Categories
AGENDA NASIONAL

Tun M semakin pulih, pindah wad biasa

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Keadaan kesihatan Tun Dr Mahathir Mohamad semakin pulih dan telah dipindahkan ke wad biasa Institut Jantung Negara (IJN) hari ini, kata Datin Paduka Marina Mahathir.

Anak sulung bekas perdana menteri itu berkata Dr Mahathir yang sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Koronari IJN, kini ceria dan bersemangat untuk kembali pulih sepenuhnya.

“Daripada penilaian pasukan doktor pakar yang merawat Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau didapati semakin pulih,” kata Marina dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi mengelak jangkitan, kedua-dua Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tidak dibenarkan menerima pelawat di IJN ketika ini.

Marina berkata Dr Mahathir dan seluruh ahli keluarga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan agar beliau sembuh sepenuhnya.

Sabtu lepas, Marina dalam kenyataan memaklumkan bahawa keadaan Dr Mahathir stabil dan memberi respons yang baik kepada rawatan lanjutan prosedur elektif yang dijalankan 8 Jan lepas.

Sebelum ini, Dr Mahathir dimasukkan ke IJN pada 7 Jan bagi menjalani prosedur perubatan elektif sehari selepas itu dan dibenarkan keluar pada 13 Jan.

— BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Marina: Serbuan serentak tanpa notis awal bukan kebetulan

SHAH ALAM, 10 OGOS: Anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap serbuan yang dilakukan ke atas syarikat anak Mahathir.

Marina Mahathir berkata, tiga syarikat milik abangnya itu diserbu tanpa notis awal untuk bertindak demikian.

“Tiga-tiga sekali pada hari yang sama? Tak mungkin kebetulan. Dan mengapa tanpa memberi apa-apa notis?” soalnya.

Memetik laporan The Malaysian Insight, Marina mengesahkan selain Kencana Capital Sdn Bhd, LHDN turut menyerbu Opcom Holdings Berhad dan Crescent Capital Sdn Bhd.

marina 1Opcom sebuah syarikat dipengerusikan Mokhzani yang ditubuhkan pada November 1994 dan terbabit dalam pendawaian fiber optik.

Manakala, Mukhriz yang kini timbalan presiden Bersatu salah seorang pemegang sahamnya.

Sementara seorang lagi anak lelaki Dr Mahathir, Mirzan adalah ketua pegawai eksekutif Crescent Capital iaitu sebuah syarikat pelaburan dan perunding kewangan.

Seorang sumber memberitahu, LHDN menyerbu pejabat Kencana dan merampas 11 fail daripada syarikat itu, pada 8 Ogos lalu.

Ketika serbuan dilakukan, Mokhzani berada di luar negara akan tetapi kini sudah pulang ke Malaysia.

Sumber berkata, syarikat itu selama ini menggunakan khidmat juruaudit terkemuka PricewaterhouseCoopers (PwC).

“Mereka membayar cukai setiap tahun selama ini. Bagaimanapun, mereka tetap akan bekerjasama dengan pihak berkuasa,” kata sumber yang mengetahui operasi syarikat itu dengan syarat tidak dinamakan.

Sumber berkata, mereka percaya serbuan dilakukan LHDN itu bermotifkan politik kerana Dr Mahathir kini menentang pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.