Categories
EXCO SELANGOR

Program Halal Suri bantu tingkat pendapatan suri rumah

SHAH ALAM, 16 OKT: Kerajaan Negeri bakal melancarkan program Halal Suri untuk membantu suri rumah meningkatkan pendapatan dalam bidang makanan sejuk beku halal pada 14 November depan.

EXCO industri halal berkata seramai 60 peserta berpendapatan bawah RM2,000 akan dipilih menyertai projek rintis yang dilaksana dengan kerjasama Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah).

“Program ini sebahagian usaha pemberdayaan wanita dalam bidang makanan sejuk beku yang mempunyai potensi besar kerana mendapat permintaan tinggi.

“Kita turut menyediakan geran RM2,000 kepada peserta,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni ketika ditemui selepas majlis penyerahan insentif RiDE DUN Sungai Kandis di Jalan Kebun, dekat sini hari ini.

Selain Halal Suri, inisiatif pemberdayaan wanita oleh Kerajaan Selangor turut membabitkan program seperti Hasil Suri Selangor (HaSSel).

HaSSel merupakan landasan bagi usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) wanita memperkenalkan produk bagi tujuan komersial.