Categories
AGENSI SELANGOR

Siri pencerahan Selangor: 39 karya agung sudah diterjemah

SHAH ALAM, 11 OGOS: Sebanyak 39 karya agung sudah diterjemah menerusi Siri Pencerahan Selangor ‘Mencambah Karya Agung’ sejak 2017 sehingga tahun lalu, kata pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Mastura Muhammad berkata program inisiatif Kerajaan Negeri dengan kerjasama Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dan PPAS bertujuan mengangkat karya besar dunia termasuk falsafah, islamik, sastera dan biografi.

“Sehingga kini 29 judul buku sudah berada di pasaran dan dijual pada kadar berpatutan iaitu RM100 dan ke bawah.

“Antara tajuk yang sudah berada di pasaran ialah Dari Pesantren ke Istana, Imam di Kota Paris, Riwayat Politik Suharto, Athens dan Kelahiran Demokrasi, Jagat Kehidupan dan Pemikiran Einstein dan Tunas Pemodenan Politik Turki,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Mastura berkata orang ramai perlu mengambil peluang membeli buku terjemahan berkenaan kerana harga asalnya mencecah lebih RM200.

“Tetapi Kerajaan Negeri menawarkan pada harga amat rendah, inisiatif ini dilakukan kerana mahu rakyat Selangor membaca serta memahami isi kandungan yang disampaikan menerusi karya agung ini.

“Bagi memperhebatkan lagi promosi jualan buku terjemahan terbabit, orang ramai boleh melayari YouTube PPAS untuk mendengar ulasannya. Bagi memudahkan pembelian, kita akan menyediakan laman portal bagi tujuan itu,” katanya.

Pada 21 Ogos 2018, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan Siri Pencerahan Selangor ‘Mencambah Karya Agung’ dengan IBDE berperanan menerbit dan menterjemahkan karya besar dunia, manakala Nusantara Audiobook menterjemahkan buku cetak ke dalam bentuk digital audio.

Usaha terbabit mula digerakkan sejak 2017 dengan 15 karya diterjemahkan diikuti 14 (2018) dan 10 (tahun lalu).

Categories
SELANGOR

PPAS mesra OKU, lengkap bahan bacaan braille & buku audio

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 9 JUN: Kemudahan mesra golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang serba lengkap di Perpustakaan Raja Tun Uda bagi memastikan hak dan penyertaan golongan itu seiring dengan pembangunan masyarakat lain.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Muhammad berkata, usaha itu bukan sekadar untuk golongan celik mata tetapi juga untuk golongan celik hati.

“Kita menyediakan koleksi Braille diletakkan di bilik khas Tingkat 1 dengan pelbagai bahan meliputi buku fiksyen dan bukan fiksyen yang di antaranya ialah koleksi peperiksaan STPM, al-Quran dan novel.

“Kita juga ada komputer yang boleh print Braille serta buku audio yang boleh digunakan secara percuma.

“Bagaimanpun kita sentiasa berusaha penambahbaikan kemudahan dan koleksi sedia ada,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Tilawah Al-Quran Braille 2018 Peringkat Kebangsaan di PPAS Shah Alam, di sini hari ini.

Pada masa sama, Pengarah Urusan KL Braille Resources, Dato’ Mah Hassan Omar berkata, PPAS merupakan antara jalinan kerjasama terawal bersama pihaknya dalam menyediakan buku dan peralatan Braills untuk diakses secara percuma oleh golongan itu.

“Kemudahan disini cukup lengkap untuk dimanfaatkan namun sambutannya masih berada di bawah tahap yang kita harapkan.

“Oleh itu kami berharap kerajaan dapat menyediakan kemudahan pengangkutan awam supaya lebih ramai golongan ini dapat datang ke PPAS,” katanya.

Mastura berkata, sebelum ini pihaknya pernah membuat permohonan daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) namun tiada maklum balas.

Bagaimanapun, katanya dengan penubuhan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang baru PPAS berharap permohonannya untuk bas masuk ke kawasan itu diluluskan.

Categories
SELANGOR

PPAS Tinjau Peluang Bantu Gaza Bina Perpustakaan

Mastura PPAS

SHAH ALAM, 9 FEB: Kerajaan Negeri melalui Exco Pendidikan Selangor dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dengan kerjasama NGO Muslim Care akan melaksanakan misi kemanusiaan pertama ke Gaza bagi pembinaan perpustakaan komuniti berkonsepkan ‘Rebranding’di Gaza Palestin.

Rombongan Kemanusiaan yang akan disertai 22 orang terdiri daripada pelbagai latar belakang profesion bakal bertolak ke Gaza pada 9 Februari hingga 16 Februari depan.

Seramai enam deligasi daripada PPAS yang diketuai Pengarahnya, Mastura Muhammad bersama Ahli Lembaga pengarah PPAS dan pustakawan akan menyertai misi ini.

Exco Pendidikan Selangor, Dr Halimah Ali memaklumkan, misi kerjasama ini merupakan rentetan lawatan Menteri Pendidikan dan Pendidikan Tinggi Palestin ke Selangor pada 25 Oktober 2011.

“Dari siri lawatan ke Selangor, mereka memohon bantuan dari segi nasihat memandangkan kita telah mewujudkan satu bentuk perpustakaan iaitu Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam

“Anak-anak Gaza sangat memerlukan premis pendidikan untuk belajar. Kita mahu bina membina perpustakaan pelbagai fungsi.

“Dengan ilmu yang ada kita kongsikan pandangan bersama mereka,” katanya pada satu sidang media ringkas.

Sementara itu, bagi Pengarah PPAS, Mastura Muhammad, konsep pendidikan sambil berhibur (Edutaiment) yang diperkenalkan di PPAS akan dijadikan contoh untuk pembangunan perpustakaan di sana.

Menurutnya, undangan ini merupakan satu pengiktirafan kepada Negeri Selangor selaras dengan misi menjadikan negeri sebagai hab pendidikan.