Categories
AGENDA NASIONAL

Mardi tawar khidmat analisis lebih murah banding makmal swasta

SERDANG, 7 DIS: Makmal Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) MARDILab, menawarkan perkhidmatan analisis berasaskan makanan dan pertanian yang boleh dimanfaatkan usahawan pada harga 40 peratus lebih rendah berbanding makmal swasta.

Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata MARDILab di Serdang menawarkan 130 jenis analisis meliputi Analisis Kimia Makanan, Analisis Mikrobiologi Makanan dan Analisis Kimia Pertanian.

Analisis Kimia Makanan melibatkan analisis seperti jumlah kalori, gula dan kandungan vitamin, Analisis Mikrobiologi Makanan seperti hitungan yis dan kulat, kehadiran bakteria E coli, salmonella dan bacillus cereus; manakala Analisis Kimia Pertanian untuk mengesan kehadiran unsur major, surih dan berat.

Menurutnya, MARDILab di Serdang telah dianugerahkan Laboratory Excellence Award oleh Institut Kimia Malaysia (IKM) dan meletakkannya setaraf dengan makmal sektor korporat di Malaysia dari segi keupayaan perkhidmatan analisis.

“Caj yang kami kenakan murah dari makmal swasta kerana selaku agensi kerajaan Mardi juga ingin membantu para usahawan di luar sana yang baru menceburi bidang perniagaan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mohamad Zabawi berkata MARDILab di Serdang mengendalikan kira-kira 16,000 hingga 20,000 analisis setahun yang didukung kepakaran sembilan ahli kimia selain peralatan dan teknologi terkini.

“Sampel-sampel yang dihantar untuk diuji di MARDILab Serdang dipastikan siap dianalisis antara tujuh ke 30 hari,” katanya makmal itu turut menawarkan diskaun tambahan sekiranya kuantiti analisis yang dijalankan adalah banyak.

Mohamad Zabawi berkata objektif penubuhan MARDILab adalah untuk menawarkan perkhidmatan analisis produk makanan dan pertanian berdasarkan piawaian atau standard yang digariskan seperti Akta Makanan 1983, Peraturan-peraturan Makanan 1985 dan ketetapan lain.

“Ini penting agar produk makanan dan hasil pertanian memenuhi piawaian bagi keperluan pasaran tempatan dan global,” katanya.

Pada Jumaat lepas, Mardi merangkul dua anugerah IKM Awards 2020/2021 sempena Malam Kimia dan Penyampaian Anugerah IKM 2020/2021 yang disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba.

Selain Anugerah Laboratory Excellence Award, Pegawai Penyelidik Kanan Mardi Dr Khalisanni Khalid turut merangkul Anugerah IKM Outstanding Young Chemist Award 2021 (Industri).

Sementara itu, Khalisanni yang berkepakaran dalam bidang kimia fizikal organik, teknologi surfaktan dan nanoteknologi serta mempunyai tujuh harta intelek dan satu teknologi bagi kegunaan awam, berkata anugerah yang diterimanya membuktikan kepakaran ahli-ahli kimia di Mardi.

Teknologi awam yang dihasilkannya telah berjaya memeterai memorandum persefahaman untuk dikomersialkan kepada KPG Resources Sdn Bhd bagi penghasilan dan pengubahsuaian baja nano, dan Hanania Agrotech Sdn Bhd bagi teknologi pemprosesan burger cendawan yang dihasilkan daripada cendawan tiram kelabu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Empat lelaki didakwa bunuh pesara Mardi, 9 Mac 2021 sebutan semula

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Dr Wan Hassan Wan Embong dalam kejadian samun di kediamannya, dua minggu lepas.

S. Vickeswaran, 22, P. Kogilan dan M. Ravindran masing-masing berumur 23 tahun dan T. Sugu, 27, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Wan Hassan, 73, di Jalan Mambu, Bukit Bandaraya di sini, antara 3.35 pagi dan 4 pagi, 29 November lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar sementara kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Wong menetapkan 9 Mac tahun depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik.

Media sebelum ini melaporkan, mangsa maut akibat ditetak dalam kejadian samun di rumahnya, manakala isterinya, Sarifah Yusof, 70, cedera akibat ditetak dengan parang di tangan kanan.

Mangsa dipercayai cuba melawan dengan dua lelaki tidak bertopeng yang memecah masuk melalui tingkap bahagian dapur banglo dua tingkat itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mardi hasilkan jenis padi baharu lebih banyak hasil, tahan penyakit

SERDANG, 15 NOV: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) berjaya menghasilkan varieti padi baharu dikenali sebagai MR 315 yang boleh mengeluarkan lebih banyak hasil selain mempunyai daya tahan serangan penyakit.

Pengarah Pusat Penyelidikan Padi dan Beras Mardi Dr Asfaliza Ramli berkata varieti padi baharu itu, yang dijangka diperkenalkan dua tahun lagi mula dibangunkan pada 2011 menggunakan induk MR 253 serta MR 263.

“MR 315 dihasilkan mengikut perubahan cuaca dan keadaan tanah yang berbeza. Kita hasilkan jenis padi tertentu untuk tuaian padi yang lebih banyak selain mempunyai daya tahan terhadap penyakit dan perosak utama padi,” katanya dalam temu bual dengan Bernama di ibu pejabat Mardi, di sini, baru-baru ini.

Katanya, penghasilan varieti baharu itu adalah antara kejayaan penyelidikan institut tersebut dalam merangka program pembaikbiakan varieti padi agar lebih versatil dengan menumpukan kepada setiap permasalahan petani.

Selain itu, Asfaliza berkata MARDI juga telah merangka pembangunan kira-kira 10 varieti padi baharu bagi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) khusus untuk kawasan jelapang, luar jelapang, kemarau, air masin dan padi bukit.

“Kita menjangkakan dalam tempoh lima tahun lagi, kesemua varieti itu dapat diperkenalkan atau diisytiharkan bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi petani,” katanya.

Berkongsi proses pembangunan varieti padi, Asfaliza berkata ia melibatkan proses tertentu bermula daripada saringan dan penilaian benih berkualiti sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Bantuan Kerajaan Kepada Industri Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) yang kemudiannya mengisytiharkan sesuatu varieti baharu.

“Sesuatu varieti yang telah disahkan di Mafi seterusnya akan menjalani proses penghasilan benih baka dan seterusnya benih asas. Selepas selesai proses berkenaan, benih itu akan diberikan kepada sembilan pengeluar yang dilantik Mafi,” katanya.

Katanya institusi itu akan memastikan varieti padi baharu yang dihasilkan lebih segar dan bermutu selain memenuhi atau melebihi cita rasa pengguna, sesuai dengan slogan ‘Makan Nasi, Ingat Mardi’.

Menurut Asfaliza, Mardi juga sentiasa bekerja rapat dengan Institut Penyelidikan Beras Antarabangsa (IRRI) bagi menghasilkan varieti benih padi yang berkualiti.

“Kita telah menghasilkan varieti padi mengikut hendak pengguna. Daripada beras putih, kini telah ada beras wangi dan sekarang ada beras warna yang memberi nilai tambah kepada beras biasa dan juga untuk memenuhi kehendak pasaran,” katanya.

Sejak 1969 hingga kini, Asfaliza berkata Mardi sudah mengisytiharkan 50 varieti padi untuk ditanam para petani, yang mana setiap varieti mempunyai kelebihan masing-masing dari segi ketahanan terhadap penyakit, hasil dan rasa.

“Kepelbagaian genetik dalam ekosistem penanaman padi ini penting untuk memberi lebih pilihan kepada pesawah selain memastikan bekalan makanan ruji negara sentiasa terjamin,” katanya.

Katanya, lebih 95 peratus daripada kawasan tanaman padi di Malaysia menggunakan varieti padi yang dihasilkan Mardi.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Idaman Tea, inovasi si cilik Malaysia rangkul pingat emas antarabangsa

Oleh Oleh Muhammad Zulhaziq Ismail

PELABUHAN KLANG, 25 JUN: Mencipta suatu produk inovasi  bukannya mudah, kerana ia memerlukan pemikiran di luar kotak dan daya kreativiti yang tinggi.

Apatah lagi, produk berkenaan berkaitan kesihatan dan mampu memberi manfaat kepada masyarakat serta menggunakan 100 peratus sumber asli tempatan.

Namun, cabaran inilah berjaya direalisasikan tiga pelajar Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Idaman di Pelabuhan Klang, bersama-sama tiga orang guru pembimbing yang menghasilkan Idaman Tea, iaitu inovasi produk minuman berasaskan serbuk daun pucuk jambu batu dan daun pudina dalam uncang serat daun nanas.

Menariknya, uncang teh daripada serat nanas ini boleh diguna berulang kali sekali gus menjadi yang pertama seumpamanya di dunia.

Lebih manis, inovasi hasil idea kreatif bakal ahli sains muda ini berjaya merangkul pingat emas bagi kategori sekolah dalam pertandingan Bangkok International Intellectual Property, Invention, Innovation and Technology Exposition 2020 (IPITEx 2020), yang berlangsung pada 2 hingga 6 Februari 2020 lalu di Thailand.

Pelajar berkenaan ialah Mohamad Khairy Faris Afandey, Nidal Eiman Erwin dan Muhammad Aqil Yahya dibimbing oleh guru mereka iaitu Danial Heryanto Zainal Abidin, 42, selaku ketua pasukan, Mohd Norhizal Ramlee, 40 dan Shahrizal Mohd Azain, 37.

Apa yang membanggakan, mereka juga merupakan satu-satunya pasukan dari Malaysia yang memenangi anugerah khas iaitu I New Gen Award IPITEx 2020 pada pertandingan inovasi peringkat antarabangsa itu.

Malaysia diwakili 300 pasukan ke IPITEx 2020 yang menghimpunan lebih 2,000 pasukan pelbagai peringkat sekolah seluruh dunia, antaranya dari Poland, Iran, Korea, Jepun, Thailand, Kanada, Filipina, China, Arab Saudi dan United Kingdom.

Ini merupakan penyertaan kali kedua sekolah berkenaan di peringkat antarabangsa selepas turut memenangi pingat emas pada pertandingan Indonesia International Young Inventor Award (IYIA) 2019.

Komersialkan Idaman Tea

Menurut Danial Heryanto, kini pihak sekolah sedang dalam proses mendaftarkan Idaman Tea dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan cap dagangan logo produk dalam masa terdekat bagi melindungi idea asal produk ini.

“Harapan kami agar produk ini (Idaman Tea) dapat dipasarkan dan dikomersialkan tahun ini,” katanya kepada Bernama sambil menambah ketika ini guru sekolah berkenaan yang mengusahakan produk berkenaan secara tradisional tanpa penggunaan mesin termasuk dalam aspek pembungkusan.

Pihak Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) di MAEPS, Serdang, Selangor banyak membantu dari segi idea pemasaran Idaman Tea, kata Danial Heryanto.

Khasiat Idaman Tea antara lain mengandungi agen antioksida likopena mengandungi Vitamin C, dapat melegakan cirit-birit, mengurangkan kolesterol, dapat mengawal gula dalam darah, mengurangkan risiko kanser payu dara dan kanser prostat, meningkatkan kualiti tidur dan mengawal pengaliran darah ke otak.

Cetusan Idea

Mengimbau bagaimana serbuk teh herba Idaman Tea itu berjaya dihasilkan, Danial Heryanto berkata idea asal dicetuskan oleh guru Mohd Norhizal yang mencadangkan kepada pasukan berkenaan agar ‘mendalami’ petua perubatan orang tua-tua dahulu yang menggunakan sumber alam sekeliling untuk mengubati penyakit.

Melihatkan idea itu berpotensi untuk dikaji memandangkan generasi muda kini lebih gemar menggunakan produk berasaskan herba dan sumber alam semulajadi, beliau dan pasukannya menggembleng usaha melakukan pelbagai kajian serta penyelidikan ke atas dedaun herba yang boleh diinovasikan untuk merawat penyakit.

“Kita perlu melakukan pelbagai proses bagi melihat keserasian gabungan dedaun herba terdiri daripada pucuk daun batu dan daun pudina yang dikeringkan secara tradisional di bawah cahaya matahari,” katanya.

Menurut Danial Heryanto, pada mulanya, hanya daun pucuk jambu digunakan untuk produk minuman herba, tapi ia didapati tidak cukup untuk mencapai tahap inovasi yang boleh diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Jadi, pasukan kami terus membuat penyelidikan dan akhirnya mendapat gabungan serasi iaitu memasukkan khasiat daun pudina selain menggunakan serat daun nanas sebagai uncang teh untuk mengubati penyakit cirit-birit,” katanya menambah mereka mengambil masa kira-kira enam bulan untuk menyiapkan produk berkenaan.

Kerjasama Mardi, Uitm & LPNM

Sementara itu, Mohd Norhizal berkata penjanaan idea inovasi minuman herba itu dimulakan sejak Februari 2019 dan tiga pelajar dalam pasukan berkenaan banyak dilibatkan dengan proses tersebut supaya mereka belajar serta faham kaedah untuk menyumbangkan buah fikiran bagi sesuatu projek.

“Kami juga menjalin kerjasama dengan UiTM dan beberapa agensi antaranya Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) bagi merealisasikan idea inovasi kami itu kepada produk sebenar,” katanya.

Menurut beliau, MARDI membantu dari segi melakukan ujian pada kandungan produk, sementara UiTM melalui Fakulti Kejuruteraan Awam cawangan Shah Alam banyak memberi bimbingan dan tunjuk ajar dalam ujian menentukan nisbah minuman dan penyediaan makmal kepada pasukannya.

“LPNM pula memberi bantuan bekalan daun nanas dan khidmat nasihat mengenai serat nanas,” kata Danial Heryanto sambil menambah Idaman Tea tidak mengandungi campuran bahan kimia malah kandungannya 95 peratus daun pucuk jambu batu dan lima peratus daun pudina.

Pelajar Aktif Jana Idea

Menceritakan kegigihan pelajarnya dalam menjayakan projek berkenaan, Mohd Norhizal berkata beliau berasa bangga apabila melihat anak muridnya yang berumur 11 tahun mampu mengembangkan idea inovasi secara kreatif berdasarkan pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki mereka.

“Ada dalam kalangan pelajar melontarkan idea serta cadangan untuk menggabungkan daun pandan bersama pucuk daun jambu batu bagi menghasilkan teh herba dan ada juga mengambil daun jagung atau tebu dijadikan kotak,” katanya.

Beliau berkata, selain menjana idea, pelajar berkenaan juga perlu mempersembahkan hasil kerja mereka dari awal proses pembuatan sehingga produk akhir dengan tunjuk ajar guru pembimbing. Masing-masing ada kebolehan tersendiri dan cepat memahami serta tahu apa yang perlu dilakukan.

Selain aktif dalam penjanaan idea, Mohd Norhizal berkata pelajarnya iaitu Mohd Khairy Faris, Nidal Eiman dan Muhammad Aqil turut didedahkan dengan penggunaan pelbagai peralatan makmal di UiTM.

Pada masa sama, Shahrizal turut memuji kebolehan tiga pelajarnya dalam mempersembahkan produk berkenaan kepada juri dan tetamu pertandingan inovasi peringkat antarabangsa itu walaupun mereka baru pertama kali menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa.

“Biarpun ketiga-tiga pelajar itu dipilih menyertai pasukan berkenaan menerusi satu uji bakat di sekolah, namun keyakinan mereka memperkenalkan produk inovasi itu dalam bahasa Inggeris menunjukkan mereka mempunyai minat yang sangat mendalam dalam bidang reka cipta dan sains,” katanya.

Sementara itu, bagi Nidal Eiman yang mewakili dua rakannya, berkata pengalaman dapat mewakili sekolahnya ke peringkat antarabangsa amat membanggakan diri mereka kerana ia peluang keemasan yang tidak semua pelajar peroleh.

Menceritakan secara ringkas mengenai pengalaman dalam merealisasikan inovasi serbuk teh itu, Nidal Eiman berkata disebabkan produk inovasi itu harus mencapai standard tinggi pertandingan, pelbagai kajian dilakukan bersama guru dan proses itulah banyak mendedahkan mereka dalam bidang sains serta reka cipta.

Menurutnya, pengalaman melihat dan mencuba sendiri peralatan makmal yang canggih untuk menguji produk inovasi minuman mereka di agensi kerajaan yang terlibat akan sentiasa tersemat dalam sanubari dan dijadikan pembakar semangat untuk terus meneroka bidang inovasi pada masa depan.

“Apa pun, saya memang tak jangka pasukan kami mampu meraih pingat emas kerana pertandingan itu turut disertai pelajar sekolah menengah dan sekolah elit dari pelbagai negara yang mengetengahkan produk inovasi yang jauh lebih hebat,” katanya mengakhiri perbualan sambil berharap Idaman Tea dapat dikomersialkan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pejabat pusat penyelidikan MARDI terbakar

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Pejabat Pusat Penyelidikan Padi dan Beras, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Seri Kembangan, Serdang terbakar lewat petang semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira 6.50 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian dengan sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang, BBP Cyberjaya, BBP Bangi dan BBP Kajang.

“Kejadian membabitkan tingkat dua bangunan yang hanya menempatkan ruang pejabat.

“Anggota bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke bahagian makmal penyelidikan yang mengandungi pelbagai bahan kimia,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi.

Menurutnya, anggaran keluasan kebakaran adalah 432 meter persegi dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Beliau berkata, tiada pekerja berada di dalam bangunan dua tingkat itu yang menempatkan bahagian pejabat dan makmal penyelidikan ketika kebakaran berlaku.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

MARDI lancar klon hibrid belimbing ‘Bintang Mas’

KLUANG, 7 APRIL: Klon hibrid bagi buah belimbing pertama di Malaysia, dikenali sebagai Bintang Mas dilancarkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), hari ini bagi memastikan belimbing negara mampu kembali berdaya saing dalam pasaran termasuk di peringkat antarabangsa.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani,  Datuk Salahuddin Ayub berkata, pihak Mardi sebelum ini sudah melaksanakan aktiviti pengumpulan dan pembangunan baka baharu belimbing mulai 1986 sehingga 1990.

Beliau berkata bermula 1991, aktiviti penambahbaikan kualiti kemudian dijalankan di Mardi Kluang bagi varieti belimbing sedia ada.

“Dalam masa sama, pihak Mardi berjaya menyediakan koleksi jana plasma yang telah mengumpulkan 102 aksesi belimbing dari dalam dan juga luar negara.

“Belimbing hibrid ini mempunyai kualiti makanan yang terbaik dari segi kemanisan, kerangupan, tiada rasa kelat dan warna kuning keemasan dan belimbing ini sesuai dituai pada indeks kematangan penuh untuk makanan segar dengan jangka masa kematangan jauh lebih singkat iaitu 68 hingga 73 hari,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pengisytiharan klon baharu belimbing Mardi di Mardi Kluang, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Mardi, Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor.

Salahuddin berkata, pihaknya berharap dengan adanya klon baharu terbabit, Mardi mampu mengeksport hasil berkenaan sekali gus menjadi antara negara pengeksport utama produk berasaskan belimbing.

Beliau berkata penanaman belimbing itu dijangka mampu memberikan pulangan yang besar, di mana dalam satu  hektar kawasan penanamannya mampu menempatkan sehingga 270 pokok.

“Kita lihat contohnya, bagi belimbing jenis Bintang Mas ini, ia mampu mengeluarkan hasil 10 tan per hektar setahun, bermakna petani akan memperolehi pendapatan kasar sekitar RM22,000 setahun bagi harga jualan ladang iaitu RM2.20 sekilogram.

KLUANG 7 April — Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub dan Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor (kiri) ketika menikmati klon baharu belimbing ‘Bintang Mas’ pada Majlis Pengisytiharan Klon Baharu Belimbing Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di MARDI Kluang, hari ini.?–fotoBERNAMA(2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Selain itu, melalui konsep kebun campuran juga, kita boleh laksanakan dengan ternakan kelulut di kebun belimbing ini dan dengan keluasan satu hektar, kita boleh menempatkan 30 log koloni kelulut dan petani boleh mendapat pendapatan sampingan di antara RM750 hingga RM3,000 per hektar sebulan,” katanya.

Katanya, pada 2017 luas kawasan tanaman belimbing di negara ini adalah 828 hektar dengan Johor merupakan negeri pengeluar utama belimbing di negara ini membabitkan 372 hektar keluasan.

“Malaysia juga merupakan pengeluar dan pengeksport belimbing ke negara Eropah seperti Belanda, Perancis, Switzerland, selain Kanada serta negara-negara Asia seperti Singapura dan Hong Kong dengan purata eksport tahunan RM24 juta,” katanya.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Noh Digesa Tidak Jual Tanah MARDI

SHAH ALAM 25 SEPT : Datuk Seri Noh Omar digesa tidak meneruskan hasrat menjual tanah milik Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Serdang seluas 200 ekar kepada mana-mana pihak hanya untuk meraih keuntungan.

Exco Permodenan Pertanian,Pengurusan Sumber Alam Dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari berkata Kerajaan Negeri Selangor menolak permohonan pihak MARDI untuk menukar status tanah itu daripada pertanian kepada perniagaan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pada minggu lepas.

Dr Yaakob memberitahu pada waktu ini tanah milik MARDI berkenaan sedang dalam proses rundingan untuk dijadikan tapak universiti swasta yang berorientasikan keuntungan semata-mata.

Beliau menegaskan Noh selaku Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani sepatutnya melakukan transformasi terhadap MARDI untuk dijadikan sebagai salah satu pusat pertanian yang unggul di dunia.

?Selaku menteri kabinet beliau seharusnya menasihat ahli-ahli mesyuarat kabinet yang lain supaya mempertahankan tanah tersebut dari terus dijual.

“Sebaliknya, beliau hanya mendiamkan diri dalam isu ini tanpa memberikan sebarang maklumbalas.

“Difahamkan pihak MARDI tidak bersetuju dengan arahan menteri kabinet yang ingin menjual tanah tersebut dengan harga yang sangat rendah,” kata Dr Yaakob di sidang media yang diadakan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.
.
Beliau berkata, tanah itu ingin dijual pada harga kira-kira RM14.50 sekaki persegi walaupun harga pasaran adalah sekitar antara RM80 hingga RM100 sekaki persegi di kawasan itu.

Tambah Dr Yaakob, tanah milik MARDI ketika ini sebahagiannya dijadikan tapak Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

Ujarnya, setiap tahun jutaan tetamu yang hadir mengunjungi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA).

Pada 23 November hingga 2 Disember ini, dijangka seramai 3 juta orang ramai bakal hadir menjayakan pameran tersebut.

?Kerajaan Negeri menyokong penuh usaha penganjuran MAHA di tapak tersebut, tetapi jangan sesekali menjual tanah di situ.

“Jika ada pihak swasta yang ingin mahukan tempat untuk pembangunan universiti atau hospital, Kerajaan Negeri bersedia menawarkan tapak pembangunan di tempat- tempat lain tetapi bukannya di tapak milik MARDI di Serdang,” katanya.

“Diharapkan pihak MARDI membatalkan permohonan jual beli tanah tersebut?,ujarnya.