Categories
PBT SELANGOR

MBSA edar makanan asas, keperluan diri kepada mangsa banjir

SHAH ALAM, 19 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengedar makanan asas dan keperluan diri kepada mangsa banjir yang berlindung di Dewan Dahlia, Seksyen 24 di sini hari ini.

Pihak berkuasa tempatan itu menerusi Twitter berkata bantuan berkenaan berupa minyak masak, biskut, air mineral, lampin pakai buang dan tuala wanita yang disampaikan oleh kakitangannya.

“Individu atau sukarelawan boleh bersama-sama menghulurkan bantuan sumbangan berupa makanan kering seperti biskut, roti, susu bayi, lampin pakai buang, tuala wanita.

“(Turut boleh disumbangkan) tikar, selimut, tuala, selipar, air mineral, pakaian dalam wanita dan lelaki, kelengkapan dandanan diri dan peralatan solat,” tulisnya di bebenang Twitter.

Menurut kenyataan itu, sumbangan boleh dibuat dengan menghubungi  pegawai MBSA, Norhamini Sharif di talian 012-388 9235 dan Juliah Alimun (019-214 0164).

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Air Selangor agih lebih 1,000 kotak makanan asas kepada B40

SHAH ALAM, 8 NOV: Sebanyak 1,084 kotak bantuan makanan asas dihulurkan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sepanjang tahun ini.

Air Selangor memaklumkan kotak bantuan yang dinamakan ‘Box of Hope’ itu mengandungi tepung, beras, susu dan minyak dihulurkan kepada mereka yang berada di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Bantuan yang dilaksana ini adalah di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Sesama Mara yang bertujuan untuk membantu komuniti yang memerlukan,”katanya di Facebook.

Dalam pada itu, Air Selangor mengajak orang ramai yang berminat untuk turut sama membantu boleh menyerahkan sumbangan di lima lokasi Village Grocer iaitu di Tamarind Square Cyberjaya, MyTown Cheras, 1 Mont Kiara, I-City Mall Shah Alam dan Melawati Mall.

“Anda juga boleh membuat sumbangan melalui akaun bank CIMB Bank Berhad 80-0798511-8 dengan menyertakan nota catatan Bantuan Inisiatif ‘Box of Hope’.

“Menerusi platform akaun bank ini, orang ramai boleh terus membuat sumbangan tanpa perlu ke cawangan Village Grocer. Kami akan membeli barangan makanan asas dengan hasil sumbangan wang untuk didermakan kepada golongan B40 yang memerlukan,” katanya.

Pada 13 September, Air Selangor menghulurkan bantuan makanan asas dan menanggung kos baik pulih paip rumah kebajikan serta keluarga berpendapatan rendah (B40) di Lembah Klang.

Agensi berkata sumbangan ‘Box of Hope’ dan khidmat pembaikan paip kepada 262 individu dan keluarga B40 itu bersempena ulang tahun keduanya beroperasi sebagai pemegang lesen tunggal pembekalan air di negeri ini, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Pelabuhan Klang terima 700 kotak makanan asas sumbangan MB

SHAH ALAM, 1 OKT: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang menerima 700 kotak makanan asas sumbangan Pejabat Dato’ Menteri Besar semalam.

Wakil Rakyatnya Azmizam Zaman Huri berkata barangan itu merangkumi beras, minyak masak, mi segera, tepung, gula, sardin, susu pekat dan kicap.

“Terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari kerana menyumbangkan bantuan makanan asas untuk penduduk yang memerlukan di kawasan Pelabuhan Klang.

“Alhamdulillah, bantuan selesai diagihkan oleh beberapa wakil saya kepada penerima yang layak dan terkesan dengan pandemik Covid-19 ini. Semoga ia sedikit sebanyak meringankan beban mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Azmizam mengalu-alukan mana-mana badan bukan kerajaan (NGO), organisasi atau individu yang mahu menyumbang barangan keperluan asas dengan hadir ke pusat khidmatnya.

“Kita menggalakkan mereka yang mahu menyumbang hadir ke pusat khidmat… bantuan sentiasa diagihkan dari semasa ke semasa kerana kita tidak mahu ada keluarga yang terputus bekalan makanan,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mais sumbang RM10,000 kepada pertubuhan orang buta

SHAH ALAM, 28 JUN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyalurkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia (PPOBM).

Agensi menerusi Facebook berkata peruntukan itu bagi membekalkan makanan asas kepada 1,000 keluarga orang kelainan upaya (OKU) yang terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Semoga bantuan ini dapat meringankan beban mereka yang memerlukan. Kita turut mengalu-alukan sumbangan daripada masyarakat bagi membantu individu yang kurang berkemampuan terutama ketika pandemik Covid-19,” katanya.

Mereka yang ingin menyumbang bersama Mais boleh melayari pautan https://www.mais.gov.my/sedekah/ atau hubungi 03-5514 3752/3773 untuk maklumat lanjut.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Mais sumbang makanan asas kepada lebih 200 pemandu limo KLIA

SHAH ALAM, 13 FEB: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyumbang makanan asas kepada 215 pemandu limosin Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang terkesan susulan Covid-19.

Setiausahanya Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata set bantuan berupa beras, tepung, gula, minyak masak dan gula dengan peruntukan RM21,500 menggunakan wang kutipan fidyah orang ramai.

“Mais mengambil inisiatif untuk membantu pemandu yang turut mengalami kemerosotan pendapatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bantuan diharap sedikit sebanyak mampu mengurangkan beban perbelanjaan yang ditanggung oleh penerima,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sumbangan diserahkan melalui Rakan Strategik Fidyah Mais (RSFM) dengan kerjasama Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras) di Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCare) Seri Kembangan.

Orang ramai yang ingin membuat bayaran fidyah boleh melayari laman sesawang http://www.mais.gov.my atau dibuat menerusi http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php.

Categories
AGENSI SELANGOR

LZS sumbang makanan asas, bantu petugas kesihatan Klang

SHAH ALAM, 23 OKT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyumbangkan makanan asas kepada barisan hadapan Pejabat Kesihatan Klang yang terlibat membendung penularan Covid-19.

Ketua Divisyen Operasi Agihan LZS berkata bantuan bernilai RM10,000 bagi meringankan mereka yang tidak sempat membeli barangan keperluan kerana kesibukan tugas.

“Ada terpaksa bekerja 24 jam dan balik malam hingga tidak dapat membeli barang. Atas rasa prihatin,
kita salurkan makanan asas.

“Kita memahami tugas berat dilalui mereka dalam merawat pesakit kes Covid-19 yang semakin meningkat kebelakangan ini,” kata Abdul Basith Hamid pada 19 Oktober.

Beliau juga menerima permohonan sama daripada pejabat kesihatan lain dan sumbangan dijangka
disalur dalam masa terdekat.

“Kita berterima kasih kepada pembayar zakat dan rakan LZS atas sumbangan mereka. Kami sebagai pemegang amanah menjalankan tugas menyalurkannya kepada golongan memerlukan,” katanya.