Categories
AGENDA NASIONAL

Pendeposit TH disaran kemas kini maklumat peribadi

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Lembaga Tabung Haji (TH) menasihati pendepositnya supaya mengemas kini maklumat peribadi masing-masing sekiranya terdapat sebarang perubahan pada alamat, nombor telefon dan penamaan waris.

Pengarah Eksekutif (Haji) TH Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata ia bagi memudahkan pihaknya menghubungi pendeposit untuk tujuan penyaluran makluman penting dan terkini selain mengelakkan kes surat tawaran tunai haji tidak diterima kerana bertukar alamat.

“Surat tawaran tunai haji bagi tahun 1442H/2021M akan dikeluarkan sebaik sahaja pihak TH menerima ketetapan daripada kerajaan Arab Saudi berkaitan dengan pelaksanaan haji tahun depan.

“Bagaimanapun TH masih belum menerima sebarang pengumuman rasmi daripada kerajaan Arab Saudi berkaitan perincian musim haji tahun 1442H/2021M,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata bagi memudahkan proses kemas kini maklumat peribadi, pendeposit TH juga digalakkan mendaftar aplikasi perkhidmatan THiJARI (http://www.thijari.com.my) yang membolehkan bakal haji menyemak pendaftaran haji, status tawaran haji, jadual penerbangan serta pelbagai perkhidmatan lain seperti urusan pindahan simpanan dan semakan baki.

Katanya, proses kemas kini itu boleh dilakukan di mana-mana Pejabat Cawangan TH, Pusat Perkhidmatan TH dan Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Untuk maklumat lanjut, pendeposit boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji (THCC) di talian 03-6207 1919.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Urus sampul, bungkusan ada maklumat peribadi dengan selamat – polis

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Orang ramai diingatkan supaya memastikan sampul surat atau bungkusan yang mengandungi maklumat peribadi, dibuang secara selamat bagi mengelakkan ia disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi tujuan penipuan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibupejabat polis Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob mengingatkan perkara itu susulan penyebaran rakaman sebuah video yang tular baru-baru ini berhubung penipuan menggunakan maklumat peribadi terutamanya nombor telefon yang diperoleh melalui bungkusan pembelian barangan dalam talian.

Beliau menasihatkan mereka yang pernah menjadi mangsa penipuan menggunakan modus operandi sedemikian supaya membuat laporan polis agar siasatan sewajarnya dapat dilaksanakan, namun menurutnya setakat ini polis masih belum menerima laporan berkaitan penipuan yang menggunakan taktik berkenaan.

“Polis memberi jaminan siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat akan dilaksanakan sekiranya kes sebegini dibuktikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Video berdurasi 1.54 minit itu memaparkan kejadian seolah-olah lakonan semula taktik penipuan menggunakan maklumat peribadi yang diperoleh daripada bungkusan barang yang dibuang mangsa ke dalam tong sampah di tempat awam.

-BERNAMA