Categories
SELANGOR

JAIS anjur Jom Nikah 18 Mac ini

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mempelawa pasangan yang ingin bernikah untuk menyertai program nikah beramai-ramai, pada 18 Mac ini.

Menerusi laman Facebook, JAIS mengumumkan majlis pernikahan beramai-ramai itu hanya terhad kepada 20 pasangan sahaja dan akan diraikan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad yunus Hairi.

Bertempat di Masjid At-Taqwa, Kampung Bukit Kapar, Klang, setiap pasangan dikenakan bayaran RM1,000 untuk pakej istimewa berkenaan.

Setiap pasangan menerima hadiah perkahwinan, bunga tangan, majlis makan beradab, kek pengantin dan ‘photo booth’.

Mereka yang berminat menyertai atau mahu mendapatkan keterangan lanjut boleh hubungi talian 013-376 2518 atau 017-636 8725.

-AA-

Categories
SELANGOR

Mantan Timbalan Pengarah Pendidikan JAIS terima Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Selangor 1435H/2013M

TOKOH MAAL HIJRAH - TUAN HAJI SIANID BIN MOKIMSHAH ALAM 5 NOV : Mantan Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Sianid Mokim dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1435H/2013M peringkat negeri Selangor.

Sianid, 63, dilahirkan di Bukit Kuching, Kuala Selangor, pada 29 Ogos 1950 dan memulakan persekolahan di Sekolah Kebangsaan Dato’ Maharaja Lela, Jeram, manakala pendidikan menengahnya di Sekolah Menengah Jeram, sebelum melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Islam, Kota Bharu.

Beliau berkelulusan Diploma Syariah dan Undang-undang Yayasan Pengajian Tinggi Islam Nilam Puri dan Ijazah Sarjana Muda Syariah daripada Universiti Al-Azhar, Mesir, pada 1977.

Sepanjang berkhidmat di JAIS, beliau adalah penulis buku teks SRA JAIS, buku teks sukatan Al-Azhar Sekolah Menengah dan penulis tafsir Al-Quran Bahasa Arab.

Kini, beliau masih aktif sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Ahli Jawatankuasa Khutbah Negeri Selangor dan Ahli Jawatankuasa Pelaksana KAFA negeri Selangor.

Anugerah berkenaan disampaikan Tengku Panglima Diraja Selangor, YAM Tengku Sulaiman Shah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Majlis Ambang Hijrah dan Pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor 1435H di Masjid Negeri, Shah Alam, malam tadi.

Turut hadir, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pembesar negeri, EXCO Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) danlebih 1,000 hadirin.

Pada majlis itu, Sianid turut menerima wang tunai RM20,000 yang disumbangkan kerajaan negeri dan Lembaga Zakat Selangor (LZS), sijil penghargaan, trofi, serta pakej mengerjakan umrah.

-NFN-