Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SELangkah perkenal e-dompet, galak masyarakat lakukan transaksi tanpa tunai

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Kemudahan e-dompet dalam aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) mampu mengurangkan sentuhan antara individu sekali gus mengekang penularan Covid-19.

Ketua pegawai eksekutif Selgate Healthcare berkata inisiatif bermula bulan lalu itu juga seiring dengan keperluan masyarakat untuk memasuki era endemik tidak lama lagi.

“Aplikasi e-dompet ini menggalakkan ahli SELangkah menggunakan transaksi tanpa tunai dan dapat mengurangkan sentuhan yang mungkin berisiko memberi jangkitan virus.

“Ini antara langkah diambil Kerajaan Selangor dalam mengekang dan melawan Covid-19,” kata Dr Muaz Omar ketika majlis pelancaran e-dompet di Sentul Depot, dekat sini.

Jelasnya kemudahan berkenaan boleh digunakan di pelbagai premis antaranya syarikat telco, Burger King dan kedai serbaneka KK Super Mart serta 99 Speedmart.

“Beberapa agensi dari luar Selangor turut menjadi rakan niaga SELangkah dan ada beribu lagi syarikat yang dalam proses integrasi,” katanya.

Beliau berkata lebih banyak lagi penambahan fungsi SELangkah pada masa akan datang bagi memudahkan urusan masyarakat.

“Mulanya aplikasi ini untuk penjejakan kontak dan saringan sahaja tetapi kita rasa perlu untuk mengevolusikannya. Dari matlamat menyelamatkan nyawa sekarang beralih kepada menyelamatkan kehidupan,” katanya.

SELangkah diperkenalkan pada 4 Mei 2020 bagi menjejak jangkitan virus di premis perniagaan atau pejabat sekali gus memudahkan pengesanan kontak jika berlaku jangkitan.

Aplikasi itu terus diperkemas dengan menawarkan kemudahan tempahan janji temu saringan Covid-19 dan pembelian kit ujian kendiri.