Categories
AGENDA BERITA UTAMA EKONOMI

Sidang kemuncak perniagaan 2021 diiktiraf Malaysia Book of Records

Oleh Nasuha Badrul Huzaini

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2021 (SIBS 2021) yang membuka tirai hari ini diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai acara pameran terbesar seumpamanya, kata EXCO pelaburan perdagangan dan perindustrian.

Dato’ Teng Chang Khim berkata rekod itu dicapai berdasarkan keluasan ruang pameran 13,000 meter persegi, 500 gerai pempamer dan 10,000 pengunjung dijangka hadir acara berkenaan.

“SIBS berkembang pesat sejak pertama kali dianjurkan pada 2015. Sidang kemuncak antarabangsa ini menjadi platform terbaik untuk pemain industri berhubung, bekerjasama dan mencipta peluang tanpa batasan.

“Saya gembira melaporkan bahawa tahun ini, SIBS membentangkan capaian terluas yang pernah ada. Selain jumlah ruang pameran fizikal seluas 13,000 meter persegi, 500 gerai dan 10,000 pengunjung perdagangan yang dijangka, kami menampilkan SIBS secara digital dan berharap dapat memberikan liputan seluas mungkin,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian SIBS 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang mewakili Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyempurnakan majlis perasmian sidang perniagaan itu.

Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Bhd Datuk Hasan Azhari.

Menurut Chang Khim, SIBS bermula sebagai pameran perdagangan iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor.

“Hari ini ia berkembang menjadi sidang kemuncak pelbagai acara yang diadakan selama empat hari.

“Dalam edisi ke-3 pada 2019, sidang kemuncak itu telah menerima hampir 100,000 pelawat daripada lebih 33 buah negara yang menghasilkan nilai dagangan terkumpul lebih RM1.1 bilion atau kira-kira AS$268 juta,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kakitangan Air Selangor cipta rekod nyanyi lagu merdeka teramai dalam talian

KUALA LUMPUR, 29 OGOS: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) untuk rekod ‘Penyertaan Terbesar Bagi Persembahan Lagu Secara Maya’ sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-64.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor Elina Baseri berkata rekod itu disahkan MBOR semasa sesi nyanyian beramai-ramai lagu ‘Tanggal 31 Ogos’ dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad secara serentak pada 20 Ogos lepas melibatkan 3,126 warga kerja di ibu pejabat serta semua pejabat wilayah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Di sebalik kekangan yang dihadapi sepanjang tempoh Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN), Air Selangor telah berjaya melaksanakan acara sambutan ini menerusi platform dalam talian.

“Acara ini diadakan dengan matlamat untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan warga kerja Air Selangor, di samping terus mendukung semangat #kitajagakita sepanjang tempoh pandemik yang mencabar ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Elina berkata dengan tema Malaysia Prihatin, Air Selangor turut mengagihkan 150 bekalan makanan asas “Box of Hope” kepada komuniti yang memerlukan di sekitar Semenyih, Kajang dan Sungai Ramal pada 24 Ogos lepas.

-BERNAMA

Categories
ADN PENDIDIKAN SELANGOR

UiTM disaran adakan latihan kebakaran di rumah ibadah

SHAH ALAM, 23 OKT: Kejayaan Fakulti Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknologi Mara (UiTM) mencipta rekod dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) dengan peserta paling ramai dalam latihan kebakaran, wajar dicontohi semua pihak.

Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Najwan Halimi berkata, program sama turut boleh diperluaskan di rumah ibadah.

“Ada rumah ibadah yang tidak mempunyai kelengkapan pemadam kebakaran dan tahap keselamatan juga pada tahap rendah sehingga tabung pun mudah dicuri.

“Justeru, saya cadangkan supaya UiTM memperluaskan latihan kebakaran membabitkan masjid, surau, tokong, kuil dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sijil The Malaysia Book Of Records sempena kejayaan mencatatkan rekod penyertaan terbesar kanak-kanak Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dalam latihan keselamatan elektrik, keselamatan kebakaran dan pertolongan cemas di Selangor dan Kuala Lumpur di Fakulti Kejuruteraan Elektrik UiTM di sini, hari ini.

Najwan Halimi dan Professor Madya TS Dr Mohamad Fahmi Hussin pada Majlis Penyampaian Sijil The Malaysia Book of Records sempena kejayaan Program Penyertaan Terbesar Taska Dalam Latihan Keselamatan Elektrik, Keselamatan Kebakaran Dan Pertolongan Cemas di Universiti Teknologi MARA, Shah Alam pada 23 Oktober 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Turut hadir, Professor Bersekutu Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Professor Madya TS Dr Mohamad Fahmi Hussin dan Pegawai Penyelidik MBOR, Nurul Fatihah Mahmood.

Najwan berkata, UiTM juga boleh mengambil kesempatan ini untuk mendekatkan masyarakat dengan Fakulti Kejuruteraan institusi pengajian tinggi terbabit.

Menyentuh kejayaan pelajar semester tujuh fakulti sama mencipta rekod itu, Najwan berkata, program ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada pelajar berkenaan tetapi mampu memberi manfaat kepada pengusaha Taska.

Katanya, program itu juga memberi pendidikan awal kepada kanak-kanak tentang langkah yang perlu diambil apabila berhadapan dengan situasi kecemasan.

“Kita yang sudah dewasa faham situasi kecemasan, apa yang perlu dibuat tetapi anak-anak di Taska belum faham bagaimana untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Terdahulu, seramai 3,272 kanak-kanak daripada 95 Taska di seluruh Selangor dan Kuala Lumpur menyertai latihan kebakaran yang diselia pelajar semester ketujuh fakulti terbabit.

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

UiTM cipta rekod MBOR latihan kebakaran dengan peserta terbesar

SHAH ALAM, 23 OKT: Pelajar Semester Tujuh Fakulti Kejureteraan Elektrik Universiti Teknologi Mara (UiTM) berjaya memahat nama fakulti mereka dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) selepas mencatatkan penyertaan serentak terbesar kanak-kanak dalam latihan kebakaran.

Lebih memberangsangkan, latihan yang diadakan petang tadi itu membabitkan 3,272 kanak-kanak daripada 95 Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di seluruh Selangor dan Kuala Lumpur.

Professor Bersekutu Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Professor Madya TS Dr Mohamad Fahmi Hussin berkata, program ini mampu mendidik masyarakat bagaimana untuk berhadapan dengan situasi cemas ketika kebakaran.

Professor Madya TS Dr Mohamad Fahmi Hussin berucap pada Majlis Penyampaian Sijil The Malaysia Book of Records sempena kejayaan Program Penyertaan Terbesar Taska Dalam Latihan Keselamatan Elektrik, Keselamatan Kebakaran Dan Pertolongan Cemas di Universiti Teknologi MARA, Shah Alam pada 23 Oktober 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Program ini juga sebagai salah satu cara untuk fakulti ini mendekatkan diri dengan masyarakat di samping memberi pendidikan untuk anak-anak kita berdisplin dan tenang ketika berhadapan situasi kebakaran.

“Alhamdulillah dengan kerjasama semua pihak terutamanya Jabatan Bomba dan Penyelamat, kita berjaya cipta rekod ini bersama 95 Taska secara serentak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sijil The Malaysia Book Of Records sempena kejayaan mencatatkan rekod penyertaan terbesar kanak-kanak Taska dalam latihan keselamatan elektrik, keselamatan kebakaran dan pertolongan cemas di Selangor dan Kuala Lumpur di Fakulti Kejuruteraan Elektrik UiTM di sini, hari ini.

Najwan Halimi dan Professor Madya TS Dr Mohamad Fahmi Hussin bersama peserta lain pada Majlis Penyampaian Sijil The Malaysia Book of Records sempena kejayaan Program Penyertaan Terbesar Taska Dalam Latihan Keselamatan Elektrik, Keselamatan Kebakaran Dan Pertolongan Cemas di Universiti Teknologi MARA, Shah Alam pada 23 Oktober 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Najwan Halimi.

Kejayaan itu disahkan Pegawai Penyelidik MBOR, Nurul Fatihah Mahmood yang turut menyaksikan latihan kebakaran terbabit.

Mohamad Fahmi berkata, pihak beliau merancang untuk meneruskan program sama di sekolah agama khususnya di sekolah tahfiz.

Katanya, langkah ini diharap mampu mengelakkan tragedi kebakaran sekolah tahfiz sehingga meragut nyawa seperti pernah berlaku sebelum ini.

Categories
AGENDA SUKANKINI

MBOR iktiraf Viking Clap final Piala FA

KUALA LUMPUR, 28 JUL: Penyokong pasukan Perak dan Kedah kini boleh berbangga dengan pencapaian mereka di luar padang apabila percubaan ‘penyertaan ‘Viking Clap’ terbesar di Malaysia’ pada aksi final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR).

Ketua Pegawai Operasi MBOR, Christopher Wong mengesahkan rekod tersebut selepas menjadi salah seorang daripada panel yang menyaksikan 83,520 penonton melakukan aktiviti itu 15 minit sebelum sepak mula aksi itu.

“Satu semangat kesukanan baik yang ditunjukkan oleh penyokong kedua-dua pasukan, saya dapat melihat kepuasan penyokong yang hadir pada malam ini (dalam menjayakan usaha ini).

“Sudah pasti pihak kami sentiasa menantikan-nantikan acara bola sepak terus melakukan usaha mencipta rekod,” katanya menerusi kenyataan daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Kedah julang Piala FA buat kali kelima selepas menewaskan Perak menerusi jaringan tunggal pemain muda, Fazrul Danel Mohd Nizam pada minit ke-105, pada malam tadi, sekali gus menyamai rekod Selangor sebagai pasukan paling berjaya dalam kejohanan itu.

Sebagai rekod, Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum ini menerima pengiktirafan MBOR, pada 19 Julai lalu selepas muncul juara Liga Super buat kali keenam berturut-turut bermula 2014.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

RGG’19 cipta rekod baharu dalam MBOR

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANTING, 14 APR: Retromania Grand Gathering (RGG’19) berjaya mencatat rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR) apabila menghimpunkan seramai 343 pemilik motosikal scrambler dari seluruh negara.

Lebih istimewa, dua daripada motosikal berkenaan pernah digunakan dalam filem Gila-Gila Remaja yang pernah menyinari industri filem tempatan sekitar era 90-an.

Edisi ketujuh perhimpunan motosikal terbesar yang berlangsung di Dataran Pantai Morib itu turut menyaksikan kehadiran hampir 30,000 pengunjung, khususnya penggemar jentera dua roda.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, acara selama dua hari itu bukan sahaja mengumpulkan motosikal retro, malah menjadi medan terbaik buat pemilik motosikal lama berkongsi idea dan pendapat berhubung penyelenggaraan, selain sumber mendapatkan alat gantian.

“Sejak ia mula diadakan pada 2014, kehadiran peminat yang datang ke sini meningkat saban tahun dan mungkin akan lebih meningkat pada tahun seterusnya.

“Walaupun cuaca panas, tetapi sambutan begitu hebat pada tahun ini. Kita harap program ini berterusan bagi menguatkan ukhwah silaturahim antara peminat dan pengguna yang aktif bermotosikal.

“Kita akan cuba memecah rekod pada tahun akan datang dan mengubah sedikit konsep kepada motosikal besar,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup RGG’19, di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohammad Zain A Hamid dan Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnul Baharudin.

Sementara itu, Mohammad Zain berkata, pihaknya komited menjadikan Pantai Morib sebagai lokasi penganjuran acara gah seumpama itu, sekali gus mampu menaikkan imej kawasan rekreasi berkenaan.

“Penganjuran ini memberi impak positif terhadap masyarakat, selain membantu merancakkan sosioekonomi penduduk di sekitar daerah ini,” katanya.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)

Categories
SELANGOR

Lebih 1,000 pelajar tahfiz sertai latihan keselamatan, cipta MBOR

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 21 NOV: Satu lagi Malaysia Book Of Records (MBOR) berjaya dilakar menerusi Program Latihan Keselamatan dan Kesihatan (OSH) terbesar membabitkan 1,217 pelajar tahfiz sekitar Selangor, hari ini.

Program anjuran Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu turut mendapat kerjasama Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH); Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan McDonalds’s Malaysia.

Ia membabitkan kolaborasi 236 pelajar FKE UiTM dan 10 pelajar Universiti Selangor (UNISEL).

Dekan FKE, Prof Ir Dr Mohd Nasir Taib berkata, program luar bilik kuliah itu dijalankan bagi memantapkan akademi pelajar kejuruteraan, sekali gus mendidik guru dan pelajar tahfiz supaya celik dalam perkara berkaitan keselamatan serta kesihatan.

“Setakat ini, FKE UiTM paling unggul di Malaysia memandangkan belum ada yang melakukan kurikulum seperti kita laksanakan iaitu membawa aktiviti dalam kuliah dibawa keluar kuliah.

“Terima kasih kepada pihak terlibat kerana berjaya merealisasikan program ini sehingga tercatat di dalam MBOR,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis ‘flag-off’ sekumpulan pelajar UiTM dan UNISEL di Padang Kawad UiTM, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Nasir berkata, program itu juga dapat memupuk kesedaran keselamatan kepada semua terlibat terutama dalam industri pengajian di Malaysia.

Program latihan OSH yang julung kali diadakan itu membabitkan 22 Pusat Tahfiz sekitar Selangor antaranya Pusat Tahfiz Az Zahrah Lil Banat; Darul Tahfiz Ummul Qura; Madrasah Nurul Ilmi; Madrasah Tahfiz Al-Quran Uswatun Hasanah Lil Banat dan Akademi Huffaz Al Aqwa.

Antara pengisian program di Pusat Tahfiz terbabit aktiviti latihan pengenalan elektrik, latihan pengungsian bangunan, pertolongan cemas dan keselamatan kanak kanak.