Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Bursa Malaysia memulakan urus niaga minggu yang singkat ini tinggi sedikit dalam persekitaran sentimen pasaran yang bercampur-campur menjelang pengumuman prestasi keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara untuk suku pertama 2021 dan cuti umum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pada jam 9.04 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 0.23 mata kepada 1,587.68 daripada 1,587.45 ketika ditutup pada petang Jumaat minggu lepas.

Indeks utama dibuka 0.03 mata tinggi pada 1,587.48.

Bank Negara Malaysia dijadual mengumumkan prestasi KDNK suku pertama 2021 pada Selasa.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi 267 berbalas 163 sementara 304 kaunter tidak berubah, 1,436 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 289.98 juta bernilai RM156.98 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, sentimen di pasaran mungkin akan terus berhati-hati sepanjang minggu urus niaga yang singkat ini sambil memberi fokus kepada kadar pertumbuhan KDNK suku pertama 2021 yang diunjurkan masih lemah berikutan persekitaran yang terjejas oleh Covid-19.

“Namun begitu, peniaga akan lebih memberi fokus kepada komoditi yang meningkat seperti minyak sawit mentah (MSM), yang melonjak lebih daripada 5.0 peratus minggu lepas serta harga minyak Brent yang naik sedikit pada ketika ini,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Firma penyelidikan itu turut menjangkakan indeks utama akan bergerak dalam julat kecil dengan paras sokongan antara 1,555 dan 1,565, sementara halangan pada 1,600 dan 1,620.

Bagi sektor yang menjadi tumpuan, Malacca Securities berkata sektor perladangan; minyak dan gas mungkin menarik minat peniaga di tengah-tengah peningkatan harga MSM dan minyak Brent.

Selain itu, di bawah perintah kawalan pergerakan 3.0, permintaan yang kukuh untuk saham pembungkusan dan berkaitan media dijangkakan di tengah-tengah mod penghuni perlu diam di rumah.

“Sektor teknologi juga mungkin menyaksikan beberapan lantunan teknikal selepas Nasdaq mencatatkan keuntungan dalam urus niaga semalaman,” katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank, Public Bank dan Petronas Chemicals masing-masing susut satu sen kepada RM8.23, RM4.09 dan RM8.29.

Tenaga dan IHH Healthcare masing-masing menambah satu sen kepada RM9.91 dan RM5.67, sementara saham sarung tangan getah – Hartalega, Top Glove dan Supermax – meningkat kerana kes Covid-19 di negara ini terus melambung tinggi.

Bagi kaunter aktif, Tanco tidak berubah pada 11 sen, Focus Dynamics dan LKL masing-masing naik setengah sen kepada 10 sen dan 37 sen sementara KTG menambah satu sen kepada 23.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 8.53 mata kepada 11,666.15, Indeks FBMT 100 menokok 4.69 mata kepada 11,319.07, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 29.6 mata kepada 13,107.43, FBM ACE naik 70.45 mata kepada 8,396.98, dan FBM 70 memperoleh 18.07 mata kepada 15,277.56.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 20.85 mata kepada 14,782.77, Indeks Perladangan 44.72 mata lebih kukuh pada 7,142.21 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.27 mata kepada 200.81.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia teruskan kerugian untuk dibuka lemah pagi ini

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Bursa Malaysia meneruskan kerugian yang dicatatkan semalam untuk dibuka lemah pagi ini dengan sentimen pelabur secara keseluruhan kekal berhati-hati menjelang pengumuman kadar dasar semalaman (OPR) lewat hari ini.

Pada jam 9.10 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 5.13 mata kepada 1,570.54 daripada 1,575.67 pada penutupan urus niaga petang Rabu.

Indeks utama dibuka 3.58 lebih rendah pada 1,572.09.

Di pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi untung 321 berbanding 165 sementara 297 kaunter tidak berubah, 1,373 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 470.74 juta saham bernilai RM332.50 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, pasaran secara meluas mungkin terus stabil berikutan kebimbangan mengenai peluasan perintah kawalan pergerakan (MCO 3.0) ke beberapa daerah di Johor, Perak dan Terengganu yang dijangka mengurangkan minat belian hari ini.

Katanya, pelabur akan turut memantau pengumuman OPR oleh Bank Negara Malaysia (BNM), yang mana ramai penganalisis menjangkakan BNM akan mengekalkan kadar faedah pada 1.75 peratus pada mesyuarat ketiganya lewat hari ini.

“Selain itu, kerajaan telah melancarkan rangsangan Jaringan Prihatin bernilai RM3.5 bilion untuk membantu langganan pelan data dan pembelian peranti mudah alih.

“Bagi komoditi pula, harga minyak telah meningkat, didorong oleh permintaan bahan bakar yang lebih tinggi di tengah-tengah pelonggaran sekatan pergerakan di AS dan sebahagian Eropah pada musim panas,” tambahnya.

Firma penyelidikan itu menjangkakan pelancaran Jaringan Prihatin dapat memberi sinar kepada sektor telekomunikasi.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM8.22, Public Bank turun satu sen kepada RM4.10 dan PetChem tidak berubah pada RM8.16.

Bagi saham aktif pula, Tanco menokok satu sen kepada 10 sen, KTG naik setengah sen kepada 22.5 sen, Dataprep meningkat 22 sen kepada RM2.17 dan Saudee lebih tinggi tiga sen kepada 22.5 sen.

Daripada kaunter untung, Widetech naik 32 sen kepada RM1.30, F&N dan KLK masing-masing menambah 16 sen kepada RM29.18 dan RM21.76.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 41.20 mata pada 11,563.64, Indeks FBM Emas Syariah susut 64.71 mata kepada 12,941.18, Indeks FBMT 100 merosot 38.96 mata kepada 11,217.44, FBM 70 menguncup 61.84 mata kepada 15,219.77 dan FBM ACE kehilangan 64.97 mata kepada 8,404.97.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 0.30 mata kepada 197.99, Indeks Perladangan naik 9.40 mata kepada 6,926.25 sementara Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 9.14 mata kepada 14,765.30.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi dalam dagangan tidak menentu

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Bursa Malaysia dibuka tinggi dalam dagangan yang tidak menentu hari ini berikutan keseluruhan sentimen pelabur kekal berhati-hati berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.18 mata kepada 1,588.43 daripada 1,588.25 sewaktu ditutup pada Selasa.

Indeks barometer itu dibuka 3.73 lebih tinggi kepada 1,591.98.

Bagaimanapun, di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 245 berbanding 202, manakala 291 kaunter tidak berubah, 1,416 tidak diniagakan dan lima yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 359.92 juta saham bernilai RM172.87 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata Bursa Malaysia dijangka kekal lemah berikutan peningkatan semula kes Covid-19 yang menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan membabitkan enam daerah di Selangor.

“Sementara itu, sektor teknologi akan menyaksikan penurunan berikutan penyusutan semalaman Nasdaq di Wall Street.

“Mengenai komoditi, harga minyak mentah Brent telah menokok kepada paras tertinggi dua bulan susulan keyakinan permintaan, manakala niaga hadapan kayu-kayan ke arah paras tertinggi sepanjang masa di rantau ini,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Firma penyelidikan itu berkata, untuk hari ini, sektor itu akan menumpukan kepada kaunter berkaitan pembungkusan ketika pelaksanaan PKP 3.0.

“Selain itu, harga minyak mentah Brent yang lebih tinggi serta hasil yang lebih tinggi daripada jangkaan daripada gergasi minyak Saudi Aramco boleh merangsang minat belian, manakala minat dagangan boleh dilihat pada saham berkaitan kayu-kayan,” katanya.

Semalam, kerajaan mengumumkan pergerakan merentas negeri dan daerah tidak dibenarkan iaitu di Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang yang dikenakan PKP bermula 6 Mei sehingga 17 Mei akibat lonjakan kes baharu Covid-19 di kawasan berkenaan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata aktiviti sosial tidak dibenarkan, namun kebanyakan aktiviti ekonomi tidak akan terjejas.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank dan Public Bank tidak berubah masing-masing pada RM8.24 dan RM4.12. Petronas Chemicals susut enam sen kepada RM8.12, TNB jatuh dua sen kepada RM9.95 dan IHH menokok tiga sen kepada RM5.29.

Bagi saham aktif, KNM meningkat setengah sen kepada 19 sen, TA Win menambah 3.5 sen kepada 17 sen, Tanco tidak berubah pada enam sen dan Velesto Energy berkurangan setengah sen kepada 15.5 sen.

Saham paling untung termasuk Transocean yang meningkat 43 sen kepada RM6.63, Gopeng naik 22 sen kepada RM1.35 dan HengYuan menambah 15 sen kepada RM5.75.

Antara saham rugi, MPI turun 50 sen kepada RM38, Nestle susut 30 sen kepada RM135.50 dan Unisem berkurangan 19 sen kepada RM7.71.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas rendah 2.59 mata kepada 11,698.59, Indeks FBM Emas Syariah turun 12.92 mata kepada 13,121.40, Indeks FBMT 100 jatuh 7.38 mata kepada 11,341.18, Indeks FBM 70 turun 43.53 mata kepada 15,372.05, dan Indeks FBM ACE susut 36.06 mata kepada 8,591.34.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.36 mata kepada 198.87, Indeks Perladangan lemah 16.03 mata kepada 6,975.98, namun Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 21.02 mata kepada 14,860.24.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Bursa Malaysia dibuka rendah sedikit susulan ambilan untung

KUALA LUMPUR, 27 APRIL: Bursa Malaysia susut sedikit pada awal dagangan Selasa berikutan aktiviti pengambilan untung secara sederhana membabitkan kaunter produk pengguna terpilih ketika sentimen bercampur-campur menguasai pasaran serantau, kata peniaga.

Pada 9.15 pagi ini, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.254 mata kepada 1,619.23 daripada 1,623.47 pada akhir dagangan Isnin.

Indeks penanda aras itu turun 0.26 mata kepada 1,623.21 sewaktu pasaran dibuka pagi ini.

Sentimen pasaran secara amnya negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 294 berbanding 260 manakala 384 kaunter lain tidak berubah, 1,262 tidak diniagakan dan 29 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 769.23 juta saham bernilai RM490.78 juta.

Sementara itu, Malacca Securities menerusi nota penyelidikannya menjangkakan sentimen pasaran kekal berhati-hati menjelang pengumuman membabitkan sekatan pergerakan baharu susulan pandemik Covid-19.

“FBM KLCI misalnya mencatat peningkatan untuk sesi ketiga berturut-turut, sebahagiannya dipacu oleh aktiviti belian ketara dalam kaunter sarung tangan susulan peningkatan mendadak Covid-19 di beberapa negara terutamanya di India dan Brazil,” katanya.

Bagaimanapun, firma pembrokeran itu berkata momentum peningkatan saham sarung tangan tersebut akan susut apabila kes Covid-19 kembali berkurangan selain didorong oleh pelaksanaan program vaksinasi.

“Kami kekal optimis terhadap saham berkaitan pembungkusan berikutan peningkatan ketara terhadapnya serta penghantaran ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Selain itu, para pelabur juga mungkin berminat terhadap saham-saham berkaitan teknologi selepas kenaikan semalaman oleh pasaran NASDAQ.

“Malah, saham pengangkutan dan logistik juga kekal menjadi tumpuan yang dipacu oleh permintaan tinggi terhadapnya,” katanya.

Nestle dan Petronas Dagangan muncul dua kaunter paling rugi di Bursa Malaysia, masing-masing merosot 80 sen dan 20 sen kepada RM135.70 dan RM20.10

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank susut 5.0 sen kepada RM8.31, Public Bank turun 1.0 sen kepada RM4.18, Petronas Chemicals merosot 7.0 sen kepada RM7.84 manakala TNB tidak berubah pada RM10 dan Top Glove sebaliknya naik 7.0 sen kepada RM5.97.

Bagi saham aktif, Focus Dynamics dan Kanger International masing-masing menokok 1.0 sen kepada 15.5 sen dan 8.0 sen, KTG naik setengah sen kepada 26 sen dan Hiap Teck meraih 1.5 sen kepada 55 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 23.62 mata kepada 11,914.29; FBMT 100 turun 27.16 mata kepada 11,565.42; FBM 70 rendah 24.85 mata kepada 15,692.77; FBM Emas Shariah menguncup 7.79 mata kepada 13,436.52 manakala FBM ACE naik 101.44 mata kepada 9,002.36.

Mengikut sektor pula, Indeks Perladangan susut 16.31 mata kepada 6,868.43, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 62.19 mata kepada 14,989.42 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.36 mata kepada 197.30.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Bursa Malaysia meningkat semula pada Khamis, mencerminkan pemulihan semalaman pasaran Amerika Syarikat (AS).

Semua indeks dan indeks sektoral berada dalam keadaan positif dengan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.8 mata kepada 1,600.38 setakat 9.05 pagi.

Saham pandu pasaran dibuka 3.31 mata lebih tinggi kepada 1,599.89.

Keseluruhan suasana pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 266 kepada 156, manakala 329 kaunter tidak berubah, 1,435 tidak diniagakan dan enam yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah 386.22 juta saham bernilai RM156.58 juta.

Malacca Securities menjangka bursa tempatan mungkin mencatatkan sedikit kenaikan semula, menjejaki peningkatan semalaman di Wall Street.

Bursa tempatan mungkin mengambil petunjuk daripada kenaikan semalaman Nasdaq dan meletakkan sektor teknologi itu pada radar, katanya dalam satu nota.

Pada Rabu, saham AS pulih daripada penyusutan pada sesi sebelumnya berikutan Dow meningkat dengan tumpuan pelabur beralih kepada kemajuan pemulihan ekonomi di tengah-tengah pengeluaran pendapatan korporat yang ketara.

Dow naik 0.93 mata kepada 34,137.31, Nasdaq meningkat 1.19 peratus untuk ditutup kepada 13,950.22 dan S&P 500 naik 0.93 peratus untuk ditutup kepada 4,173.42. Selain itu, bursa Asia ditutup rendah semalam.

Di peringkat tempatan, Malacca Securities yakin kaunter perladangan mungkin menyaksikan sedikit peningkatan susulan harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih kukuh.

Harga MSM terus berlegar menghampiri paras RM4,000, namun impak positif masih belum dicerminkan di kaunter perladangan.

Bagaimanapun, kaunter sarung tangan mungkin menurun akibat kebimbangan terhadap harga jualan purata sarung tangan berikutan program vaksinasi Covid-19 yang sedang dilaksanakan dan kelemahan harga minyak yang dijangka mengehadkan kenaikan itu.

Harga minyak merosot ketara pada Rabu susulan kebimbangan mengenai unjuran permintaan tenaga selepas peningkatan inventori minyak mentah AS yang tidak dijangka dan lonjakan penularan Covid-19 di India.

Di peringkat tempatan, kebanyakan kaunter wajaran tinggi adalah rendah dengan hanya empat kaunter terutamanya saham sarung tangan yang berada dalam keadaan negatif.

Petronas Chemicals naik enam sen kepada RM7.85, manakala Axiata dan Sime Darby Plantation masing-masing menokok tiga sen kepada RM3.84 dan RM4.46.

PPB Group meningkat 18 sen kepada RM18.68 dan CIMB menambah dua sen kepada RM4.24.

Press Metal dan Digi susut satu sen kepada RM5.24 dan RM4.19, manakala Hartalega dan Supermax berkurangan dua sen kepada RM10.10 dan RM5.52.

Dalam kalangan saham aktif, Techhna-X dan Key Asic masing-masing meningkat dua sen kepada 15 sen dan 23 sen.

Ucrest meningkat 1.5 sen kepada 50 sen dan Dynaciate rendah setengah sen kepada 11 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 34.91 mata kepada 11,790.03, FBMT 100 naik 32.23 mata kepada 11,443.00, manakala FBM 70 meningkat 63.42 mata kepada 15,573.87.

FBM Emas Shariah naik 45.08 mata kepada 13,197.67 dan FBM ACE tinggi 59.18 mata kepada 8,585.26.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan 24.11 mata lebih tinggi kepada 6,84214, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 17.79 mata kepada 15,029.21, dan Indeks Produk dan Perindustrian meningkat 0.61 mata kepada 195.37.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI

Kenaikan harga minyak dunia dorong Bursa Malaysia diniaga tinggi

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Saham-saham di Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi Selasa ini, disokong oleh kenaikan harga minyak mentah Brent serta berita baik berkenaan sokongan pelan rangsangan AS yang mungkin dapat memberikan sentimen positif kepada pasaran tempatan.

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.53 mata kepada 1,579.86 daripada 1,573.33 ketika ditutup sebelumnya.

Indeks utama dibuka 1.34 mata lebih tinggi pada 1,574.67.

Pergerakan harga positif dengan kaunter untung mengatasi rugi 306 berbalas 158 sementara 285 kaunter tidak berubah, 1,398 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 414.82 juta unit bernilai RM195.45 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, ia berkata harga minyak Brent melonjak melepasi paras US$60 dan ini mampu memberikan nada positif kepada pasaran tempatan meskipun bursa akan menyaksikan sentimen dagangan yang berhati-hati menjelang sambutan perayaan Tahun Baru Cina.

“Pelabur juga mungkin akan terus mengurangkan pendedahan masing-masing di pasaran bursa,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Firma itu juga menyatakan dengan Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang semakin hampir, dan kes harian terus berada di bawah 4,000 untuk hari keempat, pelabur mungkin yakin akan berlakunya pemulihan dalam bergerak ke hadapan.

Minyak mentah antarabangsa Brent mengukuh 0.53 peratus dan diniagakan pada US$60.88 setong.

Untuk fokus sektor urus niaga Selasa ini, firma pembrokeran itu berpendapat saham tenaga dijangka menjadi pilihan para pelabur disokong oleh pengukuhan harga minyak mentah sementara saham yang bertemakan pemulihan seperti penerbangan dan permainan boleh meneruskan aliran meningkat di celah-celah perkembangan vaksin.

“Untuk musim pengumuman pendapatan korporat yang akan datang ini, para pelabur juga mungkin meletakkan diri mereka dalam kalangan sektor elektronik pengguna, perladangan, perabot dan teknologi,” katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank dan Tenaga masing-masing naik tiga sen kepada RM7.86 dan RM9.70, PBBank dan PChem masing-masing menambah satu sen kepada RM4.09 dan RM7.50, sementara Topglove tidak berubah pada RM6.27.

Saham paling cergas, DNex naik 3.5 sen kepada 40.5 sen dan warannya menambah setengah sen kepada tujuh sen, Luster turun setengah sen kepada 21.5 sen, Opcom meningkat 10 sen kepada 65.5 sen dan XOX naik satu sen kepada 8.5 sen.

Daripada kalangan kaunter paling untung, MPI mengukuh 40 sen kepada RM36.54, PetDag naik 26 sen kepada RM19.60, CGB dan Telekom masing-masing meningkat 23 sen kepada RM1.48 dan RM6.73.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 45.17 mata kepada 11,524.56, Indeks FBMT 100 menambah 43.69 mata kepada 11,243.21 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 55.12 mata kepada 13,068.55.

FBM 70 lebih tinggi 47.90 mata kepada 15,097.24 dan FBM ACE meningkat 8.54 mata kepada 10,780.24.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 43.19 mata kepada 14,608.60, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.94 mata menjadi 179.0, dan Indeks Perladangan meningkat 12.01 mata kepada 7,134.74.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia melantun untuk dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Bursa Malaysia kembali pulih untuk dibuka tinggi pagi Isnin, mengambil petunjuk daripada prestasi di pasaran Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, kebanyakan peniaga masih mengambil sikap berhati-hati terutama menjelang sambutan Tahun Baru Cina pada akhir minggu ini.

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 0.47 mata kepada 1,579.10 daripada 1,578.63 ketika ditutup pada petang Jumaat lepas.

Indeks utama dibuka 1.81 mata lebih tinggi pada 1,580.44.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 351 berbalas 181 sementara 328 kaunter tidak berubah, 1,280 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah sebanyak 520.23 juta unit bernilai RM211.57 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata FBM KLCI memperlihatkan prestasi rendah berbanding bursa serantau yang lain pada Jumaat.

Ini susulan kerugian di kaunter berwajaran tinggi sarung tangan dan perladangan selepas meningkat rancak baru-baru ini dengan tekanan penjualan dalam kalangan institusi tempatan dan asing terus menjejaskan bursa tempatan walaupun terdapat minat membeli oleh pelabur runcit tempatan.

“Untuk urus niaga pagi ini, kaunter berharga murah mungkin menyaksikan beberapa peningkatan menjelang pelancaran vaksin,” katanya dalam satu nota.

Untuk fokus sektor pula, firma itu berkata sokongan belian dijangka muncul di kaunter perladangan dirangsang oleh harga minyak sawit mentah yang tinggi.

“Selain itu, saham berkaitan teknologi, perabot dan pengguna akan meneruskan trend menaik sepanjang tempoh musim pelaporan keputusan kewangan,” tambahnya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM7.87, Public Bank turun dua sen kepada RM4.10, Petronas Chemicals meningkat tujuh sen kepada RM7.42 dan Tenaga menambah empat sen pada RM9.74.

Kaunter paling cergas, AT Systemization, Dagang Nexchange dan Thrive Property masing-masing mengukuh 1.5 sen kepada 18 sen, 29.5 sen dan 27 sen, sementara MTouche turun setengah sen kepada lima sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 25.52 mata kepada 11,527.85, Indeks FBMT 100 menambah 13.61 mata kepada 11,243.17 dan Indeks FBM Emas Syariah lebih tinggi 29.59 mata kepada 13,091.95.

FBM 70 meningkat 58.14 mata kepada 15,117.96 dan FBM ACE melonjak 60.01 mata kepada 10,921.24.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 23.44 mata kepada 14,623.35, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.03 mata kepada 175.74 dan Indeks Perladangan lebih tinggi 7.01 mata kepada 7,214.78.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi, jejaki prestasi Wall Street

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Saham di Bursa Malaysia dibuka tinggi pada pagi Jumaat, mengambil petunjuk daripada keuntungan semalaman di Wall Street serta makluman terkini kerajaan Malaysia mengenai program pemvaksinan Covid-19 yang dijadual dilancarkan menjelang akhir Februari ini.

Pada jam 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.64 mata kepada 1,588.54 daripada 1,584.90 ketika ditutup petang Khamis.

Indeks utama dibuka 2.8 mata lebih tinggi pada 1,587.70.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 272 berbalas 129 manakala 265 kaunter tidak berubah, 1,464 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah sebanyak 252.31 juta unit bernilai RM128.41 juta.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada petang Khamis mengumumkan vaksin Covid-19 yang dihasilkan oleh syarikat Pfizer dan BioNTech akan diberikan secara percuma kepada 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu.

“Pengumuman itu berserta prestasi positif semalaman di Wall Street mampu meningkatkan sentimen secara keseluruhan di pasaran tempatan,” ujar Malacca Securities Sdn Bhd dalam catatannya hari ini.

Ia berkata saham berharga rendah akan terus menikmati momentum kenaikan kerana kecairan kekal baik di pasaran ekuiti.

Bagi fokus sektor hari ini, firma pembrokeran itu berkata memandangkan aktiviti ekonomi mungkin akan dimulakan kembali dalam masa terdekat, pihaknya menjangkakan minat perdagangan mungkin berkembang dalam lingkungan sektor yang sedang pulih seperti pembinaan, bahan binaan, hartanah dan pertaruhan.

“Sementara kaunter berkaitan teknologi, perabot dan vaksin akan terus rancak,” katanya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik empat sen kepada RM7.93, Public Bank menambah satu sen kepada RM4.09, Petronas Chemicals meningkat sembilan sen kepada RM7.30 dan Tenaga tujuh sen lebih tinggi pada RM9.77.

Saham paling cergas pula, Mtouche tidak berubah pada lima sen, Solution Group turun empat sen kepada RM1.45 dan QES naik dua sen kepada 53.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 31.25 mata kepada 11,561.51, Indeks FBMT 100 menambah 29.06 mata kepada 11,291.90 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 35.59 mata kepada 13,130.50.

FBM 70 menokok 51.18 mata kepada 15,112.13 dan FBM ACE meningkat 50.11 mata kepada 10,966.94.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 23.44 mata kepada 14,623.35, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.03 mata kepada 175.74 sementara Indeks Perladangan melonjak 7.01 mata kepada 7,214.78.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Saham di Bursa Malaysia dibuka tinggi, dahului sektor tenaga

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Saham-saham di Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Rabu, dengan sektor tenaga mendahului kenaikan susulan peningkatan harga minyak mentah kepada US$55 setong, mencecah paras tertinggi dalam tempoh setahun dalam keadaan jumlah kes Covid-19 terus bertambah.

Syarikat berkaitan Petronas seperti Petronas Chemicals naik lapan sen atau 1.16 peratus kepada RM6.99, Petronas Dagangan melonjak 14 sen atau 0.70 peratus kepada RM20.10 sementara Petronas Gas tidak berubah pada RM16.20.

Pada 9.01 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 3.92 mata kepada 1,584.41 daripada 1,580.49 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks itu dibuka 3.53 mata lebih tinggi kepada 1,584.02.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 255 berbanding 100, sementara 226 kaunter tidak berubah, 1,547 kaunter tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 174.46 juta unit bernilai RM89.52 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berpandangan kaunter minyak dan gas mungkin meningkat lebih tinggi, disokong kenaikan harga minyak mentah Brent hampir 2.0 peratus, melonjak kepada paras tertinggi dalam tempoh 12 bulan.

“Pelabur mungkin terus mencari saham di bawah sektor pengangkutan dan logistik, perladangan, elektronik pengguna dan penjagaan kesihatan menjelang tempoh pelaporan prestasi kewangan,” menurutnya dalam nota penyelidikan.

Firma pembrokeran itu berpendapat saham sarung tangan juga telah positif dari segi teknikal.

Bagaimanapun, peniaga lain berkata pada masa yang sama, pelabur turut akan memantau saham tenaga, berikutan kerugian terbesar bernilai US$22 bilion yang dicatatkan Exxon Mobil Corporation.

Ia merupakan kerugian tahunan pertama dalam tempoh sekurang-kurangnya 40 tahun.

“Sektor tenaga kini mengalami tekanan negatif,” katanya.

Syarikat multinasional AS itu dilaporkan komited untuk melindungi dividen ketiga terbesar dalam Indeks S&P 500 walaupun mencatat kerugian.

Dalam perkembangan lain, bekas Ketua Pegawai Ekesekutif Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin telah dipilih sebagai ahli lembaga pengarah Exxon.

Malacca Securities juga menjelaskan walaupun pasaran meluas mungkin menjangkakan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (kecuali bagi Sarawak), pihaknya yakin peserta pasaran dijangka mengalihkan tumpuan mereka kepada saham berkaitan dengan Sarawak.

Ini susulan penarikan balik PKP 2.0 bagi negeri itu akan mendorong lebih banyak sektor ekonomi dibenarkan beroperasi untuk bergerak mencapai prestasi lebih baik, menurutnya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik sembilan sen kepada RM7.94, Public Bank menokok dua sen kepada RM4.12, CIMB menambah tiga sen kepada RM3.89 dan Sime Darby Plantation meningkat empat sen pada RM4.94.

Bagi saham aktif, syarikat berkaitan tenaga — Velesto Energy, Bumi Armada dan Sapura Energy — adalah antara saham yang aktif didagangkan, masing-masing menambah setengah sen; naik satu sen dan tidak berubah kepada 12.5 sen, 34 sen dan 12 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 34.87 mata kepada 11,480.22, Indeks FBMT 100 menambah 27.85 mata kepada 11,220.80 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 19.99 mata kepada 13,037.53.

FBM 70 meningkat 37.18 mata kepada 14,855.39 dan FBM ACE naik 26.31 mata kepada 10,817.27.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 100.80 mata kepada 14,549.38, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 0.74 mata kepada 171.44 tetapi Indeks Perladangan turun 2.85 mata kepada 7,163.42.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi sebelum susut awal dagangan

KUALA LUMPUR, 17 DIS: Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini sebelum menyusut selepas mencatatkan peningkatan kukuh sejak dua hari lepas walaupun pasaran saham AS semalaman mempamerkan prestasi memberangsangkan.

Pelabur di Wall Street memberikan tindak balas positif kepada laporan menyatakan penggubal undang-undang AS telah hampir mencapai kesepakatan mengenai bantuan koronovirus sementara Rizab Persekutuan menunjukkan kebanyakan pegawai menjangkakan kadar faedah akan kekal menghampiri sifar untuk tempoh bertahun-tahun lagi, kata para peniaga.

Pada pukul 9.08 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.24 mata kepada 1,676.17 berbanding 1,681.41 ketika ditutup sebelumnya.

Indeks utama dibuka 2.86 mata lebih tinggi pada 1,684.27.

Pergerakan harga keseluruhan pasaran juga negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung 280 berbalas 257 manakala 415 kaunter tidak berubah, 1,191 tidak diniagakan dan 45 yang laing digantung.

Jumlah dagangan ialah 596.75 juta unit bernilai RM233.25 juta.

Dalam satu nota penyelidikan hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata berikutan peningkatan semalaman pasaran saham AS, pasaran tempatan dijangka menyusul tetapi kegiatan pengambilan untung kemungkinan akan muncul kemudian.

“Kes-kes Covid-19 yang dikesan di beberapa syarikat sarung tangan mungkin mencetuskan beberapa aktiviti jualan selepas saham pengeluar sarung tangan melambung kembali selama dua hari.

“Sementara itu, dengan perbincangan yang berterusan di pasaran mengenai kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura, kami berpendapat peniaga akan terus berurus niaga ke atas kaunter pembinaan dan hartanah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, harga minyak Brent melonjak melepasi US$51 setong di sebalik penurunan inventori minyak mentah sebanyak 3.1 juta tong minggu lepas dan ini membantu menyokong pasaran tempatan.

Untuk sektor yang menjadi fokus utama, ia menambah selain daripada sektor pembinaan, bahan bangunan serta hartanah, sektor yang dikenal pasti untuk pemulihan seperti perbankan dan pengguna juga akan meningkat meskipun dalam tempoh “window dressing”.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank turun lima sen kepada RM8.62, Public Bank dan Tenaga masing-masing menyusut enam sen kepada RM21.82 dan RM10.70, Top Glove jatuh empat sen kepada RM6.73, sementara Petronas Chemicals naik satu sen kepada RM7 .61.

Saham-saham paling cergas pula, waran Seacera menokok lima sen kepada 5.5 sen, Mah Sing menambah 4.5 sen kepada 97.5 sen dan Tiger Synergy mengembang setengah sen kepada 17 sen.

Waran Sunzen Biotech lega setengah sen kepada 2.5 sen dan Sino Hua-An tidak berubah pada 19 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 28.51 mata pada 12,072.48, Indeks FBMT 100 merosot 39.90 mata kepada 11,823.60, FBM 70 lebih rendah 48.37 mata kepada 15,486.44, FBM ACE jatuh 48.38 mata kepada 10,537.88, dan Indeks FBM Emas Syariah kehilangan 10.13 mata kepada 13,423.33.

Sementara itu, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.55 mata kepada 176.36, Indeks Perladangan menambah 41.71 mata kepada 7,405.48, tetapi Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 95.89 mata kepada 15,854.01.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Saham kewangan dorong Bursa Malaysia tinggi pada awal dagangan

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada hampir seluruh papan hari ini, susulan pembelian sederhana dengan didahului kaunter perkhidmatan kewangan, barangan dan perkhidmatan perindustrian serta penjagaan kesihatan.

Prestasi bursa tempatan itu seiring dengan bursa-bursa serantau.

Pada 9.01 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.18 mata kepada 1,512.84 daripada 1,511.66 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks itu dibuka 1.09 mata lebih tinggi kepada 1,512.75 pagi ini.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 242 berbanding 38 manakala 211 kaunter tidak berubah, 1,618 kaunter tidak diniagakan dan 43 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 171.56 juta unit bernilai RM74 juta.

Prestasi di bursa tempatan dan serantau menjejaki pergerakan Wall Street yang tinggi semasa memulakan minggu ini, dengan jangkaan pakej rangsangan dipersetujui dalam tempoh terdekat.

Purata Perindustrian Dow Jones naik 410 mata kepada paras melebihi 27,500.

“Kami menjangkakan pasaran serantau mengekalkan aliran meningkat hari ini dengan didorong pembelian asas meluas.

“Di peringkat tempatan, kami mengunjurkan FBM KLCI mengekalkan kenaikan memandangkan minat terhadap saham berkaitan pandemik terus memperoleh minat belian,” menurut Rakuten Trade dalam nota penyelidikan hari ini.

Firma pembrokeran itu berkata indeks penanda aras mungkin menguji paras 1,520 hari ini, seterusnya keluar daripada keadaan tidak banyak berubah yang dialami sejak sekian lama.

Malacca Securities Sdn Bhd pula berkata fokus sektor hari ini termasuk kaunter teknologi.

Ia berkata terdapat minat belian baru dalam beberapa hari lepas susulan prospek positif.

Sementara itu, sektor kesihatan juga menunjukkan langkah pemulihan awal kerana para pelabur membeli pada harga lebih rendah bagi saham yang terjejas.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM7.12, Public Bank menokok empat sen kepada RM15.46, Top Glove tidak berubah pada RM8.77 dan Hartalega menambah enam sen kepada RM17.48.

Bagi saham aktif, Perak Transit dan XOX masing-masing naik setengah sen kepada 29 sen dan 18 sen, Ikhmas Jaya menambah satu sen kepada 19 sen dan Kanger International menokok 1.5 sen kepada 22 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 15.34 mata kepada 10,902.63 dan Indeks FBM Emas Syariah naik 9.31 mata kepada 13,054.36.

FBM 70 menambah 51.22 mata kepada 14,253.82, Indeks FBMT 100 menokok 16.02 mata kepada 10,727.00 dan FBM ACE melonjak 74.88 mata kepada 10,128.73.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 29.90 mata kepada 12,357.36, Indeks Perladangan menambah 6.22 mata kepada 7,069.80 serta Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.35 mata kepada 136.12.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka rendah namun meningkat semula

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Bursa Malaysia dibuka susut seketika namun meningkat semula selepas pelabur terus memburu kaunter-kaunter saham yang berharga rendah.

Pada 9.30 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.77 mata kepada 1,513.84 berbanding 1,513.07 pada Khamis.

Sewaktu dagangan dibuka, indeks petunjuk utama itu susut 1.29 mata kepada 1,511,78.

Kaunter untung mengatasi rugi iaitu 314 berbanding 247 manakala 347 kaunter tidak berubah, 1,177 tidak diniagakan manakala 41 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.02 bilion unit bernilai RM715.82 juta.

Sementara itu, Malacca Securities berkata kehadiran semula ketidaktentuan yang dilihat semalam akan terus menjadikan pelabur berhati-hati dengan aktiviti pengambilan untung berkemungkinan mengehadkan kenaikan dalam masa terdekat.

FBM KLCI juga dilihat tidak berubah selepas mencatat kenaikan selama tiga hari berturut-turut, membolehkan pelabur menerima reaksi pulangan awal selain meneliti semula keadaan pasaran semasa.

“Kami melihat saham-saham pengguna berada di landasan pemulihan apabila perbelanjaan pengguna semakin ketara sejak kebelakangan ini, terutamanya berkaitan perabot yang menyaksikan peningkatan permintaan apabila semakin ramai bekerja dari rumah.

“Selain itu, peningkatan semula harga minyak dan minyak sawit mentah dijangka menarik minat dagangan kaunter saham-saham berkaitan,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Dalam pada itu, harga minyak juga meningkat, dipacu oleh hasil positif susulan mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC).

Ini berikutan OPEC dan sekutunya telah membayangkan bahawa mereka akan menjejaki negara-negara yang gagal mematuhi peraturan mengurangkan jumlah pengeluaran.

Dalam pada itu, saham-saham wajaran tinggi menyaksikan Top Glove pulih daripada tekanan pada Khamis apabila meningkat 18 sen kepada RM7.97, Hartalega menambah 20 sen kepada RM14.30 dan IOI naik lima sen kepada RM4.44.

Maybank sebaliknya kekal rendah apabila susut satu sen kepada RM7.36 manakala Axiata berkurangan dua sen kepada RM3.03.

Selain itu, CME untung satu sen kepada 12.5 sen, MCT naik dua sen kepada 21 sen, Kanger tidak berubah pada 30 sen dan Nexgram turun setengah sen kepada 4.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 3.5 mata kepada 10,862.19 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 26.69 mata kepada 12,816.22.

FBM 70 turun 24.60 mata kepada 13,964.72, Indeks FBMT 100 susut 0.62 mata kepada 10,677.00 dan FBM ACE naik 17.07 mata kepada 11,163.49.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan kekal dalam wilayah negatif apabila susut 42.39 mata kepada 12,692.46, Indeks Perladangan sebaliknya naik 14.48 mata kepada 7,112.18 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 0.18 mata kepada 135.73.

-BERNAMA