Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 50,000 terima manfaat pemeriksaan mammogram percuma

SHAH ALAM, 9 DIS: Seramai 53,364 individu menerima manfaat pemeriksaan Mammogram Percuma Selangor (MammoSEL) sejak 2010 sehingga kini, kata EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata daripada jumlah itu bangsa Melayu paling ramai menerima manfaat iaitu 29,225 orang diikuti Cina sebanyak 17,616, India 6,360 dan lain-lain seramai 163.

“Mengikut kajian daripada Malaysia Medical Association (MMA), golongan paling berisiko mendapat kanser payudara di antara umur 50 tahun dan ke atas, manakala golongan berumur 35 hingga 50 tahun adalah mereka yang kurang berisiko.

“Selain itu kaedah pemeriksaan juga ditambah baik dengan menyediakan pemeriksaan biopsi yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri Selangor bernilai sehingga RM2,500 seorang,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Permatang, Rozana Zainal Abidin mengenai perkembangan program MammoSEL dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Dr Siti Mariah berkata mereka yang ingin membuat pemeriksaan boleh memohon secara dalam talian menerusi laman sesawang https://skw.yawas.my.

“Bagi permohonan yang berjaya, pihak hospital yang merupakan panel program ini akan menghubungi peserta untuk menetapkan tarikh janji temu pemeriksaan di hospital yang dipilih.

“Buat masa ini sebanyak 12 buah hospital swasta beserta cawangan telah menjalinkan usahasama sebagai panel bagi program ini,” katanya

Categories
SELANGOR

104 wanita DUN Bandar Utama jalani pemeriksaan mammogram

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 14 FEB: Seramai 104 wanita di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama sudah menjalani pemeriksaan mammogram sejak Ogos 2018 sehingga Januari lalu.

Ahli Dewan Negeri Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berkata, sambutan diterima amat menggalakkan dan beliau bercadang untuk menambah bilangan peserta dari semasa ke semasa.

“Kita tidak menetapkan berapa jumlah sasaran untuk wanita sekitar DUN Bandar Utama, sebaliknya akan tetap terus melaksanakan program pemeriksaan mammogram ini.

“Jika ada yang memohon ingin membuat pemeriksaan mammogram, kita akan mula laksanakan kerana ia bertujuan membantu mereka yang kurang berkemampuan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, beliau menyarankan wanita di DUN Bandar Utama mengambil kesempatan membuat pemeriksaan mammogram percuma menerusi Skim MammoSel disediakan Kerajaan Negeri.

“Wanita perlu mengambil peluang ini kerana jika mahu membuat rawatan sendiri, sudah pasti ia akan menelan kos tinggi.

“Namun, kebanyakan wanita kini saya lihat kurang kesedaran untuk pergi membuat rawatan dan dalam tidak sedar mereka sudah menghidap kanser pada tahap merbahaya,” katanya.

Program MammoSEL dilancarkan pada 6 November 2010, di Hulu Langat sempena Sambutan Hari Wanita Desa peringkat Selangor, bertujuan memberi perkhidmatan pemeriksaan mammogram secara percuma kepada seluruh wanita, di negeri itu.

Program itu ditambahbaik bermula pada 2016 dengan penambahan rawatan susulan ultrasound bagi yang memerlukan atas nasihat doktor.

Categories
SELANGOR

Wanita perlu jalani saringan awal kanser

OLEH SHEEDA FATHIL

AMPANG JAYA, 11 FEB : Wanita digesa untuk mengambil langkah proaktif dalam penjagaan kesihatan terutama berkaitan penyakit kanser dengan melakukan saringan awal.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, saringan awal itu penting bagi mengelakkan penyakit itu daripada terus berleluasa.

“Di Selangor terutamanya Kerajaan Negeri sudah menyediakan pemeriksaan mammogram secara percuma kepada wanita untuk melakukan pengesanan awal terhadap penyakit kanser payudara.

“Namun, kebanyakan wanita kini saya lihat kurang kesedaran untuk pergi membuat rawatan dan dalam tidak sedar mereka sudah menghidap kanser pada tahap merbahaya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Karnival Wellness, Welfare, Women (3W) di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau berkata, berdasarkan statistik yang diterimanya tidak sampai 50,000 orang menggunakan peruntukan disediakan Kerajaan Negeri untuk memeriksa mammogram.

“Oleh itu, saya berharap wanita di Selangor terutamanya untuk pergi ke Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri masing-masing untuk memohon pemeriksaan mammogram,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

RM2.03 juta manfaatkan 21,135 peserta Mammogram

Oleh: NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 28 FEB: Seramai 21,135 wanita seluruh Selangor sudah menikmati manfaat program Mammogram dengan peruntukan RM2.03 juta setakat Disember 2015.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta setiap tahun bagi menyediakan khidmat saringan mammogram secara percuma.

IMG-20160228-WA0004“Daripada jumlah itu, seorang peserta mammogram meninggal dunia akibat kelewatan didiagnosa.

“Ketika itu beliau berada pada tahap tiga kanser payudara dan daripada jumlah ini juga seramai 176 orang dikenal pasti mempunyai tanda kanser.

“Mereka ini dirujuk ke hospital ataupun pakar untuk rawatan lanjut,” katanya pada program Mammogram Selangor 2016 di Padang Desa Mentari 11, di sini.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Medan, Haniza Talha dan Ketua Pegawai Eksekutif Rantaian Mesra Sdn Bhd, Kamsani Nasir.

Pada masa sama, Daroyah turut menasihatkan orang ramai supaya menitikberatkan langkah pencegahan sebagai usaha mengelakkan berlakunya kanser.

image“Dengan kemudahan dan teknologi perubatan masa kini, kita dapat mencegah kematian awal berlaku serta melakukan rawatan sewajarnya bagi memulihkan kesakitan mahupun penyakit.

“Dan lebih penting mengamalkan gaya hidup sihat, pengambilan makanan seimbang serta berfikiran positif supaya dapat dijauhkan sebarang penyakit,” katanya.

Kira-kira 300 wanita hadir mengambil peluang mendapatkan rawatan melalui Digital Mobile Mammogram atau khidmat saringan mammogram bergerak oleh Majlis Kanser Nasional (MAKNA).

Mereka turut diberikan pendedahan, ilmu dan pencerahan berkenaan kepentingan menjaga kesihatan serta menjalani gaya hidup sihat bagi mencegah kanser.

-AA-

Skim Kesihatan Wanita

Skim Kesihatan Wanita ini membantu meningkatkan kualiti kesihatan dan kesedaran di kalangan wanita sebagai langkah awal pencegahan.

Mammogram ialah pemeriksaan payudara menggunakan sinar-X yang memaparkan kelenjar susu, lemak dan salurah darah .