Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Program buat biskut bantu wanita miskin jana pendapatan

PETALING JAYA, 4 FEB: Ahli parlimen Petaling Jaya menganjurkan kursus pembuatan biskut bagi membantu wanita keluarga berpendapatan rendah meraih pendapatan.

Maria Chin Abdullah berkata projek ‘Cookies For a Cause’ bermula awal tahun ini melalui dana Pakej Kita Selangor menumpukan kawasan pangsapuri kos rendah.

Beliau yang berhasrat melahirkan 100 usahawan melalui program itu memaklumkan peserta bakal didedahkan latihan dan strategi pemasaran dalam talian serta pengurusan kewangan.

“Kebanyakan bergaji RM2,000 ke bawah malah ada yang tiada pendapatan sehingga anak-anak terpaksa mengikat perut apabila sekadar makan dua atau tiga kali seminggu.

“Justeru, saya berharap projek ini mampu memperkasa ekonomi wanita, bukan untuk menjadi kaya tetapi cukup bawa makanan atas meja,” kata Maria selepas meninjau kerja pembersihan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 semalam.

Menurutnya, seramai 10 wanita dari PPR berkenaan sudah menyertai kursus tersebut dan menerima sambutan baik dengan tempahan hampir 100 botol biskut.

Jelasnya, tempahan boleh dibuat melalui pautan https://forms.gle/7qagDyuErraKZLTR8 dan keuntungan hasil jualan disalurkan sepenuhnya kepada peniaga.

Categories
AGENSI SELANGOR

Lebih banyak pusat sehenti warga emas dibuka di seluruh negara

SHAH ALAM, 22 FEB: Lebih banyak Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) akan dibuka di seluruh negara bagi menggalakkan penuaan aktif dalam kalangan warga emas dan orang kelainan upaya (OKU).

Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah berkata pusat sehenti di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan aktiviti dan program percuma kepada kumpulan sasar.

“Kewujudan pusat ini diharap dapat mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga emas dan OKU.

“Selain itu, kita turut melantik pertubuhan bukan kerajaan untuk melatih golongan tersebut membuat kerja yang boleh menambah pendapatan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan PAWE Petaling Jaya di Taman Medan di sini, hari ini.

Maria Chin Abdullah (tengah) melawat kemudahan Pusat Aktiviti Warga Emas di Petaling Jaya selepas merasmikannya di Taman Medan Jaya pada 22 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pusat aktiviti pertama di kawasan itu yang bakal beroperasi Mac ini menyediakan pelbagai kemudahan antaranya peralatan senaman dan set karaoke.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian OKU dan Warga Emas JKM Selangor Aidah Md Tan berkata PAWE turut memberi peluang kepada golongan sasar mendapat maklumat berkaitan skim ditawarkan pihaknya.

“Melalui usaha ini, mereka tidak perlu lagi bersusah payah ke JKM kerana semua maklumat boleh didapati di PAWE,” katanya.

PAWE ditubuhkan sebagai persediaan menghadapi status negara tua menjelang 2035 yang menjurus kepada aspek keagamaan, rekreasi, terapi dan pemulihan, pemeriksaan kesihatan dan latihan bersesuaian.

Sehingga hujung tahun lalu, sebanyak 88 PAWE ditubuhkan di seluruh negara yang memanfaatkan lebih 30,000 warga emas berdaftar.

Categories
ADN SELANGOR

Ancam nyawa penduduk, selesai segera isu flat retak

PETALING JAYA, 15 JAN: Isu keretakan kritikal di Flat Petaling Perdana di sini perlu diselesaikan segera demi keselamatan kira-kira 1,000 penduduk, kata ahli parlimen Petaling Jaya.

Maria Chin Abdullah khuatir masalah sejak sedekad lalu di kediaman lima tingkat itu berlarutan tanpa sebarang penyelesaian daripada pihak terlibat.

“Saya difahamkan ini adalah bekas lombong, jadi banjir sering melanda ketika hujan lebat dan haiwan liar seperti biawak serta ular muncul akibat mendapan tanah, sekali gus membimbangkan penduduk.

“Justeru, saya berharap Kerajaan Negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengambil perhatian isu ini supaya nasib penduduk terbela,” katanya ketika meninjau flat terbabit hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Taman Medan Syamsul Firdaus bercadang untuk bertemu Pejabat Tanah dan Daerah Petaling bagi mengkaji isu mendapan tanah dan mencari penyelesaian.

“Kita perlukan pakar untuk mengkaji isu ini dan mungkin daripada situ kita boleh tahu sama ada flat berkenaan selamat diduduki atau tidak,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Maria Chin komited tambah baik prasarana di PJ

PETALING JAYA, 9 JAN: Ahli Parlimen Petaling Jaya komited untuk menambah baik infrastruktur di kawasan parlimennya tahun ini khususnya membabitkan institusi pengajian seperti sekolah dan tadika.

Maria Chin Abdullah berkata, cadangan bagi perkara itu akan menjadi keadaan seperti beberapa sekolah daif di sini lebih baik supaya dapat memberi keselesaan kepada pelajar.

“Buat masa ini belum ada senarai khusus kerana kita belum menerima sebarang peruntukan dan kertas cadangan daripada mana-mana institusi sekolah dan tadika.

“Namun, selepas dana diterima kita akan buat kajian institusi mana yang memerlukan penambahbaikan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini selepas merasmikan Unit Rehabilitasi Bilik Lavender, Klinik Kesihatan Taman Medan di sini, hari ini.

Pada masa sama, Maria Chin berkata, pihaknya juga menyasarkan untuk melengkapkan beberapa fasiliti di klinik kesihatan sekitar Petaling Jaya yang mampu memanfaatkan penduduk terutama golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) untuk mendapatkan rawatan.

“Selain itu, saya berharap kerajaan Persekutuan boleh membina satu hospital di Petaling Jaya pada masa akan datang.

“Hal ini kerana kurangnya hospital di sini dan jika ada pun PPUM (Pusat Perubatan Universiti Malaya) yang bukan sepenuhnya kerajaan dan agak menyukarkan golongan B40,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Unit rehabilitasi mudahkan penduduk PJ dapat rawatan

PETALING JAYA, 9 JAN: Kewujudan Unit Rehabilitasi Bilik Lavender, Klinik Kesihatan Taman Medan mengatasi masalah penduduk sekitar Petaling Jaya bagi mendapatkan rawatan perubatan, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya.

Maria Chin Abdullah berkata pembinaan unit itu dirancang berikutan ketiadaan pusat rawatan seperti itu dan memanfaatkan kepada kira-kira 350,000 penduduk terutama di Taman Medan, Seri Setia dan Bukit Gasing.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM58,000 bagi tujuan itu dan memberi kemudahan kepada pesakit memerlukan rawatan fisioterapi khususnya diabetes, obesiti dan stroke.

“Di Petaling Jaya kita hanya ada PPUM (Pusat Perubatan Universiti Malaya) dan agak mahal untuk pesakit mendapatkan rawatan malah Hospital Sungai Buloh pula agak jauh sekali gus menyukarkan mereka mahu bergerak.

“Justeru, saya terfikir untuk membina unit ini di Klinik Kesihatan Taman Medan dan mereka yang berdekatan boleh ke sini dengan kos perjalanan juga jimat,” katanya.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah melihat kelengkapan pada perasmian unit rehabilitasi Bilik Lavender di Klinik Kesihatan Taman Medan, Petaling Jaya pada 9 Januari 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika ditemui SelangorKini selepas merasmikan unit berkenaan di sini, hari ini.

Unit rehabilitasi berkeluasan kira-kira 55.74 meter persegi itu dilengkapi dengan kelengkapan asas fisioterapi dan mampu memuatkan 16 pesakit dalam satu-satu masa.

Beroperasi setiap hari kecuali Ahad bermula jam 8 pagi hingga 9.30 malam dan antara aktiviti diadakan adalah kelas fisioterapi, senaman dan ceramah motivasi.

Categories
SELANGOR

Maria Chin komited bantu golongan berkeperluan

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 31 MEI: Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah, komited membantu mengedarkan makanan kepada golongan kurang berkemampuan melalui program Bank Makanan.

Beliau berkata, program yang memasuki tahun kedua pelaksanaannya diteruskan selepas pihaknya mengadakan ‘pilot project’ pada September tahun lalu yang membabitkan 20 keluarga.

“Kejayaan program tahun lalu mendorong kami menambah lagi bilangan penerima berkelayakan, pada tahun ini dengan keluarga yang layak dibekalkan bahan makanan setiap dua minggu sekali seperti telur, roti, sayur-sayuran, minyak dan beras mungkin sebulan sekali.

“Bagaimanapun, ia bergantung kepada penderma yang menderma, mungkin minggu lain makanan lain. Seperti hari ini, kita mendapat sumbangan dari Pasar Raya Tesco dan kerjasama bersama Food Aid Foundation,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas program Edaran Makanan Bersama Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari di Bank Makanan Pejabat Parlimen Petaling Jaya, di sini semalam.

Pada program itu, seramai 114 keluarga membabitkan 458 penduduk di PPR Lembah Subang 1 layak menerima bantuan Bank Makanan.

Mengulas sama ada pada tahun medatang penerima masih orang yang sama, Maria Chin berkata, ia bergantung kepada keadaan, namun jika mereka sudah berkemampuan, ia mungkin akan bertukar.

“Memang ramai memerlukan bantuan seperti ini, namun kita akan kaji semula kerana ia adalah terhad,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyambut baik saranan Amirudin untuk menggunakan konsep pemberian kepada pemberdayaan yang tidak membuatkan seseorang itu terlalu bergantung kepada sumbangan, sebaliknya perlu berdikari.

“Selepas ini, kita juga akan membantu mereka dengan aktiviti kemahiran selain meningkatkan situasi ekonomi mereka,” katanya.

Categories
SELANGOR

Maria Chin lancar pejabat bergerak

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 SEPT: Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah melancarkan pejabat bergerak untuk kemudahan penduduk di kawasan berkenaan membuat aduan.

Katanya, pejabat bergerak yang bakal beroperasi pada Oktober itu akan dikendalikan sukarelawannya dengan rondaan di tiga lokasi iaitu Seri Setia, Bukit Gasing dan Taman Medan.

“Ia akan diadakan dua kali sebulan di satu-satu kawasan dan kemudian akan membuat rondaan ke lokasi lain pula.

“Setakat ini, pejabat bergerak itu akan bermula di Taman Medan,” katanya selepas merasmikan Pejabat Bergerak Parlimen Petaling Jaya, di Taman Medan.

Hadir sama Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar; ADN Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran dan ADN Taman Medan, Syamsul Firdaus Mohamad Supri.

Maria berkata, antara perkhidmatan diberikan melalui pejabat bergerak itu ialah pendaftaran Kad Peduli Sihat Pejabat ADN Taman Medan.

Katanya, ia turut mendapat kerjasama agensi kerajaan iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat Petaling Jaya, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

“Saya harap bahawa dengan adanya pejabat begerak ini, kita akan dapat mengeratkan lagi perhubungan antara pejabat Parlimen, pejabat ADN dan agensi kerajaan Persekutuan serta Negeri.

“Saya menyeru supaya penduduk dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang diberikan ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

Program Bank Makanan bantu golongan susah

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 15 SEPT: Kira-kira 20 keluarga kurang berkemampuan di Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang menerima bantuan makanan secara percuma, melalui Program Bank Makanan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah berkata, program itu dibuat ekoran kajian ke atas komuniti terbabit mendapati 80 peratus kanak-kanak antara tujuh bulan dan 18 tahun, kurang berat badan serta tidak mempunyai perkembangan baik.

Katanya, program itu dikendalikan sukarelawannya di bawah inisiatif #105PJ.

“Program ini bertujuaan menyediakan sumber makanan, rawatan perubatan asas dalam masa panjang serta peluang kerja kepada masyarakat dan komuniti yang kurang berkeupayaan menjaga diri juga keluarga mereka.

“Saya berharap program Bank Makanan ini akan meningkatkan kesedaran orang ramai masih ada rakyat Malaysia kurang mampu menyediakan makanan mencukupi untuk keluarga mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Bank Makanan di pejabatnya, baru-baru ini.

Maria berkata, program itu adalah langkah pertama pihaknya menangani masalah kekurangan zat makanan yang berlaku dalam kalangan penduduk PPR Lembah Subang.

“Saya turut mengalukan sektor awam dan swasta untuk mendermakan barangan seperti susu tepung, makanan dalam tin serta beras.

“Kami tidak mahu wang tetapi hanya barang makanan yang akan diterima buat keluarga memerlukan ini,” katanya.

Categories
NASIONAL

Maria Chin bertanding PRU-14, letak jawatan Pengerusi BERSIH

OLEH SABIRAH AZIZ

PETALING JAYA, 6 MAC: Maria Chin Abdullah meletakkan jawatannya sebagai pengerusi BERSIH 2.0 dan mengumumkan bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Maria berkata, dia akan menawarkan diri sebagai ahli Parlimen dan calon bebas Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Keputusan berundur daripada Bersih 2.0 sebagai pengerusi adalah bagi menyahut cabaran baru dalam dunia politik sekali gus mengukuhkan reformasi agenda demokratik di negara ini.

“Saya juga tidak menyertai mana-mana parti politik supaya dapat kebebasan meneruskan agenda ini sekali gus membantu saya merealisasikannya.

“Walaupun memilih landasan PAKATAN, namun bertanding sebagai calon bebas dapat memberi saya tumpuan dalam mendorong agenda pembaharuan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Maria melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi BERSIH 2.0 pada 4 Mac lalu selepas Jawatankuasa Pemandu menerima perletakan jawatannya yang mana semalam adalah hari terakhir beliau di pejabat.

Categories
NASIONAL

Dalam diam SPR wartakan 9 kategori baru pengundi pos

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 10 JAN: Sembilan kategori baru pengundi pos yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara diam-diam menimbulkan kebimbangan Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (BERSIH 2.0).

Pengerusinya, Maria Chin Abdullah berkata, langkah terbaru SPR ini meningkatkan risiko kejadian manipulasi jumlah undi dan sekaligus membantu Barisan Nasional (BN) menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

“BERSIH 2.0 sangat prihatin kemungkinan berlakunya manipulasi pilihan raya di mana pada PRU-13 lalu undi pos digunakan membantu kemenangan BN di 30 kerusi parlimen,” katanya pada sidang media di pejabat BERSIH 2.0 di Pusat Perniagaan 8 Avenue di sini, hari ini.

Maria berkata, BN pada awalnya didapati tewas di 30 kerusi terbabit, namun keputusan berubah sebaliknya apabila jumlah pengundi pos dicampur.

Katanya, sembilan kategori terbabit adalah Jabatan Penjara, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Maritim, kakitangan institusi kesihatan kerajaan, anggota sukarela simpanan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahan Awam, Jabatan Imigresen, Agensi Pengurusan Bencana dan Jabatan Pendaftaran.

Katanya lagi, SPR harus memastikan prosedur dan proses yang menjamin kebebasan dan kerahsiaan undi
anggota keselamatan polis dan tentera.

Categories
NASIONAL

Maria Chin bebas selepas 11 hari ditahan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 28 NOV : Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah dibebaskan daripada tahanan polis selepas ditahan 11 hari bermula 18 November lalu.

Perkara tersebut disahkan, Gabungan Bersih 2.0 menerusi kenyataan ringkas di Twitternya, sebentar tadi.

“Maria bebas!” tulis BERSIH di Twitter.

Maria terdahulu ditahan ketika serbuan di pejabat BERSIH 2.0 di Petaling Jaya sebelum dibawa ke ibu pejabat polis IPD Petaling Jaya, sehari sebelum berlangsungnya perhimpunan aman Bersih 5, 19 November lalu.

maria chinBeliau disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) berdasarkan penemuan 1 dokumen.

Beliau juga sebelum ini turut disiasat mengikut Seksyen 124c Kanun Keseksaan atas kesalahan menjalankan aktiviti yang dikatakan menjejaskan demokrasi berparlimen.

-nR-

Categories
NASIONAL

Nurul Izzah: SOSMA tidak patut keatas pimpinan

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 21 NOV: Tindakan menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012 disifatkan sebagai salahguna kuasa kerajaan kerana undang-undang sedia ada mampu menangani keganasan.

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, SOSMA tidak sepatutnya digunakan terhadap Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah, atau pun mana-mana pihak termasuk terhadap Datuk Jamal Yunos sekalipun.

“Terus terang saya katakan, tidak kira betapa saya benci Jamal Yunos dan kata-katanya, saya tidak suka sesiapa pun tertakluk di bawah SOSMA.

“Undang-undang keselamatan yang menindas itu tidak sepatutnya digunakan terhadap pengganas kerana sudah ada undang-undang sempurna untuk menangani keganasan dalam negara,” katanya.

18 November lalu, Maria ditangkap kerana didakwa melakukan aktiviti memudaratkan kepada demokrasi berparlimen di bawah Seksyen 124(c) Kanun Keseksaan, dan kemudian ditahan di bawah SOSMA.

Beliau kini ditahan dalam kurungan di lokasi yang tidak didedahkan dengan mentol lampu dipasang 24 jam.

Izzah berkata, tidak seharusnya ada sesiapa pun sepatutnya ditahan di bawah SOSMA.

“Ada cara yang sesuai dan kedaulatan undang-undang untuk menangani perkara ini.

“Meskipun ada indivitu berpotensi sebagai pengganas, dakwa sahaja mereka di mahkamah,” katanya.

-nR-