Categories
AGENDA NASIONAL

200 peserta MFLS jalani latihan di luar negara mulai Februari

KUALA LUMPUR, 6 JAN: Seramai 200 peserta program Malaysia Future Leaders School Peringkat Ketiga (MFLS Tier 3) akan menjalani latihan kepimpinan di luar negara bermula Februari.

Proses pemilihan peserta yang berlangsung di Akademi Kenegaraan di sini hari ini mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata berdasarkan pengamatannya, calon-calon dilihat mempunyai kredibiliti dan ciri ketokohan yang tinggi serta mempunyai pengetahuan mengenai isu semasa.

“Saya agak kagum dengan pengetahuan am mereka termasuk apabila saya mengajukan soalan berkenaan hubungan diplomatik Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita. Proses pemilihan sehingga Rabu berlangsung di seluruh negara.

Calon-calon terdiri daripada mereka yang disenarai pendek daripada kira-kira 27,000 peserta MFLS Tier 2 sebelum ini.

Menteri itu berkata peserta program MFLS Tier 3 akan turut mendapat pendedahan tentang selok-belok kepimpinan daripada tokoh seperti Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, menteri Kabinet dan pemimpin korporat.

Syed Saddiq turut memberitahu bahawa peserta MFLS Tier 3 akan dihantar menjalani program MFLS di negara ASEAN dan Jepun serta beberapa negara lain yang akan ditentukan.

“Matlamat kita ialah kita nak pastikan mereka menjadi pemimpin masa hadapan negara,” kata beliau.

MFLS merupakan program menggantikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tatanegara (BTN) yang dirangka secara holistik dengan menggabungkan kegiatan dalaman dan luaran yang berimpak tinggi.

MFLS Tier 1 merangkumi saringan di peringkat sekolah bagi memilih peserta yang layak ke peringkat Tier 2 bagi mengikuti program MFLS selama 10 hari di pusat-pusat latihan terpilih.

MFLS Tier 3 pula menyaksikan pelaksanaan konsep pengantarabangsaan belia yang berlangsung selama dua bulan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Program MFLS perlu diteruskan dan kekal mampan

BANGI, 22 NOV: Program untuk melahirkan pemimpin belia, Malaysia Future Leaders School (MFLS) yang dimulakan awal tahun ini perlu diteruskan dan dipastikan kekal mampan, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, sekolah kepimpinan menjadi penting pada masa ini kerana peranan pemimpin untuk membangunkan masyarakat dan menjayakan agenda negara.

“Untuk menjadi pemimpin perlu ada sifat tertentu. Mengenal pasti dan menanam sifat mulia dan baik akan dapat mengubah masyarakat yang mundur sekalipun untuk menjadi masyarakat yang maju,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Alumni MFLS di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata, masyarakat perlu memilih pemimpin yang mempunyai nilai-nilai yang baik dan berwibawa supaya negara dan masyarakat dapat dibangunkan dengan maju.

“Pemimpin yang berwibawa, yang mempunyai akhlak tinggi, maka mereka akan membangunkan masyarakat sehingga terdirinya tamadun yang tinggi pada masyarakat itu,” katanya.

Dr Mahathir turut berkongsi sejarah Rusia, mengenai Peter the Great yang berjaya mengangkat negara itu dari sebuah bangsa yang mundur dari segi sosial dan pelajaran antaranya kepada menjadi salah satu kuasa dunia.

“Peter the Great membuat keputusan untuk menukar masyarakat yang dipimpinnya dan Peter the Great sebagai pemimpin dapat mengheret bangsa Rusia sehingga menjadi terkenal sebagai bangsa yang cekap dalam segala bidang sehingga menjadi kuasa dunia,” katanya.

Dr Mahathir berkata, untuk menjadi pemimpin, seseorang itu perlu tahu mengawal diri daripada terus mengikut emosi dan menghitung jangka panjang akan kesannya.

“Jika mereka (pemimpin) terpengaruh dengan nafsu, mereka akan rosakkan masyarakat yang dipimpin mereka,” katanya, sambil menambah apabila negara mendapat pemimpin yang berwibawa dan mempunyai sifat baik, maka akan majulah bangsanya.

Dr Mahathir berkata, pemimpin yang tidak bersifat baik akan membawa masalah kepada masyarakat yang dipimpinnya.

Beliau berkata, ada pemimpin yang diberi kuasa telah menyalahgunakan kuasanya yang mengakibatkan mereka dikenakan tindakan akibat kesalahan yang dilakukan.

“Kuasa jika disalahguna akan bawa malapetaka kepada dirinya dan masyarakat. Sebab itu kita perlu tentukan kepimpinan Malaysia adalah kepimpinan terbaik. Baik pemimpin, berjayalah masyarakat, buruk pemimpin maka rosaklah masyarakat,” katanya.

Mengambil contoh masyarakat Jepun, Dr Mahathir berkata, masyarakat negara tersebut sangat menghargai jati diri, berbangga dengan kebolehan diri dan akan berasa malu jika ada nilai-nilai tidak baik dan tidak boleh menyumbang kepada kejayaan masyarakat.

“Saya berdoa sekolah ini (MFLS) akan diteruskan supaya rakyat Malaysia memiliki nilai murni yang perlu ada dalam pemimpin,” katanya.

– BERNAMA