Categories
NASIONAL

MB : Tanah Selangor Bukan Untuk ‘Tauke Sewa’

SHAH ALAM 28 NOV : Tanah untuk aktiviti komersial seperti perniagaan atau pertanian akan dijual pada harga pasaran supaya hasil penjualan itu dapat disalurkan kepada negeri dan rakyat.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata ini berbeza dengan pendekatan pentadbiran Umno-BN dahulu yang memberikan tanah tanpa penilaian yang berpatutan.

Abdul Khalid berkata tanah juga hanya akan diberikan kepada pemilik yang juga pengusaha atau owner-operator.

Ianya bukan untuk ?rentier? atau ?tauke sewa? iaitu mereka yang ingin memajak atau menyewakan tanah berkenaan kepada orang lain.

“Bukan seperti dahulu, tanah diberikan secara terlalu murah, kini kita akan menawarkan tanah mengikut dasar perniagaan dan harga semasa.

“Duit yang kita perolehi ini juga akan digunakan kembali untuk keuntungan rakyat,” ujar beliau menjawab soalan lisan daripada Adun Dengkil, Datuk Marsum Paing mengenai Lesen Menduduki Tanah Sementara (TOL) yang diberikan kepada pengusaha tanaman.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kadar Pengangguran Belia di Selangor Rendah

SHAH ALAM 22 NOV : Kadar pengangguran di Selangor adalah rendah dan masih kekal di bawah empat peratus kesan peningkatan sektor perkhidmatan di negeri ini.

Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, perangkaan yang diberikan Unit Perancang Ekonomi Selangor (UPEN) menyatakan kadar pengangguran di Selangor adalah 3.9 peratus dan sama seperti tahun sebelumnya.

Katanya, sektor perkhidmatan di Selangor bergerak positif dengan menyumbang sebanyak 55 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi negeri ini dengan menyediakan lebih 20,000 peluang pekerjaan setiap tahun.

“Kadar pengangguran yang rendah ini didorong oleh perkembangan sektor perindustrian, pembuatan dan perkhidmatan yang memberikan peluang pekerjaan meliputi kerja mahir, separa mahir dan kurang mahir serta profesional,” katanya.

Dr Ahmad Yunus berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Datuk Marsum Paing (BN-Dengkil) mengenai peluang pekerjaan belia di Selangor.

Dalam pada itu, sejak Januari sehingga Julai 2012, sebanyak 142 projek pelaburan baru masuk ke Selangor dan sebanyak 13197 peluang pekerjaan disediakan bagi golongan belia di negeri ini.

Mengikut jumlah keseluruhan peluang pekerjaan sejak 2008 sehingga 2011, sebanyak 102,288 peluang pekerjaan telah diwujudkan di Selangor.

Sementara itu, Kerajaan Negeri sentiasa menggiatkan program bagi meningkatkan peluang pekerjaan di Selangor dengan menyediakan program ‘Jom Kerja’ yang dianjurkan setiap tahun.

Dr Ahmad Yunus berkata, bagi menyediakan golongan belia yang proaktif, Kerajaan Negeri menwujudkan skim latihan teknikal bagi melatih belia yang diadakan di kolej teknikal di Selangor.

“Sebagai contoh, kolej INPENS di Selangor menyediakan kursus-kursus teknikal bagi membantu golongan belia daripada golongan sederhana dan rendah supaya belia di negeri mendapat pekerjaan yang sesuai,” katanya yang merupakan Adun Sijangkang.