Categories
AGAMA AGENDA GLOBAL

Duta: Tangguh haji demi kepentingan bersama umat Islam

KUALA LUMPUR, 8 JULAI: Duta Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan berkata keputusan kerajaan Malaysia menangguhkan penghantaran jemaah haji tahun ini demi kepentingan bersama antara umat Islam bagi mengekang virus Covid-19.

Qattan berkata beliau mengikuti reaksi rakyat (umat Islam) Malaysia di pelbagai platform berhubung keputusan penangguhan itu.

“Saya mendapati rakyat Malaysia memahami dan menerima keputusan kerajaan Malaysia mengenai perkara ini. Ibadat haji merupakan perkara yang besar dan penting di sisi rakyat (umat Islam) Malaysia dan mereka sangat realistik serta sedar kepentingan umat Islam di seluruh dunia,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pada 11 Jun lalu, Malaysia mengumumkan untuk menangguhkan pemergian jemaah haji bagi Musim Haji 1441 Hijrah ke tahun hadapan setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada 23 Jun lepas, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan untuk mengehadkan jemaah haji pada tahun ini hanya untuk penduduk yang tinggal di negara itu, susulan penularan wabak Covid-19.

Menurut kementerian tersebut, hanya sebilangan kecil penduduk daripada pelbagai kerakyatan yang tinggal di Arab Saudi akan dibenarkan menunaikan haji tahun ini.

Mengulas lanjut, Qattan berkata pendirian Malaysia menyambut baik pengumuman negaranya untuk meneruskan ibadah haji bagi tahun ini, mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua negara sejak sekian lama.

“Mari sama-sama kita berdoa supaya wabak ini berakhir secepat mungkin,” katanya.

Sehingga 6 Julai, Arab Saudi telah mencatatkan 213,716 kes baharu dan 4,207 kematian berdasarkan kenyataan kementerian kesihatan negara itu.

Terkesan dengan wabak Covid-19, Arab Saudi pada akhir Februari memutuskan menggantung kemasukan jemaah untuk mengerjakan umrah di Makkah dan ziarah Masjid Nabawi, Madinah.

Pada pertengahan Mac, Arab Saudi memutuskan menghentikan semua penerbangan antarabangsa dan menyekat pergerakan keluar masuk ke beberapa bandar raya, termasuk Makkah dan Madinah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Jumlah kes di Arab Saudi 132,048, korban lepasi 1,000

RIYADH, 16 JUN: Jumlah korban akibat Covid-19 di Arab Saudi melebihi 1,000 kes semalam, manakala jumlah jangkitan meningkat kepada 132,048 kes.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan negara itu, angka kematian meningkat kepada 1,011 orang ketika beberapa minggu lagi menjelang musim haji, lapor AFP.

Jumlah jangkitan meningkat selepas pihak berkuasa melonggarkan sekatan, dengan jumlah kes harian melebihi 4,000 untuk hari kedua berturut-turut bermula Isnin.

Unit Rawatan Intensif di hospital Riyadh dan Jeddah penuh dengan pesakit Covid-19, yang memberi tekanan kepada sistem perkhidmatan kesihatan negara itu.

Awal bulan ini, kerajaan mengumumkan penutupan semula Jeddah, pintu masuk khas untuk umat Islam menunaikan ibadah umrah dan haji ke Makkah.

Langkah itu termasuk larangan pergerakan bermula 3 petang hingga 6 pagi, penangguhan solat di masjid dan perintah tinggal di rumah untuk pekerja sektor awam dan swasta.

Pihak berkuasa belum mengumumkan penangguhan haji tahun ini yang dijadualkan pada akhir Julai.

Tetapi, Arab Saudi menggesa umat Islam untuk sementara waktu menangguhkan persiapan untuk menunaikan haji tahunan.

Tahun lalu, kira-kira 2.5 juta menunaikan haji dari seluruh dunia.

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Giliran jemaah haji tahun ini dibawa ke tahun depan

SHAH ALAM, 11 JUN: Giliran bagi jemaah yang tidak dapat menunaikan haji pada tahun ini akan dibawa ke tahun depan, kata menteri di jabatan perdana menteri (hal ehwal agama).

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata jemaah yang sepatutnya menunaikan haji pada tahun depan pula akan melaksanakan ibadah tersebut pada tahun berikutnya.

“Kita akan cuba melakukan sebaik mungkin bagi memastikan giliran haji berjalan lancar. Namun individu yang rayuan haji pada tahun ini telah diluluskan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) ia perlu melakukan proses rayuan baharu pada tahun depan,” katanya pada sidang media di
Putrajaya hari ini.

Malaysia memutuskan tidak menghantar jemaah menunaikan haji pada tahun ini.

Pada setiap tahun kira-kira 2.5 juta jemaah haji dari seluruh dunia berkumpul bagi menunaikan rukun Islam kelima yang dijadualkan bermula akhir Julai ini.

Categories
AGAMA AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia tidak hantar jemaah haji tahun ini

SHAH ALAM, 11 JUN: Malaysia memutuskan tidak menghantar jemaah haji pada tahun ini, kata menteri di jabatan perdana menteri (hal ehwal agama).

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata ia selaras tuntutan agama iaitu mengelak melakukan perkara yang boleh memudaratkan atau kerosakan kepada diri dan negara.

“Saya ingin mengumumkan kepada semua rakyat Malaysia bagi musim haji ditangguhkan ke tahun depan dan keputusan ini telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Lembaga Tabung Haji (TH) akan mengeluarkan kenyataan lanjut berkaitan perkara ini dan saya berharap semua bakal haji bersabar dan reda dengan keputusan penangguhan ibadat haji tahun ini,” katanya.

Zulkifli berkata keputusan tersebut diambil berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan dan TH serta perbincangan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang bersidang pada Selasa lalu.

“Saya juga akan bertemu Duta Arab Saudi di Malaysia untuk menyerahkan surat rasmi penangguhan haji malah negara seperti Kemboja, Indonesia, Brunei dan Singapura turut ambil keputusan sama,” katanya.

Berhubung penambahan kuota tahun depan berikutan penangguhan tahun ini, Zulkifli berkata perkara tersebut bergantung kepada perbincangan dengan kerajaan Arab Saudi.

Sebelum ini Arab Saudi menggesa umat Islam menangguhkan rancangan untuk menunaikan haji sehingga penularan Covid-19 dikawal.

Categories
AGENDA GLOBAL

Indonesia batal hantar jemaah haji tahun ini

JAKARTA, 2 JUN: Indonesia, negara berpenduduk Islam terbesar di dunia, memutuskan untuk tidak menghantar jemaah haji bagi tahun 1441 Hijrah.

Menteri Agama Indonesia Facrul Razi dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat berikutan pandemik Covid-19 ketika ini masih mengancam penduduk seluruh dunia, termasuk Indonesia dan Arab Saudi.

Pada tahun lepas, kuota jemaah haji dari Indonesia adalah berjumlah lebih 231,000 jemaah.

“Selain soal keselamatan, kebijakan (dasar) ini diambil kerana, hingga saat ini Arab Saudi masih belum membuka akses layanan Penyelenggaraan Ibadah Haji 1441H/2020M.

“Akibatnya, pemerintah Indonesia (pasti) tidak memiliki cukup waktu untuk melakukan persiapan, bagi penghantaran jemaah haji (untuk tahun ini sekiranya ibadah haji dibenarkan Arab Saudi),” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Gantung sementara visa umrah: Puluhan ribu jemaah terjejas

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Kira-kira 15,000 hingga 20,000 jemaah Malaysia yang bakal berangkat ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah pada Mac dijangka terjejas berikutan pendaftaran visa dalam talian disekat sekitar tengah hari tadi.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji, Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata setakat ini, tiga negara iaitu Malaysia, Brunei dan Singapura, didapati disekat pendaftaran visa dalam talian.

Beliau berkata bakal jemaah yang gagal mendapatkan visa tidak akan dapat menunaikan ibadat berkenaan.

“Yang terjejas itu, kalau Mac sahaja dalam 15,000 hingga 20,000 jemaah. Pagi tadi visa boleh buat, cuma tengah hari sudah tidak boleh lagi. Kita semak dalam pukul 8 pagi, tiada masalah, tapi dalam tengah hari tadi sudah tidak boleh buat visa, sekarang ini online.

“Tapi saya dengar tiga negara sudah terkeluar iaitu Malaysia, Singapura dan Brunei,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama TV di pejabatnya di sini hari ini.

Razali berkata kira-kira 3 petang tadi, beberapa penerbangan yang sepatutnya dinaiki oleh jemaah umrah dari Malaysia telah dibatalkan setelah menerima arahan daripada kerajaan Arab Saudi.

Terdahulu, Agensi Berita Saudi melaporkan, Kerajaan Arab Saudi melalui Kementerian Luar negara itu mengambil keputusan untuk menggantung sementara pengeluaran visa umrah sebagai usaha pencegahan berikutan penularan Covid-19.

Menurut kementerian itu, langkah berkenaan bagi memberikan perlindungan sepenuhnya terhadap keselamatan penduduk dan setiap individu yang berhasrat mengunjungi Arab Saudi bagi tujuan mengerjakan umrah atau menziarahi Masjid Nabawi atau sekadar melancong.

“Prosedur ini hanya bersifat sementara dan tertakluk kepada penilaian semasa pihak berkuasa Arab Saudi,” jelas kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Road to Makkah permudah urusan jemaah haji Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 JUL: Inisiatif “Road to Makkah” satu projek prapelepasan haji disediakan kerajaan Arab Saudi untuk negara terpilih mendapat pujian jemaah Malaysia.

Melalui projek yang mula diperkenalkan di Malaysia pada 2017 itu, jemaah haji tidak lagi perlu melalui proses imigresen di Arab Saudi kerana proses itu telah dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Jemaah haji kumpulan kedua musim haji tahun ini, Norizan Yacob berkata beliau amat berpuas hati dengan inisiatif itu kerana selain menjimatkan masa ia juga memudahkan golongan yang menghadapi masalah kesihatan.

“Syukur. Terutamanya sebab suami baru saja keluar hospital dan masih belum sihat sepenuhnya. Dengan inisiatif ini, kami tidak perlu beratur lama,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Katanya, beliau lega kerana tidak perlu berasak-asak di lapangan terbang di Arab Saudi bersama jemaah-jemaah negara lain.

Sementara itu, Sawandi Berahim, 65, dari Tanjung Karang, Selangor memuji hubungan baik antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi sehingga diberi kepercayaan untuk menjalankan inisiatif itu.

Beliau yang pernah menunaikan haji pada 2006 berharap dapat memberi lebih fokus untuk beribadah pada perjalanan kali ini.

“Alhamdulillah. Dengan inisiatif ini, jemaah tidak lagi perlu berpenat-lelah selepas tiba di Madinah nanti. Pada tahun 2006, saya dah alami semua itu dan ianya sangat memenatkan,” katanya.

Road to Makkah adalah satu sistem prapelepasan haji kelolaan kerajaan Arab Saudi untuk memudahkan perjalanan jemaah ke Makkah.

Di bawah inisiatif ini, cap jari jemaah akan diambil dan pasport mereka akan dicap di negara di mana jemaah berlepas.

Kemasukan jemaah ke Arab Saudi juga akan dipermudah seperti penerbangan domestik manakala bagasi akan dihantar terus ke penginapan mereka.

Tahun ini, sebanyak 12 kaunter imigresen Arab Saudi disediakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), termasuk dua kaunter untuk golongan orang kurang upaya.

Sementara itu, Jabatan Imigresen Malaysia buat julung kalinya menyediakan dua pintu automatik yang menggunakan teknologi pengecaman wajah bagi memudahkan proses imigresen terhadap jemaah haji.

Syarikat tempatan, Dagang NeXchange Berhad (DNeX) diberi kepercayaan untuk menyediakan kemudahan lokasi dan jaringan komunikasi untuk inisiatif Road to Makkah bagi jemaah Malaysia dan Indonesia, tahun ini.

Projek perintis Road to Makkah dikendalikan di Malaysia pada 2017 sebelum inisiatif tersebut dilancarkan sepenuhnya tahun lepas untuk kira-kira 65,000 jemaah Malaysia dan Indonesia.

Tahun ini, inisiatif ini turut diperkenal di Tunisia, Bangladesh dan Pakistan.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Arab Saudi usaha tambah baik pengalaman jemaah

MAKKAH, 30 MEI: Arab Saudi terus menyemai nilai sederhana dalam Islam sambil berusaha membangunkan perkhidmatan berkualiti untuk jemaah bagi memastikan mereka dapat mengerjakan ibadah dengan lancar dan sempurna, kata Imam Besar Masjidil Haram Syeikh Abdul Rahman Abdul Aziz Al-Sudais.

Abdul Rahman. yang juga Presiden Agung Hal Ehwal Dua Kota Suci berkata 140 inisiatif telah diambil ke arah melancarkan operasi semasa bulan Ramadan di kedua-dua masjid.

Beliau berkata pasukannya bekerja keras untuk membawa idea-idea baharu dan menjauhi kaedah lama operasi seiring dengan perkembangan semasa ke arah mencapai Wawasan 2030 kerajaan itu, katanya semasa ditemu bual oleh Akhbar Okaz.

Menyentuh sesi ke-14 Sidang Kemuncak Islam OIC di Makkah pada 31 Mei, Al-Sudais berkata Penjaga Dua Kota Suci Raja Salman Bin Abdul Aziz berminat menjalin kerjasama dengan negara Islam.

-BERNAMA

Categories
AGAMA NASIONAL

Negara luar mahu belajar sistem pengurusan haji Malaysia

NASIONAL 25 OGOS: Sistem pengurusan Jemaah haji Malaysia yang dipraktik Tabung Haji disifatkan sebagai antara yang paling teratur dan terbaik di dunia sehingga menjadi pilihan untuk dipelajari oleh negara luar, terutama dari benua Afrika.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata beliau didatangi beberapa rakan sejawat dari negara luar semasa Persidangan Mesyuarat tahunan Raja Saudi King Salman Khadim Haramain dengan Menteri Agama Seluruh Dunia di Istana Mina pada Khamis yang menyatakan hasrat demikian.

“Alhamdulillah, model (pengurusan) Malaysia yang saya sebutkan itu sudah berada pada bibir rakat sejawat lain, termasuklah duta Palestin (ke Arab Saudi) telah menyatakan hasrat sama.

“Negara kita dihormati sebagai sebuah negara Islam yang progresif dan saya akan teruskan untuk mencapai maksud menjadikan Malaysia sebagai contoh kepada dunia (melalui sistem pengurusan haji),” katanya pada sidang media di Mekah, Jumaat.

Menjawab kepada permintaan negara tersebut, beliau berkata Malaysia sudah tentu akan memberi bantuan dan tunjuk ajar yang diperlukan bagi menambah baik sistem pengurusan jemaah haji mereka pada masa akan datang.

“Malaysia sudah pastinya berbesar hati sekiranya terdapat negara luar yang ingin belajar daripada kita dan kita sentiasa besiap sedia untuk berkongsi pengalaman yang kita ada kepada mereka,” katanya.

Bertemakan ‘konsep rahmat dan ganjaran dalam Islam’, persidangan tahun ini menghimpun kira-kira 500 menteri dan wakil kerajaan dari 76 negara dalam usaha memantapkan keyakinan umat Islam serta mencari penyelesaian masalah dunia Islam dari sudut ilmiah dan intelektual.

SUMBER: BERNAMA

Categories
AGAMA

Jemaah haji diingat pelihara ibadah wukuf di Arafah

MAKKAH 19 OGOS: Jemaah haji, tidak dapat tidak, mesti melaksanakan satu daripada rukun yang dianggap sebagai kemuncak kepada ibadat haji, iaitu wukuf di Arafah, sebagai mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Haji itu, salah satu daripada rukunnya ialah wukuf di Arafah.

Pengerusi Pakar Rujuk Tabung Haji (TH) bagi musim haji 1439H Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata dalam keghairahan umat Islam untuk melaksanakan ibadat tersebut, mereka hendaklah berhati-hati agar segala ibadat tersebut dapat dilakukan dengan sempurna.

“Sesungguhnya kita berada di Arafah, di mana waktu yang dianggap sebagai waktu bermulanya wukuf ialah apabila masuk waktu Zohor pada hari 9 Zulhijjah dan berakhir sehingga terbit fajar pada hari ke-10 (Zulhijjah).

“Waktu (wukuf) yang dianggap terbaik adalah menggabungkan siang hari sepenuhnya dengan sejuzuk daripada malam, di mana apabila masuk sahaja waktu maghrib, jemaah akan mula bergerak menuju ke Muzdalifah untuk bermabit,” katanya dalam satu sesi temubual bersama media di sini, pada Sabtu.

Dr Zulkifli, yang juga Mufti Wilayah Persekutuan berkata dari Muzdalifah, jemaah haji kemudiannya akan bergerak ke Mina untuk melontar pada hari-hari tasyrik.

Semasa berada di Arafah dan keadaan berihram, beliau berkata jemaah-jemaah harus berhati-hati mengikuti pantang-larang di dalam ihram seperti tidak berbual-bual kosong dan menimbulkan pergaduhan sesama jemaah.

“Dalam mendapatkan haji mabrur, perkara yang pertama adalah niat yang sebenar-benar kerana Allah untuk melaksanakan haji.

“Kedua, perlu kefahaman dan pemahaman yang jelas dalam melaksanakan ibadah haji kerana Rasulullah SAW menyatakan (di dalam hadis yang bermaksud) “ambillah daripada aku ibadat haji kamu”.

Katanya jemaah haji Malaysia harus benar-benar menekuni dan mempelajari ilmu menunaikan haji seperti yang telah diajarkan oleh pihak TH di dalam kursus-kursus di tanah air dan sesi-sesi ceramah di sini.

Jemaah, katanya harus memahami pantang-larang haji, terutamanya ketika di dalam ihram di samping mengisi perjalanan ibadah itu dengan zikir, kesabaran, ibadah-ibadah sunat dan bacaan al-Quran.

“Sesungguhnya, ibadat haji ini hanya sekali sahaja seumur hidup. Justeru, apabila kita lakukan, kita hendaklah lakukan dengan sepenuh hati, dengan mempelajari dengan sebaiknya dan melakukan dengan penuh kehambaan kepada Allah SWT,” katanya.

Seramai 30,200 jemaah haji Malaysia daripada 12 maktab akan bermula bergerak pada 7 pagi 8 Zulhijjah 1439H (19 Ogos, 2018) secara berperingkat untuk melaksanakan ibadat wukuf, bermabit dan melontar jamrah di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Setiap maktab akan dibekalkan dengan 22 buah bas yang akan berulang-alik membawa jemaah dari Makkah ke Arafah sebanyak tiga pusingan dan dijangka kesemua jemaah akan tiba di Arafah selepas waktu Isyak.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Ribut petir diramal landa Makkah – Meteorologi Saudi

JEDDAH 19 OGOS: Pihak berkuasa meteorologi Arab Saudi meramalkan ribut petir disertai angin kencang melanda wilayah Jazan, Asir, Baha dan Makkah pada Ahad.

Kawasan di tengah dan timur negara itu turut diramal berdepan cuaca buruk.

Agensi itu dalam laporannya berkata bahawa pergerakan angin di Laut Merah dari arah utara ke barat adalah berkelajuan 15 hingga 40 kilometer sejam (km/jam) dengan ombak mencapai satu hingga dua meter.

Manakala pergerakan angin di Teluk Arab dari arah utara ke barat daya berkelajuan 15-35 km/jam.

Tahun lalu, hujan lebat selama dua jam menyebabkan banjir kilat yang melumpuhkan bandar kedua terbesar Arab Saudi, Jeddah, sehingga memaksa banyak sekolah dan universiti ditutup.

Pihak berkuasa terpaksa bergelut dengan pelbagai kes kecemasan melibatkan litar pintas dan kecederaan akibat kejutan elektrik.

Pada November 2011, Jeddah dilanda banjir mengakibatkan seramai 123 orang terbunuh dan banyak rumah dan bangunan rosak teruk.

Dua tahun selepas itu, bencana sama mengakibatkan sekurang-kurangnya 10 nyawa melayang.

SUMBER: AGENSI

Categories
AGAMA

Lebih 800 media profesional asing buat liputan haji

MAKKAH, 17 OGOS: Bersesuaian dengan slogan haji tahun ini ‘The Kingdom Embraces the World’ (Kerajaan Merangkul Dunia), Arab Saudi menjadi tuan rumah kepada lebih 800 media profesional dari luar negara untuk liputan haji musim ini

“Adalah dijangka antara dua hingga tiga juta jemaah dari seluruh dunia akan berkumpul pada kemuncak ibadah tahunan ini dari 19-24 Ogos. Menteri Penerangan Saudi Dr. Awad Saleh Al-Awad berkata kerajaan berbangga menyediakan kemudahan kepada wartawan yang terlibat dari segi perkhidmatan, kemudahan dan tempat tinggal.

Beliau berkata, kementeriannya telah melengkapkan beberapa pusat media di Makkah dan tempat-tempat suci pada tahun ini untuk tetamu yang terdiri daripada wartawan dan media profesional dari dalam dan luar negara ini.

“Kerajaan juga menyediakan semua perkhidmatan yang diperlukan oleh media dari segi teknologi, rangkaian komunikasi, komputer dan studio,” katanya kepada pemberita selepas beliau melawat ibu pejabat Kementerian Radio dan Televisyen, Saudi Press Agency dan pusat maklumat di Arafah, Muzdalifah dan Mina pada Khamis.

“Ia suatu usaha yang besar untuk menjadi tuan rumah kepada sejumlah besar tetamu Allah dan menyediakan kemudahan kepada mereka semasa mengerjakan ibadah wajib ini dengan adanya enam stesen radio rasmi dan 10 penyiaran antarabangsa dalam 10 bahasa.

“Menyediakan buletin berita dan program harian mengenai Haji, 16 rangkaian penerbitan digital secara langsung dalam enam bahasa, bekerja 24 jam bagi liputan musim haji dalam cara yang kreatif, cepat dan berinovasi,” kata Dr. Awad.

Dikenali sebagai perhimpunan terbesar dunia, ibadah Haji ini menyaksikan para jemaah melakukan tanggungjawab mereka antaranya tawaf mengelilingi Kaabah, melontar batu di tiga Jamraah dan Sai antara Bukit Safa dan Marwa.

SUMBER: BERNAMA