Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tiada kes penguatkuasa Indonesia ceroboh Selat Melaka

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEKINCHAN, 13 OGOS : Tiada kes pencerobohan dilakukan penguatkuasa Indonesia serta membuat gangguan ke atas nelayan tempatan bagi kawasan Selat Melaka, sejak 2018, kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Katanya, Malaysia dan Indonesia juga sudah memutuskan untuk tidak membuat tangkapan bot nelayan kedua-dua belah pihak jika berada di kawasan bertindih dua negara.

“Saya juga percaya pihak berkuasa seperti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia memainkan peranan dengan baik untuk mengekang masalah ini.

“Sejak tahun 2014, kapal TLDM meningkatkan rondaan dengan memastikan dua kapal akan berada di laut setiap masa iaitu sebuah di Utara dan Selatan untuk memastikan isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika Program Dialog Menteri Pertahanan bersama Komuniti Nelayan Sekinchan di Pantai Redang, di sini, yang turtu dihadiri Panglima TLDM, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin; Ahli Parlimen Sungai Besar, Muslimin Yahaya dan Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim.

Mohamad berkata, beliau prihatin terhadap isu keselamatan terutama, di Perairan Selat Melaka.

“Sepanjang hampir tiga bulan dilantik menjadi Menteri Pertahanan, pihak TLDM sudah membawa saya belayar dan melawat beberapa tempat serta memberi pelbagai taklimat.

“Is keselamatan bukan asing lagi. Saya akan pastikan keselamatan nelayan di kawasan Sekinchan khususnya diberikan perhatian serius dan segala luahan serta pemasalahan diambil tindakan secepat mungkin,” katanya.

Categories
NASIONAL

Mat Sabu ke Cox’s Bazar, bantu misi kemanusian

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 24 JUN : Kerajaan Malaysia akan menghantar delegasi khas ke kem Pelarian Cox’s Bazar Bangladesh, bagi misi kemanusiaan di negara itu, 4 Julai depan.

Lawatan khas yang diketuai Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu itu dibuat bagi memberikan sokongan moral kepada mangsa pelarian Rohingya, di Bangladesh.

Bercakap kepada media, Mohamad Sabu berkata, sumbangan perubatan dan kelengkapan harian juga akan diberikan kepada golongan itu.

“Lawatan ini hanya dibuat dalam tempoh sehari yang mana kita akan menyerahkan sedikit bantuan seperti perubatan, coklat, kelengkapan khemah dan pakaian kepada pelarian Rohingya di sana.

“Orang awam dialu-alukan untuk membantu dengan menyerahkan barangan keperluan untuk diberikan kepada mereka nanti,” katanya.

Mohamad Sabu berkata, seramai 60 anggota terdiri daripada pegawai perubatan dan pegawai kesihatan negara kini bertugas di kem pelarian itu.

Katanya, lawatan itu juga dibuat bagi meraikan kemeriahan Syawal bersama petugas di sana.

Terdahulu, Mohamad hadir pada program Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Amanah Negara, di Stadium Shah Alam, petang ini.

Dianggarkan, lebih 20,000 pengunjung hadir memeriahkan program rumah terbuka itu.

Categories
SELANGOR

Mat Sabu yakin kepimpinan Amirudin terus kecemerlangan Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 24 JUN: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menyatakan keyakinan beliau terhadap kepimpinan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari untuk menerajui kecemerlangan pentadbiran Selangor.

Justeru katanya, semua pihak diingatkan supaya tidak lagi mencetuskan sebarang sentimen bagi mencabar kredibiliti Amirudin sebagai pemimpin muda.

“Saya menyokong sepenuhnya kepimpinan beliau sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor yang baru ini.

“Demi rakyat, sokongan ini harus diberikan dan tentunya kami sebagai rakan komponen dalam Pakatan Harapan akan menjalinkan kerjasama terbaik dengan beliau untuk mengekalkan kecemerlangan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Rumah Terbuka Parti Amanah Negara peringkat Selangor, di Stadium Shah Alam, petang ini.

Amirudin bersama pimpinan Exco Kerajaan Negeri, Ir Izham Hashim, Dr Siti Mariah Mahmud, Haniza Talha dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Najwan Halimi turut hadir memeriahkan majlis.

Terdahulu, Amirudin mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menjadi Dato’ Menteri Besar Selangor ke-16.

Beliau menggantikan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang kini menerajui kabinet Putrajaya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

 

Categories
NASIONAL

Mat Sabu nafi beraya guna helikopter

NASIONAL 17 JUN: Menteri Pertahanan Mohamad Sabu hari ini menafikan dakwaan beliau menggunakan helikopter yang merupakan aset kerajaan untuk beraya bersama keluarganya di Perlis seperti yang tular di laman sosial Facebook.

“Tidak benar sama sekali. Saya tidak akan menggunakan aset kerajaan untuk kepentingan diri sendiri dan tidak berada di Perlis pun. Semuanya palsu dan dusta semata-mata,” katanya dalam catatan Twitternya @MSabu_Official.

Video berdurasi 27 saat itu dimuat naik hari ini oleh seorang pengguna Facebook yang mendakwa kononnya Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara telah menggunakan helikopter kerajaan bersama keluarga isteri untuk bersuka ria pada Hari Raya Aidilfitri di Jejawi, Perlis selepas dilantik sebagai seorang menteri.

Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu bersama 12 lagi anggota kabinet yang lain mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, di Istana Negara pada 21 Mei lalu selepas kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Mohamad Sabu ikrar dedah penyelewengan

KUALA LUMPUR 14 JUN: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berikrar mendedahkan semua salah laku dan penyelewengan yang berlaku dalam Kementerian Pertahanan sewaktu di bawah pentadbiran kerajaan sebelum ini jika ia terbukti berlaku.

Katanya, terdapat beberapa isu berkaitan kementerian itu sebelum ini ditimbulkan terutama berkaitan perolehan aset ketenteraan dan ia akan disiasat oleh Jawatankuasa Siasatan Khas bagi isu-isu tadbir urus, perolehan dan kewangan negara yang dipengerusikan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

“Dalam kempen-kempen pilihan raya kita sentuh mengenai Kementerian Pertahanan ini antara yang menjadi sasaran dan perkara yang ditimbulkan termasuk oleh Tan Sri Rafidah Aziz (berkaitan penswastaan tanah Angkatan Tentera Malaysia).

“Sebelum itu kita juga sentuh tentang pembelian kapal selam Scorpene dan isu-isu berkaitan dengan Kementerian Pertahanan termasuk (pembunuhan model Mongolia) Altantuya Shaariibuu dan sebagainya, terlalu banyak,” katanya dalam temubual bersama BERNAMA di Wisma BERNAMA di sini, baru-baru ini.

Mohamad percaya jawatankuasa itu mampu merungkai pelbagai dakwaan yang dikaitkan dengan Kementerian Pertahanan sebelum ini dan mengubah persepsi negatif masyarakat yang boleh mencalarkan imej kementerian itu.

Mohamad yang baru mengemudi kementerian itu kira-kira tiga minggu selepas mengangkat sumpah pada 21 Mei lalu berkata, pada masa ini tidak banyak dasar yang telah dilaksanakan kementerian itu yang akan diubah, sebaliknya hanya akan ditambah baik terutama berkaitan pelaksanaannya.

Katanya, antara dasar kementerian yang akan diteruskan ialah hubungan kerjasama ketenteraan dengan negara-negara jiran dalam mengawasi perairan dan kerjasama latihan ketenteraan dengan Amerika Syarikat selain komitmen untuk mengukuhkan perjanjian Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN).

Beliau turut mengulangi komitmen untuk terus memelihara kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia dan kesiapsiagaan mereka dalam menjadi benteng mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.

“Kedudukan kewangan dan ekonomi negara kita sekarang ini mungkin memerlukan kita untuk menyesuaikan dengan keadaan itu tetapi walau apa pun hal, kebajikan dan kesiapsiagaan tentera kita itu tidak boleh kompromi,” katanya.

Mohamad berkata, program dan perkara lain diputuskan sebelum ini termasuk status Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP), Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) turut akan dikaji secara mendalam sebelum cadangan untuk menentukan statusnya dikemukakan dan diputuskan Kabinet.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Menteri Pertahanan diterima mengadap Sultan Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 7 JUN: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang juga Kepten Yang Dipertua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkenan menerima mengadap Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, di Istana Bukit Kayangan, di sini, hari ini.

Mohamad berkata, pertemuan berlangsung hampir sejam itu membincangkan pelbagai isu khususnya membabitkan keselamatan perairan negara.

“TLDM perlu diperhebat dan diperkuatkan terutama jika dulu hasil negara di darat sahaja tetapi sekarang di darat juga laut seperti pelantar minyak kita, di Laut China Selatan. Sebahagian Laut China Selatan ini juga menjadi perebutan kuasa besar.

“Oleh itu, Malaysia perlu memainkan peranan bersiap siaga, bukan untuk berperang tetapi menjaga keamanan dan kedaulatan tanah air kita termasuk perairan negara kerana mempunyai perairan yang luas,” katanya kepada pemberita sejurus selesai mengadap.

Mohamad berkata, baginda turut menasihatkan supaya aset TLDM dipertingkatkan sesuai dengan perkembangan semasa.

Katanya, baginda bertitah supaya setiap pembelian aset pertahanan perlu sesuai dengan keperluan TLDM dalam mempertahankan kedaulatan perairan negara.

 

Categories
NASIONAL

Skandal ATM disiasat termasuk Scorpene

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mahu sebarang isu dan skandal yang dikaitkan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disiasat.

Katanya, ia akan disiasat secara mendalam sebelum sebarang tindakan diambil dan akan mendapatkan maklumat lanjut daripada semua pihak sebelum membuat perincian.

“Kita akan mendapatkan maklumat lanjut daripada semua cabang ATM termasuk isu pembelian kapal selam Scorpene serta isu dibangkitkan badan bukan kerajaan sebelum ini.

“Kita akan selidik, buat siasatan, kalau atas khabar angin maka akan berlaku kerosakan imej kepada seseorang atau jabatan itu.

“Kalau ada tindakan dengan bukti penyelidikan yang rapi melalui audit dalaman, penyelidikan dalaman dan kalau tak mampu kita guna audit luaran atau lebih serius kita bawa ke kabinet,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang medianya, di sini.

Terdahulu, beliau yang dikenali sebagai Mat Sabu memulakan tugas rasminya sebagai menteri hari ini dan disambut dengan tabik hormat kawalan kehormatan utama di Dataran Wisma Pertahanan di Jalan Padang Tembak, pagi tadi.

 

Mat Sabu campak pembesar suara depan penjara Sg.Buloh

Ekspresi kekecewaan, Mat Sabu campak pembesar suara apabila himpunan demi himpinan diadakan tidak beri kesan terhadap pentadbiran Najib Razak.

Categories
NASIONAL

Mat Sabu: Cari jalan toleransi, kekalkan sokongan bukan Islam

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 2 JUN: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu hari ini menuntut kepimpinan dan ahlinya mencari jalan toleransi dengan menjaga akhlak bagi mengekalkan sokongan berpanjangan bukan Islam kepada parti itu.

Katanya, PAS sewajarnya memilih jalan demokrasi bukannya peperangan bagi mencapai matlamat bersama Pakatan Rakyat menguburkan Barisan Nasional (BN).

“Kita perlu cari, kupas dan buat analisa dapa yang lemah tetapi jangan sampai tindakan itu seolah-olah menghalau bukan Islam daripada terus mengundi PAS dalam pilihan raya umum akan datang.

Mukatamar Pemuda PAS di Dewan Jubli Perak SUK (7)“Cari toleransi yang paling tinggi selagi tidak merosakan akidah, dibenarkan Majlis Syura dan tidak bertentangan dengan matlamat serta dasar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Muktamar Pemuda PAS kali ke-56 di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Mohamad yang mesra dengan panggilan Mat Sabu berkata, PAS wajar melihat kembali kejayaan kepimpinan terdahulu meyakinkan pengundi bukan Islam untuk bersama menyokong perjuangan parti itu.

“Pilihan Raya 2013 memperlihatkan sokongan umum kepada kita. Calon kita dari Dun dan Parlimen mendapat kemenangan cukup selesa hasil sokongan kuat mereka.

“Lawan kita (BN) gigit jari melihat sokongan umum termasuk bukan Islam di bandar dan pinggir bandar terhadap PAS semakin kuat,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Mohamad Sabu bakal serah diri di IPD Dang Wangi

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PERMATANG PAUH, 4 MEI: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dijangka menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini berhubung Perhimpunan Bantah GST pada 1 Mei baru-baru ini.

Mohamad berkata, beliau menghadirkan diri ke IPD Dang Wangi selepas berbincang dengan Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah Bukit Aman Jumaat lalu.

Mat-Sabu-Pas-Grafik123Beliau berkata, perbincangan dengan Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah itu dibuat selepas didatangi pegawai polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semasa beliau menantikan penerbangan beliau ke Sabah.

“Dia kata kami datang untuk tangkap Abang Mat untuk bawa ke balai polis. Saya kata, saya nak pergi Sabah dan malam ini ke Permatang Pauh pula.

“Saya hubungi Ketua Pencegahan Jenayah dan dia kata boleh, asalkan jangan tak datang. Saya cakap, takkan lah tak datang pula sedangkan balai polis itu rumah tangga saya kedua,” kata Mohamad perkarangan Pusat Khidmat Rakyat Dun Permatang Pasir di sini, malam tadi.

Bagaimanapun ujar Mohamad, beliau masih belum mendapat gambaran sebenar jika beliau ditahan reman atau sebaliknya.

EZY

Categories
NASIONAL

Mat Sabu beransur pulih, dijangka keluar hospital esok

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 6 OKT: Selepas lima hari dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang gara-gara dijangkiti wabak virus demam denggi, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dijangka dibenarkan pulang esok.

Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, perkembangan menggembirakan itu diperolehi selepas Doktor yang merawat beliau mendapati kesihatan Mohamad semakin pulih.

“Alhamdulillah keadaan Timbalan Presiden beransur pulih dan saya difahamkan Doktor telah benarkan beliau pulang pada esok hari.

“Saya ziarah beliau hari sabtu malam raya, waktu itu beliau sudah nampak baik walaupun masih lemah dan dia kata selera makan sudah mula kembali tapi masih di bawah pengawasan,” kata Khairuddin ketika dihubungi Selangor Kini.

MB Mohd Khairuddin memberitahu lagi, selain beliau, Mohamad turut dikunjungi beberapa pemimpin termasuk Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.

“Hari ini, Dr Halimah Ali turut datang berziarah untuk melihat perkembangan terkini Timbalan Presiden dan kami mohon doa orang ramai semuga beliau cepat sembuh,” kata Mohd Khairuddin lagi.

Khamis lalu, Mohamad dikejarkan ke HTAR apabila beliau mengesyaki demam yang dialaminya bukan demam biasa.

HM

Categories
SELANGOR

MB lawat Mat Sabu diserang demam denggi

KLANG 4 OKT: Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali hari ini melawat Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu di Wad 8 Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini.

Mohamed Sabu dimasukkan ke wad itu akibat serangan demam denggi yang dialaminya sejak Rabu lalu.

MB

Turut sama dalam lawatan itu, Exco Kerajaan Negeri, Dr Daroyah Alwi , Adun Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar serta beberapa pimpinan parti dan setempat.

Mohamed Azmin bersama isteri meluangkan masa melawat untuk bertanya khabar dan keadaan kesihatan Mat Sabu.

Diakhir ziarah Mohamed Azmin mendoakan agar cepat Mat Sabu kembali sihat.

EZY