Categories
AGENDA NASIONAL

MAHB sedia terima ketibaan penumpang antarabangsa mulai 1 April

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memastikan semua lapangan terbang antarabangsanya bersedia untuk menerima kemasukan penumpang antarabangsa ke negara ini sebaik sahaja sempadannya dibuka semula pada 1 April, 2022, seperti yang diumumkan kerajaan pada Selasa.

Pengendali lapangan terbang itu sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa terutama Kementerian Kesihatan (KKM), bagi menambah baik aliran proses di lapangan terbang terutama bagi ketibaan.

“Bagi tujuan itu, maklum balas daripada penumpang sejak beberapa bulan yang lepas turut diambil kira supaya pengalaman penumpang menjadi selancar yang mungkin sementara kesejahteraan mereka terus dilindungi,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengarah Urusan Datuk Iskandar Mizal Mahmood dalam kenyataan yang sama berkata “kecekapan protokol keselamatan di lapangan terbang adalah bidang tumpuan utama kerana ia memainkan peranan utama dalam memastikan pengalaman pemprosesan penumpang yang menyenangkan.”

Antara langkah yang diambil oleh MAHB untuk memastikan kesediaan lapangan terbang termasuk menempatkan lebih ramai kakitangan berpengalaman mengendalikan pelanggan di lapangan, serta memasang lebih banyak papan tanda dan tempat duduk di seluruh terminal untuk kemudahan dan keselesaan yang lebih baik kepada penumpang.

Selain itu, lebih 22,000 ahli komuniti lapangan terbang telah diberi vaksin sepenuhnya. Pengendali lapangan terbang itu ingin mengingatkan semua penumpang dan tetamu lapangan terbang untuk terus mematuhi semua protokol keselamatan bagi kepentingan orang ramai.

“Kita perlu memastikan mereka mempunyai tanggapan yang baik terhadap Malaysia sebaik sahaja mereka memijak bumi kita dan tanggapan pertama ini akan bermula di lapangan terbang. Ketersediaan portal protokol Covid-19 akan sangat membantu dalam memudahkan proses ketibaan kerana penumpang kini boleh mendapatkan maklumat terkini daripada satu sumber,” kata Iskandar.

“Kami berharap untuk melihat pertumbuhan yang baik dalam pergerakan trafik penumpang dan pesawat antarabangsa kami kerana ini akan menyumbang dengan ketara kepada prestasi perniagaan kumpulan dan komuniti lapangan terbang. Antara lain, pelancongan masuk juga akan kembali cergas dan kesan limpahan di seluruh rantaian nilai akan memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia secara positif,” katanya.

MAHB adalah satu daripada kumpulan pengendali lapangan terbang terbesar di dunia dari segi bilangan penumpang yang dikendalikan. Ia mengurus dan mengendalikan 39 lapangan terbang di Malaysia dan satu lapangan terbang antarabangsa di Istanbul, Turki.

Sejumlah 39 lapangan terbang di Malaysia itu terdiri daripada lima lapangan terbang antarabangsa, 16 lapangan terbang domestik, dan 18 lapangan terbang berlepas dan mendarat jangka pendek (STOLports). Lapangan terbang utamanya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, adalah antara hab penerbangan pilihan di rantau ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MAHB: Pergerakan penumpang domestik lonjak tiga kali ganda pada Oktober

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Pergerakan penumpang domestik bulanan di rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) di negara ini meningkat tiga kali ganda kepada 1.18 juta orang pada Oktober lepas berbanding 362,000 orang pada bulan sebelumnya.

Lonjakan sebanyak 226 peratus itu adalah susulan daripada penamatan sekatan perjalanan domestik yang turut menyaksikan kumpulan itu buat pertama kali mencatatkan pergerakan lebih sejuta penumpang di Malaysia pada tahun ini.

Selain itu, gabungan operasi kumpulan MAHB di Malaysia dan Turki merekodkan sejumlah 4.1 juta pergerakan penumpang pada bulan lepas iaitu peningkatan sebanyak 28 peratus berbanding September.

“Pengumuman kemudahan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Changi Singapura selain gelembung pelancongan antarabangsa Langkawi serta koridor perjalanan antara Malaysia dan Indonesia akan turut meningkatkan pergerakan penumpang dalam bulan-bulan akan datang.

“Inisiatif kerajaan-dengan-kerajaan (G2G) bagi kemudahan perjalanan antarabangsa sudah semestinya akan menyumbang kepada pemulihan industri penerbangan yang terjejas teruk akibat pelaksanaan sekatan perjalanan susulan Covid-19,” kata Pengarah Urusan MAHB Datuk Iskandar Mizal Mahmood dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, MAHB juga optimis mengenai permintaan berterusan terhadap perjalanan sama ada bagi tujuan perniagaan atau riadah.

Bagi pihak penggiat industri, Iskandar Mizal berkata MAHB perlu memastikan pelaksanaan langkah-langkah keselamatan secara ketat serta dipatuhi agar penumpang dapat menikmati perjalanan dengan lebih tenang tanpa sebarang kekurangan dalam tahap perkhidmatan yang diberikan.

Menurutnya, sebelum berlakunya Covid-19, laluan KLIA-Changi merupakan laluan penerbangan antarabangsa paling sibuk di dunia bagi dua tahun berturut-turut iaitu 2018 dan 2019 dengan merekodkan lebih 30,000 penerbangan setahun.

Malah, Iskandar Mizal yakin permintaan sama akan terus kekal bagi laluan berkenaan.

Selain itu, aset MAHB di Turki iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISG) juga secara konsisten mencatatkan aliran pergerakan penumpang yang menggalakkan, sekali gus menggambarkan pemulihan Turki yang ketara dalam sektor penerbangan.

Pada Oktober 2021, ISG merekodkan sebanyak 2.7 juta penumpang bagi pergerakan penumpang antarabangsa iaitu meningkat 13 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Kadar vaksinasi Turki yang tinggi iaitu 72.4 peratus membabitkan penduduk dewasa serta pelancaran vaksin Covid-19 sendiri dikenali Turkovac, turut meningkatkan keyakinan pelancong antarabangsa untuk mengunjungi negara itu.Secara keseluruhannya, ISG kekal menjadi penyumbang utama sebanyak 66 peratus daripada jumlah pergerakan penumpang kumpulan MAHB.

Dalam pada itu dari segi operasi kargo, MAHB telah mencatatkan sebanyak 869,445 tan metrik kargo sehingga Oktober lepas — peningkatan ketara sebanyak 26 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Penggiat kargo tempatan, My Jet Xpress Airlines Sdn Bhd telah mengumumkan rancangan untuk meningkatkan kapasiti kekuatannya menerusi tambahan dua pesawat pada Disember ini.

Syarikat penerbangan kargo itu juga dalam proses memperluaskan laluannya ke China menerusi empat laluan baharu serta merancang untuk mengangkut kargo dari China ke India melalui Kuala Lumpur.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MAHB harap Bajet 2022 bantu sektor penerbangan terjejas pandemik

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berharap Bajet 2022 akan memperuntukkan insentif dan sokongan bantuan bagi memulihkan hubungan udara yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Pengendali lapangan terbang itu berkata sokongan tersebut akan membolehkan pertumbuhan berterusan dalam sektor kargo dan logistik bagi memenuhi Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030 yang menyasar untuk menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk pilihan logistik ke Asia.

“Dengan sokongan itu, syarikat penerbangan penumpang boleh memulakan semula operasi mereka sebaik sahaja sekatan sempadan antarabangsa ditarik balik manakala syarikat penerbangan kargo sedia ada atau baharu boleh menyasarkan hubungan jarak jauh bagi pergerakan kargo,” kata syarikat itu kepada Bernama.

Ia berkata insentif bagi fi pendaratan dan kekerapan penerbangan akan menggalakkan lagi lebih banyak syarikat penerbangan kargo menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai rangkaian ‘hab’ mereka dan pada masa yang sama menarik lebih banyak pesawat penumpang kerangka kecil untuk beroperasi menerusi KLIA bagi menampung pertumbuhan penghantaran e-dagang dalam pasaran Asia Tenggara.

“Usaha kerajaan ini akan membantu mengelakkan ketirisan kargo kepada lapangan terbang pesaing seperti Singapura (Lapangan Terbang Changi) dan Bangkok (Lapangan Terbang Suvarnabhumi) dengan meningkatkan volum pengendalian menerusi KLIA,” katanya.

MAHB berkata ia telah membuat persiapan bagi penyambungan semula perjalanan udara secara beransur-ansur di peringkat domestik dan antarabangsa dan berharap kerajaan akan terus menyokong dan mengukuhkan usahanya untuk meningkatkan kedudukan sebagai pengendali lapangan terbang utama global apabila industri penerbangan rancak semula.

Syarikat itu juga berharap Bajet 2022 akan menyediakan sokongan bagi rakan perniagaan bukan penerbangan dan peruncit dalam lapangan terbang.

“Berikutan pergerakan penumpang yang merosot dengan ketara dan perjalanan antarabangsa yang terhad ketika pandemik, jualan peruncit telah terjejas teruk, terutamanya bagi perniagaan bebas cukai.

“Sehubungan itu, adalah penting untuk kerajaan menyokong peruncit di lapangan terbang kami dan membantu mereka meringankan kerugian yang dialami semasa krisis itu,” katanya.

MAHB berkata antara penyelesaian yang dicadangkan meliputi pindaan terhadap Panduan kepada Pengembara di bawah Akta Kastam 1967 untuk menarik minat mereka membeli-belah dan meningkatkan lebih banyak jualan di Malaysia melalui semakan semula prosedur operasi standard seperti mengurangkan jangka masa hasrat melawat Malaysia atau selepas ketiadaan dari Malaysia, menjadi tidak kurang daripada 24 jam daripada 72 jam.

Selain itu, turut disarankan adalah semakan semula bagi meningkatkan kuota barangan seperti kelayakan minuman keras bagi setiap pelancong kepada dua liter berbanding satu liter pada masa ini, selain meningkatkan kelayakan tembakau bagi setiap pelancong kepada dua karton besar (outer carton) berbanding satu karton besar (outer carton) pada masa ini, kepada para penumpang yang tiba.

Pengendali lapangan terbang itu turut mencadangkan kerajaan untuk mempertimbang pengembangan operasi bebas cukai ke bahagian penerbangan domestik serta lapangan terbang antarabangsanya seperti KLIA, selain klia2, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

“Melalui mekanisme sokongan seumpama ini kepada peruncit bebas cukai (yang lebih meluas), kami meramalkan perolehan kerajaan akan meningkat menerusi kutipan cukai yang lebih tinggi, manakala peruncit boleh mengosongkan lebihan stok dan produk bebas cukai, di samping meningkatkan inventori,” katanya.

Pada masa ini, zon bebas cukai yang diwartakan hanya melibatkan bahagian penerbangan antarabangsa.

Bajet 2022 dijadual dibentangkan di Parlimen pada 29 Okt.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pergerakan penumpang susut 82.6 peratus pada Januari – MAHB

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Pergerakan penumpang bagi rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) merosot 82.6 peratus kepada 2.1 juta pada Januari 2021 daripada 11.89 juta pada bulan yang sama 2020.

Pengendali lapangan terbang itu menjelaskan Malaysia mencatatkan pergerakan penumpang keseluruhan sebanyak 800,000 pada Januari, penyusutan 91.6 peratus daripada angka yang dicatatkan pada Januari tahun lepas.

Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen, Istabul (ISGA) di Turki merekodkan 1.3 juta pergerakan penumpang pada bulan yang sama, penurunan 55.4 peratus tahun ke tahun.

“Trafik bagi rangkaian lapangan terbang MAHB terus terjejas ekoran sekatan perjalanan antara negeri yang dikenakan semula susulan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 13 Januari 2021 di Malaysia serta perintah berkurung di Turki,” menurut syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam.

Menurut MAHB jumlah penumpang sebanyak satu juta yang dicatatkan oleh ISGA pada bulan lepas menunjukkan wujud asas permintaan dan kepentingan perjalanan udara di Turki walaupun perintah berkurung yang ketat dan penggantungan penerbangan dari United Kingdom, Afrika Selatan dan Denmark.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pula mencatatkan kurang daripada 300,000 pergerakan penumpang, dengan segmen antarabangsa dan domestik masing-masing mengalami penurunan sebanyak 97.6 peratus dan 88 peratus tahun ke tahun, jelasnya.

MAHB menjelaskan pergerakan penumpang bagi KLIA dan klia2 masing-masing merekodkan hanya 100,000 penumpang pada bulan lepas.

“Pergerakan pesawat keseluruhan di KLIA susut 85.8 peratus tahun ke tahun pada Januari 2021. Pergerakan pesawat antarabangsa dan domestik masing-masing berkurangan sebanyak 87.4 peratus dan 82.4 peratus tahun ke tahun,” jelasnya.

Menurut MAHB pergerakan pesawat keseluruhan bagi lapangan terbang Malaysia turun sebanyak 78.3 peratus tahun ke tahun, dengan pergerakan pesawat antarabangsa dan domestik masing-masing susut sebanyak 87.3 peratus dan 72.4 peratus tahun ke tahun.

“Faktor muatan purata keseluruhan adalah 40.7 peratus, dengan sektor domestik merekodkan 54.7 peratus – penurunan 12.2 mata peratusan pada Januari 2020, sebahagiannya disebabkan sekatan perjalanan antara negeri,” katanya.

Dalam melangkah maju, MAHB menjelaskan ia menjangkakan pemulihan beransur-ansur dalam sektor domestik bagi tempoh beberapa bulan akan datang.

Ini akan didorong oleh faktor kes harian Covid-19 dapat dikurangkan secara berkesan, sekatan perjalanan antara negeri dilonggarkan dan keyakinan dalam kalangan penumpang semakin meningkat apabila jumlah penduduk yang menerima suntikan vaksin bertambah, jelasnya.

Menurut MAHB pihaknya turut mengikuti rapat perkembangan terkini dan cabaran berkaitan varian virus baharu di samping pelaksanaan suntikan vaksin di Malaysia, Turki dan wilayah sekitarnya.

Kesan positif vaksin terhadap perjalanan udara di Malaysia dijangka lebih ketara sebaik sahaja barisan hadapan petugas kesihatan dan golongan berisiko tinggi menerima suntikan semasa fasa pertama pelaksanaan suntikan vaksin, diikuti penduduk yang lain mulai Mei, jelasnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Model sewaan, pakej bantuan untuk bantu jana tawaran komersial MAHB

KUALA LUMPUR, 3 SEPT: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan memperkenalkan model sewaan terkini sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengekalkan dan menarik rakan perniagaan yang baharu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, pengendali lapangan terbang itu menyedari kesukaran yang dihadapi oleh rakan kongsinya disebabkan oleh penurunan dalam trafik penumpang.

“Kami tidak akan membenarkan pandemik Covid-19 mengganggu rancangan kami dalam meningkatkan pengalaman lapangan terbang dan tahap perkhidmatan berkaitan.

“Kami perlu bersedia sehingga sampai masa apabila lapangan terbang pulih kembali ke tahap biasa. Model sewaan terbaharu ini juga akan membantu memudahkan kelangsungan perniagaan penyewa sedia ada dan menyediakan mereka dengan ruang kelegaan, sementara kami menjalani pemulihan secara beransur-ansur daripada segi trafik,” katanya dalam satu kenyataan.

Penyewa sedia ada yang telah mendaftar atau yang akan memohon untuk memasuki program set semula komersial lapangan terbang akan mendapat faedah pengurangan sewa sehingga 30 peratus daripada kadar semasa atau bersamaan dengan simpanan tahunan sebanyak RM45 juta.

Mohd Shukrie berkata, sejak 2018, MAHB telah memulakan inisiatif penetapan semula komersial di lapangan-lapangan terbang antarabangsanya bagi memperkasakan pengalaman peruncitan dan model sewaan baharu ini akan memastikan jenama terbaik muncul di lapangan terbang tanpa mengambil kira kesan Covid-19.

Sementara itu, MAHB turut memperkenalkan pakej bantuan bernilai RM22 juta untuk membantu peruncit di lapangan-lapangan terbang kendalian MAHB menangani kesan Covid-19.

Pengerusi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengumumkan di bawah pakej bantuan ini, kira-kira 650 penyewa runcit atau 80 peratus daripada peruncit akan menikmati pengurangan sebanyak 50 peratus untuk selama enam bulan.

Mereka terdiri daripada usahawan kecil dan sederhana yang akan menerima ruang kelegaan daripada segi aliran tunai bagi membolehkan mereka terus beroperasi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Koronavirus: Penumpang antarabangsa, krew penerbangan diimbas

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan bagi memeriksa penumpang antarabangsa di lapangan terbang pintu masuk utama di seluruh negara susulan penularan wabak coronavirus di Wuhan, China.

Sebagai pengendali lapangan terbang, MAHB bersama-sama agensi dan syarikat penerbangan berkaitan telah mengambil langkah tambahan bagi memastikan risiko pendedahan diminimumkan untuk keselamatan semua, terutama penumpang dan kakitangan yang bekerja di terminal.

“Kami memberi jaminan kepada semua bahawa kami mengambil serius ke atas wabak ini dan kami tidak akan menjejaskan kesejahteraan pemegang kepentingan kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara langkah yang diambil oleh kementerian dan disokong oleh MAHB iakah menjalankan pemeriksaan haba ke atas penumpang dan anak kapal yang tiba dari China.

“Kami menyediakan ruang perubatan khas untuk tujuan kuarantin di pintu masuk ketibaan untuk menempatkan penumpang yang menunjukkan tanda-tanda dijangkiti virus berkenaan.

“Selain itu, kami telah menetapkan pintu masuk lain bagi ketibaan penerbangan masuk dari China di kawasan yang lebih dekat dengan tempat khas perubatan bagi mempercepat prosedur kuarantin dan meminimumkan risiko pendedahan kepada orang ramai,” kata MAHB.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu pemberita bahawa tiga orang yang terdiri daripada lapan warga China yang dikuarantin di Johor Bahru, positif coronavirus novel, yang juga dikenali sebagai coronavirus Wuhan.

Ketiga-tiganya kini dirawat di wad pengasingan di Hospital Sungai Buloh.

MAHB berkata rakan kongsi syarikat penerbangan itu membuat pengumuman perlu kepada penumpang mereka serta mengedarkan Kad Amaran Kesihatan (HAC) yang dikeluarkan oleh kementerian untuk penumpang memaklumkan mengenai keadaan kesihatan mereka.

HAC juga diedarkan di kaunter imigresen.

Mereka yang demam atau batuk atau menghadapi kesukaran bernafas akan dibawa ke hospital terdekat sebaik tiba.

“Lapangan Terbang telah menyediakan topeng dan sanitari tangan untuk kakitangan, di lokasi strategik di seluruh terminal.

“Malaysia Airports mengingatkan orang ramai supaya memakai topeng setiap masa dan menggunakan sanitizer tangan untuk mengekalkan kebersihan maksimum semasa wabak ini,” kata MAHB.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Aliran penumpang dijangka meningkat 10 peratus di terminal KLIA, KLIA2

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menjangkakan peningkatan sebanyak 10 peratus dalam pergerakan aliran penumpang di kedua-dua terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (Kod IATA: KUL) menjelang sambutan perayaan Tahun Baru Cina (CNY) berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Ia berkata terminal utama KLIA dan KLIA2 masing-masing dijangka mengendalikan 1.3 juta dan 1.8 juta pergerakan penumpang pada tempoh perjalanan waktu puncak ketika musim perayaan, yang dijangka bermula sekarang hingga 2 Februari depan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata syarikat itu akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan untuk menyediakan keperluan berikutan peningkatan penumpang yang dijangkakan.

“Selain menempatkan lebih ramai kakitangan di lapangan terbang itu pada tempoh tersebut, kami juga akan mempertingkatkan lebih banyak tindakan seperti menguruskan peningkatan aliran trafik di kawasan mengambil dan menurunkan penumpang.

“Pemandu akan diingatkan untuk mematuhi had masa dua minit ditetapkan untuk memastikan aliran trafik lancar di kawasan tersebut. Jangan meletak kereta di sepanjang jalan utama kerana ia akan membahayakan pengguna lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam nasihat khas kepada penumpang yang melakukan perjalanan menerusi KUL semasa musim perayaan, MAHB juga mencadangkan agar tiba di lapangan terbang sekurang-kurangnya tiga jam sebelum waktu penerbangan berlepas dan menggunakan pengangkutan awam untuk ke lapangan terbang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Untung bersih MAHB naik 85.88 peratus pada suku kedua

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Keuntungan bersih Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) meningkat 85.88 peratus kepada RM160.08 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2019, daripada RM86.12 juta dicatatkan dalam tempoh sama, pada tahun lalu.

Perolehan naik kepada RM1.26 bilion daripada RM1.15 bilion sebelum ini, menurut pengendali lapangan terbang itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, menyatakan prestasi itu disumbangkan oleh pertumbuhan penumpang yang lebih tinggi.

Rangkaian lapangan terbang kumpulan itu, termasuklah Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISGIA) di Turki, mengendalikan sebanyak 67.8 juta penumpang dalam tempoh enam bulan pertama 2019 (H1 2019) — pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 4.3 peratus.

“Pertumbuhan trafik Malaysia didorong terutamanya oleh sektor domestik, sebahagiannya didorong oleh permintaan yang tinggi dalam perjalanan udara berikutan cuti sambutan Aidilfitri dan cuti musim panas, disokong oleh pertumbuhan yang lebih tinggi dalam kapasiti tempat duduk syarikat penerbangan.

“Trafik ISGIA didorong terutamanya oleh sektor antarabangsa berikutan sebahagian daripada syarikat penerbangan utama memindahkan operasi tertentu daripada domestik kepada sektor antarabangsa. Oleh itu, ISGIA dijangka mengekalkan momentum pertumbuhannya pada 2019 terutamanya bagi trafik penumpang antarabangsa,” menurut MAHB.

Berdasarkan prestasi H1 2019 kumpulan itu, Lembaga Pengarah mengumumkan dividen interim sebanyak lima sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2019.

MAHB turut menekankan kerjasamanya dengan Jabatan Imigresen Malaysia, Lembaga Tabung Haji dan Pihak Berkuasa Imigresen Arab Saudi untuk memudahkan pergerakan dan proses imigresen untuk jemaah haji Malaysia melalui penggunaan pengenalan automatik, teknologi penangkapan data rapid dan teknologi relay untuk pelepasan imigresen.

Inisiatif itu membolehkan jemaah haji tiba di Mekah dan Madinah dengan melangkau kelewatan masa dan cabaran pentadbiran yang dihadapi sebelum ini.

Pada musim haji 2019/1440 Hijrah, kerjasama Malaysia–Arab Saudi telah mengendalikan hampir 30,000 penumpang pergi dan dari Mekah dan Madinah.

“Dengan teknologi diperkenalkan dalam usaha kerjasama itu, masa menunggu jemaah haji di destinasi dan seterusnya berkurangan dengan ketara sehingga 60 peratus, manakala penghantaran data kekal selamat dan lancar,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

AirAsia minta MAHB kaji semula sistem operasi lapangan terbang

KUALA LUMPUR, 29 OGOS: Sistem pengoperasian di terminal utama di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) dan klia2, yang baru-baru ini terganggu hampir empat hari dan menyebabkan kelewatan puluhan penerbangan, perlu dikaji semula atau digantikan dengan yang lebih baik.

Semasa membuat gesaan itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Teknologi dan Digital) Kumpulan AirAsia, Aireen Omar berkata sistem itu, yang beliau anggap “sudah berusia dan amat mahal” patut dinaik taraf dengan segera untuk membolehkan syarikat penerbangan memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan mereka dan juga negara.

Beliau berkata, syarikat penerbangan itu sebelum ini telah mencadangkan supaya sistemnya yang didakwanya kurang mahal dan “jauh lebih kompeten daripada yang digunakan ketika ini di semua lapangan terbang di Malaysia”, tetapi telah ditolak oleh pengendali lapangan terbang itu, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mula beransur pulih selepas mengalami gangguan sistem sejak 22 Mac lalu. – foto BERNAMA

“Mereka (MAHB) minta kami menggunakan sistem mereka dan kami tahu sistem mereka adalah “‘kurang kompeten’’ tetapi mereka memaksa kami menggunakan sistem mereka.

“Jadi saya fikir bahawa (gangguan baru-baru ini) menunjukkan MAHB benar-benar perlu lakukan sesuatu dan mendengar pandangan pelanggan mereka supaya mereka boleh memberikan perkhidmatan lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen penukaran mata dua hala AirAsia BIG dan Petronas Mesra di sini, hari ini.

Gangguan sistem berkenaan telah menjejaskan beberapa sistem di lapangan terbang seperti rangkaian WiFi, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan, kaunter daftar masuk dan Sistem Pengendalian Bagasi.

Keadaan terminal lapangan terbang KLIA yang sesak akibat mengalami gangguan sistem pada 22 Ogos 2019. Foto BERNAMA

Pada Isnin, MAHB berkata ia tidak menolak kemungkinan kegagalan rangkaian itu disebabkan oleh perbuatan berniat jahat.

Awal hari ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa MAHB menyiasat punca sebenar kegagalan itu, sambil menegaskan ia tidak sepatutnya berlaku kerana sistem yang sama digunakan di lapangan terbang lain di dalam negara.

Dilaporkan, MAHB membuat laporan polis hari ini berhubung gangguan itu dan disahkan oleh Ketua Polis Daerah KLIA ACP Zulkifli Adamsah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MAHB tidak tolak kemungkinan niat jahat punca gangguan sistem di KLIA

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) tidak menolak kemungkinan kegagalan rangkaian yang menyebabkan gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini, berpunca daripada tindakan berniat jahat.

“Bagaimanapun, kami akan menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan sepenuhnya,” kata pengendali lapangan terbang itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Ia juga berkata, rangkaian “semakin stabil.”

Meskipun mengalami gangguan rangkaian beberapa hari lepas, aspek-aspek keselamatan tetap terjaga dengan utuh, kata MAHB.

Ini dapat dilaksanakan hasil kerjasama erat dengan Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, kata syarikat itu.

“Ketika kami menyediakan bantuan sedaya mungkin kepada syarikat penerbangan semasa tempoh itu, bantuan, kerjasama dan sikap timbang rasa yang sama turut diberikan kepada kami oleh syarikat penerbangan.

“Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk sekali lagi melahirkan penghargaan kami kepada syarikat penerbangan dan pihak berkepentingan agensi kami yang saling bekerjasama dalam menyediakan penyelesaian alternatif terbaik,” kata syarikat itu.

Saham MAHB di Bursa Malaysia turun tujuh sen untuk ditutup kepada RM8.56 hari ini dengan 1.83 juta saham bertukar tangan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kejayaan MAHB urus ISGIA Turki bukti keupayaan syarikat Malaysia

ISTANBUL, 27 JUL: Kejayaan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengurus Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul (ISGIA), lapangan terbang kedua terbesar di Turki, membuktikan syarikat dari Malaysia berkeupayaan untuk turut berjaya di negara lain, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, ini juga menunjukkan syarikat dari Malaysia mampu mengembangkan operasi mereka di luar negeri.

Katanya MAHB turut mengurus lapangan terbang di beberapa negara lain, namun ISGIA, yang dimiliki sepenuhnya oleh MAHB, adalah yang terbesar dengan 34 juta trafik penumpang setahun.

“ Ini jauh lebih besar daripada KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) sendiri. Pengurusan lapangan terbang ini sesuatu yang istimewa. Ada orang iktiraf kebolehan kita dalam bidang ini dan banyak beri peluang,” katanya kepada wartawan Malaysia pada akhir lawatan rasminya ke Turki di ISGIA di sini, hari ini.

Pada 26 Julai laliu, Dr Mahathir melawat ISGIA, yang diambil alih sepenuhnya oleh MAHB pada 2014, dan melihat operasinya.

Dibuka pada Januari 2001, lapangan terbang itu juga adalah lapangan terbang kedua tersibuk di Turki selain merupakan lapangan terbang satu landasan dan terminal paling sibuk di dunia.

ISGIA, terletak kira-kira 45 km dari pusat bandar Istanbul, mencatatkan pergerakan trafik penumpang sebanyak 16.7 juta sehingga Jun lepas (separuh pertama 2019), meningkat 3.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Pada 2018, ISGIA mencatatkan pergerakan trafik penumpang 34.1 juta dan pendapatan sebanyak RM1.15 bilion.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MAHB selesai latihan Akta Pencerobohan menjelang 2022

SUBANG, 22 JUL: Pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), menyasarkan untuk menyelesaikan pelaksanaan latihan Akta Pencerobohan di semua lapangan terbang tempatan dalam pengurusannya menjelang 2022, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Raja Azmi Raja Nazuddin.

Beliau berkata, matlamat latihan itu adalah untuk menguji dan menilai kesediaan agensi-agensi lapangan terbang dalam menangani sebarang kecemasan dan tindakan pencerobohan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) serta pelan kecemasan dan kontingensi.

“Setakat ini kami menyelesaikan latihan di lapangan terbang di Kota Kinabalu, Sandakan dan klia2, manakala tahun ini kami menyasarkan Subang dan Langkawi.

“Ini adalah inisiatif berterusan, kami akan melakukannya secara giliran setiap tahun. Dengan melaksanakan latihan itu secara giliran dengan lebih kerap, kami akhirnya akan dapat meliputi semua atau sebahagian besar lapangan terbang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Seminar Akta Pencerobohan di sini hari ini.

Raja Azmi berkata, latihan itu dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Bahagian Keselamatan Penerbangan (AVSEC) serta Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) Malaysia Airports.

Ia juga melibatkan 35 agensi kerajaan, badan berkanun dan sektor swasta yang lain, katanya.

MAHB kini mengendalikan 39 lapangan terbang di Malaysia yang terdiri daripada lima lapangan terbang antarabangsa, 16 lapangan terbang domestik dan 18 landasan pendaratan dan pelepasan jarak pendek (STOL). – BERNAMA