Categories
AGENDA NASIONAL

Kes lewat kesan barah meningkat, kesedaran rakyat masih rendah

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Kesedaran mengenai kanser dalam kalangan rakyat Malaysia masih rendah yang menjadi punca peningkatan kes lewat dikesan iaitu hanya setelah berada di tahap tiga dan empat.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kes lewat dikesan iaitu hanya setelah berada di tahap tiga dan empat telah meningkat daripada 58.7 peratus pada 2007 hingga 2011 kepada 63.7 peratus pada 2012 hingga 2016.

“Kalau kita dapat kesan kanser lebih awal maka kemungkinan kita dapat rawat dan pulih atau dapat mengawal kanser adalah lebih tinggi.

“Pengesanan lewat ini menjadi masalah, kadar peningkatan peratusan ini amat membimbangkan kerana Malaysian Study on Cancer Survival yang telah diterbitkan beberapa tahun lepas menunjukkan semakin lewat kanser dikesan, semakin rendah kadar survival pesakit,” katanya ketika berucap dalam Program Hari Bersama Pesakit Kanser sempena Sambutan Hari Kanser Sedunia 2022.

Beliau berkata kerjasama pelbagai pihak amat diperlukan dalam mengenal pasti ruang penambahbaikan termasuk penerangan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pengesanan dan saringan awal kesihatan.

Berkongsi pengalaman kehilangan bapanya Datuk Jamaluddin Abu Bakar, yang meninggal dunia akibat kanser pada 1992, Khairy berkata keluarga pesakit kanser juga memerlukan sokongan terutama golongan B40 dan penjaga tunggal bagi pesakit kanser kerana mereka turut mengalami tekanan tinggi dari segi mental.

Beliau berkata kerajaan telah melaksanakan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) bagi membantu golongan itu menjalani saringan kesihatan secara percuma namun lebih sejuta individu yang layak iaitu golongan B40 berusia 40 tahun ke atas tidak memanfaatkan kemudahan tersebut.

Katanya Malaysia turut berdepan masalah penyakit tidak berjangkit yang tinggi seperti kencing manis, darah tinggi dan kardiovaskular yang seterusnya akan menyebabkan komplikasi jika mereka dijangkiti Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ketua Perangkawan: Kadar pengangguran negara menurun

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Bilangan penganggur di dalam negara pada Januari lepas berkurang kepada 680,400 orang, menjadikan kadar pengangguran berada pada 4.2 peratus, kata Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata jumlah itu berkurang sebanyak 1.1 peratus berbanding 687,600 orang pada Disember tahun lalu.

“Kedudukan tenaga buruh semakin baik pada Januari 2022 didorong peningkatan berterusan dalam guna tenaga manakala penganggur dalam trend menurun,” katanya dalam kenyataan Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, Januari 2022 di sini hari ini.

Menurut Mohd Uzir, bilangan penduduk bekerja juga bertambah iaitu 15.69 juta orang, meningkat 0.2 peratus berbanding 15.65 juta orang pada Disember 2021, mencatatkan nisbah guna tenaga lebih tinggi iaitu 66.2 peratus.

Berikutan itu, tenaga buruh meningkat 0.2 peratus iaitu 16.37 juta orang berbanding 16.34 juta pada Disember, seterusnya meningkatkan kadar penyertaan tenaga buruh bulan Januari kepada 69.1 peratus berbanding 69.0 pada bulan sebelumnya.

“Situasi ini mencerminkan aktiviti ekonomi yang menggalakkan pada Januari 2022 berikutan kesemua negeri telah berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara yang membenarkan perniagaan terus beroperasi pada kapasiti penuh dengan waktu perniagaan lebih panjang,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai situasi pengangguran pada Januari, Mohd Uzir berkata daripada 680,400 penganggur, 83.7 peratus adalah mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif.

Mengikut sektor ekonomi, beliau berkata bilangan penduduk bekerja dalam perkhidmatan mencatatkan peningkatan bulan ke bulan berterusan terutama dalam aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman; perdagangan borong dan runcit serta maklumat dan komunikasi.

Katanya, trend sama juga dilihat dalam sektor pembuatan dan pembinaan dengan bilangan guna tenaga yang terus meningkat, sebaliknya guna tenaga dalam sektor pertanian serta perlombongan dan pengkuarian berada pada trend menurun sejak 18 bulan lepas.

Mengulas tenaga buruh secara keseluruhan, Mohd Uzir berkata prospek ekonomi yang lebih optimis dijangka pada bulan-bulan akan datang digambarkan oleh Indeks Pelopor yang melebihi 100 mata secara berterusan dan meningkat pada Disember 2021.

Menurutnya, prospek positif itu akan mendorong kepada peningkatan dalam aktiviti perniagaan dan seterusnya mewujudkan lebih banyak permintaan buruh dalam ekonomi.

“Pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan akan menggalakkan penyertaan buruh yang lebih ramai, sekali gus mendorong pasaran buruh untuk menjadi lebih rancak pada bulan-bulan yang akan datang,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL SUKANKINI

Menteri: Kaji punca kena belasah pasukan Laos

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Pascanilai perlu dilakukan untuk mencari punca kekalahan pasukan Bawah-23 tahun (B-23) kebangsaan kepada Laos pada Kejohanan B-23 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Phnom Penh, Kemboja.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pihak bertanggungjawab khususnya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), perlu mengkaji bagaimana pasukan yang sebelum ini kurang menyerlah dalam arena bola sepak Asia Tenggara, boleh mengejutkan Malaysia kali ini.

“Saya berasa semua pihak terlibat dengan bola sepak perlu mencari jalan dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak di negara ini,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan mesra bulanan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Institut Sukan Negara (ISN) hari ini.

Skuad bimbingan Brad Maloney tersingkir di peringkat Kumpulan B kejohanan itu, selepas dua kali tewas kepada Laos, iaitu kekalahan 2-1 pada Jumaat lepas dan 2-0 pada malam tadi.

Format kejohanan terpaksa diubah apabila dua lagi pasukan dalam kumpulan berkenaan iaitu juara bertahan Indonesia dan Myanmar menarik diri susulan pandemik Covid-19, menyaksikan Malaysia perlu bertemu Laos sebanyak dua kali, dengan hanya satu pasukan mara ke separuh akhir.

Ahmad Faizal berkata semua pihak terbabit, termasuk pemain dan penyokong, perlu melihat perkara itu secara holistik untuk memulihkan keadaan bola sepak di negara ini.

“Semata-mata dengan menukar jurulatih, pengurusan atau presiden FAM, tidak memberi apa-apa makna jika keseluruhan ekosistem dalam sukan itu tidak diperbetulkan. Jadi untuk perbetulkan, kita mula dari diri sendiri, sebagai penyokong juga lihat perkara itu dengan cara yang boleh membantu, bukan menentang atau merosakkan,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal berharap skuad yang beraksi dengan baik di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022, meneruskan momentum kemenangan tersebut pada kejohanan akan datang.

“Saya melihat dalam sukan badminton, ketahanan mental amat penting, jadi perkara-perkara yang melilbatkan isu luar daripada sukan itu tidak perlu disensasikan agar ketahanan mental pemain kita sentiasa berada pada tahap terbaik bagi mengatasi mana-mana pemain di dunia ini.

“Semua pihak termasuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan penyokong telah bekerjasama dengan baik, kita ada pasukan baik yang boleh diangkat ke kejohanan-kejohanan lain akan datang, insya-Allah kita akan menjadi antara terbaik dunia,” katanya.

Pada kejohanan yang berlangsung dari 15 hingga 20 Februari itu, skuad lelaki negara muncul juara selepas menewaskan Indonesia 3-0 pada perlawanan akhir, manakala skuad wanita tewas 0-3 kepada Korea Selatan pada pusingan separuh akhir.

Kejayaan itu juga memastikan skuad negara melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Thomas dan Uber yang dijadualkan Mei ini di Bangkok, Thailand.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

BATC: Malaysia bertemu seteru utama Indonesia petang ini

SHAH ALAM, 20 FEB: Pentas akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 petang ini bakal mencuri tumpuan apabila Malaysia dijadual bertemu Indonesia.

Malaysia belum pernah menjuarai pertandingan yang diperkenal sejak 2016 selepas kali terakhir tewas 1-3 di tangan seteru tradisi itu pada edisi 2020 di Filipina.

Edisi kali ini merupakan peluang terbaik skuad lelaki negara untuk merangkul gelaran, umpama aksi ulangan dua tahun lalu selepas menewaskan Korea Selatan semalam.

Dalam perlawanan di Pusat Konvensyen Setia City petang semalam, juara All England Lee Zii Jia mengutip mata pertama selepas menumpaskan Jeon Hyeok Jin 13-21, 21-13, 21-15.

Beregu utama Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyumbang mata kedua buat Malaysia apabila menundukkan Kim Hwi Tae-Kim Jaehwan 21-14, 20-22, 21-19 dalam masa hampir sejam.

Dalam aksi ketiga Malaysia menentang Korea Selatan, Ng Tze Yong, 22, melengkapkan kejayaan pasukan negara 3-0 selepas menewaskan Kim Joo Wan 19-21, 21-16, 21-12.

Kejohanan selama enam hari mulai 15 Februari lalu ditaja Kerajaan Selangor serta anak syarikat antaranya Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Invest Selangor.

Selangor buat julung kali menjadi tuan rumah BATC 2022 yang diselaraskan Majlis Sukan Negeri Selangor dengan kerjasama Badminton Asia dan Persatuan Badminton Malaysia.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Badminton Asia: Skuad lelaki juara kumpulan B, lawan Korea Selatan di separuh akhir

SHAH ALAM, 18 FEB: Skuad lelaki negara menamatkan saingan peringkat kumpulan B Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 selaku juara selepas menewaskan Jepun 3-2 sebentar tadi.

Jaguh perseorangan negara Lee Zii Jia yang menjadi sandaran mata pertama menang mengatasi Hatano Riku 15-21, 21-6 dan 21-15 dalam perlawanan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City.

Bagaimanapun gandingan Chia Aaron-Soh Wooi Yik gagal mengutip mata kedua selepas tewas kepada Endo Ayato-Takei Yuta 21-23, 16-21.

Nasib sama dialami pemain perseorangan Aidil Sholeh yang tumpas kepada Takahashi Koo 21-19, 16-21 dan 15-21 dalam saingan tiga set.

Skuad negara kembali bangkit menerusi gandingan Goh Sze Fei- Nur Izzuddin menentang Mezaki Shuntaro-Nishida Haruya dengan kemenangan 17-21, 21-17 dan 21-17.

Dalam aksi terakhir, pemain perseorangan Leong Jun Hao menyelamatkan maruah skuad negara dengan kemenangan 21-18 dan 21-16 menewaskan Moriguchi Koshiro.

Pasukan lelaki dan wanita negara bakal menentang Korea Selatan pada perlawanan separuh akhir esok.

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Zii Jia: Penyertaan gagal jika tidak layak ke perlawanan akhir

 

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Penyertaan skuad lelaki kebangsaan dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Shah Alam pada 15 hingga 20 Feb ini, dianggap gagal sekiranya tidak berjaya mara ke final, menurut pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia.

Zii Jia yang menyasarkan pasukannya menjadi juara kejohanan itu berkata Malaysia perlu memanfaatkan kelebihan yang ada memandangkan terdapat beberapa pasukan yang kuat tidak menghantar pemain utama mereka dalam saingan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City.

“Saya bukan nak bagi tekanan namun kebanyakan pasukan lain hantar barisan kedua pemain, sudah tentu bagi saya mahu juara atau sekurang-kurangnya ke final.

“Kalau tak ke final bermakna kita gagal, saya juga gagal, sebab barisan pemain kita paling kuat,” katanya kepada pemberita selepas menjalani sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara menjelang BATC, hari ini.

Skuad lelaki diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, Singapura dan Kazakhstan, sekali gus mengelak dari bertemu juara tiga kali Indonesia (2016, 2018, 2020), India, Korea Selatan dan Hong Kong yang diundi dalam Kumpulan A.

Difahamkan pemain nombor dua dunia pada ketika ini, Kento Momota dan pasangan beregu lelaki nombor empat dunia iaitu Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun, selain beberapa pemain utama Indonesia seperti Anthony Sinisuka Ginting, Jonatan Christie dan Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo, tidak akan menyertai kejohanan itu.

Pasukan seperti China, Thailand dan Taiwan tidak akan menyertai edisi kali ini, dan format kejohanan sudah diubah dengan tiada peringkat suku akhir.

Mengulas mengenai perlawanan tumpuan antara beliau dan Loh Kean Yew dari Singapura, Zii Jia berkata dia sudah bersedia untuk bertarung dengan juara dunia 2021 dalam pertemuan yang disifatkan sangat penting baginya untuk menyumbang mata pertama buat Malaysia, ketika menentang pasukan dari negara republik itu dalam Kumpulan B nanti.

Selain Zii Jia, lima lagi pemain iaitu Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Leong Jun Hao, Lim Chong King dan Jacky Kok Jing Hong melengkapkan barisan perseorangan lelaki negara untuk kejohanan dwitahunan itu.

Pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020 Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula akan mengetuai gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk beregu lelaki.

Pasukan wanita pula terdiri daripada Eoon Qi Xuan, S Kisona, Tan Zhing Yi, Siti Nurshuhaini Azman, Myisha Mohd Khairul bagi kategori perseorangan, manakala beregu diwakili Pearly Tan-M.Thinaah, Teoh Mei Xing-Anna Cheong, Valeree Siow-Low Yeen Yuan dan Go Pei Kee.

Walaupun Malaysia mempunyai peluang tinggi untuk bergelar juara BATC kali ini, namun Aaron pula mengingatkan rakan sepasukannya agar tidak terlalu yakin dengan ketiadaan beberapa bintang ternama dari negara lain dan menuntut pemain negara untuk berjuang habis-habisan dalam setiap perlawanan pada kejohanan itu.

Beliau juga merasakan kehadiran semula Zii Jia, yang mencari ‘angin baharu’ dengan bergerak secara profesional baru-baru ini, ke dalam pasukan lelaki pada BATC kali ini jelas menyuntik semangat mereka untuk memberikan persembahan terbaik di laman sendiri nanti.

Bagi Nur Izzuddin, pemain berusia 25 tahun dari Muar itu berkata beliau tidak berasa tertekan namun kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri ternyata menaikkan semangatnya untuk membantu pasukan mara ke final.

Sementara itu, Thinaah pula berharap rakan sepasukan dalam pasukan wanita negara mampu mengharungi setiap perlawanan dengan baik, manakala Qi Xuan pula menganggap peluang agak seimbang bagi Malaysia untuk mara ke separuh akhir biarpun bakal meniti laluan sukar dalam peringkat kumpulan.

Dalam undian wanita, juara bertahan Jepun dan India, menanti Malaysia dalam kumpulan Y, manakala Kumpulan Z pula terdiri daripada Korea Selatan, Indonesia, Hong Kong dan Kazakhstan.

Dua pasukan terbaik dari setiap kumpulan akan layak ke separuh akhir dan layak secara automatik ke Piala Thomas dan Uber yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand, Mei ini.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia duduki tempat ke-13 indeks pemulihan Covid-19 Nikkei

KUALA LUMPUR, 10 JAN: Malaysia berada di kedudukan ke-13 dalam senarai terbaharu Indeks Pemulihan Covid-19 Nikkei, selepas hampir dua tahun memerangi pandemik Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam hantaran di Facebook malam tadi beliau berkata Indeks Pemulihan Covid-19 Nikkei menunjukkan perbezaan antara Asia dan Barat, dengan kebanyakan negara merekodkan peningkatan kes terutama disebabkan varian Omicron dalam tempoh yang singkat.

Berdasarkan Indeks Pemulihan Covid-19 Nikkei, setakat 31 Dis lepas Malaysia berada di kedudukan ke-13 dengan 66.5 mata, manakala Bahrain tersenarai di tempat paling atas dengan 82 mata, dikuti Chile (76.5 mata) dan Taiwan (75.5 mata).

Berdasarkan laman sesawang tersebut, Indeks Pemulihan Covid-19 Nikkei menyenaraikan kira-kira 120 negara atau wilayah bagi pengurusan jangkitan, pelaksanaan pemberian vaksin dan mobiliti sosial.

Kedudukan lebih tinggi sesebuah negara atau wilayah dalam indeks tersebut menunjukkan ia semakin hampir kepada pemulihan dengan jumlah kes Covid-19 yang rendah, kadar vaksinasi lebih baik dan langkah penjarakan sosial yang kurang ketat; sumber data termasuk daripada Our World in Data, Google Covid-19 Community Mobility Reports, Oxford Covid-19 Government Response Tracker Cirium dan penyelidikan Nikkei Asia.

Malaysia mencatatkan 2,714 kes sembuh hari ini, menjadikan keseluruhan kes sembuh 2,714,614 direkodkan sejak penularan wabak itu di negara ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata Malaysia kini menduduki tempat keenam dalam Indeks Covid-19 Global (GCI). GCI dibangunkan dengan input daripada pelbagai badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Berdasarkan GCI, Malaysia berada di kedudukan keenam dengan penarafan pemulihan lima dengan indeks pemulihan 78.74, manakala Singapura berada di kedudukan teratas dengan indeks pemulihan 82.88, diikuti Korea Selatan (82.71) dan Taiwan (80.49) yang kesemuanya berkongsi penarafan pemulihan sama iaitu lima.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala AFF: Perjuangan Malaysia berakhir di tangan Garuda

KUALA LUMPUR, 20 DIS: Malaysia ditunjukkan jalan keluar daripada Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020 selepas tewas 1-4 di tangan musuh tradisi Indonesia, pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Nasional Singapura, malam tadi.

Keputusan itu menafikan impian skuad kebangsaan bimbingan Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe untuk mara ke peringkat separuh akhir, apabila menamatkan saingan kumpulan di tempat ketiga dengan hanya mengumpul enam mata daripada empat perlawanan.

Ia juga menyaksikan pasukan negara gagal melepasi saingan kumpulan kejuaraan dwi tahunan itu buat kali kedua selepas edisi 2016 dalam enam penganjuran terakhir dan ia kekalahan ketiga Malaysia kepada Indonesia dalam lima pertemuan terakhir mereka di pentas Piala AFF.

Sementara kejayaan menewaskan skuad Harimau Malaya membolehkan Indonesia di bawah bimbingan Ketua Jurulatih Shin Tae-yong, melangkah ke separuh akhir selaku juara Kumpulan B dengan berkongsi 10 mata bersama Vietnam, yang terpaksa akur selaku naib juara kumpulan.

Pada pertembungan ‘hidup mati’ kedua-dua pasukan itu, Malaysia memulakan permainan berintensiti tinggi tersebut dengan cemerlang, apabila terlebih dahulu memecah kebuntuan menerusi rembatan dari luar kotak penalti M Kogileswaran Raj pada minit ke-13.

Indonesia yang hanya memerlukan keputusan seri untuk mengesahkan tempat di separuh akhir, tidak patah semangat sebaliknya rancak mengatur serangan ke kubu pertahanan negara yang tempang tanpa dua pertahanan tengah utama, iaitu kapten pasukan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak dan Shahrul Mohd Saad.

Ketiadaan dua tonggak itu diisi gandingan pemain kacukan Dion Cools dan Junior Eldstal yang dilihat gagal mencapai keserasian dan persefahaman yang baik, terutama di bahagian kiri bersama Muhammad Syahmi Safari.

Kepincangan itu dihidu skuad Garuda untuk meledak gol penyamaan menerusi Irfan Samaling Kumi pada minit ke-36, yang berpunca dari serangan balas selepas penyerang negara Muhammad Syafiq Ahmad terlepas peluang keemasan untuk menggandakan kedudukan buat Malaysia seminit sebelum itu.

Irfan Samaling sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring yang juga gol ketiganya pada kempen itu pada minit ke-43, apabila mudah menolak masuk bola yang melantun hasil percubaan Pratama Arhan Alif Rifai sekali gus kedudukan 2-1 itu kekal sehingga rehat.

Bersambung babak kedua, Cheng Hoe membuat keputusan ‘berani mati’ apabila mengarahkan Dion beraksi di bahagian serangan, untuk memberi laluan kepada Dominic Tan yang menggantikan pemain sayap Muhammad Safawi Rasid yang mengalami kecederaan pada penghujung babak pertama.

Bagaimanapun, semangat Malaysia untuk bangkit direntap seawal babak kedua, apabila Indonesia meledak jaringan ketiga pada minit ke-50 hasil rembatan dari luar kotak penalti Pratama Arhan, yang gagal diselamatkan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat.

Indonesia yang kali terakhir beraksi di separuh akhir pada edisi 2016 tidak menunjukkan tanda-tanda memperlahankan tempo, sebaliknya terus mengasak memberi tekanan kepada Malaysia yang terus hilang arah, dalam usaha memburu keajaiban.

Pemain sayap Muhammad Akhyar Abdul Rashid serta dua penyerang iaitu Guilherme De Paula dan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi dibawa masuk, namun tiada perbezaan ketara sebelum Indonesia melengkapkan malam gemilang menerusi gol keempat oleh pemain gantian Elkan William Tio Baggot pada minit ke-82.

Kemenangan itu juga menyaksikan Indonesia akhirnya melunaskan dendam dua kekalahan di tangan Malaysia pada saingan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

Dalam satu lagi aksi terakhir Kumpulan B, juara bertahan Vietnam membenam Kemboja 4-0 di Stadium Bishan, untuk mengiringi Indonesia ke separuh akhir.

Empat gol skuad Naga Emas itu masing-masing dijaringkan Nguyen Tien Linh pada minit ketiga, Nguyen Tien Linh (minit ke-27), Bui Tien Dung (minit ke-55) dan Nguyen Quang Hai pada minit ke-57.

Peringkat separuh akhir Piala AFF 2020 menyaksikan Indonesia akan berdepan Singapura yang menamatkan saingan Kumpulan A di tangga kedua sementara Vietnam akan membuat perhitungan berhadapan juara Kumpulan A Thailand dalam satu lagi aksi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala Uber: Tewas mengejut kepada Kanada akhiri kempen Malaysia

AARHUS (Denmark), 12 OKT: Skuad muda negara menamatkan kempen Piala Uber tanpa kemenangan apabila kalah mengejut 4-1 kepada Kanada pada perlawanan terakhir Kumpulan D di Arena Ceres di sini, malam tadi (awal pagi Selasa di Malaysia).

Pemain perseorangan pertama negara, S Kisona, yang kembali semula ke gelanggang selepas direhatkan pada perlawanan menentang China sebelum ini, gagal menyuntik semangat skuad negara apabila tewas mengejut kepada pemain nombor 183 dunia, Talia Ng.

Pemain berusia 23 tahun itu membuka langkah pertama negara apabila melakarkan persembahan setanding dengan Talia dengan kedudukan 6-6 tetapi selepas itu mula hilang tumpuan dengan sering melakukan kesilapan.

Peluang itu dimanfaatkan oleh pemain Kanada itu dengan mengumpul tujuh mata secara berterusan sebelum menang set pertama 21-9.

Pada set kedua, Kisona, selaku pemain nombor 53 dunia, bangkit semula buat seketika dengan mendahului 5-1 tetapi sekali gagal mengekalkan rentak dengan mudah memberi kemenangan 21-14 kepada lawannya yang mengambil masa 36 minit untuk mengutip mata pertama untuk Kanada.

Pada perlawanan beregu pertama, wakil negara Teoh Mei Xing-Yap Ling, selaku pasangan nombor 68 dunia, memberi sedikit harapan untuk menyamakan kedudukan dengan kemenangan 21-13 pada set pembukaan berdepan dengan beregu nombor 20 dunia, Rachel Honderich-Kristen Tsai.

Bagaimanapun, beregu Kanada itu menggunakan pengalaman beraksi di Sukan Olimpik Tokyo, Ogos lalu, untuk menampilkan persembahan yang lebih mantap pada set kedua dengan kemenangan 21-10 untuk mengheret permainan kepada ‘rubber-set’ sebelum menang 21-14 dalam saingan selama 69 minit.

Kanada mengesahkan kemenangan 3-0 apabila pemain nombor 185 dunia, Rachel Chan tampil dengan aksi bertenaga untuk menyingkirkan wakil negara Woon Qi Xuan 21-12, 21-13 dalam masa 33 minit.

Gandingan baharu negara Go Pei Kee-M Thinaah akhirnya merapatkan jurang dengan menyumbang mata pertama negara apabila mengatasi Catherine Choi-Crystal Lai 21-12, 21-13 dalam masa 36 minit.

“Ini adalah kali pertama digandingkan dan tidak banyak berfikir tetapi hanya mahu turun untuk berjuang mengumpul setiap mata dengan harapan mencapai kemenangan. Malangnya tidak dapat membantu mengubah kedudukan tetapi kemenangan dalam saingan ini adalah bermakna dan gembira buat kami,” kata Thinaah.

Momentum kemenangan itu bagaimanapun tidak dapat diteruskan oleh K Letshana pada perlawanan terakhir apabila tewas 21-17, 16-21, 21-12 kepada Wen Yu Zhang dalam saingan selama 50 minit itu.

Skuad Piala Uber negara meletakkan sasaran peringkat suku akhir tetapi gagal melepasi saingan peringkat kumpulan apabila tercorot dalam kedudukan kumpulan selepas tewas 4-1 kepada tuan rumah, Denmark, Sabtu lalu, 5-0 kepada China pada Ahad dan Kanada 4-1.

Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan mara ke peringkat kalah mati dengan China dan Denmark mengesahkan slot ke suku akhir dengan masing-masing mencapai dua kemenangan.

Juara kumpulan tersebut akan ditentukan selepas pertembungan antara kedua-dua pasukan itu pada perlawanan terakhir kumpulan, malam Selasa.

Berikutan kempen skuad Piala Uber negara berakhir malam tadi, skuad lelaki negara akan membuka kempen Piala Thomas di venue sama dengan berdepan Kanada pada malam Selasa (1 pagi Rabu, waktu Malaysia) sebelum berdepan dengan Jepun pada Khamis dalam saingan Kumpulan D.

Keputusan lain: Peringkat Kumpulan

Piala Thomas:
Indonesia mn Thailand 3-2
Taiwan mn Algeria 5-0

Piala Uber:
Indonesia mn Perancis 4-1
Taiwan mn Tahiti 5-0
Korea Selatan mn Mesir 5-0
Jepun mn Jerman 5-0

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala Uber: Malaysia mudah ditunduk China

AARHUS (Denmark), 11 OKT: Cabaran Malaysia dalam Piala Uber 2020 nampaknya bakal berakhir seawal peringkat kumpulan selepas tewas 0-5 kepada China dalam perlawanan Kumpulan D di Arena Ceres di sini pada Ahad.

Selepas pembukaan kempen dengan kekalahan 1-4 kepada tuan rumah Denmark pada Sabtu, skuad muda Malaysia tetap mempamerkan semangat juang yang tinggi menentang pemain China yang mempunyai ranking dunia lebih tinggi, diketuai Juara Olimpik Chen Yu Fei.

Dalam perseorangan pertama, pemain ranking nombor dua dunia Yu Fei dengan tenang membaca gaya permainan Eoon Qi Xuan, sebelum memaksa pemain ranking ke-123 dunia itu mengikut rentaknya dan memastikan kemenangan 21-13, 21-11 dalam masa 31 minit.

Qi Xuan yang melakukan kejutan dalam kejohanan itu semalam dengan menewaskan pemain Denmark Line Christophersen yang berada pada ranking ke-23 dunia, ditugaskan bermain dalam perlawanan perseorangan pertama selepas S Kisona direhatkan semalam.

Kemudian Juara Remaja Dunia 2018 Liu Xuan Xuan-Xia Yu Ting mengukuhkan pendahuluan China dengan menumpaskan gandingan Lee Meng Yean-M Thinaah 21-12, 21-17.

Ketua pasukan Meng Yean yang bergandingan dengan Thinaah selepas pasangannya Pearly Tan mengalami kecederaan bahu semasa Piala Sudirman minggu lepas, mempamerkan aksi bertenaga menentang beregu ranking ke-21 dunia tetapi masih tidak mencukupi untuk mendapatkan kemenangan.

China yang merupakan pasukan paling cemerlang dalam kejohanan itu mengesahkan kemenangannya selepas pemain ranking kelapan dunia He Bing Jiao membenam muka baharu Siti Nurshuhaini Azman 21-8, 21-3.

Siti Nurshuhaini yang baharu berusia 17 tahun dengan ranking ke-455 dunia cuba untuk memberikan saingan pada awalnya tetapi tidak mampu mengikut rentak pemain China itu yang bukan lawan beliau.

Pemenang pingat emas beregu campuran Huang Dong Ping dan pemenang pingat perak beregu wanita Jia Yi Fan di Sukan Olimpik Tokyo, meneruskan penguasaan China dalam perlawanan beregu kedua dengan mengatasi beregu muda negara Go Pei Kee-Teoh Mei Xing 21-9, 21-12.

Pemenang pingat perak Kejohanan Remaja Dunia 2018 Wang Zhi Yi melengkapkan kemenangan 5-0 China dengan mengatasi K Letshanaa 21-15, 21-11.

Malaysia akan melengkapkan perlawanan Kumpulan D berhadapan Kanada, pada pukul 7 malam 11 Oktober (1 pagi, 12 Oktober waktu Malaysia ) sementara China yang bermula dengan membelasah Kanada 5-0 semalam akan melengkapkan perlawanan kumpulan menentang tuan rumah Denmark pada 12 Oktober.

Dengan hanya dua pasukan teratas akan mara ke peringkat suku akhir, China berada di kedudukan teratas dengan dua kemenangan diikuti Denmark dengan satu kemenangan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Jordan benam Harimau Malaya 4-0 dalam aksi persahabatan

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Tindakan gopoh barisan pertahanan skuad bola sepak kebangsaan mengundang padah apabila tewas 4-0 kepada Jordan dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Amman, Jordan malam tadi.

Penyerang kelab Al-Jazeera Ali Olwan menjadi duri dalam daging buat skuad Harimau Malaya apabila meledak hatrik untuk membantu pasukan di ranking ke-93 dunia itu melebar rekod tanpa kalah pada lima perlawanan selepas seri tanpa jaringan dalam perlawanan pertama berdepan Malaysia pada 1988.

Skuad bimbingan Tan Cheng Hoe beraksi dengan baik pada 30 minit pertama perlawanan apabila berjaya mematahkan serangan tuan rumah yang dilihat lebih menguasai perlawanan.

Namun, situasi kucar kacir skuad negara mengundang padah apabila gawang Mohd Khairulazhan Mohd Khalid dibolosi pada minit ke-34 hasil tolakan mudah Ali yang menerima hantaran cantik Ehsan Hadad dari sebelah kanan padang.

Masalah komunikasi berlaku antara kapten Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak dan Mohd Khairulazhan yang gagal membaca bola hasil tandukan dari tengah padang oleh pemain Jordan mengakibatkan bola singgah di kaki Odai Al-Saify, yang dengan tenang menguis masuk gol kedua tuan rumah pada minit ke-42.

Tuan rumah seperti mendapat suntikan moral ketika waktu rehat, kembali garang di babak kedua perlawanan dengan menghasilkan dua gol dalam masa dua minit menjadikan kedudukan 4-0.

Tandukan ke belakang oleh pertahanan Kuala Lumpur City FC, Muhammad Irfan Zakaria disambar oleh Ali untuk gol kedua peribadinya pada minit ke-47 sebelum melengkapkan kemenangan skuad bimbingan Adnan Hamad itu apabila mencipta hatrik pada minit ke-49 selepas menerima lorongan cantik oleh Mousa Suleiman.

Biarpun menunjukkan aksi positif dengan melancarkan serangan ke kubu tuan rumah namun pasukan kebangsaan tidak berupaya untuk setidak-tidaknya menjaringkan gol sagu hati dan kedudukan 4-0 itu kekal hingga wisel penamat ditiup pengadil perlawanan.

Malaysia yang menduduki ranking ke-154 dunia, akan menamatkan aksi perlawanan persahabatan di Jordan berdepan Uzbekistan (ke-84 dunia) di Stadium Antarabangsa Amman, Sabtu ini (9 Okt).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia sumbang alat perubatan bantu Indonesia perangi Covid-19

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Malaysia hari ini menyerahkan sumbangan peralatan dan bekalan perubatan kepada Indonesia bagi membantu republik itu memerangi pandemik Covid-19.

Sumbangan itu diserahkan oleh Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah kepada Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono, di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dekat sini.

Saifuddin berkata bantuan itu mencerminkan hubungan baik dan kukuh di antara kedua-dua negara, dan sebagai jiran terdekat, Malaysia dan Indonesia akan terus bekerjasama erat dalam memerangi pandemik Covid-19.

“Walaupun Malaysia sendiri masih lagi berdepan dengan pandemik Covid-19 serta kekangan-kekangan yang datang dengannya, namun ia tidak menghalang kita untuk membantu mengikut kemampuan kita.

“Di samping usaha-usaha domestik kita untuk menangani wabak Covid-19, kita juga perlu melihat kepada situasi dan kebajikan mereka yang berada di sekeliling kita, termasuk juga jiran-jiran tetangga kita,” katanya pada majlis penyerahan itu.

Sumbangan yang dihulurkan Malaysia kepada Indonesia yang berupa tangki ISO mengandungi oksigen cecair, pemekat oskigen, ubat-ubatan terapeutik serta barangan perubatan pakai buang, akan dihantar menggunakan pesawat TUDM.

Sumbangan hari ini merupakan kumpulan pertama dalam beberapa peringkat penghantaran bantuan kepada Indonesia yang dijangka selesai hujung bulan ini, katanya.

Sementara itu, Hermono berkata kerajaan dan rakyat Indonesia amat menghargai bantuan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia.

“Sumbangan ini amat bermakna untuk kami. Meskipun Malaysia pada saat ini sedang berjuang melawan Covid-19, tapi ia masih fikirkan saudara-saudara di Indonesia dalam membantu untuk sama-sama melawan pandemik ini,” katanya.

Turut hadir Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Mastura Mohd Yazid dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

-BERNAMA