Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jumlah mangsa banjir di Selangor, dua negeri lagi menurun

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Jumlah mangsa banjir di Johor, Melaka dan Selangor yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) menurun kepada 254 orang daripada 65 keluarga petang ini berbanding 284 orang daripada 73 keluarga pagi tadi.

Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam laporan terkini pada 4 petang ini memaklumkan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Linau, Kluang, Johor yang menempatkan 14 individu daripada empat keluarga pada pagi tadi, ditutup petang ini. Ia mula beroperasi pada 9 Mac lepas.

Di Melaka, hanya satu PPS dibuka pada 8 Mac lepas di daerah Jasin, iaitu di SK Parit Penghulu yang kini menempatkan 33 mangsa daripada tujuh keluarga setakat petang ini.

Sementara itu di Selangor, jumlah mangsa di daerah Kuala Langat dan Sepang menunjukkan penurunan apabila PPS Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Changgang, Kuala Langat petang ini menempatkan 52 mangsa daripada 14 keluarga berbanding 61 mangsa daripada 16 keluarga pagi tadi.

Selain itu PPS SK Kota Warisan, Sepang pula menempatkan 122 mangsa daripada 32 keluarga berbanding 129 mangsa daripada 34 keluarga pagi tadi, manakala jumlah mangsa di tiga PPS lain yang beroperasi di negeri itu tidak berubah sejak pagi tadi.

Tiga PPS berkenaan adalah Balai Raya Kampung Orang Asli Bukit Serdang, Balai Raya Kampung Orang Asli Bukit Tadom dan Sekolah RTB Bukit Changgang.

-BERNAMA

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS serah bakul makanan, bantu mangsa banjir di Hulu Langat

SHAH ALAM, 10 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan bakul makanan kepada 48 keluarga di Kampung Sungai Serai, Hulu Langat yang terjejas banjir pada Selasa.

Agensi memaklumkan bantuan diberikan semalam di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selain melawat mangsa di rumah.

“Belum sempat lagi hendak bernafas lega, sekali lagi penduduk Kampung Sungai Serai, Hulu Langat diuji dengan banjir.

“Alhamdulillah hasil zakat yang ditunaikan, LZS dapat menyumbangkan bantuan dengan pantas serta meringankan beban mangsa banjir yang berlaku buat kali kedua dalam tempoh enam bulan,” kata agensi di Facebook hari ini.

Pada Disember LZS mengumumkan bantuan RM600 kepada mangsa banjir negeri ini termasuk bukan asnaf.

Sebanyak RM10,000 turut diagihkan kepada ketua operasi agihan daerah sebagai bantuan kecemasan selain RM250,000 bagi sumbangan makanan kering dan barangan keperluan asas.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

300 mangsa banjir Taman Medan ditempatkan di dua pusat pemindahan

SHAH ALAM, 8 MAC: Seramai 300 mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Medan ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) malam tadi.

Ahli Dewan Negerinya Syamsul Firdaus Mohamed Supri berkata jumlah itu membabitkan penduduk di kawasan PJS 1, PJS 2C/10 dan PJS 3.

“Jumlah yang terjejas mungkin ramai tetapi tiada angka rasmi diperoleh setakat ini kerana kebiasaannya banjir di Taman Medan cepat surut.

“Semua mangsa kini ditempatkan di dua PPS iaitu Dewan PJS 2C/6 dan Dewan PJS 1/35,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata pihaknya mengambil langkah segera dengan menyediakan makanan kepada mangsa banjir di PPS.

“Sumbangan makanan masak disediakan dan diagihkan kepada 300 mangsa,” katanya.

Banjir kilat dilaporkan melanda beberapa kawasan di Selangor selepas hujan lebat sejak 3 petang semalam.

Antara kawasan terjejas di negeri ini ialah Bandar Baru Sungai Buloh, Kampung Gombak Batu Arang, Kampung Melayu Kundang dan Kampung Melayu Sungai Serai, Batu Arang.

Categories
AGENDA AGENSI BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

259 pelajar, guru, sekolah mangsa bah terima bantuan Yayasan Selangor

SHAH ALAM, 4 MAC : Yayasan Selangor memperuntukkan RM72,500 sebagai bantuan kepada pelajar, guru dan sekolah terjejas banjir pada Disember lalu.

Menurut agensi itu, bantuan itu disalurkan kepada 244 pelajar dan tujuh guru serta lapan sekolah di bawah tajaannya di negeri ini.

“Walaupun tragedi bah sudah lama berlalu, pihak kami amat bersimpati dan terpanggil untuk meringankan beban pelajar, keluarga, guru dan sekolah yang ditimpa bencana itu.

“Justeru, hasil sokongan dan sumbangan rakan yayasan serta pihak korporat yang prihatin, Yayasan Selangor berjaya mengumpulkan dana sejumlah RM72,500 untuk disalurkan kepada mangsa terlibat,” kata kenyataan tersebut.

Katanya, pihaknya turut berterima kasih kepada Yayasan Kelantan Darulnaim dan TWA (Malaysia) Sdn Bhd yang memberi sumbangan bagi membantu mangsa bah di Selangor.

Pengarah Yayasan Kelantan Darulnaim Azi Rahimee Mohammed berkata, pihaknya berharap bantuan itu dapat meringankan beban penerima khususnya membuat persiapan persekolahan yang bakal dibuka tidak lama lagi.

Sebanyak RM56,000 wang sumbangan diserahkan kepada wakil Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, manakala RM16,500 lagi kepada Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor pada 1 Mac lalu, untuk diagih kepada mangsa terbabit.

Categories
AGENDA NASIONAL

‘Abang Viva’ Ke Terengganu bawa kereta baharu

KUALA BERANG, 28 FEB: Misi menyelamatkan penduduk Terengganu yang terjejas banjir pada kali ini tidak lagi seperti biasa buat sukalerawan Azwan Omar atau lebih dikenali sebagai ‘Abang Viva.’

Jejaka berusia 30 tahun itu tidak lagi menggunakan Perodua Viva sebaliknya kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dihadiahkan oleh seorang individu bagi memudahkan urusan kebajikan beliau.

“Banjir di Terengganu adalah misi pertama saya dengan kereta ini. Dengan kereta baharu ini, saya rasa lebih bersemangat kerana banyak tempat saya boleh masuk. Kalau Viva sebelum ini, banyak tempat tidak boleh (masuk),” katanya kepada pemberita di Kampung Belukar Bukit di sini hari ini.

Tangkap layar Azwan Omar ketika diwawancara kru SelangorTV di Melaka pada 20 Januari 2022.

Azwan bertolak dari Melaka kira-kira jam 9 malam semalam dan tiba di Kampung Pengkalan Ajal di Hulu Terengganu yang terjejas teruk akibat banjir pada 4.50 pagi tadi.

Katanya sepanjang misi bantuan di Terengganu, beliau hanya akan tidur di dalam kereta seperti sebelum ini.

Misi bantuan kali ini juga agak berlainan kerana Azwan tidak lagi bersendirian sebaliknya ditemani empat rakan yang memandu tiga kenderaan pacuan empat roda serta membawa tiga bot.

Azwan berkata keadaan beliau kini yang lebih dikenali masyarakat turut memudahkan urusan kerana ramai yang memberikan kerjasama termasuk membawanya ke lokasi banjir terutama di kawasan pedalaman.

“Rasa segan itu ada tetapi lebih bersemangat kerana saya senang dapat maklumat dan minta tolong orang kampung,” katanya yang sering menerima tepukan dan sorakan mangsa banjir yang diselamatkan serta penduduk setempat.

Beliau berkata setelah keadaan banjir di Terengganu reda, beliau akan meneruskan misi ke Kelantan sekiranya keadaan di sana memerlukan bantuannya.

Kisah Azwan tular di media sosial apabila sanggup datang ke Selangor dari Melaka untuk menyelamatkan mangsa banjir pada Disember lepas dengan hanya berbekalkan wang RM50 bagi mengisi minyak kereta dan membeli makanan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis: Penggunaan dron bantu operasi selamat mangsa banjir

PASIR MAS, 28 FEB: Penggunaan dron ketika operasi menyelamat dan tinjauan di lokasi bencana banjir terutama di kawasan yang sukar dimasuki dilihat sangat efektif, kata Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun.

Beliau berkata penggunaan alat itu membolehkan pihak polis mengetahui keadaan sebenar lokasi terbabit termasuk paras air dan laluan di kawasan berkenaan.

“Bencana kali ini agak luar biasa terutamanya di Rantau Panjang apabila terdapat kawasan tertentu yang sebelum ini tidak dinaiki air, tetapi kini turut dilanda banjir sehingga paras air mencapai sedalam lebih satu meter.

“Dengan penggunaan dron ini kita boleh meninjau kawasan berkenaan, sekali gus dapat melancarkan kerja pasukan kami dalam misi menyelamat mangsa banjir,” katanya kepada pemberita selepas meninjau dan menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Lati di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata sehingga kini pasukan penyelamat menerima banyak panggilan kecemasan daripada mangsa banjir dari kawasan yang sebelum ini tidak pernah dilanda banjir.

“Walaupun banjir agak luar biasa, keadaan dilihat masih terkawal dan jumlah anggota polis di Kelantan setakat ini mencukupi untuk misi bantuan termasuk mendapat bantuan daripada 55 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) khusus bagi Pasir Mas,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penduduk Hulu Terengganu lari ke bukit sudah diselamatkan

KUALA TERENGGANU, 27 FEB: Ratusan mangsa banjir dari PPSK (Projek Penyusunan Semula Kampung) Felcra Gunung Menerong dekat Ajil di Hulu Terengganu, yang terpaksa melarikan diri ke kawasan bukit di ladang kelapa sawit berikutan rumah mereka ditenggelami air, telah berjaya diselamatkan.

Perkara tersebut disahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil Maliaman Kassim ketika dihubungi Bernama petang ini.

“Betul, semua mangsa banjir di atas bukit yang tular itu telah pun selamat. Cuma saya tiada maklumat terperinci mengenainya…. yang penting semua sudah selamat,” katanya.

Sementara itu, seorang ahli keluarga mangsa banjir tersebut, Mohd Naqiuddin Hakimi Khairul Anuar, 31, berkata dia dapat menghubungi semula adiknya yang turut terperangkap di bukit tersebut pada 6 petang tadi.

“Adik saya Fazeera Izyanie, 29, memaklumkan kesemua mangsa banjir sudah mendapat bantuan dari penduduk Kampung Felda Tersat, yang menyelamatkan mereka dari bukit itu.

“Penduduk Kampung Felda Tersat berganding bahu membawa bot dan meredah laluan berbukit untuk menyelamatkan mangsa banjir di bukit tersebut, dan kesemua mereka kini dilaporkan selamat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pagi tadi, tular di media sosial beberapa video dan gambar yang memaparkan ratusan penduduk terpaksa berlindung di bukit itu, setelah kesemua rumah di kampung itu ditenggelami air.

Sementara itu keadaan sama turut berlaku di Hulu Terengganu sejak awal pagi tadi, sehingga menyebabkan ada penduduk kampung terpaksa menyelamatkan diri ke kawasan bukit kerana air naik terlalu pantas.

Wan Suzana Wan Sulong, 37, berkata ibunya yang berusia 70 tahun bersama dua anak saudaranya (10 hingga 13 tahun – dua lelaki, seorang perempuan), hanya sempat melarikan diri ke bukit berdekatan rumah ibunya di Kampung Bukit Gemuruh dekat sini bersama jiran sekampung.

“Emak saya beritahu air naik terlalu cepat, tak dapat nak buat apa-apa. Mereka ramai-ramai selamatkan diri naik ke bukit dekat rumah,” katanya ketika ditemui Bernama di Jalan Sekayu di sini, hari ini.

Wan Suzana berkata adiknya, Wan Mazira Wan Sulong, 33, yang tinggal di kampung bersebelahan (Kampung Menjing) pula sempat berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Bukit Gemuruh bersama dua anak berusia sembilan bulan dan 14 tahun.

“Rumah emak dan rumah adik tenggelam sampai bumbung, seumur hidup saya, inilah kali pertama banjir besar macam ni, belum pernah jadi lagi. Kalau naik air pun sikit saja,” katanya yang memberitahu PPS didiami adiknya turut dinaiki air sehingga ke tingkat dua sekolah.

Sementara itu Sahabuzan Ahmad, 52, dari Kampung Tanjung Putat di sini berkata kali terakhir banjir besar seperti ini berlaku adalah sekitar 1988.

-BERNAMA

 

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Lebih 17,000 mangsa bah di Klang terima bantuan negeri RM1,000

SHAH ALAM, 9 FEB: Seramai 17,400 mangsa banjir di Klang pada Disember tahun lalu, sudah menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) iaitu sebanyak RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah (KIR).

Pegawai Daerah Mohd Faizal Abdul Raji berkata proses agihan dipergiatkan sejak kelmarin dengan sasaran 2,000 penerima sehari dan dijangka selesai hujung bulan ini.

“Kami menerima bantuan 30 kakitangan tambahan dari pelbagai jabatan bagi memasukkan semua data pemohon. Langkah ini bertujuan mengelakkan berlakunya pertindihan.

“Segala maklumat pemohon akan lengkap sepenuhnya minggu ini, jadi agihan akan lebih mudah kerana kita boleh memohon peruntukan yang tepat. Kita menerima lebih 74,000 borang pemohonan dan perlu masa untuk diteliti,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memohon maaf atas kelewatan agihan BSB akibat banyak permohonan bertindih dan memerlukan semakan.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri menempatkan kakitangan tambahan ke Pejabat Daerah dan Tanah Klang dan Petaling bagi mempercepatkan agihan terbabit.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA sumbang periuk serba guna kepada lebih 1,500 mangsa banjir

SHAH ALAM, 23 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyumbang 1,525 periuk serba guna kepada mangsa banjir sekitar kawasan kendaliannya hari ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata inisiatif itu sebagai langkah susulan meringankan beban mangsa yang kehilangan harta benda akibat bah besar pada Disember tahun lalu.

Jelas Shahrin Ahmad bantuan melibatkan 635 mangsa di Taman Seri Muda, Padang Jawa (400), Kampung Lanchong Jaya (240) dan Kampung Kebun Bunga Batu 3 (250).

“Datuk Bandar Dato’ Zamani Ahmad Mansor meluangkan masa menyerahkan sendiri bantuan ini kepada mangsa.

“Beliau sempat beramah mesra selain mengetahui perkembangan semasa semua mangsa. Kita harap bantuan ini dapat membantu mereka,” katanya ketika dihubungi.

Kawasan kendalian MBSA antara lokasi utama negeri ini mengalami kerosakan teruk selain daerah Hulu Langat dan Subang Jaya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Dapur masak, set tilam bantu 500 mangsa bah DUN Batu Tiga

SHAH ALAM, 14 JAN: Seramai 500 keluarga mangsa banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga akan menerima kelengkapan asas hujung minggu ini.

Antara barangan yang bakal diagih ialah dapur memasak, periuk nasi, cerek, set tilam dan tikar getah, maklum Ahli Dewan Negerinya Rodziah Ismail.

Katanya, keperluan sumbangan OCBC Al-Amin Bank Berhad, Lions Club of Klang dan Lions Club of Selangor Miracle diedar ke Kampung Padang Jawa dan Kampung Jawa.

“Kita harap barangan ini dapat melegakan mangsa banjir. Mereka akan pergi rumah ke rumah untuk memberi sumbangan ini,” katanya kepada Selangorkini.

Sebelum ini, Rodziah mengalu-alukan individu atau syarikat swasta untuk menyumbang barang keperluan asas meliputi makanan dan tong gas kepada mangsa banjir.

Katanya, ia berikutan ramai yang terkesan bencana sudah pulang ke rumah masing-masing dan memerlukan semula bekalan yang musnah.

Categories
AGENDA NASIONAL

Wanita hilang Bezza akibat banjir, terima kejutan dapat Saga

SHAH ALAM, 12 JAN: Seorang wanita yang berduka akibat kehilangan kereta baharu apabila dibawa arus banjir di Kampung Sungai Lui Batu 19, Hulu Langat, Disember lalu kini kembali mengukir senyuman.

Ia berikutan sebuah syarikat pengendali pasaran kereta terpakai Asia Tenggara, Carsome tampil memberi kejutan dengan menyumbang kenderaan terpakai model Proton Saga kepada Nuarjan Sulaiman, 36, hari ini.

Ibarat mimpi menjadi kenyataan, ibu tiga cahaya mata itu mengakui terperanjat sebaik dihubungi pihak terbabit untuk menggantikan kereta Perodua Bezza miliknya yang gagal diselamatkan dalam insiden pada 18 Disember tahun lalu.

Nuarjan Sulaiman memeriksa keadaan keretanya yang hancur sedangkan baru dibeli tiga bulan lalu di Sungai Lui, Hulu Langat pada 22 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Mula-mula macam tak percaya ada insan yang sudi nak beri kereta. Bila dah dapat, rasa sangat gembira dan kereta ini akan memudahkan pergerakan kami sekeluarga.

“Saya berterima kasih kepada Carsome dan rakyat Malaysia yang turut mendoakan rezeki kami. Anak-anak belum tahu, jadi ini juga kejutan buat mereka,” katanya.

Kereta Proton Saga terpakai sumbangan syarikat Carsome untuk Nuarjan Sulaiman yang diserahkan pada 12 Januari 2022. Foto ALIFF HAIQAL MOHAMED/SELANGORTV

Nasib dialami Nuarjan menjadi bualan warga maya susulan kereta baharu dibeli tiga bulan hasil simpanan bersama suami selama lapan tahun termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hilang sekelip mata akibat banjir.

Lebih memilukan apabila kereta berkenaan ditemui 100 meter dari lokasi asal dalam keadaan rosak teruk serta bahagian bonet belakang dan cermin sisi tercabut.

Sebelum ini wanita terbabit hanya menaiki motosikal suami atau meminjam kereta orang lain jika mahu ke mana-mana.

Video boleh ditonton melalui pautan ini: https://www.youtube.com/embed/Qirh1DsMHgk

Categories
AGENDA NASIONAL

Kakitangan MBSJ bantu mangsa banjir sakit jantung sebelum meninggal dunia

PETALING JAYA, 11 JAN: Kakitangan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) yang meninggal dunia ketika membantu mangsa banjir pada 5 Januari lalu sentiasa mengutamakan insan kurang bernasib baik.

Isterinya, Noradilah Abd Kadir, 36, berkata sebelum kejadian Mohd Ikram Bakri ada mengadu penat namun tetap mahu membantu membersihkan rumah mangsa terjejas banjir di Kampung Bukit Lanchong, Subang Jaya.

Noradilah Abd Kadir, sebak selepas menerima sumbangan daripada Dato’ Menteri besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Taman Indah Jaya Petaling Jaya pada 11 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Dia tetap mahu ke sana kerana sudah berjanji, jam 12 tengah hari saya dapat panggilan suami pengsan dan dibawa ke sebuah hospital swasta di Puchong.

“Sebelum menghembuskan nafas terakhir, suami sempat memegang perut saya (mengandung tujuh bulan anak pertama) dan berpesan supaya jaga anak kami dengan baik,” katanya sebak mengenangkan saat-saat akhir bersama Allahyarham.

Noradilah menjelaskan arwah suaminya juga suka bersedekah dan membantu golongan susah sepanjang hayatnya.

Mohd Ikram, 39, meninggal dunia akibat serangan jantung ketika membersihkan kediaman terjejas banjir di Kampung Bukit Lanchong.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menziarah dan menyampaikan sumbangan kepada Noradilah di Taman Indah Jaya di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyantuni Noradilah Abd Kadir di Taman Indah Jaya Petaling Jaya pada 11 Januari 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Tambah Noradilah, Allahyarham cukup teruja apabila mengetahui mereka bakal menimang anak pertama selepas mendirikan rumah tangga lebih 10 tahun malah sudah memilih nama anak.

“Kami dijangka dapat anak lelaki dan suami mahu memberi nama Muhammad Zayne Rafael, sayangnya dia tidak dapat menatap wajah anak kami.

“Saya akan memegang amanah suami supaya menjaga anak kami ini dengan sebaiknya,” katanya yang berterima kasih dengan sumbangan diberikan Kerajaan Negeri kepada keluarganya.