Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor rancang naik taraf Masjid Sungai Chinchin tahun depan

GOMBAK, 17 OKT: Kerajaan Negeri bercadang menaik taraf Masjid Sungai Chinchin, Kampung Sungai Chinchin di sini mulai tahun depan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara tersebut akan dibawa ke dalam Belanjawan 2022 yang dibentangkan pada hujung tahun ini.

“Sudah tiba masanya untuk kita besarkan masjid ini dan beri keselesaan kepada jemaah. Masjid ini dibina pada 1960an dan kapasiti penduduk pada waktu itu sekitar 500 orang. Kini bilangannya semakin bertambah kepada 2,000 penduduk.

“Sudah tentu ia memerlukan ruangan lebih besar. Insya-Allah saya akan masukkan perancangan ini di bawah projek Jais (Jabatan Agama Islam Selangor) dan dibawa dalam Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan hujung tahun nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Masyarakat Sungai Chinchin di pekarangan masjid tersebut di sini hari ini.

Amirudin turut menjelaskan tanah tersebut juga telah diwakafkan bagi kerja menaik taraf masjid berkenaan.

Pada majlis sama, beliau turut melawat makam Syeikh Muhammad Nor Al-Kholidi yang merupakan wali Allah yang berjaya mentadbir kampung itu berlandaskan syariat Islam.

Beliau turut memuji tindakan Almarhum dalam menyebar luas syariat Islam dan menyarankan kepimpinannya dijadikan teladan dan diikuti seluruh masyarakat terutama golongan muda.