Categories
SELANGOR

228 Fakir Miskin Puchong Terima Sumbangan Raya

PUCHONG, 2 OGOS: Seramai 228 asnaf fakir dan miskin di Puchong menerima sumbangan raya daripada Lembaga Zakat Selangor(LZS) sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Alhmarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj berkenan menyampaikan sumbangan wang tunai RM400 setiap orang di Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat yang diadakan di Masjid Al-Ehsan Bandar Kinrara, Puchong malam tadi.

Program ini bertujuan untuk mendekati seluruh rakyat Selangor di bawah pemerintahan baginda Sultan dan sumbangan tersebut sedikit sebanyak, meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan untuk menjalani ibadah ramadan dan menyambut aldilfitri kali ini.

Seorang penerima kurang upaya asnaf miskin, Kamilah Arifin, 41, berkata wang itu akan digunakan untuk keperluan empat orang anaknya bagi menyambut hari raya.

“Alhamdulillah, sekurang-kurangnya duit ini dapat meringankan beban saya mempersiapkan anak-anak menyambut syawal kelak,” katanya yang sudah 11 tahun menjadi Orang Kurang Upaya (OKU).

Turut hadir di majlis ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi, Orang Besar Daerah Petaling, Datuk Emran Kadir, Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Khairi , Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS), Datuk Marzuki Hussin dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor(MAIS), Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa.

Dalam majlis yang sama, seramai 140 saudara baru Islam dan 128 anak yatim di kawasan ini turut menerima sumbangan raya yang disampaikan oleh baginda Sultan.

Sementara itu, seorang saudara baru, Yusuf Islam Mohd Noor, yang memeluk Islam pada September tahun lepas, turut terharu kerana masih ada pihak yang sudi memberi sumbangan kepadanya.

“Syukur alhamdulillah saya sekeluarga kini memeluk Islam dan bagi persiapan raya, saya hanya membuat persiapan sederhana sahaja,” katanya yang masih mendalami Islam dengan mengikuti kelas Fardhu Ain anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia(PERKIM).