Categories
NASIONAL

PKR Sokong Tuntutan CUEPACS

SHAH ALAM, 24 FEB : Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa Kerajaan Pusat untuk mempertimbangkan tuntutan CUEPACS agar kerajaan memberi kenaikan gaji antara RM 700 hingga RM2500 bagi penjawat awam sebelum melaksanakan sebarang pembaharuan dalam Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Menurut laporan United Nations (UN) Public Administration Network Public Service pada 2006, Malaysia merekodkan jumlah nisbah gaji tertinggi dan terendah di rantau ini dengan nisbah sekitar 19.5:1.” kata Naib Presiden PKR, Nurul Izzah.

“Ini bermakna gaji penjawat tertinggi adalah 19.5 kali lebih tinggi dari gaji pegawai kerajaan yang terendah.

“Oleh itu, PKR menyeru agar jurang nisbah gaji di antara yang tertinggi dan terendah dirapatkan, dan bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak untuk merealisasikan visi ini,” ujar puteri sulung Ketua Pembangkang ini.

Selain itu, Izzah juga menjelaskan sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya, PR akan menyelaraskan tangga gaji perkhidmatan awam secara lebih saksama selain insentif khas RM 500 sebulan bagi setiap guru sebagaimana termaktub di dalam Buku Jingga.

“Sekiranya Pakatan Rakyat memegang tampuk Kerajaan Pusat, gaji minima pada kadar RM1,100 akan dikuatkuasakan buat penjawat awam.

“Ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 300,000
penjawat awam yang masih menerima gaji di bawah kadar tersebut di bawah skim saraan sedia ada,” tambah Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Katanya segala komitmen Pakatan Rakyat jauh berbeza dengan cadangan SBPA yang dibentangkan kerajaan di mana seorang penjawat tertinggi kerajaan di dalam kategori Premier layak menerima sehingga RM80,000 sebulan sedangkan kenaikan pemandu hanya sebanyak RM1.70 sebulan.

“PKR menggesa Perdana Menteri untuk mengkaji syor terbaru yang dibentangkan CUEPACS serta saranan Pakatan Rakyat.

“Kita juga menyarankan agar semakan gaji dapat dilakukan setiap 5 tahun supaya mudah diselaraskan dengan kadar inflasi semasa,” ujar beliau.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Swastakan Loji Benih Padi, Petani Derita

PERMATANG, 21 FEB: Tindakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menswastakan loji benih padi di Negeri Selangor bukan sahaja menyebabkan pesawah terpaksa membeli harga benih tinggi.

Demikian menurut Pegawai Penyelaras Pusat Khidmat Rakyat Dun Permatang, Mohd Yahya Mat Sahri ketika dihubungi Selangorkini baru-baru ini.

Menurut beliau, tindakan tersebut menyebabkan pesawah-pesawah di Tanjung Karang termasuk di Dun Permatang terpaksa membeli benih padi pada harga RM28 berbanding sebelum penswastaan RM22 tetapi dibekalkan benih yang tidak berkualiti.

“Dahulu kerajaan ada memiliki loji benih padi sendiri, jadi pesawah dapat beli benih padi dengan harga RM22  sahaja bagi setiap kampit 20kg.

“Tetapi apabila Datuk Seri Noh Omar jadi Menteri Pertanian, dia swastakan loji benih padi di sini dan menyebabkan pesawah terpaksa beli dengan harga RM28.

“Malangnya, sepatutnya apabila diswastakan kualiti benih dan sistem pembekalan jadi lebih baik tetapi menjadi teruk dan kucar kacir dan mampu menjejaskan pengeluaran padi negara ini,” ujar Yahya.

Tegasnya, Inilah jadinya apabila kerajaan memberikan tanggungjawab ini kepada syarikat yang kurang pengetahuan dan keupayaan teknikal dalam mengeluarkan benih padi.

Yahya turut mendesak menteri terbabit yang juga merupakan Ahli Parlimen Tanjung Karang agar menjelaskan butiran subsidi RM20 bagi setiap kampit yang diberikan kepada pegusaha loji terbabit.

“Selain harga RM28 yang dibayar oleh pesawah, kerajaan turut membayar subsidi sebanyak RM20 kepada pengusaha logi benih terbabit bagi setiap kampit seberat 20kg.

“Kita menyokong subsidi untuk meringankan beban pesawah, tetapi soalnya subsidi RM20 itu adalah tinggi, tetapi tiada perincian untuk menampung kos apakah subsidi itu diberikan,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

Video Aib Fitnah Anwar Disebarkan ke Ahli Majlis PBT

PETALING JAYA, 20 JAN : Pengedaran video aib yang memfitnah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kali ini disasarkan kepada ahli-ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor.

Yang peliknya, VCD tersebut diposkan di dalam satu sampul bersama surat yang memaparkan ajaran Islam tentang dosa orang yang mengumpat.

Terkini, dua laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya oleh dua orang ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Mahharul Ismail dan Halimey Abu Bakar.

Mereka mendakwa menerima salinan VCD video aksi seks lelaki dikatakan mirip Anwar dengan seorang perempuan iras bangsa Cina dua hari lepas di alamat kediaman dan pejabat mereka.

VCD tersebut diposkan di dalam sampul beserta surat itu.

Antara kandungan surat tersebut adalah :

“Islam mewajibkan umatnya menjaga lidah daripada berkata-kata perkara yang tidak baik antaranya ialah mengumpat. Mengumpat ialah menyebarkan keaiban atau memburukkan orang melalui lidah.”

“Kami membuat laporan ini supaya pihak polis dapat menyiasat siapa yang menghantarnya tanpa penama dan diharap dapat juga menyiasat motif penghantaran VCD ini.

“VCD ini bukan sahaja diedarkan kepada ahli majlis MBPJ tetapi juga ahli-ahli majlis seluruh negeri Selangor ujar Halimey.”

Maharrul berkata laporan itu juga dibuat sebagai tanda kekesalan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab mengedarkan VCD lucah tersebut.

“Ini juga merupakan satu kesalahan mengikut akta kesalahan jenayah atas kesalahan memiliki atau mengedar bahan lucah terutama diedarkan kepada penjawat awam,” tegas Maharrul yang menerima salinan VCD itu di pejabatnya Rabu lalu.

Kedua ahli majlis MBPJ tersebut turut menyatakan kemungkinan pengedaran VCD ini bermotifkan fitnah politik kerana ianya disasarkan kepada penjawat awam dan diedarkan selepas Anwar dibebaskan daripada tuduhan meliwat.

“Fitnah ini semata-mata untuk menggambarkan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat dan Ketua Pembangkang Malaysia ini tidak bermoral.

Jadi kami berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya kerana ini merupakan jenayah berat,” kata Maharrul.

Penduduk Serah Memo Pada MBI

IPOH, 18 JAN – Penduduk dan peniaga Pasar Jelapang di Perak menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap keadaan bangunan pasar dan persekitarannya yang kotor menerusi memorandum diserahkan kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) semalam.

Memorandum yang mengandungi kira-kira 2,000 tandatangan itu mengharapkan tindakan segera diambil MBI bagi menangani masalah itu yang didakwa dihadapi sejak sekian lama.

Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), M Sarasvathy berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk dan peniaga di pasar itu yang berharap MBI melakukan tindakan segera mengubahsuai bangunan pasar dan membersihkan kawasan persekitarannya.

Beliau berkata, pasar tersebut merupakan kawasan tumpuan penduduk berhampiran yang mengunjunginya saban hari untuk membeli barangan keperluan harian.

“Penduduk dan peniaga berharap Datuk Bandar Ipoh (Datuk Roshidi Hashim) mengambil kira masalah ini dan melakukan tindakan segera bagi mengatasinya. Premis pasar ini adalah kawasan dikunjungi orang ramai pada setiap hari terutama mereka dari kawasan berhampiran iaitu Taman Jati, Taman Meru, Taman Puncak Jelapang dan Kampung Jelapang.

“Berikutan itu satu memorandum dengan tandatangan orang ramai telah diserahkan kepada MBI bagi menyatakan perkara ini,” katanya dalam satu menyataan kepada TVSelangor hari ini.

Sarasvathy menjelaskan antara isu yang dikemukakan dalam memorandum itu adalah penyediaan jalan bertar di sekeliling pasar, paip air untuk setiap peniaga, masalah lantai berlubang dan lampu yang tidak mencukupi selain longkang pecah, masalah air bertakung dan bau busuk.

Menurutnya lagi, ia termasuk masalah troli sampah yang diletakkan di hadapan pasar yang perlu dialihkan ke kawasan lain serta zink pasar yang bocor.

“MBI perlu memberi perhatian terhadap masalah ini demi kepentingan penduduk dan peniaga di pasar Jelapang ini.

“Kita juga meminta Datuk Bandar Ipoh membuat tinjauan di kawasan ini bagi mendapat gambaran sebenar,” katanya.

Guru Kontrak KAFAI Dakwa Jadi Mangsa SBPA

BANGI 11 JAN : Seramai tujuh orang guru sekolah KAFAI Bandar Baru Bangi mendakwa menjadi mangsa sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang di perkenalkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) baharu-baharu ini.

Kesemua guru terbabit melahirkan rasa tidak puas hati apabila mendakwa ada di antara kontrak mereka sebagai guru di sekolah berkenaan tidak disambung kesan daripada SBPA.

Sekolah KAFAI Bandar Baru Bangi mempunyai 79 guru, 16 daripada mereka adalah guru kontrak yang ditawarkan kerja selama dua tahun dengan kontrak mereka diperbaharui apabila tamat dua tahun.

Kebanyakan guru terlibat berkhidmat lebih dari lima tahun. Mereka diletak di bawah kategori DB27, iaitu guru SPM, STPM yang tidak mempunyai diploma pendidikan yang tangga gaji P1T1: RM1204.55 dan meningkat hingga P1T7: RM1603.85.

Terdapat empat orang yang berkategori sedemikain, manakala dua orang di bawah DB17 yang mempunyai diploma, tetapi masih tidak dilantik.

Satu halangan dari perlantikan semula, mereka dikehendaki mempunyai Diploma Pendidikan dan lulus bahasa Arab, selama ini tidak menghalang mereka dari disambung kontrak selama dua tahun.

Tetapi dengan SBPA, kategori guru kontrak berkenaan tidak lagi wujud. Guru-guru akan tamat tempoh berkhidmat dengan sendirinya apabila cukup dua tahun khidmat.

Mengulas perkara ini Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar Dr Shafie menyeru agar Jabatan Pendidikan mempertimbangkan semula nasib guru-guru terbabit.

Beliau berkata demikian ketika menerima aduan guru-guru terbabit di pejabat beliau.

Menurut Dr Shafie, beliau sudah berbincang dengan Guru Besar sekolah berkenaan, Razali Ahmad Shibab berkenaan status guru-guru ini.

“Hasil pertemuan dengan Guru Besar disitu dan semua guru kontrak yang terlibat saya di fahamkan masalah yang dihadapi oleh guru-guru kontrak sedang dalam proses tindakan bahagian guru di Pejabat Agama Daerah Hulu Langat dan juga oleh Pengarah Sekolah Agama JAIS,” katanya.

Namun jelas Dr Shafie, mereka yang terlibat akan di letakkan kategori guru KAFA, ini bermakna menurunkan pangkat dan pendapatan mereka.

Lebih membimbangkan salah seorang dari guru ini telah tamat tempoh dua tahun pembaharuan perlantikan, apabila ditanya pihak atasan, guru ini dinasihat tidak perlu lagi pergi berkhidmat.

“Kesan daripada itu, memberi masalah kepada guru itu kerana umurnya sudah meningkat, sukar baginya untuk mendapatkan pekerjaan yang baru. Selain daripada itu, setengah daripada mereka sudah membeli rumah dan juga kenderaan di samping tanggungan keluarga anak isteri.

“Tindakan ini, bagi saya adalah tidak adil, kita harap nasib semua guru kontrak perlu diberi penyelesaian segera. Jika tidak perkara ini akan dibawa ke Dewan Negeri bagi mendapat pandangan dan penyelesaian segera,” ujarnya sambil mencadangkan guru terlibat membuat rayuan bagi meneruskan perkhidmatan.

Tambahnya lagi, kita harap untuk jangka panjang, semua guru kontrak tidak wajar dibiarkan mereka dalam keadaan kontrak berterusan.