Categories
NASIONAL SELANGOR

RON97 naik 15 sen mulai malam ini

minyak-naikHarga jualan runcit petrol RON97 di seluruh negara naik 15 sen seliter kepada RM2.85 seliter berbanding RM2.70 seliter berkuat kuasa malam ini lapor Malaysiakini.

Perkara tersebut disahkan oleh presiden Persatuan Pengusaha Petroleum Perak, Lee Chee Seng, ketika dihubungi Malaysiakini sebentar tadi.

Kenaikan itu lebih rendah berbanding peningkatan 20 sen untuk harga diesel dan petrol RON95 yang diumumkan kerajaan semalam.

Harga pasaran RON97 pada kebiasaannya ditentukan secara “apungan terurus” yang melibatkan perubahan mengikut faktor pasaran dan tidak melibatkan subsidi kerajaan.

Kerajaan menetapkan subsidi sebanyak 63 sen seliter untuk RON95 dan 80 sen seliter untuk diesel.

Ini merupakan peningkatan harga pertama untuk petrol RON97 selepas harga runcitnya meningkat 20 sen pada Mac lalu.

Harga runcit berkenaan turun 20 sen selepas pilihan raya 5 Mei.

Harga RON97 mencatat paras tertinggi RM3 seliter pada September 2012.-malaysiakini.com

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL SELANGOR

Pembunuhan Altantuya: Mahkamah bebas Azilah, Sirul

gambar hiasan
gambar hiasan

Mahkamah Rayuan hari ini membebaskan anggota Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, daripada pertuduhan membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, lapor Portal malaysiakini.com.

Ini berikutan mahkamah dalam keputusan sebulat suara membenarkan rayuan pasangan itu.

Bagaimanapun, pihak pendakwa akan mempunyai peluang untuk merayu di Mahkamah Persekutuan – mahkamah tertinggi di negara ini.

Hakim Datuk Md Apandi Ali mengetuai panel tiga hakim yang mendengar rayuan tersebut.

Bagaimanapun, penghakiman itu dibacakan oleh Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat yang memutuskan berlaku penyalaharahan yang serius oleh hakim Mahkamah Tinggi.

Ia termasuk tidak memanggil DSP Musa Safri, dan kegagalan untuk mengemukakan diari balai polis yang menyatakan bahawa Azilah (kiri) berada di Bukit Aman pada masa berkenaan.

Seorang lagi anggota panel hakim tersebut ialah Datuk Linton Albert.

Pada April 2009, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Zaki Md Yassin telah mensabitkan dua anggota polis itu atas tuduhan bunuh. Manakala penganalisis politik Abdul Razak Baginda dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dengan pembunuhan itu.

Pendakwa akan merayu

Azilah diwakili oleh peguam Hazman Ahmad dan J Kuldeep Kumar, manakala peguam Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Rezua Merican mewakili Sirul.

Timbalan Peguamcara Negara 111, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah mengetuai pasukan pendakwaraya yang turut dianggota DPP Manoj Kurup dan Noorin Badaruddin.

Altantuya telah dibunuh di hutan Puncak Alam dekat Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Menurut peguam, kedua-dua tertuduh mungkin dibebaskan dari penjara Sungai Buloh lewat hari ini.

Dalam mesej teks, Tun Majid berkata mereka akan membuat rayuan terhadap keputusan hari ini. Malaysiakini.com – mza