Categories
AGENDA NASIONAL

Khidmat pengiring konvoi perlu kelulusan polis

KUALA LUMPUR, 7 DIS: Permohonan menggunakan sebarang khidmat pengiring konvoi atau marsyal oleh individu atau kumpulan perlu mendapat kelulusan pihak polis selain menyatakan tujuan munasabah ia diperlukan.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata sebarang permohonan bagi tujuan itu tanpa sebarang penglibatan pihak polis merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang.

“Mereka yang hendak berkonvoi kenderaan dengan khidmat marsyal perlu ada kelulusan itu dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kemudian akan sertakan anggota untuk turut serta sebelum sebarang tindakan menahan mahupun melencongkan kenderaan boleh dilakukan oleh PDRM atau agensi penguatkuasaan lain.

“Apa yang menjadi masalah sekarang adalah tindakan baik individu atau kumpulan untuk menggunakan khidmat marsyal tadi dibuat secara haram tanpa mendapat kelulusan pihak polis dan mereka bertindak secara sendiri yang sudah terang menyalahi undang-undang,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Memperkasa Sistem Integrasi, Komputer, Komunikasi, Kawalan dan Arahan (C4i) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Mazlan dalam pada itu menasihatkan pihak bertanggungjawab tampil memohon kelulusan bagi memastikan aktiviti konvoi yang dijalankan lancar dan mematuhi peraturan serta tidak membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Kita tidak mahu terlalu banyak aktiviti yang memerlukan khidmat marsyal ini sehingga mampu mengundang kemalangan jalan raya dan membahayakan pengguna kenderaan lain,” katanya.

Dalam pada itu, Mazlan berkata pihaknya mengarahkan semua Ketua Polis Negeri untuk melakukan pemantauan pematuhan tatacara operai piawai (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) di kelab-kelab rekreasi di negeri masing-masing.

Ia berikutan terdapat laporan perubahan lokasi parti persendirian dari premis hiburan ke kelab berkenaan baru-baru ini.

“Seperti yang berlaku kelmarin (Ahad lepas) apabila serbuan parti persendirian di ibu kota membawa kepada seramai 303 individu dikompaun membabitkan jumlah RM1.565 juta. Jadi penguatkuasaan pemantauan ini akan dilaksana bagi mengesan sebarang penganjuran di kelab rekreasi yang ada,” katanya.

Terdahulu pada majlis itu, beliau berkata PDRM akan memberi fokus kepada pembangunan serta pemerkasaan sistem C4i sedia ada, iaitu sistem yang menggabungkan stuktur perintah serta kawalan dalam PDRM melalui komunikasi dan pengkomputeran serta integrasi sistem maklumat bersama agensi lain seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Imigresen.

“Buat masa ini fokus diberikan kepada pembangunan sistem C4i di kontinjen Kuala Lumpur dan Selangor, manakala penggunaannya di negeri lain hanyalah terhad bagi tujuan semakan lesen memandu, semakan rekod jenayah, orang hilang serta capaian maklumat daripada data JPN,” katanya.

– BERNAMA