Categories
AGENDA NASIONAL

Syarikat penerbangan tawar tiket murah untuk rentas negeri

SHAH ALAM, 11 OKT: Syarikat-syarikat penerbangan dalam negara mula menawarkan potongan harga untuk menarik lebih ramai pelancong menggunakan perkhidmatan selepas perjalanan rentas negeri dibenarkan bermula hari ini.

Malaysia Airlines menawarkan tambang serendah RM59 sehala dan diskaun sehingga 50 peratus untuk pakej MHholiday manakala syarikat tambang murah AirAsia menawarkan tiket sehala dengan harga serendah RM12, lapor portal Malaysiakini.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Malaysia Airlines, Izaham Ismail berkata, kebenaran perjalanan rentas negeri akan memberi perkembangan baru terhadap industri tersebut.

“Kami menerima tempahan awal yang memberangsangkan, mencerminkan keyakinan pelanggan dan permintaan yang tinggi untuk terbang bersama Malaysia Airlines.

“Kami dengan sukacita melaporkan bahawa Malaysia Airlines mencatatkan peningkatan 500 peratus dalam tempahan penerbangan kami di dalam negeri, tempahan tertinggi setelah pembukaan semula Langkawi,” katanya kepada Bernama semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat juga senada dengan Izaham yang menyambut baik kebenaran merentas negeri yang diumumkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Katanya, kerajaan berhak mendapat penghargaan terbesar atas keberkesanan program vaksinasi kebangsaan yang kini menyaksikan kadar peratusan yang selamat untuk rentas negeri dilakukan.

“AirAsia akan terus bekerjasama dengan semua pihak yang berkenaan, kerajaan persekutuan dan negeri, pihak berkuasa penerbangan awam dan kesihatan untuk memastikan prosedur pematuhan dijalankan untuk setiap penerbangan kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain, rentas negeri, Ismail Sabri juga mengumumkan kebenaran untuk rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke luar negara, termasuk aktiviti pelancongan tanpa melalui permohonan MyTravelPass dari Jabatan Imigresen, dengan syarat tertentu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pesawat MAS dengan Jalur Gemilang bawa vaksin Covid-19

PUTRAJAYA, 19 FEB: Pesawat penumpang Airbus A330-300 milik Malaysia Airlines yang dihiasi livery Jalur Gemilang bakal menempa sejarah apabila ditugaskan untuk menerbangkan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech untuk keperluan Malaysia pada Ahad ini (21 Feb).

Pesawat berkenaan akan membawa 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech untuk penghantaran pertama ke Malaysia menjelang Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara berfasa bermula 26 Feb.

Ketua Pegawai Operasi MAB Kargo Sdn Bhd (MASkargo) Mohd Zulkefly Ujang berkata pemilihan pesawat yang mempunyai livery Jalur Gemilang adalah simbolik yang melambangkan vaksin tersebut adalah untuk rakyat Malaysia.

“Kita ada banyak pesawat dengan livery tertentu seperti Harimau Malaya, jadi pemilihan pesawat ini sudah tentunya kerana ada Jalur Gemilang untuk tunjukkan yang ini adalah untuk rakyat Malaysia ,” katanya kepada Bernama.

MASkargo adalah cabang kargo Malaysia Airlines Bhd. MASkargo diberi tanggungjawab menyelaras proses penerimaan vaksin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mohd Zulkefly berkata tiada pengubahsuaian perlu dilakukan terhadap pesawat penumpang tersebut bagi membawa vaksin berkenaan kerana hanya bahagian kargo pesawat akan digunakan bagi tujuan tersebut.

Menurutnya, sejak pandemik Covid-19 melanda, banyak pesawat penumpang digunakan untuk perkhidmatan kargo bagi memastikan hubungan perdagangan dengan negara luar dapat dilaksanakan.

“Ketika pandemik penumpang tiada. Oleh itu, kita laksanakan alternatif digelar P2C iaitu penumpang kepada kargo yang mana pesawat penumpang membawa peralatan seperti test-kit Covid-19, kelengkapan perlindungan diri (PPE) dan pelitup muka,” katanya.

Mengenai persiapan di lokasi ketibaan vaksin, Mohd Zulkefly berkata persiapan rapi sedang dijalankan di Advanced Cargo Centre (ACC), KLIA bagi memastikan proses penerimaan berjalan lancar.

“Kita akan pastikan tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengekang Covid-19 seperti penjarakan fizikal dipatuhi oleh semua yang hadir,” katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa memaklumkan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech akan tiba di negara ini pada 21 Feb, menjelang pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara berfasa bermula 26 Feb ini.

Muhyiddin akan menerima suntikan vaksin itu pada hari pertama pelaksanaan program berkenaan bersama-sama petugas barisan hadapan.

Fasa pertama program imunisasi itu bermula Februari hingga April melibatkan petugas barisan hadapan, diikuti fasa kedua bermula April hingga Ogos bagi kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi serta golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Fasa ketiga pula melibatkan golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas bermula dari Mei hingga Februari tahun depan.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

MAS raih penerbangan terbaik di Asia

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 MAC: Syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines (MAS) dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Terbaik di Asia sempena anugerah pelancongan antarabangsa Majlis Antarabangsa Persatuan Penulis Pelancongan Kawasan Pasifik (PATWA) 2019 di Internationale Tourismus-Börse Berlin.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Izham Ismail berkata, kejayaan itu adalah hasil dedikasi pekerja syarikat berkenaan yang komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Katanya, pekerjanya memberikan perkhidmatan terbaik di darat dan sepanjang perjalanan penumpang.

“Anugerah ini mengiktiraf beberapa perkembangan positif yang kami lancarkan sejak dua tahun lalu termasuk pesawat baharu, produk dan inovasi digital.

“Ini adalah bukti komitmen kami untuk menawarkan penumpang pengalaman hebat di udara dan di lapangan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, MAS kini sedang mengadakan potongan harga tiket sehingga 20 peratus ke beberapa destinasi terpilih termasuk Hong Kong dan Sydney.

Categories
EKONOMI NASIONAL

Malaysia Airlines komited laksana Kempen MH sempena Hari Malaysia

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 16 SEPT: Malaysia Airlines komited mengembalikan semula kempen Malaysian Hospitality (MH) bersempena sambutan Hari Malaysia bertujuan memberi pengalaman lancar sepanjang perjalanan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Kapten Izham Ismail berkata, kempen yang sudah dimulakan sejak tahun 2013 itu mempunyai teras tersendiri iaitu “melayan pelanggan seperti mana kita melayan tetamu yang berkunjung ke rumah” (treat our customers as we would treat our guest to our own homes).

Katanya, ia melebihi daripada “perjalanan digital” besar-besaran yang sudah dimulakan Malaysia Airlines sejak 2016 sebelum menyusun keseluruhan Malaysia Airlines Bhd (MAB) menerusi transformasi digital.

“Pujian harus diberikan kepada pasukan 13,000 kakitangan kami yang berusaha supaya kita dapat memacu pengalaman pelanggan.

“Keseriusan kami terhadap perkara ini juga menyebabkan kami mengambil satu langkah ke hadapan dengan menubuhkan bahagian baharu yang dinamakan Pengalaman Pelanggan (Customer Experience) bagi menghubungkan semua perkara yang perlu untuk berurusan dengan pelanggan,” katanya memetik laporan Bernama.

Kapten Izham berkata, sejak beberapa tahun lalu, MAB agresif dalam menangani respon kurang baik pelanggan dan melalui usaha itu syarikat penerbangan berkenaan kini menerima lebih banyak pujian berbanding aduan.

“Ia juga adalah bersandarkan kepada kepercayaan seperti apa yang membezakan Malaysia Airlines dengan rakan seperniagaan dan pesaing, terletak pada hakikat bahawa ia melambangkan Malaysia dan rakyat yang sentiasa mesra, menghormati serta merendah diri.

“Pada masa sama, bersikap tulus serta progresif dan moden tanpa melupakan nilai yang perlu dipupuk,”katanya.

Justeru, katanya, sejak memulakan langkah pendigitalan sehingga suku keempat 2017, Indeks Kepuasan Pelanggan syarikat penerbangan itu meningkat sehingga lima peratus kepada 76 peratus, dan sedang berterusan menguruskan masalah kelewatan dan gangguan penerbangan.

“Ia juga sudah memulakan langkah memberikan kualiti makanan dalam penerbangan yang lebih baik melalui menu Malaysia.

“Namun, apa yang paling penting, selain memfokuskan kepada pengalaman pelanggan, Malaysia Airlines juga meneruskan perjalanan digitalnya yang mana kami amat percaya ia adalah masa hadapan pasaran yang mana pelanggan mahukan lebih kebebasan untuk melaksanakan perancangan mereka,” katanya.

Oleh itu, katanya, syarikat penerbangan itu menaik taraf laman sesawangnya selain menambah aplikasi baharu seperti MHMobile, MHFeedback dan MHChat selain platform terbaharu yang dikenali sebagai “Malaysia Airlines on WhatsApp” yang mana sewaktu membeli tiket dalam talian, pelanggan akan mendapat pengesahan menerusi aplikasi WhatsApp.

“Kami akan membangunkan lagi platform ini yang mana pelanggan akan menerima maklum balas mengenai pembatalan penerbangan, penjadualan semula, kelewatan, nombor pintu dan pelbagai lagi,” katanya.

Categories
NASIONAL

HELWA ABIM gesa MAB izin pekerja Islam tutup aurat

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 8 OGOS: Malaysian Airlines Berhad (MAB) digesa memberi kelonggaran kepada kakitangannya termasuk pramugari Islam berpakaian menutup aurat dan bertudung ketika menjalankan tugas.

Naib Presiden Hal Ehwal Wanita (HELWA) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Nor Azura Kamarudin Sohami berkata, sebagai syarikat penerbangan negara, MAB seharusnya bersikap terbuka dan mempertimbangkan perkara itu demi kebaikan bersama.

“HELWA ABIM menggesa pengurusan MAB memberi pilihan kepada pramugari untuk memilih berpakaian menutup aurat dan bertudung sewaktu bertugas sebagai staf kabin.

“Perkara ini bukan sesuatu yang janggal mahupun ketinggalan zaman bagi sebuah negara Islam memandangkan syarikat penerbangan gergasi antarabangsa seperti British Airways mempunyai polisi berkaitannya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya mencadangkan supaya MAB memperkenalkan polisi pemakaian mesra wanita Islam yang jelas.

Katanya, sebarang bentuk diskriminasi terhadap pekerja wanita beragama Islam di tempat kerja adalah tidak boleh diterima sama sekali.

“HELWA ABIM menyifatkan isu pemakaian tudung dan menutup aurat ketika bertugas telah lama berterusan dan perlu diselesaikan dengan segera.

“Ia bukan hanya isu agama dan maslahah di tempat kerja malah kita berpandangan hak pekerja wanita Muslim wajar diambil berat dan tidak dipandang enteng,” katanya.

Nor Azura berkata, antara faktor kejayaan syarikat penerbangan terkemuka dunia adalah pengalaman mantap dalam diversiti jaringan penerbangan serta jaminan kualiti dan tahap keselamatan kapal terbang pada tahap paling baik.

“Maka MAB seharusnya boleh melaksanakan polisi pemakaian yang mengangkat martabat pekerja wanita Islam yang tidak memberi kesan kepada untung rugi industri penerbangan,” katanya.

Categories
NASIONAL

MAS perkenal panduan keselamatan Braille

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 24 MEI: Syarikat Penerbangan Malaysia (Malaysia Airlines) menerbitkan salinan buku panduan keselamatan penerbangan edisi Braille untuk penumpang kelainan upaya penglihatan.

Malaysia Airlines menerusi laman mikro Twitter @MAS berkata, inisiatif itu diambil kerana aspek keselamatan penting buat semua penumpang, termasuk yang mempunyai masalah penglihatan.

Sehingga kini, posting itu memperoleh 68 Like dan diretweet 30 pelayar Twitter sejak dimuat naik pagi ini.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Juruterbang didakwa tembak MH17 mati bunuh diri

UKRAINE 20 MAC: Juruterbang tentera Ukraine, Kapten Vladyslav Voloshyn yang didakwa menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines, MH17 pada 2014 dilaporkan membunuh diri.

Namun, Voloshyn menolak dakwaan Russia itu dan menuduh ia sebagai satu penipuan.

Menurut BBC News, media tempatan Ukraine yang memetik pihak polis, melaporkan Voloshyn menembak dirinya di rumahnya di Mykolaiv, berhampiran Laut Hitam.

Terdahulu, penyiasat Belanda mendedahkan bahawa peluru berpandu Buk buatan Russia digunakan untuk menembak jatuh pesawat Boeing 777, sekali gus mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal.

Voloshyn yang dianggap wira di Ukraine dilapor menyertai 33 misi ketenteraan menentang pemberontak di Timur Ukraine, selain turut menerima anugerah atas keberaniannya.

Baru-baru ini, juruterbang berusia 29 tahun itu meletak jawatan dari tentera udara, ketika bertugas di lapangan terbang Mykolaiv.

Sementara itu, polis Mykolaiv dalam satu kenyataan di Facebook menyifatkan insiden itu sebagai kes bunuh diri, tetapi mereka sedang menyiasat kejadian yang dianggap ‘pembunuhan dirancang’ itu mengikut salah satu seksyen bawah kanun keseksaan.

Pada masa sama, sepucuk pistol milik tentera yang ditemui di lokasi kejadian turut disiasat oleh pakar terbabit.

Dalam kejadian pada 17 Julai 2014 itu, pesawat MH17 ditembak di kawasan perang di Timur Ukraine ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dan dua pertiga daripada 298 penumpangnya adalah warga Belanda

SUMBER: BBC NEWS/ AGENSI

 

Categories
NASIONAL PELANCONGAN

Malaysia Airlines batalkan penerbangan Denpasar-Bali

SHAH ALAM 27 NOV: Susulan ledakan Gunung Agung di kepulauan Bali, Malaysia Airlines (MAS) membatalkan semua penerbangan antara Kuala Lumpur dan Denpasar-Bali, pada 27 November 2017.

MAS dalam satu kenyataan media berkata penumpang sudah dimaklumkan menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS), petang semalam dan nasihat penerbangan juga dimasukkan ke dalam laman web, Facebook dan Twitter Malaysia Airlines.

Syarikat penerbangan itu memantau rapi situasi dan akan menyelaras operasi penerbangannya yang keluar masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai jika perlu, demikian menurut Malaysia Airlines dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pagi ini.

Disebabkan situasi itu, Malaysia Airlines akan membenarkan penumpang terbabit untuk:

1. Mendapatkan bayaran balik sepenuhnya harga tiket atau penangguhan pengembaraan sehingga akhir Februari 2018.

2. Perubahan destinasi (tertakluk kepada kesediaan tempat duduk) ke Jakarta, Surabaya atau mana-mana destinasi ASEAN yang dikendalikan Malaysia Airlines.

Untuk maklumat lanjut, penumpang digalakkan menghubungi talian 1 300 88 3000 (di Malaysia) atau +603 7843 4000 (bagi luar Malaysia).

Categories
NASIONAL

Kapten Izham hanya CEO MAB sementara?

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 7 NOV: Pelantikan Kapten Izham Ismail sebagai Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) Malaysia Airlines Bhd (MAB) dijangka sekadar bersifat sementara ekoran peletakan jawatan mengejut Peter Bellew.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob menjangkakan demikan apabila keputusan pelantikan itu dibuat dalam tempoh masa singkat berbanding pelantikan sebelum ini memakan masa lebih panjang mencari pengganti sesuai.

“Bukan mudah memulihkan syarikat penerbangan seperti MAB, rugi besar dan ditambah pula melalui dua pengalaman ngeri pesawatnya terhempas.

“Maknanya, reputasi MAS tidak begitu baik. Ini bermakna MAS memerlukan CEO berwibawa,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Katanya, beliau tidak menolak kemampuan Kapten Izham membuktikan keupayaannya sebagai GCEO memandangkan beliau memiliki pengalaman sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) MAB sebelum ini.

Kapten Izham berpengalaman selama 38 tahun dalam industri penerbangan apabila memulakan kerjaya di MAB sebagai juruterbang pada 1979 dan telah memecahkan rekod penerbangan dunia dengan menerbangkan pesawat B777-200 pertama MAB pergi dan balik dari Seattle ke Kuala Lumpur.

Selain itu, sebelum dilantik sebagai COO pada 2016, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MASwings, syarikat sekutu Malaysia Airlines di Sabah dan Sarawak.

Rosli berkata pengurusan MAS perlu mengelakkan berlakunya campur tangan politik sehingga menyebabkan CEO berada di dalam keadaan sukar membuat sebarang keputusan penting dengan tepat.

“Beri ruang CEO dilantik untuk mengemudi. Beri dia kuasa menjalankan syarikat,” katanya.

=EZY=

 

Categories
EKONOMI

Kapten Izham Ismail CEO baharu Malaysia Airlines

SHAH ALAM 21 OKT: Kapten Izham Ismail diumumkan sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) Malaysia Airlines menggantikan Peter Bellew berkuatkuasa serta-merta, kata Lembaga pengarah Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) dan Malaysia Airlines Bhd (MAB).

Izham, yang berkhidmat di MAB selaku ketua pegawai operasi (COO), merupakan orang ketiga menduduki kerusi penting itu dalam tempoh dua tahun ini, lapor BERNAMA.

MAB dalam kenyataan berkata Izham akan menyandang jawatan itu mulai 1 Disember 2017 dengan pemergian Bellew.

Menurut MAB, pelantikan Izham sejajar dengan rancangan penggantian kepimpinan dalam pelan pemulihan Malaysia Airlines.

“Bagi memastikan peralihan yang lancar, satu jawatankuasa eksekutif lembaga pengarah akan diadakan untuk tempoh sehingga 6 bulan,” kata MAB.

Jawatankuasa itu akan diketuai Pengerusi Tan Sri Md Nor Yusof, ahli lembaga pengarah Tan Sri Krishnan Tan Boon Seng, Tan Sri Zamzamzairani Isa dan Sheranjiv Sammanthan.

Sebelum menjadi COO pada 2016, beliau merupakan CEO di MASwing yang beroperasi di Sabah dan Sarawak. Beliau mempunyai 38 tahun pengalaman berkhidmat dalam industri penerbangan.

“Beliau memimpin penstrukturan semula bahagian kejuruteraan menjadikan operasi lebih cekap dan kecil, dan bertanggungjawab atas inisiatif penjimatan bahan bakar syarikat penerbangan itu,” kata MAB.

Bellew merupakan CEO warga asing kedua dilantik Khazanah dalam projek penstrukturan dan pemulihan Malaysia Airlines.

Menyertai syarikat penerbangan negara itu pada 1 September 2015, beliau dan CEO sebelumnya, Christoph Mueller, meninggalkan Malaysia Airlines sebelum tamat tempoh kontrak masing-masing.

=EZY=

Categories
EKONOMI

Siapa CEO baharu Malaysia Airlines?

KUALA LUMPUR 18 OKT: Spekulasi siapa yang akan menerajui Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines), sudah bermula susulan kenyataan pemergian Ketua Pegawai Eksekutifnya, Peter Bellew.

Dua nama disebut-sebut akan dipertimbangkan untuk menggantikan tempat Bellew, seandainya pemergian beliau disahkan nanti, lapor BH ONLINE.

Dua nama itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Seri Shahril Mokhtar dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Malaysian Airlines, Omar Siddiq Amin Noer Rashid.

Ini bukan kali pertama Shahril, 44, yang memiliki pengalaman luas dalam industri pengangkutan, disebut-sebut sebagai calon untuk jawatan itu.

Nama beliau juga disebut sebagai pengganti berpotensi ketika Christoph Mueller mengumumkan meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines pada April tahun lalu.

Shahril sebelum ini adalah Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd dari 2010 hingga 2014 sebelum beralih ke MRT Corp Januari tahun lalu.

Beliau juga berpengalaman luas dalam industri penerbangan apabila memegang jawatan Pengurus Besar Penerbangan Malaysia Bhd (PMB) dari Januari 2002 hingga Mei 2006.

Shahril ketika ini adalah Lembaga Pengarah di Prasarana dan MyHSR (High Speed Rail) Corp, kedua-duanya milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) .

Calon kedua, Omar Siddiq pula adalah CFO semasa Malaysia Airlines yang menjawat jawatan itu sejak 2016.

Beliau sebelum itu adalah Pengarah Eksekutif di Bahagian Pelaburan Khazanah Nasional Bhd.

Beliau juga pernah menjadi Pengarah Malaysia Aviation Group Bhd.

Omar Siddiq menjawat Pengarah Urusan di bahagian perbankan pelaburan di CIMB Investment Bank Bhd, sehingga 2015.

Sebelum itu, beliau berkhidmat di PricewaterhouseCoopers sehingga 2005 dengan jawatan terakhir sebagai pengarah eksekutif.

Terdahulu, Ryanair hari ini mengeluarkan kenyataan kepada Bursa Saham London, yang menyebut Bellew akan kembali menyertai Ryanair sebagai ketua pegawai operasi berkuat kuasa 1 Disember.

=EZY=

Categories
EKONOMI

MAS dilandasan tepat catat keuntungan

KUALA LUMPUR 9 SEPT: Malaysia Airlines, yang berjaya meningkatkan faktor muatan penumpang tahun ke tahun sebanyak 16.9 peratus pada suku kedua 2017 berbanding suku sama pada 2016 dalam keadaan persaingan yang semakin meningkat, masih berada di landasan untuk mencatat keuntungan pada 2018.

Dalam kenyataan pada Jumaat, Malaysia Airlines berkata kumpulan itu akan terus berhati-hati dalam mengawal kapasiti dan telah mengurangkan kekerapan laluan domestik.

Faktor muatan penumpang kekal kukuh pada suku kedua 2017 dengan syarikat penerbangan itu mengekalkan disiplin tambang walaupun penurunan yang ketara dalam tambang pesaing, katanya.

Syarikat penerbangan itu berkata pemulihan dalam perniagaan antarabangsa berterusan pada suku kedua 2017 dengan faktor muatan sebanyak 78.8 peratus berbanding 67.4 peratus pada suku kedua 2016.

Faktor muatan perniagaan domestik merosot disebabkan lebihan kapasiti, katanya.

mh-masKetua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Peter Bellew, berkata syarikat penerbangan itu akan terus fokus kepada China, yang mempunyai potensi pertumbuhan yang besar.

“Laluan baharu syarikat penerbangan itu, Fuzhou, Nanjing and Wuhan, yang dilancarkan pada Jun, telah menunjukkan angka yang menggalakkan bagi tempoh awal masing-masing,” katanya.

Mengenai masa depan, Bellew berkata syarikat penerbangan itu akan terus menumpukan kepada penambahbaikan perkhidmatan dengan penetapan harga yang lebih baik.

“Kami telah melihat kemajuan ini melalui peningkatan sebanyak 2.6 peratus bagi tambang purata domestik,” katanya.

Malaysia Airlines berkata kumpulan itu mengekalkan unjuran berhati-hatinya bagi tahun fiskal 2017.

Katanya perang harga yang agresif di pasaran domestik dijangka berterusan dengan ringgit lemah dan harga minyak yang tinggi menambah kepada persekitaran kos yang sedia mencabar.

“Tempahan awal jauh lebih kukuh pada 2017 berbanding 2016, bagaimanapun, syarikat penerbangan itu melihat tekanan hasil di semua laluan susulan tambang rendah boleh didapati daripada kebanyakan syarikat penerbangan legasi dan syarikat penerbangan tambang rendah tradisional,” katanya.

Syarikat penerbangan itu berkata ia meneroka pelbagai pilihan pesawat kerangka besar, untuk penyerahan yang dijangka pada 2018 dan 2019, untuk memenuhi pertumbuhan pesat jualan antarabangsa yang memerlukan tambahan pesawat kerangka besar.

“Perbincangan diteruskan dengan beberapa pemberi pajak, syarikat penerbangan lain dan pengeluar pesawat untuk mendapatkan pesawat yang berkualiti dan sistem hiburan dalam penerbangan yang berkualiti tinggi.

“Syarikat penerbangan itu berharap untuk menerima enam pesawat Airbus 350 baharu yang dipajak daripada Air Lease Corp, dengan pesawat A350 pertama dijadual tiba pada akhir 2017,” katanya.

Pesawat A350 akan digunakan dalam perkhidmatan Malaysia Airlines ke London Heathrow mulai suku pertama 2018 dan dijangka menghasilkan kos operasi yang lebih cekap di laluan itu, katanya.

Syarikat penerbangan itu berkata ia sedang menilai penggunaan pesawat A380 seawal suku keempat 2018 bagi perkhidmatan untuk haji dan umrah di Arab Saudi.

SUMBER: BERNAMA