Categories
NASIONAL

Susulan Kes MB Selangor, Pengundi Tidak Percaya Kepada SPR

SHAH ALAM 16 MAC : Tindakan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) yang menukar kawasan mengundi tanpa pengetahuan pengundi menunjukkan SPR masih tidak telus dan gagal menunaikan janji untuk adil dan telus dalam pilihanraya.

Rata-rata pengundi kesal dengan tidakan SPR yang sewenang-wenangnya menukar kawasan mengundi Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim seperti yang dilaporkan semalam.

Pengundi yang ditemui bukan sahaja hilang kepercayaan terhadap SPR dan pilihanraya, malah mereka tidak mahu mengundi untuk pilihanraya akan datang.

Tinjauan Selangorkini mendapati kebanyakkan pengundi tidak akan mengundi sekiranya terdapat penyelewengan yang dilakukan oleh SPR.

Mereka mendakwa undian mereka tidak akan bermakna kerana dengan sewenang-wenangnya SPR boleh menggunakan kuasa menukar undian mereka sesuka hati, menukar kawasan undian mereka atau seorang pengundi boleh mengundi dua kali.

Kakitangan Swasta, Yusri Hashim, 40, berkata perkara sedemikian pernah berlaku terhadap rakannya. SPR secara tiba-tiba menukar kawasan mengundi rakannya daripada Subang Jaya ke negeri Perak.

“Ini menunjukkan tindakan SPR itu tidak bertanggungjawab dan tidak relevan terhadap rakyat,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata SPR sepatutnya memantau dan mengemas daftar pengundi.

“SPR tidak seharusnya bersikap sambil lewa, ini melibatkan rakyat untuk memilih siapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) atau Ahli Parlimen di kawasan mereka,” katanya.

Pengundi lain, Zabidi Zainuddin, 53, berkata beliau tidak akan mengundi sekiranya bukan kawasan yang sepatutnya.

“Saya tidak percaya kepada SPR. Perkara sebegini memang banyak berlaku menjelang pilihanraya. Kenapa saya perlu mengundi untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang saya sendiri tidak kenal? Itu bukan kawasan untuk saya membuang undi.

“Tidak kisah jika mana-mana parti politik, tetapi biarlah bukan berlandaskan penipuan, setakat ini saya sudah menyemak kawasan mengundi, ianya betul tetapi saya akan menyemak semula agar tidak berlaku perkara itu kepada saya,” katanya.

Bagi Maryam Yusoff, 52, berkata beliau akan menghantar memorandum dan meminta SPR memberi penjelasan sekiranya perkara sedemikian berlaku kepadanya.

“Jangan timbulkan kemarahan rakyat, rakyat sekarang bukan bodoh untuk menilai, sebagai rakyat kami mahu hak kami secara telus.

“Buat apa kita mengundi jika semua terdapat penipuan? Jangan gunakan individu rakyat untuk bertindak tidak adil hanya kerana untuk seseorang calon memenangi kerusi atau tempat di dalam DUN atau parlimen,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Nor Itam, 55 , berkata SPR perlu membuat sesuatu menjelang pilihanraya akan datang agar semuanya berjalan dengan lancar dan adil.

“Diharap SPR tidak menggunakan kuasa sesuka hati, jangan sabotaj mana-mana pemimpin hanya untuk kepentingan calon lain atau kerajaan lain. Elakkan sabotaj orang lain, jika sesuatu itu baik sudah tentu kita akan ikut, bukannya perkara begini,” katanya.

Hassan Mohammad, 55, pula berkata semua rakyat tidak seharusnya mempercayai SPR.

“Mereka hanya menggunakan kuasa mereka sahaja dan kita pun faham mereka hanya dijadikan mangsa kepada kerajaan yang hanya mahu mereka mengekalkan kerusi dan kuasa mereka dalam negara kita ini.

“Saya akan berhati-hati supaya tidak akan berlaku kepada saya kerana saya tidak mahu diperbodohkan oleh mereka,” katanya.