Categories
SELANGOR

LZS Didik Asnaf Cintakan Alam Sekitar

BANTING, 5 NOV : Bagi memupuk semangat cintakan alam sekitar di kalangan generasi muda, seramai 60 pelajar asnaf yang mendiami asrama pendidikan Baitul Hasanah, Lembaga Zakat Selangor (LZS) dipilih untuk menyertai program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berteraskan alam sekitar di Pantai Kelanang, di sini hari ini.

Program perkhemahan yang berlangsung selama dua hari dengan bertemakan ‘Kami Prihatin, Hijau Untuk Semua’ itu mendedahkan para pelajar mengenai isu-isu alam sekitar, khususnya kesedaran mengenai penjagaan alam sekitar.

Bagi tujuan itu, sebanyak 200 anak pokok bakau disumbangkan LZS untuk ditanam di Pantai Kelanang bagi menggalakkan aktiviti pemuliharaan ekosistem hutan bakau.

Program itu mendapat kerjasama daripada Yayasan Anak Warisan Alam (Yawa), Majlis Daerah Kuala Langat, Jabatan Perhutanan, MASKargo dan Ali Bikers All Riders (ABAR).

Antara aktiviti lain yang dianjurkan termasuk program gotong-royong mengecat serta pembersihan Surau Hajjah Fatimah, Kampung Kelanang.

Selain itu, pihak LZS turut menyampaikan sumbangan peralatan ibadah bagi memenuhi keperluan kariah surau berkenaan.

Majlis perasmian penutup disempurnakan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa dan dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.