Categories
GLOBAL RENCANA

Krisis Marawi: Dari rumah mewah ke pondok buluh

MARAWI (Filipina), 28 MAC: Pertempuran selama lima bulan di wilayah ini menyebabkan Johannah Abdel Fatah sekeluarga yang dahulu tinggal di rumah tiga tingkat kini terpaksa berhimpit di dalam pondok buluh kecil di kem pemindahan sementara Barangay Bito Buadi Itowa, di sini.

Wanita berusia 32 tahun itu berkata, beliau sebelum ini adalah pegawai kebajikan di Manila, namun kembali ke kampung halaman di Moncado Colony, di sini selepas kontraknya tamat, iaitu kira-kira sebulan sebelum konflik meletus.

“Sejak ditempatkan di sini, sudah dua kali saya pergi melihat rumah keluarga tetapi ia sangat menyedihkan kerana telah musnah teruk akibat terkena letupan,” katanya menerusi penterjemah ketika ditemui pemberita di kem itu.

Ibu empat anak itu antara ribuan penduduk Marawi yang menjadi Pelarian Dalam Negeri (IDP) susulan pertempuran di antara pasukan keselamatan Filipina dan kumpulan pengganas pro-Daesh pimpinan Isnilon Hapilon yang meletus, pada Mei 2017.

Johannah yang bercakap bagi pihak IDP di petempatan itu berkata, mereka sekeluarga kini mengharungi kehidupan yang perit kerana beliau tidak mempunyai pekerjaan untuk menyara hidup serta perlu keluar ke tempat lain bagi mencari makanan untuk keluarga.

Tambah memeritkan, kem itu mengalami masalah bekalan air dan IDP terpaksa menunggu bekalan air daripada pihak yang menyampaikan bantuan bagi kegunaan harian.

Bagaikan jatuh ditimpa tangga, IDP di pusat petempatan itu juga perlu mengosongkan kem menjelang Februari depan berikutan tanah berkenaan adalah milik swasta.

Mengulas lanjut, Johannah berkata beliau dan mereka yang lain berharap dapat diberikan peluang untuk bekerja kerana ramai antara mereka yang mempunyai kelayakan akademik.

“Sudah banyak kali hantar permohonan termasuk kepada badan bukan kerajaan namun sehingga kini gagal beroleh pekerjaan,” katanya yang turut berterima kasih kepada ​​​​​​​Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) kerana membantu mangsa mengesan anggota keluarga yang hilang selepas pertempuran.

Pertempuran itu meragut lebih 1,000 nyawa termasuk 800 pelampau dan 162 anggota pasukan keselamatan selain menyebabkan kira-kira 350,000 penduduk meninggalkan kediaman masing-masing dan kini bergelar IDP.

Pada 17 Oktober 2017, Presiden Filipina Rodrigo Duterte mengisytiharkan bandar Marawi berjaya dirampas semula daripada pelampau pro-Daesh dan bebas pengganas.

Sehari kemudian, Duterte mengesahkan warga Malaysia Dr Mahmud Ahmad yang disifatkan ‘orang kanan’ kumpulan militan yang menyokong kumpulan pengganas Daesh terbunuh dalam pertempuran di Marawi. -BERNAMA

Categories
GLOBAL

Jangan pandang ringan ancaman DAESH di Asia Tenggara

SHAH ALAM, 3 JULAI: Pertempuran selama sebulan bagi menguasai bandar Marawi di Mindanao antara tentera Filipina dan militan yang bersumpah taat setia kepada pemimpin Daesh (Negara Islam), Abu Bakar al-Baghdadi memberi peringatan supaya tidak memandang ringan terhadap ancaman kumpulan pengganas itu di Asia Tenggara.

Pertempuran sengit di jalanan di Marawi yang meragut nyawa beratus-ratus tentera kerajaan, militan dan orang awam menunjukkan pengaruh Daesh yang semakin meningkat di Asia Tenggara walaupun ramai anggota kumpulan pengganas itu terbunuh dalam pertempuran dan keruntuhan pengaruhnya di Iraq dan Syria.

Seorang pakar anti keganasan berkata, kekalahan yang dialami Daesh di Timur Tengah mungkin melalaikan kebanyakan kerajaan di Asia Tenggara sehingga memperkecilkan ancaman yang semakin menular oleh kumpulan pengganas itu di rantau berkenaan.

“Negara Islam (Daesh) adalah jauh lebih maju di Asia Tenggara daripada yang diramalkan sebelum ini,” kata Phill Hynes, ketua penganalis politik dan risiko di ISS Risk yang berpusat di Hong Kong semasa perbincangan panel bertajuk “Bolehkah Asia Tenggara menjadi Barisan Hadapan Baharu Negara Islam” di Kelab Wartawan Asing Thailand baru-baru ini.

daeshBERNAMA melaporkan, pertempuran di Marawi menunjukkan keupayaan kumpulan militan tempatan yang bergabung dengan Daesh, Maute dan Abu Sayyaf, untuk merancang dan menggerakkan operasi keganasan besar-besaran seperti menawan dan menduduki bandar tepi pantai di selatan Filipina itu yang didiami oleh 200,000 penduduk.

Keupayaannya bertahan selepas lebih sebulan diserang oleh tentera Filipina yang mempunyai persenjataan lebih lengkap termasuk serangan udara membuktikan lagi keupayaan ketenteraan Daesh dan keyakinannya semakin meningkat.

Kumpulan militan tempatan yang berkubu di Marawi dikatakan diketuai pengganas paling dikehendaki Isnilon Hapilon sehingga kerajaan Amerika Syarikat menawarkan ganjaran US$5 juta bagi penangkapannya.

Menurut Hynes, perkembangan di Marawi juga boleh membangkitkan ‘inspirasi’ kepada kumpulan pengganas itu yang seterusnya dapat menarik lebih ramai anggota dari luar untuk mengalih perhatian ke rantau Asia Tenggara sebagai medan pertempuran baharu.

“Pertempuran di Marawi menjadi inspirasi bagi pengikut Daesh, tidak semestinya sebagai percubaan untuk mewujudkan ‘wilayah’ di Asia Tenggara. Ia adalah untuk meniupkan inspirasi kepada semua orang, memberi inspirasi kepada pengikut dan mewujudkan momentum,” kata pakar itu.

Beliau berkata, negara di rantau ini perlu meningkatkan keupayaan mereka untuk menangani ancaman yang dicetuskan Daesh juga penyokongnya dan tidak mengalami nasib sama seperti Filipina.

mindanaoPakar itu melahirkan rasa terkejut terhadap kegagalan perisikan Manila untuk menjangka dan meramalkan pergerakan militan di Marawi, yang menurut beliau betapa menunjukkan ketidakupayaan Filipina sebagai rangkaian paling lemah di rantau ini dalam memerangi Daesh.

Seorang lagi anggota panel perbincangan, Endy Bayuni, editor kanan Jakarta Post berkata, ideologi ganas yang ditonjolkan Daesh gagal menarik sebilangan besar pengikut dan penyokong di Indonesia walaupun ngara itu memp[unyai jumlah penduduk Islam paling ramai di dunia.

“Daesh tidak popular di Indonesia,” kata beliau yang menganggarkan bilangan rakyat Indonesia yang terpengaruh dengan ideologi itu kira-kira 500 orang sambil berkata pendekatan kesederhanaan yang diamalkan negara itu kepada Islam antara sebab utama penolakan ideologinya oleh sebilangan besar penduduk.

Beliau menyifatkan, beberapa insiden membabitkan penyokong Daesh di negara itu sebagai kes terpencil dan tidak memberi gambaran sebenar Indonesia sebagai sebuah negara Islam yang sederhana.

Sementara itu, seorang lagi anggota panel perbincangan, Rungrawee Chalermsripinyorat berkata, Thailand kekal bebas daripada sebarang masalah berkaitan Daesh.