Categories
AGENDA JENAYAH

Polis kenal pasti sindiket pelaburan dalam talian M2DCoin

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Polis mengenal pasti sindiket pelaburan saham mata wang digital atau kripto dalam talian yang didakwa menggunakan platform M2DCoin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata siasatan mendapati platform M2DCoin adalah laman web digital exchanger luar negara yang menggunakan hosting di Arizona, Amerika Syarikat.

Menurutnya, laman itu sudah beroperasi selama sembilan bulan dan tidak mempunyai lesen untuk menjalankan operasi mata wang kripto dari mana-mana negara serta kini ia tidak dapat diakses.

“Siasatan mendapati, pelaburan itu mula beroperasi sekitar pertengahan tahun lepas dan pelabur akan dihubungi melalui aplikasi WhatsApp untuk tawaran pelaburan.

“Pelabur yang berminat akan diberikan kemudahan mengakses platform M2DCoin bagi memudahkan mereka membuat pelaburan serta dijanjikan keuntungan yang tinggi selepas membuat pembayaran melalui orang tengah untuk menguruskan pelaburan mereka,” katanya dalam kenyataan semalam.

Zainuddin berkata setakat ini pihaknya menerima satu laporan mengenai pelaburan saham mata wang kripto itu dan menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat atau telah melabur dalam skim sama untuk membuat laporan polis agar siasatan lanjut dapat dijalankan.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Mata wang kripto semakin dapat sambutan dalam kewangan Islam

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Potensi mata wang kripto dalam kewangan Islam kelihatan meningkat, didorong oleh peralihan kepada ekonomi digital seiring dengan kebiasaan baharu, menurut Datuk Dr Mohd Daud Bakar yang mempengerusikan Majlis Penasihat Shariah Bank Negara Malaysia.

Beliau berkata mata wang kripto boleh dianggap sebagai perkara baharu dalam kewangan Islam dan melihat potensinya dalam persekitaran normal baharu kerana peluang peluang tersedia dalam segmen tersebut.

“Kami tidak hanya menghadapi krisis tetapi juga kebiasaan yang baharu dan teknologi digital menjadi popular kepada orang ramai kerana sekatan perjalanan.

“Bagi saya, kripto bukanlah sesuatu yang susah atau persepsi. Ini hanya melibatkan kemampuan kita untuk memudahkan orang ramai untuk memahaminya kerana ketika ini, ia adalah perkara baharu dan orang ramai cenderung untuk menganggapnya sesuatu yang menyusahkan atau persepsi,” katanya pada Persidangan SCxSC Fintech 2020 di sini, semalam.

Mohd Daud yang juga mempengerusikan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia adalah seorang penceramah dalam sesi panel bertajuk ‘Crypto Conundrum In Islamic Finance: Digital Assets and Shariah Compliance’.

Walaupun seluruh dunia, termasuk Malaysia, melakukan transformasi digital dalam menjalankan perniagaan kerana pandemik Covid-19, beliau berkata mata wang kekal menjadi antara perkara yang tidak disentuh.

“Mata wang bukan digital, ia masih memerlukan keseluruhan ekosistem untuk beralih daripada satu pihak ke pihak lain. Kadangkala ia mengambil masa yang lama.

“Ini menjadikan semuanya tidak cekap. Ekonomi digital telah berkembang dengan sangat baik dan menarik tetapi penghujahan mengenainya masih tidak wujud. Justeru, kita berjuang habis-habisan iaitu menjadikan semuanya lebih cekap menerusi penggunaan mata wang digital.

“Ini bukan soal mata wang baharu, mungkin kerajaan boleh menjadikan mata wang fiat kepada kripto and ini adalah asas kripto, token yang stabil disokong oleh kriptografi,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENSI SELANGOR

26 premis wang kripto disyaki curi elektrik di Sepang diserbu

SEPANG, 12 OGOS: Sebanyak 26 premis yang disyaki terdapat aktiviti mata wang kripto di sekitar Daerah Sepang diserbu dalam satu operasi bersepadu hari ini kerana disyaki “mencuri elektrik” melalui penyambungan haram.

Operasi yang diketuai Suruhanjaya Tenaga (ST) itu turut disertai unit Special Engagement Against Losses (SEAL) Tenaga Nasional Bhd (TNB), Majlis Perbandaran Sepang (MPS), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia , Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Bercakap kepada pemberita di lokasi operasi yang awal di Sunsuria City di sini, Ketua Pegawai Operasi ST Abdul Rahim Ibrahim berkata premis-premis yang diserbu disiasat jika melakukan apa-apa perbuatan yang menyalahi Akta Bekalan Elektrik 1990.

Antaranya ialah kesalahan di bawah Seksyen 37(1) iaitu mengganggu pepasangan elektrik yang boleh menyebabkan bahaya dan Seksyen 37(3) iaitu mengambil bekalan elektrik secara curang dan merosakkan pepasangan elektrik yang menyebabkan bekalan elektrik tidak direkodkan, katanya.

Menurut pegawai TNB yang menyertai operasi itu, aktiviti mencuri elektrik di premis mata wang kripto melalui penyambungan secara haram antaranya menyebabkan bil yang dicatatkan hanya RM30 sedangkan penggunaan elektrik bulanan sebenarnya mencecah RM30,000.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang Mohd Fauzi Mohd Yatim dalam kenyataannya berhubung operasi itu berkata kesemua 26 premis yang diserbu disita selain dikenakan kompaun atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen serta membuat perubahan mana-mana bahagian dalam bangunan.

Sebanyak 3,120 mesin bitcoin disita daripada kesemua premis yang diserbu itu, katanya.

Ketika serbuan ke premis di Sunsuria City, pasukan operasi terpaksa menggergaji mangga untuk memasuki premis yang ketika itu tiada pekerja di dalam premis namun mesin melombong bitcoin kelihatan beroperasi dan disejukkan dengan kipas besar yang dipasangkan.

-BERNAMA