Categories
AGENDA NASIONAL

Elak risiko penularan penyakit, daging khinzir tanpa permit dirampas

SHAH ALAM, 2 SEPT: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mematahkan cubaan membawa masuk 30 kilogram daging khinzir dari China melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin.

Jabatan itu memaklumkan pihaknya menjalankan pemeriksaan bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) terhadap dua warganegara China pada jam 5 petang.

“Pemeriksaan di Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA menemukan 80 pek produk daging khinzir yang diletak dalam dua kotak gabus.

“Daging khinzir ini dipercayai dibawa masuk untuk kegunaan sendiri dan ditahan kerana gagal mengemukakan permit import yang dikeluarkan Maqis dan sijil kesihatan dari negara asal,” katanya dalam kenyataan.

Menurut kenyataan itu, semua daging khinzir itu dihantar ke makmal kesihatan veterinar untuk tujuan persampelan penyakit demam babi Afrika (ASF).

“Tujuan larangan membawa masuk daging berkenaan di laluan udara adalah bagi menghalang risiko kemasukan wabak ASF yang boleh merosakkan industri ruminan negara.

“Mengimport sebarang jenis keluaran pertanian tanpa permit sah adalah kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728),” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

8.9 tan makanan ikan tanpa permit dari China dirampas

SHAH ALAM, 14 OGOS: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor merampas sejumlah 8,938 kilogram (kg) makanan ikan dari China di Pelabuhan Klang Barat, dekat sini, kelmarin.

MAQIS Selangor dalam kenyataan hari ini memaklumkan kontena yang membawa makanan ikan dianggarkan bernilai RM98,466.73 itu ditahan susulan pemeriksaan rutin yang dilakukan pada jam 5 petang.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati makanan ikan yang telah diproses itu tidak mempunyai permit import yang sah dikeluarkan oleh MAQIS,” menurut kenyataan itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Maqis rampas 98,400kg makanan gluten jagung dari Korea

SHAH ALAM, 22 JUN: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor merampas 98,400 kilogram makanan gluten jagung dari Korea tanpa permit import sah di Pelabuhan Klang Utara kelmarin.

Pengarahnya berkata makanan tambahan untuk industri ternakan itu dianggarkan bernilai RM291,364 dirampas dalam pemeriksaan rutin yang dilakukan pada jam 12 tengah hari.

“Syarikat terbabit gagal mengemukakan permit import yang sah kepada pegawai penguat kuasa, berikutan itu semua barang dagangan dirampas untuk siasatan lanjut.

“Ini merupakan kesalahan kedua pada tahun ini bagi syarikat itu,” katanya Zamri Hashim dalam kenyataan.

Mengimport sebarang jenis keluaran pertanian tanpa permit sah adalah kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Categories
AGENDA NASIONAL

Maqis patah cubaan seludup 150kg benih belut di KLIA

SEPANG, 19 MEI: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas 150 kilogram (kg) benih belut jenis Anguilla Bicolor yang cuba dieksport ke Hong Kong melalui kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.

Pengarah Maqis Selangor Zamri Hashim berkata rampasan itu dibuat ketika pihaknya menjalankan pemeriksaan di kawasan gudang kargo KLIA sebelum dagangan tersebut yang bernilai RM61,612 dijadualkan dieksport pada jam 9 pagi hari yang sama.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesalahan pada barang dagangan tersebut iaitu tidak mempunyai permit eksport Maqis manakala Sijil Kesihatan Perikanan yang dikemukakan kepada pegawai yang bertugas adalah palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zamri berkata kesalahan mengeksport dagangan hasil perikanan tanpa mempunyai permit eksport merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 11 (2), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728], yang boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan maksima enam tahun atau kedua-duanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Maqis Selangor rampas 25 tan kurma tidak patuhi syarat import

KLANG, 22 MAC: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) negeri Selangor berjaya menggagalkan cubaan sebuah syarikat tempatan, membawa masuk 25,200 kilogram buah kurma dari Arab Saudi di Pelabuhan Klang Barat, di sini pada Sabtu lalu.

Pemangku Pengarah Maqis Selangor Zamri Hashim dalam satu kenyataan hari ini berkata, rampasan itu dibuat selepas pemeriksaan rutin yang dilakukan pegawai penguat kuasa Maqis kira-kira jam 11.00 pagi.

Menurutnya barang dagangan tersebut yang dianggarkan bernilai RM141,229.44, ditahan kerana tidak mematuhi syarat seperti mana yang dinyatakan pada permit import Maqis, iaitu tidak mematuhi Sijil Perakuan 3P Penggredan, Pembungkusan, dan Pelabelan.

Beliau berkata kegagalan mengemukakan maklumat tersebut adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728], dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali, di bawah Seksyen 15(2) Akta yang sama.

Katanya lagi, pihaknya mengambil serius dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak, yang boleh mengancam kelestarian makanan negara.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Maqis serah lapan tan ayam beku kepada Zoo Negara

PASIR MAS, 8 MAC: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) semalam menyerahkan lebih lapan tan ayam beku kepada Zoo Negara sebagai bekalan makanan kepada haiwan di situ.

Ketua Pengarahnya Saiful Yazan Alwi berkata keseluruhan ayam beku itu adalah hasil rampasan oleh pelbagai agensi penguat kuasa di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.

Beliau berkata serahan yang dibuat itu adalah melibatkan kes rampasan sejak Disember 2020 hingga Januari tahun ini dengan anggaran nilai sebanyak RM66,088.

“Kesemua ayam beku ini telah dirampas ketika cuba dibawa masuk dari negara jiran ke Malaysia melalui pangkalan-pangkalan hari di tebing Sungai Golok.

Hasil siasatan mendapati kesemua daging ini dibawa masuk melalui jalan yang tidak diwartakan tanpa sebarang dokumen seperti permit import yang sah daripada Maqis,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sebanyak 8,136 kilogram (kg) kepada Zoo Negara di Kompleks Maqis Rantau Panjang di sini, semalam.

Turut hadir mewakili Zoo Negara, pakar zoologi dan veterinar Dr Naim Ramli.

Menurut Saiful Yazan, ayam beku yang diserahkan kepada pihak zoo itu adalah yang masih segar dan selamat diberikan kepada haiwan di dalam zoo.

Mengulas lanjut, Saiful Yazan berkata perbuatan mengimport ayam beku tanpa permit merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama.

Katanya, untuk tempoh dua bulan pertama tahun ini sebanyak enam kes rampasan ayam beku seberat 16 tan metrik bernilai RM128,960 direkodkan di Kelantan.

Beliau berkata pada 2020 pula sebanyak 53 kes rampasan ayam beku seberat 176.7 tan metrik bernilai RM1.4 juta direkodkan.

“Bagi mengatasi kegiatan penyeludupan ini, pegawai Maqis di lapangan diarah untuk memeriksa setiap kontena walaupun ia akan memakan masa lebih lama dan menyebabkan barisan panjang di tempat pemeriksaan.

Kita terpaksa melaksanakan tugasan ini kerana daging beku ini melibatkan isu halal iaitu sesuatu yang paling sensitif dalam kalangan umat Islam dan kita tidak boleh berkompromi dalam isu ini,” katanya.

Beliau berkata tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa di semua pintu masuk negara bagi memastikan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara mematuhi peraturan yang telah ditetapkan selain bagi memastikan aspek biosekuriti negara terjamin.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Maqis: Tiga kontena daging dirampas di Puchong

PUTRAJAYA, 7 FEB: Pihak berkuasa menyita tiga kontena daging, dipercayai diseludup, dalam serbuan ke atas sebuah gudang sejuk beku di Puchong, Selangor tiga hari lalu.

Menurut kenyataan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), serbuan pada 5 Feb itu dijalankan secara bersama polis dan pihak berkuasa lain.

“Hasil pemeriksaan dan maklumat awal yang dijalankan, sumber daging yang ditemukan itu bercampur aduk daripada abattoir (rumah sembelih) yang tidak diluluskan oleh kerajaan,” demikian menurut kenyataan itu.

Menurut Maqis, siasatan dijalankan menurut Seksyen 11 dan Seksyen 15 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

“Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit, lesen atau perakuan adalah satu kesalahan di bawah seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya menurut Seksyen 11(3) akta sama,” kata Maqis.

Jabatan itu turut memberi jaminan akan sentiasa memperkemas kerjasama strategik dengan agensi lain bagi memastikan kawalan import komoditi pertanian, khususnya daging, dapat diperkukuhkan lagi.

Maqis komited dalam memastikan isu melibatkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian dan penternakan negara dapat dibendung serta dikawal, demikian menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kartel daging import: Tiga lagi kakitangan Maqis Johor direman

JOHOR BAHRU, 19 JAN: Tiga penolong pegawai penguat kuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor direman lima hari hingga 23 Jan ini bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan kartel daging sejuk beku import pada awal Disember lalu.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Johor Bahru Nur Fathiah Mohd Fedzir selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan kes menurut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Ketiga-tiga mereka yang berusia 40 hingga 55 tahun terbabit ditahan pada 7 malam semalam selepas hadir di ibu pejabat SPRM negeri untuk memberi keterangan.

Difahamkan mereka masing-masing bertugas di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah di Iskandar Puteri; Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru dan di Pejabat Maqis Muar.

Mereka merupakan kumpulan kedua daripada Maqis Johor yang direman berkaitan isu itu selepas penahanan dua pegawai pada 7 Jan lalu.

Pada 1 Dis lalu, negara dikejutkan dengan pembongkaran kartel daging sejuk beku import yang membawa masuk daging tanpa sijil halal sebelum meletakkan logo halal palsu untuk dijual di pasaran tempatan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Maqis harap pindaan Akta 728 untuk perluas penguatkuasaan

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) berharap Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) dapat dipinda di Dewan Rakyat tahun depan bagi memperluas dan mengukuhkan bidang penguatkuasaan jabatan itu.

Ketua Pengarah Saiful Yazan Alwi berkata pindaan akta itu telah pun mendapat kelulusan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, dan sedang dalam proses penelitian daripada aspek perundangan oleh Jabatan Peguam Negara.

“Ketika ini bidang kuasa Maqis hanya di pintu masuk, stesen kuarantin dan premis kuarantin sahaja, jadi sekiranya akta itu dapat dipinda, skop penguatkuasaan yang berlaku di luar pintu masuk dapat diperluaskan, termasuk aspek penangkapan dan pertuduhan, juga dapat dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Ruang Bicara bertajuk ‘Penyeliaan dan Pemeriksaan Daging Import Dalam dan Luar Negara’ yang bersiaran di Bernama TV malam tadi.

Mengulas tindakan kerajaan yang sedang menimbangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pengimportan daging yang diragui, Saiful Yazan berkata jabatan itu amat mengalu-alukan usaha berkenaan, supaya segala dakwaan berkaitan isu berkenaan dapat disiasat dengan segera.

“Apabila ada RCI yang terdiri daripada jawatankuasa bebas, ia dapat memberikan pencerahan kepada rakyat berikutan tohmahan yang berlaku sekarang, khasnya berhubung agensi penguatkuasaan kerajaan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan mengenai kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo Halal di sebuah gudang di Senai, Johor.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Maqis rampas 63 tan makanan ikan tanpa permit dari Oman

SHAH ALAM, 1 SEPT: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor merampas 63 tan makanan ikan yang diimport dari Oman di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada Jumaat lepas.

Pengarah Maqis Selangor Dr Tarmisal Alimin berkata makanan ikan dianggarkan bernilai RM240,000 itu dirampas hasil pemeriksaan rutin ke atas dua kontena yang dilakukan kira-kira pukul 11 pagi.

“Dua jenis makanan ikan itu dibawa masuk tanpa permit import Maqis yang sah. Kontena berkenaan disita dan disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

“Jika disabit kesalahan, pengimport boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tarmisal berkata Maqis sentiasa memastikan pemeriksaan ke atas setiap keluaran pertanian yang diimport ke negara ini dilakukan dengan cekap dan teliti bagi menjamin ia tidak membawa sebarang serangga perosak atau penyakit serta mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Maqis rampas daging babi, limau tiada permit import

SHAH ALAM, 10 MAC: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas 10kg daging babi dan 15kg limau yang tidak mempunyai Permit Import dan Sijil Fitosanitasi di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, semalam.

Pengarah Maqis Selangor Dr Tarmisal Alimin berkata barang rampasan bernilai RM2,000 dibawa masuk dari Singapura, lapor Sinar Harian.

“Maqis sentiasa peka melaksanakan tanggungjawab mengawal kemasukan keluaran pertanian di semua pintu masuk negara bagi memastikan keselamatan dan kesihatan penduduk dalam keadaan baik,” katanya yang memaklumkan operasi turut mendapat kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit sah salah mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Malaysia 2011.

Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama iaitu denda tidak lebih RM100,000, penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya.

Categories
SELANGOR

Maqis rampas 9,000kg anak benih kelapa Vietnam

SHAH ALAM, 3 FEB: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menyita 9,000 kilogram anak benih pokok kelapa dari Vietnam yang berpenyakit di pintu masuk Pelabuhan Klang Barat pada Sabtu.

Pengarah Maqis Selangor, Dr Tarmisal Alimin anak benih dianggarkan bernilai RM42,501 dirampas ketika pemeriksaan rutin harian dijalankan penguat kuasa, lapor Sinar Harian.

“Hasil pemeriksaan ke atas anak benih berkenaan mendapati ada sebahagian daripada mempunyai perosak (kulat) semasa masuk ke dalam negara ini.

“Keluaran pertanian yang diimport berpenyakit merupakan satu kesalahan yang boleh didakwa di bawah Seksyen 14 (b) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728),” katanya.