Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Kemudahan OKU di sekolah bukti kerajaan komited beri pendidikan sama rata

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Peruntukan RM23 juta kepada sekolah kebangsaan bagi pembangunan kemudahan mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) membuktikan komitmen kerajaan dalam membantu golongan itu mendapat pendidikan sama rata, kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata, peruntukan itu memberi kelegaan kepada ibu bapa pelajar OKU yang ingin anak mereka tidak tercicir dalam mendapatkan ilmu pembelajaran.

“Ini berita gembira kepada anak berkeperluan khas atau OKU dan ibu bapa mereka kerana buat pertama kali RM23 juta diperuntukkan untuk kita mengamalkan polisi penolakan sifar iaitu kanak-kanak OKU tidak akan dinafikan hak pendidikan disebabkan kelainan upaya mereka,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Belanjawan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guang Eng hari ini menggariskan peruntukan RM23 juta kepada sekolah kebangsaan untuk memastikan sekolah mempunyai kemudahan mesra OKU, selari dengan dasar penolakan sifar yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menjadi kementerian yang menerima peruntukan terbesar, Dr Maszlee berkata, beliau amat puas hati dan menganggapnya sebagai amanah dalam memastikan setiap peruntukan sampai kepada golongan sasar.

KPM menerima peruntukan sebanyak RM64.1 bilion dalam Belanjawan 2020 yang bertema ‘Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama ke Arah Kemakmuran Bersama’, berbanding RM60.2 bilion pada 2019.

Sementara itu, Pengarah Pusat Genius Kurnia yang juga pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaaan Malaysia’ Profesor Madya Dr Hasnah Toran berkata’ peruntukan itu secara langsung menunjukkan kesungguhan kementerian dalam memperjuangkan hak anak kurang upaya untuk ke sekolah dan mendapat pendidikan yang sewajarnya.

“Apabila Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengumumkan akan melaksanakan ‘Zero Reject Policy’ bermula tahun ini, kita tertunggu-tunggu juga tindakan selanjutnya. Ini kerana untuk merealisasikan perkara itu ia memerlukan peruntukan besar.

“Melihat kepada pembentangan belanjawan hari ini, kami nampak kesungguhan kementerian untuk memastikan tiada pelajar OKU yang ditolak daripada memasuki alam persekolahan, sekali gus terpinggir daripada sistem pendidikan,” katanya kepada BERNAMA.

Berharap agar peruntukan itu akan digunakan sebaiknya, Hasnah berkata selain aspek kemudahan fizikal seperti laluan khas, ramp, tandas untuk pelajar OKU, faktor sikap juga perlu diambil kira agar tidak menjadi kekangan dalam pelaksanaan sebarang dasar untuk kebajikan OKU.

“Sikap juga sebenarnya adalah halangan. Mungkin kita boleh gunakan sebahagian daripada peruntukan RM23 juta itu untuk tujuan melatih guru dan tenaga pengajar terlibat supaya mereka lebih lebih bersedia dan memahami kaedah mengajar anak OKU,” katanya.

Beliau pada masa sama berharap supaya peningkatan peruntukan sebanyak RM5.9 bilion bagi program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang diumum dalam Belanjawan 2020, memberi manfaat kepada anak OKU terutama mereka yang menghadapi masalah pembelajaran.

Belanjawan 2020 turut memperuntukkan RM192 juta untuk Program Pensijilan Profesional di bawah Yayasan Pendidikan Peneraju Bumiputera.

Pemangku Ketua Eksekutif yayasan itu, Ariff Ithnin berkata, peruntukan berkenaan akan dimanfaatkan bagi melahirkan lebih ramai bakat bumiputera yang diiktiraf sehingga ke peringkat dunia.

“Pencapaian yayasan sepanjang tujuh tahun beroperasi ramai bakat bumiputera diiktiraf di peringkat antarabangsa dan kami adalah satu-satunya agensi pemangkin yang melahirkan seramai 59 ‘World Class Winners’ dalam pensijilan perakaunan profesional dengan 29 daripadanya berjaya memperoleh kedudukan pertama dunia untuk pensijilan ‘Certified Accounting Technician’ (CAT) dan ‘The Association of Chartered Certified Accountants’ (ACCA),” katanya.

Beliau berkata bagi tahun 2020, yayasan akan memberi fokus kepada bidang yang menerajui Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA) seperti ekonomi digital, kewangan islam serta teknologi industri 4.0 selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Maszlee galak pemberian zakat dalam bentuk buku

PUTRAJAYA, 23 Mei: Agensi-agensi zakat perlu melangkah ke hadapan dengan tidak hanya memberi bantuan dari segi kewangan dan makanan, tetapi juga membantu meningkat taraf pendidikan anak-anak asnaf melalui pengagihan buku-buku ilmiah, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Melancarkan program Zakat Semarak Ilmu di sini hari ini, Maszlee berkata bantuan dalam bentuk buku-buku, secara tidak langsung akan membantu golongan tersebut membina cita-cita untuk keluar dari kelompok kemiskinan.

“Mereka melabur untuk pendidikan, sekali gus melabur untuk masa hadapan negara yang lebih cerah,” katanya ketika berucap melancarkan program itu.

Program Zakat Semarak Ilmu digerakkan bersama oleh Kementerian Pendidikan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Pusat Pungutan Zakat dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia akan mengagihkan sumbangan daripada zakat dalam bentuk buku.

“Usaha sebegini juga wajar diuar-uarkan, agar ia menjadi satu bentuk galakan kepada pembayar zakat untuk sekurang-kurangnya mengetahui ke mana hasil kutipan zakat disalurkan, bukan sahaja dalam bentuk makanan dan wang malah turut melibatkan pemberian buku untuk manfaat ilmu yang berpanjangan,” katanya.

Maszlee berkata sumbangan yang sama juga patut diberikan kepada golongan bukan Islam dalam kalangan kumpulan B40.

“Golongan B40 ini melibatkan semua tidak mengira bangsa atau agama, dan roh zakat itu adalah membantu hatta kepada bukan Islam sekalipun,” katanya.

Pada program hari ini, seramai lebih 4,600 pelajar asnaf dari sekolah-sekolah di Putrajaya dan Kuala Lumpur bakal mendapat manfaat dengan pengagihan buku terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia bernilai RM700,000. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Isu kuota matrikulasi: NGO hantar memorandum sokongan kepada Maszlee

PUTRAJAYA, 23 Mei: Satu memorandum dihantar kepada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sebagai tanda sokongan atas kenyataan beliau dalam mempertahankan isu kuota matrikulasi untuk bumiputera dan peluang pasaran kerja yang tidak adil.

Memorandum sokongan tersebut diserahkan oleh Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Kesatuan Melayu Nasional (KMN), Majlis Bendahara Malaysia (MBM) dan beberapa lagi gabungan badan bukan kerajaan.

Memorandum itu diterima oleh Setiausaha Politik menteri, Mahmood Kassim.

Presiden MJMM, Abdul Rani Kulup Abdullah berkata pihaknya menyokong penuh kenyataan Maszlee dalam isu kuota matrikulasi untuk bumiputera dilonggarkan tetapi pada masa yang sama majikan masih menetapkan syarat untuk fasih berbahasa Mandarin untuk mendapat mendapat tawaran pekerjaan.

Katanya gabungan itu menyokong kenyataan Maszlee dan menyeru beliau tidak perlu memohon maaf atau meletak jawatan atas desakan pihak tertentu. -BERNAMA

Categories
PENDIDIKAN

UPM pertahan Maszlee, tambah kuota bukan sentimen perkauman

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 21 MEI: Universiti Putra Malaysia (UPM) menyifatkan kenyataan Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik mengenai sistem kuota Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan bukan suatu sentimen perkauman.

Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris berkata, pihaknya menyokong pengumuman penambahan bilangan pelajar matrikulasi dari 25,000 kepada 40,000 kerana ia akan membantu meningkatkan bilangan pelajar cemerlang dalam kalangan aliran sains tulen yang masih kekurangan untuk pembangunan negara.

Selaku Naib Canselor beliau berkata, ia akan membantu meningkatkan lagi peluang pelajar cemerlang untuk kedua-dua pihak iaitu pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera ke dalam program Matrikulasi kementerian sebagai persediaan kemasukan ke universiti awam.

“Untuk makluman, program Matrikulasi bukan merupakan program yang memberi ruang kepada pelajar Bumiputera yang kurang kompeten kerana pemilihan kemasukan juga berdasarkan merit pencapaian pelajar sewaktu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Ini kerana pemilihan calon ke universiti daripada lulusan Matrikulasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Asasi dan Diploma juga dibuat berdasarkan merit pencapaian dalam peperiksaan peringkat masing-masing mengikut standard kesetaraan yang ditetapkan Unit Pusat Universiti, Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Sebagai contoh, lebih dari 90 peratus pelajar lepasan Matrikulasi yang memohon ke program UPM adalah dalam kalangan yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) lebih dari 3.5 mata. Manakala lebih dari 90% kemasukan ke program Asasi Pertanian UPM (ASPER) setiap tahun adalah pelajar yang mendapat CGPA yang hampir 4 mata penuh.

“Ini menunjukkan pemilihan adalah dalam kalangan pelajar cemerlang. Ramai antara pelajar yang dipilih juga adalah dari golongan B40,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, Matrikulasi bukannya program ‘pintu belakang’ tetapi ‘affirmative’ bagi menyediakan pelajar untuk bersaing secara sihat dengan rakan yang mengikuti STPM dan Asasi.

Dr Aini berkata, isu kuota tidak wajar dibangkitkan kerana semua kemasukan dan sokongan ekosistem dalam program Matrikulasi, tingkatan enam mahupun Asasi adalah inklusif, berkualiti dan melibatkan semua kaum selaku pelajar serta pendidik.

“Program Matrikulasi adalah alternatif kepada program pra-universiti lain dan bukannya program yang bertujuan mendiskriminasikan mana-mana kaum.

“Kita dapat rumuskan semua pelajar tanpa mengira latar belakang kaum dan sosio ekonomi mendapat peluang untuk melanjutkan pengajian mereka ke universiti dan dalam masa yang sama menghormati kontrak sosial yang dipersetujui oleh pembina negara bangsa sejak merdeka.

“Kontrak sosial ini menyokong peluang semua kaum dalam pendidikan, ekonomi, politik, budaya, agama dan sebagainya yang masih memerlukan reformasi secara adil dan inklusif dengan mengambil kira faktor sejarah dan perkembangan kemajuan pembinaan negara sejak 62 tahun kemerdekaan,” katanya.