Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Bantuan segera RM10,000 kepada waris mangsa maut tanah runtuh

AMPANG JAYA, 11 MAC : Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan segera sebanyak RM10,000 kepada keluarga mangsa yang maut dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, di sini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan diberi kepada waris mangsa yang meninggal dunia terlebih dahulu sebelum disalurkan kepada mangsa lain yang turut terjejas dengan insiden tersebut.

“Setakat ini, kita tumpu untuk memberi sumbangan sebanyak RM10,000 kepada waris yang ahli keluarganya meninggal dunia.

“Untuk rumah dan mangsa lain yang turut terjejas, kita akan kaji semula bentuk bantuan yang boleh diberikan kerana buat masa ini kita mahu memastikan keadaan di sini selamat dan boleh diduduki,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas membuat tinjauan di lokasi tanah runtuh hari ini.

Terdahulu Dato’ Menteri Besar turut mendengar taklimat oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan bomba berhubung kejadian tersebut.

Petang semalam insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang meragut empat nyawa dan seorang cedera ringan, selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima mangsa yang dilaporkan tertimbus dilaksanakan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pandan, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta pelbagai agensi lain bermula 5.54 petang.

Operasi SAR ditamatkan pada kira-kira 2 pagi apabila polis mengesahkan penemuan semua mayat mangsa.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bah di Terengganu dan Kelantan makin pulih, air sungai bawah paras bahaya

KUALA LUMPUR, 4 MAC: Situasi banjir di Terengganu dan Kelantan bertambah baik pagi ini dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan.

Di TERENGGANU, mangsa banjir terus berkurangan kepada 2,846 mangsa daripada 808 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 5,128 orang daripada 1,276 keluarga pada 8 malam tadi.

Ketika ini, hanya dua daerah masih terjejas banjir iaitu Hulu Terengganu dan Dungun dengan 16 pusat PPS masih beroperasi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa tertinggi ialah di Hulu Terengganu iaitu 2,538 orang dan Dungun (308 orang).

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir terus menunjukkan trend penurunan apabila 4,715 orang daripada 1,506 keluarga masih ditempatkan di 17 PPS di daerah Pasir Mas dan Tumpat, berbanding 4,809 orang daripada 1,525 keluarga malam tadi.

Sementara itu, portal rasmi info banjir JPS melaporkan hanya satu sahaja sungai utama di Kelantan iaitu Air Bol di Jeli berada pada paras waspada dengan merekodkan bacaan 71.3 meter manakala di Terengganu tiada sungai yang melepasi paras bahaya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Jumlah PPS, mangsa di Kelantan, Terengganu meningkat

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Hujan lebat berterusan di Kelantan dan Terengganu mengakibatkan jumlah mangsa banjir dan pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri itu terus meningkat petang ini berbanding pagi tadi.

Di Terengganu, jumlah mangsa meningkat kepada 5,722 orang daripada 1,736 keluarga setakat 4 petang ini berbanding 4,335 orang daripada 1,287 keluarga pagi tadi, melibatkan 102 PPS yang beroperasi.

PPS tersebut merangkumi lapan daerah di Terengganu iaitu Setiu dengan 25 buah , Besut (24), Kemaman (19), Hulu Terengganu (16), Dungun (11), Kuala Nerus (lima), Kuala Terengganu (satu) dan Marang (satu).

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, jumlah mangsa tertinggi masih di daerah Kemaman iaitu 1,924 orang, diikuti Setiu (1,039), Hulu Terengganu (1,001), Dungun (804), Besut (709), Kuala Nerus (202), Kuala Terengganu (38) dan Marang (lima).

Sementara itu di Kelantan, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 6,018 orang daripada 2,019 keluarga setakat 5 petang ini berbanding 3,222 orang daripada 1,034 keluarga, pagi tadi.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan sebanyak 64 PPS dibuka melibatkan tujuh jajahan iaitu 16 di Kuala Krai, masing-masing 15 di Pasir Mas dan Tanah Merah, lapan di Jeli, enam di Pasir Puteh, tiga di Machang manakala satu di Kota Bharu.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Penguasa Kanan Bomba II Mohd Wildan Azhari berkata sebanyak 12 operasi pemindahan dan menyelamat mangsa banjir telah dilaksanakan pihaknya melibatkan 52 mangsa, sejak Jumaat lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir cemas, dua pusat pemindahan dinaiki air

HULU TERENGGANU, 27 FEB: Dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung Lubuk Periuk dan Kampung Peneh di sini turut dilanda banjir awal pagi ini sehingga menyebabkan penduduk yang berlindung di tempat yang sepatutnya ‘selamat’ itu cemas dan kebimbangan.

Arus banjir yang terlalu deras menyebabkan penduduk menjadi kelam-kabut dan segera menyelamatkan harta benda serta keluarga mereka ke kawasan lebih tinggi di kampung tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Lubuk Periuk Abdul Rasek Ali berkata PPS di kampung itu yang menempatkan 315 mangsa pada awalnya telah ditutup pada 1 tengah hari semalam dan penduduk dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah banjir surut sepenuhnya.

“Namun, air naik lagi pada tengah malam menyebabkan lapan penduduk (empat keluarga) yang rumah mereka terletak di kawasan lebih rendah bergegas semula untuk berlindung ke PPS itu malangnya, PPS turut dinaiki air pada 6.30 pagi tadi.

“Ada penduduk tak sempat pergi ke PPS dan jumlah penduduk yang terlibat kali ini masih belum dapat dipastikan kerana banyak rumah yang dinaiki air pagi ini dan kami masih membantu pasukan penyelamat dalam operasi memindahkan penduduk ke kawasan yang lebih tinggi,” katanya.

Kampung Lubuk Periuk dan Kampung Peneh adalah antara lokasi yang sering terjejas banjir di daerah Hulu Terengganu setiap kali hujan lebat berterusan dalam tempoh yang lama.

Sementara itu, penduduk Kampung Peneh, Rosliza Abdul Ghani, 41, ketika dihubungi Bernama berkata air naik terlalu cepat susulan hujan lebat berterusan sejak malam tadi.

“Memang suasana sangat kelam-kabut, tapi penduduk saling membantu menyelamatkan mangsa banjir yang terperangkap di rumah mereka terutama warga emas dan kanak-kanak untuk berlindung di Masjid Kampung Peneh.

“Walaupun pekarangan masjid telah dinaiki air, bahagian dalam masjid masih selamat untuk berlindung buat sementara waktu dan ketika ini, kesemua 60 rumah di Kampung Peneh telah dinaiki air,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Bah di Terengganu, Kelantan makin buruk, 7,557 mangsa pindah PPS

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Jumlah mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu dan Kelantan terus mencatatkan peningkatan pagi ini.

Di TERENGGANU, jumlah penduduk terjejas banjir meningkat kepada 4,335 orang daripada 1,287 keluarga pagi ini berbanding 3,334 orang daripada 931 keluarga malam tadi.

Ketika ini, terdapat 89 pusat pemindahan sementara (PPS) beroperasi di lapan daerah di Terengganu iaitu 22 di Setiu, Kemaman (21), Besut (19), Hulu Terengganu (14), Kuala Nerus (lima), Dungun (lima), Kuala Terengganu (dua) dan Marang (satu).

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah tertinggi mereka yang dipindahkan ke PPS masih di daerah Kemaman iaitu 2,152 orang, diikuti Setiu (802), Hulu Terengganu (637), Besut (370), Kuala Nerus (173), Dungun (138), Kuala Terengganu (58) dan Marang (lima).

Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal rasmi info banjir https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan tujuh sungai di empat daerah masih melepasi paras bahaya pagi ini iaitu Sungai Nerus, Sungai Setiu dan Sungai Chalok di daerah Setiu; Sungai Berang dan Sungai Telemong (Hulu Terengganu), Sungai Besut (Besut) dan Sungai Kemaman (Kemaman).

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 3,222 orang daripada 1,034 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 2,993 orang daripada 881 keluarga, semalam.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan sebanyak 33 PPS dibuka melibatkan lima jajahan iaitu 10 di Pasir Mas, masing-masing sembilan di Kuala Krai dan Tanah Merah, empat di Jeli manakala satu di Pasir Puteh.

Sementara itu, portal rasmi info banjir JPS memaklumkan dua sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Kelantan di Temangan, Machang dengan merekodkan bacaan 21.38 meter (m) dan Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (25.05 m).

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir di Johor semakin pulih, tinggal 95 mangsa masih di pusat pemindahan

JOHOR BAHRU, 15 JAN: Jumlah mangsa yang terjejas banjir sejak 1 Jan lepas terus menurun kepada 95 mangsa setakat 8 pagi ini berbanding 271 individu, petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan berkata hanya tinggal dua daerah masih terjejas banjir, melibatkan lima pusat pemindahan sementara (PPS) dengan Segamat kekal dengan mangsa tertinggi iaitu 83 orang diikuti Tangkak 12 orang.

“Muar telah pulih daripada banjir sepenuhnya semalam apabila PPS terakhir di daerah itu Balai Raya Kampung Jawa telah ditutup petang semalam, selain Sekolah Agama Buloh Kasap dan Balai Raya Kampung Sanglang di Segamat berikutan semua mangsa telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

“Bagaimanapun, penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Bekok, Empangan Bekok di Batu Pahat yang merekodkan tahap waspada dengan trend menaik, diingatkan agar sentiasa berjaga-jaga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata cuaca di seluruh negeri kini dilaporkan cerah termasuk daerah terjejas banjir.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah mangsa banjir lima negeri meningkat tengah hari ini

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Bilangan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah, Pahang, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan mencatatkan peningkatan tengah hari ini, manakala Kelantan dan Terengganu menunjukkan penurunan.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 1,161 orang daripada 399 keluarga pada tengah hari berbanding 717 orang daripada 212 keluarga pagi tadi.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan 18 kawasan di Telupid terjejas banjir diikuti Kota Marudu (10) manakala Paitan, Beluran dan Sandakan masing-masing satu kawasan terjejas.

Lima PPS baharu turut dibuka di Kota Marudu menjadikan keseluruhan tujuh PPS dibuka, bagi menempatkan 969 orang daripada 353 keluarga, manakala satu PPS baharu dibuka di Telupid dengan keseluruhan tiga PPS beroperasi bagi menempatkan 43 orang daripada lapan keluarga.

Dua PPS dibuka di Paitan (50 orang daripada 13 keluarga) sementara satu PPS di Beluran (38 orang daripada lapan keluarga) dan satu PPS di Sandakan yang menempatkan 61 orang daripada 17 keluarga.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir gelombang kedua meningkat tengah hari ini, kepada 986 orang berbanding 649 orang pagi tadi, dengan jumlah keseluruhan PPS beroperasi setakat ini sebanyak 38 buah.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang melaporkan Jerantut menjadi daerah terbaharu dilanda banjir gelombang kedua selepas Raub, Lipis, Maran, Bera dan Rompin.

Bagi banjir besar yang bermula 18 Dis lepas, 11 PPS masih beroperasi di Temerloh dan Pekan bagi menempatkan 1,063 mangsa, manakala sebuah PPS terakhir di Bentong ditutup tengah hari ini, apabila kesemua 92 penghuni terakhirnya dibenarkan pulang.

Sekretariat itu juga melaporkan beberapa lokasi di enam jalan ditutup iaitu di Jalan Sungai Lembing di Kuantan, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan (Maran), Jalan Kuantan-Segamat (Pekan), Jalan Kuala Lipis-Jerantut (Jerantut) dan Jalan Temerloh-Jerantut serta Jalan Paya Luas-Perlok kedua-duanya di Temerloh.

Portal rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan tujuh sungai telah melebihi paras bahaya dengan tiga daripadanya di Lipis iaitu Sungai Tanum di Chegar Perah, Sungai Lipis di Benta dan Sungai Jelai di jeti Lipis, selain Sungai Pahang di Paya Gintong (Jerantut), Sungai Pahang di Kuala Krau (Temerloh), Sungai Serting di Padang Gudang (Bera) dan Sungai Luit di Kampung Subuh (Maran).

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir meningkat sedikit pada 12 tengah hari ini kepada 1,225 mangsa membabitkan 313 keluarga berbanding 1,122 orang daripada 279 keluarga pada 8 pagi tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata kesemua mangsa yang terjejas adalah dari 14 kawasan di Alor Gajah, tujuh kawasan di Melaka Tengah dan tiga kawasan di Jasin.

“Seramai 682 mangsa daripada 186 keluarga ditempatkan di sembilan PPS di Alor Gajah, manakala 493 mangsa daripada 117 keluarga ditempatkan di enam PPS di Melaka Tengah serta 50 mangsa daripada 11 keluarga ditempatkan di dua PPS di Jasin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di JOHOR, Kota Tinggi menjadi daerah ketiga terjejas banjir dengan jumlah mangsa meningkat kepada 1,827 orang daripada 466 keluarga setakat 12 tengah hari ini berbanding 1,646 orang daripada 425 keluarga yang direkodkan 8 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R. Vidyananthan berkata terdapat pertambahan empat PPS iaitu tiga di Segamat dan satu di Kota Tinggi, menjadikan keseluruhan 32 PPS telah dibuka dengan 30 PPS di Segamat, manakala masing-masing satu PPS di Kota Tinggi dan Tangkak.

“Di Kota Tinggi, seramai 16 orang daripada empat keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Teluk Ramunia, Pengerang manakala di Tangkak pula, seramai 40 orang daripada 10 keluarga ditempatkan di Sekolah Agama Bandar Tangkak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dua sungai masih merekodkan paras melepasi bahaya iaitu Sungai Segamat di Bandar Segamat mencatatkan 9.28 meter (m) dan Sungai Tangkak di Kampung Sri Makmur, Tangkak pada paras 4.29 m manakala empat sungai melepasi paras amaran iaitu Sungai Muar di Kampung Olak Sepam, Muar dengan paras 2.03 m; Sungai Muar di Buloh Kasap, Muar, (8.9 m); Sungai Lenik di Ladang Chaah, Segamat (5.95 m) dan Sungai Kesang di Telok Rimba, Tangkak, mencatatkan paras 3.3 m.

Di NEGERI SEMBILAN, data terkini menerusi aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan jumlah mangsa banjir membabitkan 18 PPS di negeri itu meningkat kepada 2,166 orang daripada 555 keluarga setakat 12 tengah hari berbanding 1,767 orang daripada 460 keluarga membabitkan 16 PPS pagi tadi.

Di KELANTAN, menurut aplikasi yang sama, jumlah mangsa banjir mencatatkan penurunan setakat 12 tengah hari iaitu 255 orang daripada 94 keluarga berbanding 308 orang daripada 109 keluarga, pagi tadi melibatkan tiga PPS di Kuala Krai dan Jeli.

Sementara itu, portal rasmi JPS melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya manakala empat sungai merekodkan bacaan paras amaran iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai; Sungai Kelantan dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas; dan Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah.

Di TERENGGANU, susulan penutupan satu PPS di Kemaman, jumlah mangsa banjir merekodkan sedikit penurunan kepada 137 orang daripada 42 keluarga tengah hari ini berbanding 147 orang daripada 44 keluarga pagi tadi, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Dungun menjadi satu-satunya daerah yang masih dilanda banjir dengan dua PPS iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Shukor yang menempatkan 68 orang daripada 20 keluarga diikuti Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja (69 orang, 22 keluarga).

Portal rasmi JPS memaklumkan tiada stesen bacaan sungai yang melepasi paras bahaya namun, dua sungai masih merekodkan ketinggian melepasi paras amaran iaitu Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut dan Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman, Kemaman.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Banjir: 22,875 individu dipindah ke pusat pemindahan

SHAH ALAM, 23 DIS: Sebanyak 22,875 individu terjejas banjir di lapan daerah negeri ini dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 malam semalam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mereka kini berada di 125 pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan sekitar 5,165 keluarga.

“Alhamdulillah, gerak kerja rapat dengan kekuatan 3,326 anggota termasuk NGO akan terus berusaha dalam operasi mengurus termasuk mencari dan menyelamat (SAR) mangsa banjir,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan banjir di Selangor hari ini.

Sementara itu, setakat jam 12.50 tengah hari tadi, Amirudin menerusi Twitter memaklumkan jumlah terkini mangsa yang berada di pusat pemindahan ialah 21,861.

“Kemas kini 12.50 tengah hari: Jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) adalah 21,861 orang di 125 PPS yang sedang beroperasi di lapan daerah seluruh Selangor.

“Makanan serta keperluan asas terus disalurkan kepada semua mangsa di PPS ini,”katanya.

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Keluarga antara faktor dorong individu jadi pembuli

Oleh Balkish Awang

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Masyarakat perlu proaktif dengan kes buli atau dera dan tidak lagi beranggapan insiden ini sebagai perkara biasa, demikian pandangan Pakar Psikiatri dan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Rozanizam Zakaria.

Menurut beliau, Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2017 mendapati, satu dari enam remaja terlibat menjadi mangsa buli dan lelaki lebih banyak terlibat dalam kes sebegini, berbanding wanita.

Kes buli juga paling banyak berlaku dalam kalangan pelajar tingkatan satu iaitu 23 peratus dengan bentuk buli paling lazim adalah kecam badan atau body shaming.

“Ia perlu dicegah sedari awal bagi mengelakkan kesan yang lebih berterusan, antaranya dengan memperbaiki mekanisme yang sedia ada dalam pelaporan, sokongan dan pencegahan bagi semua jenis buli sama ada menerusi fizikal atau maya.

“Ibu bapa perlu memberi perhatian kepada perubahan emosi anak-anak. Jangan sesekali memperkecil pengalaman mereka sekalipun pada kita ia adalah isu yang remeh,” katanya kepada Bernama, sambil menambah, ibu bapa juga harus menyediakan ruang yang selamat untuk anak-anak berkongsi selain mengenalpasti individu berisiko untuk terlibat dengan gejala buli agar pencegahan dapat dilakukan.

Kesan trauma kepada mangsa, pembuli

Dr Rozanizam yang juga Naib Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) berkata, perbuatan buli turut memberikan kesan trauma kepada emosi mangsa malah juga kepada si pelaku.

Untuk mangsa, selain fizikal, ia memberi kesan kepada kepercayaan mangsa terhadap orang lain, keyakinan diri dan pembentukan personaliti.

“Bagi kesan jangka pendek, ia boleh memberi kesan kepada gelaja trauma seperti imbasan trauma yang datang secara berulang, gangguan tidur, kemampuan untuk berhadapan dengan orang lain serta kemampuan untuk belajar.

“Untuk jangka masa panjang, mangsa lima kali lebih berisiko untuk mendapat masalah mental seperti kemurungan serta kebimbangan, berbanding remaja yang tidak dibuli. Mangsa lelaki lebih berisiko terlibat dengan kejadian mencederakan diri dan bunuh diri,” katanya.

Bagi si pembuli pula, mereka turut berisiko mendapat kesan psikologi, terutama sekiranya mereka sudah sedar dengan implikasi perbuatan yang dilakukan.

“Perasaan bersalah dan menyesal boleh menghantui individu yang terlibat sehingga membawa kesan yang berpanjangan,” tambahnya.

Banyak faktor dorong perbuatan buli

Banyak faktor yang mendorong perbuatan membuli, antaranya adalah faktor keluarga, rakan sebaya dan psikologi.

Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Fariza Md Sham dalam menjelaskan perkara ini kepada Bernama berkata, faktor psikologi berkait dengan pengalaman atau peristiwa yang pernah dilalui oleh individu tersebut.

“Individu terbabit mungkin pernah dibuli. Maka mereka juga menjadi pembuli kerana menganggap perkara ini biasa dan menyeronokkan. Selain itu, faktor psikologi juga berkait dengan personaliti yang dimiliki oleh individu pembuli seperti sifat agresif, tingkah laku negatif, penghargaan kendiri rendah, gangguan emosi dan sifat membalas dendam,” katanya.

Dari sudut keluarga pula, perbuatan membuli juga ada kaitannya dengan gaya keibubapaan atau cara pendidikan yang diterapkan ibu bapa atau keluarga sejak si pembuli kecil.

Menurut Fariza, sekiranya pendidikan awal yang diterima daripada keluarga adalah dalam bentuk kekerasan seperti sering dipukul sejak kecil, maka individu tersebut bila menjelang remaja atau dewasa juga akan cenderung untuk bersifat kasar dan keras seterusnya boleh menjadi pembuli.

Beliau yang juga pakar Psikologi Dakwah Remaja itu berkata, psikologi remaja adalah rapuh dan disebabkan itu jiwa mereka mudah memberontak.

“Pengalaman serta peristiwa dalam hidup yang dilalui ketika mereka kecil akan mempengaruhi personaliti dan tingkah laku remaja pada masa akan datang. Sekiranya remaja dibesarkan dalam persekitaran yang harmoni, toleransi,kasih sayang dan prihatin, maka remaja akan mempunyai sahsiah dan tingkah laku yang baik dan boleh mengawal emosi.

“Oleh itu pembentukan personaliti dan tingkah laku yang baik sangat penting dibentuk sejak awal kanak-kanak. Pembentukan ini memerlukan persekitaran yang positif. Kita ambil iktibar dari sejarah Rasulullah SAW yang dibesarkan dalam persekitaran yang baik di perkampungan Bani Saad ketika di usia kecil jauh daripada hiruk pikuk kota yang masyarakatnya hidup dalam suasana jahiliah dan kurang baik,” katanya.

Kisah Rasulullah ini, kata beliau, menunjukkan untuk perkembangan psikologi, mental dan fizikal, anak-anak memerlukan persekitaran yang baik serta positif agar jiwa yang terbentuk adalah baik, penuh kasih sayang serta saling menghargai.

Pantau aktiviti buli

Ketika ditanya kewajaran program yang berunsurkan buli dihentikan terutama hal yang menghimpunkan antara pelajar senior dan pelajar junior, Fariza berkata, secara umumnya program orientasi atau minggu suai kenal di sekolah atau universiti mempunyai tujuan yang baik, iaitu untuk membantu pelajar baharu mengenali dan membuat penyesuaian diri dalam suasana baharu.

Bagaimanapun, apa yang menjadi isu ialah apabila terdapat sekumpulan atau individu yang menyalahi atau menyimpang dengan melakukan buli kepada pelajar baharu yang di luar atur cara program.

“Ini yang menyebabkan program yang baik tercemar dengan perlakuan individu tertentu sehingga meninggalkan imej buruk terhadap program orientasi atau minggu suaikenal.

“Oleh itu, bagi mencegah tingkah laku buli berlaku, pihak pengurusan perlu memantau dan mengawal keadaan ini daripada berlaku aktiviti buli dengan mengisi program yang berbentuk mendidik jiwa dan hati sama ada untuk pelajar junior mahu pun pelajar senior, ” katanya.

Menurut beliau, aktiviti yang menjurus ke arah seperti membuli sememangnya dilarang sama sekali, namun terdapat kumpulan pelajar senior yang berlagak samseng dan mengugut pelajar sekiranya tindak-tanduk mereka dilaporkan kepada pihak pengurusan.

“Pihak pengurusan bukan hanya menunggu laporan daripada pelajar, malah perlu mengambil tindakan tegas sejak awal lagi untuk mencegah perbuatan buli serta kewujudan kumpulan pelajar samseng di sekolah atau universiti.

“Saya yakin jika ada tindakan tegas dan pelajar diberi bimbingan rohani dan jiwa serta diisi dengan program yang membina jati diri, Insya-Allah perkara buli dapat ditangani,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Banjir di Selangor makin pulih, hanya tiga pusat pemindahan dibuka

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Keadaan banjir di Selangor, Melaka dan Perak semakin pulih apabila jumlah mangsa serta pusat pemindahan sementara (PPS) semakin berkurangan.

Di SELANGOR, portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara memaklumkan sehingga 8.28 pagi tadi, jumlah PPS beroperasi di Sepang semakin berkurang daripada enam PPS yang dibuka semalam kepada tiga dan kini hanya menempatkan 55 mangsa daripada 15 keluarga.

Tiga PPS yang masih dibuka itu adalah di Sekolah Rendah Agama Kampung Giching (34 mangsa), Sekolah Rendah Agama Kampung Labu Lanjut (20 mangsa) dan Balai MPKK Kampung Giching yang kekal menempatkan seorang mangsa banjir.

Jumlah mangsa banjir di MELAKA pula terus menurun pada 8 pagi ini membabitkan 99 mangsa daripada 29 keluarga berbanding 305 mangsa daripada 83 keluarga pada 4 petang semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kolonel Cuthbert John Martin Quadra berkata 38 mangsa daripada 10 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel di Jasin.

“Di Alor Gajah, 34 mangsa daripada 12 keluarga ditempatkan di PPS SK Durian Tunggal, 19 mangsa daripada empat keluarga di PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Wah dan lapan mangsa daripada tiga keluarga di PPS SK Telok Berembang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, di PERAK, jumlah mangsa banjir pagi ini kekal 19 orang melibatkan enam keluarga dari dua kampung yang ditempatkan di dua PPS sejak kediaman dan tempat tinggal mereka dinaiki air pada Rabu lepas.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, jumlah tersebut membabitkan sembilan lelaki dan 10 perempuan dari Kampung Sungai Temelok, Trong, Taiping dan Kampung Sungai Rentaka, Matang, masing-masing ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Temelok dan PPS Sekolah Kebangsaan Matang.

— BERNAMA

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Yide sumbang duit, keperluan harian kepada mangsa tanah runtuh

SHAH ALAM, 19 SEPT : Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyantuni dua keluarga yang terkesan dalam kejadian tanah runtuh di Blok J Rumah Pangsa Sri Chempaka, Sri Damansara.

Agensi itu menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan pihaknya diwakili Eksekutif Kebajikan Muhammad Zubair Azizian menghulurkan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian kepada mangsa.

“Dua keluarga ini terpaksa dipindahkan selepas kediaman mereka yang terletak di tingkat bawah flat itu mengalami sedikit kemusnahan dan tidak selamat didiami.

“Bagaimanapun, penghuni lain masih dibenarkan tinggal di rumah masing-masing selepas pihak bomba mengesahkan flat itu masih selamat untuk diduduki,” menurut kenyataan semalam.

Yide turut mengalu-alukan orang ramai memberi maklumat berkaitan musibah, malapetaka atau bencana alam dengan menghubungi eksekutif kebajikannya menerusi talian 017-7569476.

Pada Rabu, berlaku kejadian runtuhan tebing dan tanah di Blok J, Rumah Pangsa Sri Cempaka kira-kira jam 4.45 petang, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir di Perak kekal 241 orang

IPOH, 25 OGOS: Mangsa banjir di Perak masih kekal seperti petang semalam dengan 241 orang daripada 66 keluarga yang ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di dua daerah pagi ini.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak berkata jumlah mangsa banjir di daerah Kerian iaitu di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak masih kekal seramai 111 orang daripada 26 keluarga.

“Mangsa banjir di PPS SK Alor Pongsu juga kekal 60 orang daripada 17 keluarga seperti petang semalam. Mangsa banjir di PPS SK Matang di daerah Larut, Matang dan Selama juga kekal 70 orang daripada 23 keluarga,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, prihatin dengan nasib mangsa banjir dan petugas barisan hadapan termasuk media, seorang peniaga makanan Mohamed Fareed Mohamed Nainar, 46,  menyumbangkan hidangan mi goreng mamak di PPS Alor Pongsu.

Mohamed Fareed berkata usahanya itu bagi meringankan beban mangsa banjir, selain menukar selera mangsa yang berkampung di PPS terbabit sejak Jumaat lepas.

“Saya mengeluarkan modal sebanyak RM400 untuk menyediakan lebih 100 bungkusan mi goreng mamak. Saya ikhlas untuk membantu mereka dan berharap sumbangan kecil saya ini mendapat keberkatan dari Allah SWT bagi membantu mangsa banjir dan petugas barisan hadapan,” katanya yang berniaga di Jalan Harmoni, Alor Pongsu.

Menurutnya, sumbangan itu juga kerana mahu menunaikan nazar kejayaan anaknya Nur Faliha, 18 yang memperoleh 9A dalam periksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas.

— BERNAMA