Namun, beliau tidak menafikan krisis politik di Putrajaya boleh mempengaruhi perolehan keuntungan pelaburan ekonomi negeri.

“Negara hari ini bergelut dengan krisis politik dan kegawatan ekonomi berpunca daripada skandal kewangan 1MDB sekali gus menyababkan prestasi nilai ringgit berada dalam keadaan paling parah di Asean.

“Malapetaka kewangan negara turut melibatkan pelbagai skandal termasuk agenda menyemai prasangka perkauman sempit dan fahaman agama ekstrem yang secara keseluruhannya menghakis keyakinan pelabur,” katanya.

EZY