Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tinjauan: 62 peratus mangsa bah di Klang kembali normal tidak sampai sebulan

SHAH ALAM, 28 JAN: Tinjauan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati ramai mangsa bah di daerah Klang kembali hidup seperti biasa tidak sampai sebulan selepas bencana 18 Disember lalu.

Menurut surat berita jabatan itu, kehidupan 62 peratus penduduk kembali normal, 15.3 peratus lagi mengambil masa satu hingga tiga bulan, 12.8 peratus (tiga-enam bulan) dan 9.9 peratus (lebih enam bulan).

Tinjauan yang dibuat antara 10 hingga 14 Januari lalu juga mendapati:

– purata mengalami kerugian RM14,058 dengan pecahan: 32.7 peratus kurang RM5,000, 30 peratus (RM5,000-RM9,999) dan 22.5 peratus (RM10,000-RM19,999)

– purata kerugian akibat kerosakan kediaman RM7,627 dengan pecahan: 66 peratus kurang RM5,000, 16.2 peratus (RM5,000-RM9,999) dan 10.2 peratus (RM10,000-RM19,999)

– kerugian purata akibat kerosakan kenderaan RM5,355 dengan pecahan: 23.4 peratus kurang RM1,000, 31.8 peratus (RM1,000-RM2,999) dan 15.9 peratus (RM3,000-RM4,999)

– purata kerugian akibat kerosakan perabot, alatan elektrik, pakaian dan barangan lain RM7,134 dengan pecahan: 66 peratus kurang RM5,000, 16.2 peratus (RM5,000-RM9,999) dan 10.2 peratus (RM10,000-RM19,999)

– purata kos pembersihan pascabanjir RM1,179 dengan pecahan: 98.4 peratus memerlukan kurang RM2,500, manakala 1 peratus lagi (lebih RM10,000)

DOSM juga mendapati 92 peratus tidak mempunyai perlindungan insurans bencana bagi perumahan, 86 peratus (kenderaan), kelengkapan rumah (99 peratus) dan peribadi (85 peratus)

Tinjauan sama menunjukkan 34.2 peratus mempunyai simpanan kecemasan kurang RM1,000, sementara 35.8 peratus lagi (RM1,000-RM4,999), 11.9 peratus (RM5,000-RM9,999) dan 18.1 peratus (RM10,000 dan lebih).

Dibuat melalui kaedah temuramah bagi mengukur dampak banjir dari segi kos kerosakan, dapatan lain seperti berikut:

-93.2 peratus responden perlukan bantuan tunai, sementara 38.7 peratus perlu kelengkapan rumah

-60.9 peratus penduduk mengalami banjir antara satu hingga dua hari

-62.9 peratus berdepan masalah kenaikan air bah lebih tiga meter

Namun DOSM juga menjelaskan tinjauan ini bertujuan mengukur kesan banjir terhadap sebahagian penduduk Klang dan bukannya perangkaan rasmi jabatan tersebut.

Butiran lengkap tinjauan ini boleh disemak di Facebook Department of Statistics, Malaysia.

Categories
AGENSI SELANGOR

12,734 keluarga, waris korban bah di Klang dapat bantuan negeri

SHAH ALAM, 24 JAN: Seramai 12,734 keluarga dan waris yang terjejas banjir di Klang menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) dengan peruntukan lebih RM12.78 juta setakat ini.

Pegawai Daerah Klang Mohd Faizal Abd Raji berkata bantuan RM1,000 diagihkan kepada 12,728 ketua isi rumah manakala enam waris korban bah mendapat RM10,000.

Menurutnya, penerima paling ramai dari Sri Muda iaitu 3,319, Jalan Kebun (2,584) Bukit Raja (1,761), Pekan Kapar (1,412), Rantau Panjang (1,196), Telok Gadong (1,213) dan Pulau Indah (1,085).

“Jumlah terkini keseluruhan borang diterima ialah 71,542 permohonan dan yang telah didaftarkan untuk menerima bantuan sebanyak 44,106,” katanya kepada Selangorkini.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Mangsa bah diberi tempoh hingga Ahad keluarkan sampah pukal

SHAH ALAM, 14 JAN: KDEB Waste Management (KDEBWM) memberi tempoh sehingga Ahad untuk mangsa banjir mengeluarkan baki sampah pukal dari kediaman masing-masing.

Pengarah Urusannya Ramli Mohd Tahir berkata kerjasama orang ramai diperlukan bagi memudahkan urusan kutipan setelah pembersihan fasa kedua bermula 8 Januari lalu.

“Kita dapati masih ramai tidak keluarkan sampah pukal seperti meja dan kerusi sedangkan barangan ini perlu dibuang kerana pembersihan sudah masuk fasa dua pada 8 Januari lalu.

“Justeru, kita minta kerjasama orang ramai supaya operasi pembersihan pascabanjir lancar dan kita dapat tumpukan pembersihan longkang serta parit,” katanya kepada Selangorkini.

Anak syarikat Kerajaan Negeri yang menguruskan sepenuhnya kutipan sampah domestik sejak tahun lalu giat membersihkan kawasan terjejas banjir mulai 20 Disember secara berperingkat.

Sebanyak 78,000 tan sampah pukal dibersihkan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan agensi lain yang selesai sepenuhnya pada 7 Januari lalu.